• fasakh-kemenangan-yang-berstrategi

    FASAKH: KEMENANGAN YANG BERSTRATEGI (BHG 2)

    FASAKH – Pada penulisan yang terdahulu, topik yang dibincangkan adalah berkaitan bagaimana seseorang Hakim bicara menghakimi bahawa terdapatnya penderaan dalam menuntut permohonan fasakh; rujuk artikel FASAKH: KEMENANGAN YANG BERSTRATEGI (BHG 1). Kes-kes yang telah dibentangkan, telah membuktikan bahawa mahkamah lebih cenderung untuk membubarkan perkahwinan secara fasakh apabila penderaan itu dibuktikan melalui laporan perubatan, keterangan saksi-saksi yang kompeten dan laporan polis. Penulisan kali ini pula akan mengupaskan tentang satu lagi cara untuk membuktikan terdapatnya penderaan untuk menuntut fasakh iaitu melalui iqrar dan juga fungsi-fungsi peguam dalam mengendalikan kes-kes fasakh.

     

    Iqrar

    Mahkamah juga turut menerima iqrar seseorang dalam menghakimi kes. Sebagaimana yang terdapat di dalam kes F Y v Z I [2009] 1 SHLR 86. Yang kena tuntut di dalam keterangannya mengaku ada memukul pihak Yang Menuntut sebanyak empat kali. Yang menuntut pula mendakwa yang kena tuntut ada memukulnya lebih dari empat kali. Oleh itu mahkamah memfasakhkan akad nikah perkahwinan mereka.

     

    Menurut undang-undang keterangan Islam, pengakuan Yang Kena Tuntut itu dinamakan iqrar. Iqrar sebagaimana di dalam kitab I’aanatul Taalibin Juz 3, ms 187 menyebut: Iqrar dari segi bahasa bererti mensabitkan, manakala menurut Syarak diertikan sebagai memberitahu hak seseorang atas dirinya. Ikrar juga dinamakan sebagai iktiraf.

     

    Tidak terdapat perselisihan pendapat di kalangan ahli-ahli perundangan Islam (fuqaha) bahawa iqrar adalah satu alat pembuktian. Ianya sabit berdasarkan kepada al-Quran dan al-Sunnah. Firman Allah SWT: “Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekali pun terhadap diri kamu sendiri”, Surah an-Nisa’ (4):135.

     

    Iqrar adalah kesaksian ke atas diri sendiri, iaitu pengakuan dengan hak yang didakwa ke atas diri sendiri. Di dalam undang-undang keterangan Islam yang bertulis pada hari ini seperti mana diperuntukkan di dalam Akta Keterangan Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 di dalam sub-s 17(1) memperuntukkan: Iqrar ialah suatu pengakuan yang dibuat oleh seseorang, secara bertulis atau lisan atau dengan isyarat, menyatakan bahawa dia mempunyai obligasi atau tanggungan terhadap seseorang lain berkenaan dengan sesuatu hak. Di dalam sub-s 17(2)(a) diperuntukkan: (2) Sesuatu iqrar hendaklah dibuat — (a) di dalam mahkamah, di hadapan hakim.

     

    Kesimpulan

    Jadi dapat disimpulkan, untuk mahkamah menghakimi sesuatu kes bahawa terdapatnya penderaan sebagai satu asbab untuk memfailkan fasakh, , mahkamah akan melihat kepada perkara-perkara:

    1. Laporan doktor
    2. Repot Polis
    3. Saksi – saksi yang kompeten
    4. Ikrar

     

    Oleh itu apabila berlaku keganasan rumah tangga, apa yang perlu dilakukan adalah yang pertama, dengan segera membuat pemeriksaan dan mendapatkan laporan doktor. Kedua, ambil gambar lebam atau apa apa objek yang digunakan untuk menyakiti sebagai bukti. Ketiga, pergi terus ke balai polis untuk membuat laporan tentang penderaan yang berlaku. Keempat, mangsa dinasihatkan untuk menceritakan masalah didera dengan keluarga, rakan atau saudara mara. Semua ini adalah bahan bukti yang boleh membantu keterangan di mahkamah syariah dalam menuntut fasakh. Sebaiknya pihak yang menjadi pemohon di dalam kes fasakh dinasihatkan melantik seorang peguam bagi membantu beliau di dalam menguruskan kes.

     

    Fungsi peguam di dalam kes fasakh

    Perceraian boleh menjadi sukar walaupun kedua-dua pasangan bersetuju untuk berpisah. Ia juga adalah satu proses yang panjang. Sebaik sahaja anda bercerai, semuanya mesti dibahagikan antara anda berdua. Jika anda cuba berunding dengan pasangan anda sendiri, anda mungkin tidak dapat mencapai kata sepakat. Pasangan anda mungkin juga akan mendapatkan peguam mereka sendiri untuk melindungi kepentingan mereka. Anda juga mungkin akan mengalami kepayahan sewaktu permohonan kepada mahkamah kerana contohnya kesusahan dalam memahami jargon undang-undang atau dalam langkah-langkah dalam proses untuk memohon untuk menuntut fasakh.

     

    Jika anda meneruskan tanpa peguam, anda mungkin akan melakukan kesalahan. Kesilapan ini boleh melambatkan atau merumitkan proses perceraian. Seorang peguam dapat membantu anda untuk melindungi hak hak anda. Ini kerana mereka lebih tahu tentang selok belok undang undang. Permohonan Fasakh memerlukan satu pembuktian yang berat. Oleh itu, melantik seorang peguam adalah amat digalakkan kerana peguam dapat membantu pemohon dalam membuktikan bahawa terdapatnya penderaan. Rundingan dengan peguam selalunya akan memandu pemohon untuk memahami proses perundangan, keperluan fakta dan pembuktian serta saksi supaya kes itu boleh menang atau akhirnya diluluskan oleh Hakim.

     

    Peranan peguam juga akan menentukan strategi berkesan dan teratur supaya setiap fakta dibentangkan mudah difahami oleh seorang Hakim Bicara. Apatah lagi apabila fakta dibentangkan diolah dengan bukti yang kukuh dan saksi yang kompeten sehingga hakim bicara dapat menggambarkan fakta itu dengan jelas dan menyakinkan. Sebab itulah pentingnya melantik seorang peguam yang berkemahiran dan berpengalaman. InsyaAllah dapat membantu menjayakan sesuatu kes dimahkamah.

     

    Walaupun penderitaan dialami seseorang pemohon di dalam konteks fasakh itu benar tetapi belum tentu kebenaran itu dapat menyakinkan seseorang hakim bicara sehinggalah ia dibentangkan dengan jelas dan teratur disokong dengan pembuktian dan saksi yang kukuh dan konsisten. Malah peranan peguam juga mudah-mudahan akan menjayakan sesuatu kes fasakh itu.

     

    Saya akhiri dengan kata-kata keramat daripada Saidina Ali R.A الحق بلا نظام قد يغلبه الباطل بلا نظام “(al-haqqu bilā nidhomin qod yaglibuhu al-bāthilu bin nidhōm)” yang bermaksud “kebenaran tanpa strategi mudah dikalahkan dengan kebatilan yang berstrategi”. Renung-renungkan dan selamat beramal.

    Artikel disediakan oleh: Hajar Mardhiah untuk Peguam Syarie Faiz Adnan & Associates

  • fasakh-kemenangan-yang-berstrategi

    FASAKH: KEMENANGAN YANG BERSTRATEGI (BHG 1)

    Fasakh ditakrifkan sebagai pembubaran akad nikah melalui keputusan hakim. Secara ringkasnya, mahkamah membenarkan perceraian apabila ia berpuas hati, berdasarkan fakta kes, saksi-saksi dan bukti kukuh yang kompeten bahawa terdapat alasan untuk pasangan itu bercerai. Pembubaran perkahwinan melalui fasakh tidak memerlukan suami melafazkan talak, pergantungan taklik, mahupun pembayaran pampasan oleh isteri kepada suami di bawah khuluk. Untuk bercerai melalui fasakh, apa yang diperlukan pemohon membuat permohonan  di mahkamah untuk perintah fasakh melalui peruntukan seksyen yang sesuai.

     

    Misalnya,merujuk kepada Seksyen 53 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Sembilan) 2003, Bahagian V – Pembubaran Perkahwinan, seseorang perempuan atau lelaki, mengikut mana-mana yang berkenaan, yang berkahwin mengikut Hukum Syarak berhak mendapat suatu perintah untuk fasakh atas satu atau lebih daripada alasan yang berikut, iaitu— (h) bahawa suami atau isteri menganiayai isteri atau suaminya iaitu, antara lain— (i) lazim menyakiti atau menjadikan kehidupannya menderita disebabkan oleh kelakuan aniaya;

     

    Kebiasaannya, kes-kes yang dirujuk di Mahkamah Syariah terutamanya dalam pembubaran secara fasakh melibatkan penderaan secara fizikal kerana ia lebih mudah dibuktikan melalui kesan fizikal, laporan perubatan dan laporan polis.

     

    Sebagai contoh, di dalam kes D Hjh S bt P D Hj A v Hj M S bin Hj A [2011] 3 SHLR 99 plaintif telah menfailkan tuntutan cerai secara dharar syarie.. Plaintif di dalam tuntutannya menyatakan antara lain, bahawa defendan telah lazimnya menyakiti atau menjadikan kehidupan plaintif menderita disebabkan oleh kelakuan aniayanya. Defendan juga telah menggunakan kekerasan fizikal terhadap plaintif. Mahkamah memutuskan mentalaq plaintif dengan satu talaq bain sugra.

     

    Di dalam kes ini, plaintif telah mengemukakan dua dakwaan:

    • defendan memukul plaintif pada 9 Januari 1997; dan
    • defendan memukul plaintif sebelum plaintif keluar rumah pada 8 September 2002.

     

    Laporan Perubatan

    9 Januari 1997

    Plaintif mendakwa defendan ada memukulnya menyebabkan plaintif mengalami kecederaan di bahagian telinga kiri. Selepas kejadian itu plaintif ke klinik untuk mendapatkan rawatan. Akibat pukulan tersebut plaintif telah mendapat kecederaan seperti mana ekshibit yang telah dikemukakan kepada mahkamah iaitu. Pihak defendan telah mendakwa bahawa keterangan plaintif tersebut adalah bercanggah dengan apa yang dinyatakan dalam ekshibit. Dalam ekshibit.  menyatakan bahawa plaintif mendapat kecederaan adalah akibat dari terjatuh dalam bilik mandi dan tidak pula menyatakan plaintif dipukul. Keterangan ini menurut defendan dikuatkan lagi dengan keterangan yang diberikan oleh saksi dalam mahkamah ini.

     

    Namun perkara ini disangkal oleh plaintif bahawa plaintif tidak memberitahu sepenuhnya kejadian sebenarnya kepada saksi dengan alasan tidak mahu rahsia rumahtangga diketahui orang lain dan tidak mahu berpanjangan. Oleh yang demikian plaintif mempunyai sebab untuk tidak bercakap benar di hadapan saksi iaitu orang yang merawat plaintif.

     

    Dalam hal ini  mahkamah dapati bahawa hanya keterangan yang berhubung dengan kecederaan sahaja yang dikemukakan saksi. Sedangkan keterangan mengenai dakwaan dipukul tidak dikemukakan sebarang saksi mengenainya. Mahkamah tidak mendapati ada sebarang saksi yang tahu mengenai dengan punca kecederaan plaintif disebabkan oleh dipukul oleh defendan ataupun sekurang-kurangnya mendengar dari plaintif. Dengan alasan demikian mahkamah berpendapat bahawa keterangan menyatakan plaintif terjatuh dalam kamar mandi dan terhantuk ke besin itu adalah lebih meyakinkan mahkamah untuk menerima berbanding dengan dakwaan dipukul oleh defendan.

     

    Oleh itu,  seharusnya apabila mangsa kepada penderaan berhadapan dengan situasi begini, mangsa dinasihati untuk jujur sahaja tentang apa yang berlaku kepada pegawai kesihatan yang memeriksa. Ini kerana mahkamah lebih cenderung untuk menerima fakta yang mempunyai bukti. Apabila mangsa tidak jujur,  ia telah menutup satu jalan untuk membuktikan terdapatnya penderaan.

     

    Keterangan Saksi

    8 September 2002

    Menurut keterangan plaintif, plaintif dipukul di tangan dan di belakang badan. Menurut plaintif lagi memang ada lebam dilihat oleh ibu bapa plaintif semasa balik ke rumah mereka. Dalam keterangan Saksi pertama, beliau menyatakan bahawa plaintif ada menunjukkan tangannya biru dan plaintif menyatakan dia dipukul. Dalam keterangan Saksi kedua pula ada menyatakan bahawa dia ada mendengar plaintif dan defendan berkelahi dan beliau ada mendengar tentang cerita defendan membaling jam kearah Plaintif.

     

    Saksi ketiga pula dalam keterangannya menyatakan beliau ada bertanya tentang pertelingkahan yang berlaku.. Saksi melihat ketika Plaintif memakai t-shirt, di sebelah tangan antara bahu dan siku ada lebam biru, dan bila ditanya, plaintif memberitahu ia merupakan kesan dipukul dengan kotak jam beberapa kali.

     

    Saksi keempat dalam keterangannya pula menyatakan plaintif bercerita, plaintif dipukul oleh suami. Plaintif bercerita bila sudah di rumah, plaintif ada bertengkar dan terus di pukul suami di lengan dan menunjukkan tempat yang dipukul.  Saksi melihat lengan disebelah kirinya sudah ‘mambang’’ dipukul beberapa kali. Yang saksi nampak biru-biru lebam.

     

    Mahkamah memutuskan bahawa, dalam kejadian yang didakwa ini plaintif telah mengemukakan saksi yang tidak melihat secara langsung akan kejadian dipukul tersebut. Saksi-saksi tersebut  melihat kesan dari kejadian tersebut iaitu lebam-lebam, biru dan ‘mambang’ menurut keterangan masing-masing saksi. Keterangan saksi-saksi ini walaupun bukan keterangan saksi-saksi secara langsung tetapi keterangan mereka ini adalah dianggap sebagai keterangan secara qarinah yang diterima pakai oleh mahkamah sebagai hukum syara seperti mana yang termaktub dalam Akta Keterangan Mahkamah-Mahkamah Syariah, 2001. mahkamah berpuashati mendapati defendan telah melakukan penganiayaan terhadap plaintif dengan memukulnya pada 3 September 2002.

     

    Jelaslah bahawa disini  mahkamah akan masih menerima pernyataan saksi walaupun saksi tersebut tidak melihat secara langsung  penderaan tersebut. Ia sudah mencukupi untuk  seseorang saksi itu melihat apa yang terjadi kesan daripada penderaan seperti terdapatnya lebam, pendarahan atau luka. Jadi untuk mengumpulkan bukti, amatlah penting untuk mangsa penderaan berkongsikan masalah kepada orang lain, jangan pendam, kerana mungkin suatu hari mereka dapat membantu menjadi saksi sewaktu perbicaraan.

     

    Laporan Polis 

    Di dalam kes WSWH v RK [2018] 4 SHLR 73 Plaintif mendakwa sepanjang tempoh perkahwinan, defendan ialah seorang suami yang panas baran, sering marah, suka menyumpah seranah, sering mengugut serta pernah memukul plaintif apabila berlaku perselisihan faham. Pada bulan Mei 2015 semasa berada di dalam rumah di hadapan anak-anak, defendan telah bertindak memukul peha plaintif sebanyak tiga kali. Kejadian ini telah diakui oleh defendan dalam keterangannya. Akibat perbuatan ini, terdapat kesan lebam pada peha plaintif dan mengalami kesakitan yang berterusan malahan plaintif turut ditahan di Hospital Ampang. Plaintif turut mengemukakan sesalinan laporan polis bertarikh 14 Mei 2015 dan sesalinan gambar yang menunjukkan kesan pukulan oleh defendan.

     

    Pada 27 Julai 2015 ketika berada di kedai kraftangan plaintif, defendan telah datang membuat kecoh dan berlaku perselisihan faham sehingga defendan bertindak menolak plaintif hingga terjatuh. Sesalinan laporan polis tarikh tersebut telah dilampirkan sebagai bukti. Plaintif mendakwa segala perlakuan defendan tersebut telah menyebabkannya berasa trauma dan takut. Saksi plaintif (1) dalam keterangannya mendakwa kejadian tersebut diketahuinya melalui salah seorang pekerja plaintif yang memaklumkan kepadanya. Saksi plaintif (1) terus menghubungi ibu saudaranya dan dua orang bapa saudaranya untuk membuat laporan polis. Mahkamah menerima salinan laporan polis dan gambar kesan pukulan tersebut berdasarkan kepada s 49 EKMSS 2003.

     

    Oleh itu, mangsa dera dinasihatkan agar bersegera ke mana-mana balai polis untuk membuat laporan. Laporan yang dibuat tidak semestinya meminta polis membuat tindakan, tapi ia boleh menjadi laporan asas sahaja (cover report).

     

    Kesimpulan

    Setakat ini, telah diperjelaskan secara ringkas betapa perlunya pembuktian fakta sama ada melalui keterangan saksi yang kompeten dan konsisten serta tindakan susulan melalui pemeriksaan doktor serta repot polis bagi memperlihatkan kepada Mahkamah betapa serius sesuatu dakwaan. Saya akan menambah isu-isu lain di keluaran akan datang.

  • 8 PERKARA WAJIB TAHU TENTANG KONSULTASI GUAMAN DARI KACAMATA ANAK GUAM (BAHAGIAN 1)

    Konsultasi Guaman – Kelihatan staf-staf sedang fokus menyiapkan dokumen-dokumen pliding kes masing-masing untuk pemfailan di Mahkamah. Ada yang sedang khusyuk membaca, ada yang asyik membelek kitab-kitab Fiqh untuk menyediakan hujah dan ada juga yang menyusun fail-fail klien yang bertimbun di atas meja. Tiba-tiba deringan telefon memecah kesunyian pejabat peguam meminta untuk segera diangkat. Kedengaran suara seorang wanita yang lemah lembut dan ramah menyapa di hujung talian dengan selingan suara tangisan dan teriakan anak kecil. Beliau memperkenalkan diri sebagai Puan Syamsiah dan memberitahu tujuan panggilan tersebut dibuat. Soalan demi soalan diajukan Puan Syamsiah sebelum akhirnya membuat keputusan untuk bertemujanji bersama peguam syarie bagi mendapatkan nasihat guaman bagi masalah rumahtangga yang dialami oleh beliau. Terakhir sebelum perbualan tersebut tamat, Puan Syamsiah mengajukan soalan yang biasa ditanya oleh pihak klien; “Adakah apa-apa persediaan yang perlu saya buat atau dokumen-dokumen yang perlu saya bawa sebelum datang ke firma guaman Tuan untuk konsultasi guaman?

     

    Dalam penulisan artikel kali ini, kami akan kongsikan beberapa perkara asas dan tips-tips menarik yang mesti diambil maklum oleh klien sebelum hadir ke pejabat peguam bagi memastikan proses konsultasi guaman berjalan dengan lancar. Sesi konsultasi guaman atau sesi rundingan guaman adalah proses pertama yang akan berlangsung sebelum apa-apa tindakan undang-undang diteruskan di mana ianya juga adalah sebuah peluang kepada pihak klien untuk membuat pilihan dan keputusan yang terbaik untuk kes yang akan dibawa. Proses konsultasi guaman ini boleh dibahagikan kepada tiga fasa iaitu; Sebelum, Semasa dan Selepas sesi konsultasi.

     

    SEBELUM SESI KONSULTASI GUAMAN

    Lakukan Kajian Latar Belakang Firma Guaman dan Peguam

    Adalah lebih baik sekiranya anda lakukan kajian dan selidik latar belakang firma guaman secara ringkas. Dapatkan maklumat-maklumat penting seperti alamat firma, usia penubuhan firma, kelayakan peguam dan staf, perkhidmatan yang ditawarkan dan sebagainya. Perkara ini amat penting bagi memastikan urusan anda diuruskan oleh pihak yang bertanggungjawab dan berpengalaman. Kenalpasti sama ada firma guaman tersebut menawarkan perkhidmatan sama ada perkhidmatan guaman Syariah, Sivil, Jenayah, ataupun Conveyancing.

     

    Sebagai seorang klien, anda juga perlu selidik latar belakang peguam yang berkenaan; tempoh masa berkecimpung dalam amalan guaman, karakter dan kemahiran tambahan yang ada pada peguam tersebut. Perkara-perkara sebegini harus dinilai oleh klien supaya kepercayaan dari pihak klien terhadap peguam tersebut lebih kuat dan juga dapat membantu membina keserasian di antara klien dengan peguam tersebut. Pilih peguam yang stabil dari segi organisasi dan kewangan kerana perjalanan kes mengambil masa yang lama. Perkara ini penting bagi mengelakkan kes terbantut kerana firma ditutup atau lebih serius terjadinya pecah amanah.

     

    Maklumat-maklumat tersebut boleh diperolehi daripada pelbagai sumber seperti kenalan rapat, media sosial, laman web, dan sebagainya. Anda juga boleh mendapatkan maklumat tersebut daripada Mahkamah. Kebiasaanya, peguam-peguam akan dikenali dan berkenalan rapat dengan pegawai dan staf-staf Mahkamah. Seseorang peguam digelar sebagai peguam senior kerana pengalamannya yang melebih 7 tahun dan mereka lebih mahir dan berpengalaman menguruskan kes-kes berat dan jarang (rare cases) apatah lagi kes-kes ringan atau clear cut cases.

     

    Elakkan Gender Bias

    Dalam mengenali dan memilih peguam, pemilihan berdasarkan jantina (gender bias) adalah perkara yang perlu dielakkan. Tak kiralah sama ada peguam tersebut adalah lelaki atau perempuan, apa yang penting adalah kepercayaan dan keserasian anda dengan peguam pilihan anda. Pastikan keutamaan anda adalah pengetahuan, kemahiran dan pengalaman peguam yang mampu membina kepercayaan anda bahawa peguam tersebut mampu untuk menguruskan kes anda dengan baik. Peguam lelaki dan perempuan masing-masing mempunyai kemahiran dan sudut pandang yang mungkin berbeza. Pilihlah berdasarkan kepercayaan yang telah terbina, bukan berdasarkan jantina, umur dan lain-lain.

     

    Sediakan rangka atau kronologi peristiwa-peristiwa penting

    Penyediaan kronologi kes amat penting dalam sesi konsultasi. Ini kerana setiap kejadian yang berlaku akan dibahaskan dengan lebih kritikal semasa perbicaraan di Mahkamah dan ianya diperlukan semasa penyediakan pliding. Adalah lebih baik jika anda dapat sediakan rangka yang lengkap termasuk peristiwa, tarikh, masa dan komen peribadi mengenai insiden-insiden tersebut dengan mengikut turutan kronologi setepat yang boleh. Mulakan dengan senarai insiden atau peristiwa yang penting misalnya untuk kes-kes Syariah; kejadian-kejadian di antara suami isteri seperti pergaduhan, pukul-memukul, apa-apa bentuk kekasaran, atau pengabaian mahupun kejadian curang atau apa sahaja peristiwa yang dilakukan oleh pasangan yang dianggap penting untuk kes.

     

    Bagi kes-kes yang melibatkan lafaz seperti cerai, rujuk, ta’liq, hibah, wasiat dan sebagainya, adalah lebih baik jika lafaz tersebut dinyatakan semula dengan jelas beserta tarikh, masa dan keadaan semasa lafaz tersebut dikeluarkan. Semakin tepat dan jelas ciri-ciri peristiwa tersebut, semakin kuat kredibiliti fakta-fakta yang akan anda bawa di Mahkamah dan ia akan membantu membina keyakinan dan kepercayaan Hakim terhadap fakta yang anda kemukakan dan akhirnya keputusan lebih cenderung untuk berpihak kepada anda. Apa yang pasti, setiap bukti-bukti yang jelas dan terperinci akan meningkatkan tahap kredibiliti anda.

     

    Bawa bukti-bukti munasabah

    Perkara yang paling utama untuk disediakan sebelum hadir untuk mendapatkan nasihat guaman adalah dokumen pengenalan diri, bukti-bukti yang munasabah, serta saksi-saksi yang paling dipercayai. Dokumen atau bukti tersebut termasuklah kad pengenalan diri, sijil perakuan nikah/cerai, sijil lahir anak, tangkap layar perbualan WhatsApp, apa-apa mesej, audio, video dan sebagainya.

     

    Apa sahaja perkara yang anda lihat sebagai relevan untuk kes anda, bawakan semasa sesi konsultasi tersebut. Peguam anda akan meneliti bahan bukti tersebut dan akan memilih bukti-bukti yang paling utama dan sesuai untuk dikemukakan di hadapan Mahkamah. Manakala untuk dokumen-dokumen peribadi, adalah lebih baik jika anda sediakan salinan atau scan dokumen tersebut, kemudian serahkan kepada peguam jika anda risau hilang atau sebagainya.

     

    Perlu diingatkan di sini bahawa setiap dakwaan yang akan anda kemukakan mesti disokong dengan bukti. Misalnya, jika anda mendakwa telah dikasari atau dipukul oleh pasangan, sertakan bukti sokongan seperti laporan polis atau laporan perubatan. Ingat, dakwaan tanpa bukti sokongan hanya sebuah dakwaan semata-mata. Justeru, sentiasalah ambil langkah berjaga-jaga. Ambil tindakan ke atas setiap perkara yang melanggar hak anda sebagai persediaan sekiranya perkara yang lebih besar berlaku.

     

    Bawa saksi yang paling dipercayai

    Sekiranya dalam kejadian tertentu, wujud saksi yang menyaksikan peristiwa tersebut secara langsung (direct witness), saksi tersebut adalah yang paling layak dibawa sebagai saksi utama. Pastikan saksi tersebut ingat dengan jelas setiap satu kronologi kejadian tersebut dan merupakan orang yang paling anda percayai.

     

    SEMASA KONSULTASI BERLANGSUNG

    Ceritakan dengan ringkas dan padat

    Semasa sesi konsultasi, ceritakan dengan ringkas dan padat menggunakan kronologi atau rangka yang telah anda sediakan sebelum hadir ke pejabat peguam. Tunjukkan bukti-bukti yang relevan untuk setiap kejadian tersebut. Tidak perlu risau jika anda akhirnya terpaksa mengalirkan air mata kerana situasi tersebut adalah sangat normal apatah lagi dalam kes-kes Syariah dan ianya amat difahami oleh pihak peguam. Peguam yang baik akan memandu anda ke arah perbincangan yang lebih efektif memenuhi kehendak anda dalam masa yang sama memenuhi kriteria undang-undang. Oleh itu, pilihlah peguam yang serasi dengan anda serta mahir dalam menguruskan kes.

     

    Dalam menempuhi sesuatu permasalahan pasti akan memberi impak emosi sehingga ada yang tidak mampu untuk menanganinya. Namun begitu, khidmat guaman adalah platform terbaik yang mempunyai kepakaran dari sudut undang-undang dan hukum Syarak serta mampu untuk menjaga kepentingan anda.

     

    Tempoh masa yang optimum untuk satu sesi konsultasi adalah selama 1 jam 30 minit. Pada awal sesi, anda biasanya akan diberi ruang untuk menceritakan masalah anda dan kemudiannya perbincangan tersebut akan dipandu oleh peguam anda mengikut perspektif dan kriteria undang-undang. Cara yang paling efektif dalam sesi konsultasi adalah melalui teknik Cross Conversation, iaitu dengan cara soal dan jawab. Peguam anda akan bertanyakan soalan-soalan yang penting dari sudut pandang undang-undang dan anda akan menjawab sambil menceritakan dari sudut pandang anda sendiri. Cara ini lebih menjimatkan masa sekali gus memenuhi kehendak kedua-dua pihak.

     

    Bersikap jujur dan telus

    Banyak adegan yang dipertontonkan di dalam Drama atau Filem yang melibatkan prosedur litigasi di mana klien bertindak merahsiakan perkara tertentu yang mungkin memalukan atau atas apa-apa sebab tertentu dan akhirnya terbongkar dalam perbicaraan setelah disoal atau diasak oleh peguam pihak lawan yang mana akan menyebabkan penghakiman yang dikeluarkan tidak menyebelahi pihak klien. Ianya adalah amat penting bagi setiap klien yang hadir untuk sesi konsultasi supaya bersikap jujur dan telus tanpa menyembunyikan apa-apa maklumat atau perkara yang penting yang berkait langsung dengan kes.

     

    Langkah yang terbaik adalah anda ceritakan setiap kejadian dengan teliti tanpa menyembunyikan apa-apa maklumat yang mana pada hemat anda berkait rapat dengan kes yang bakal dibawa. Anda tidak perlu risau mengenai maklumat yang disampaikan kepada pihak peguam. Ini kerana peguam terikat dengan undang-undang yang ketat di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi. Akta Profession Guaman Syarie juga memperuntukkan bahawa tindakan tatatertib yang berat oleh pihak Majlis Peguam Syarie terhadap peguam syarie sekiranya terdapat salah laku di dalam perkhidmatan guaman yang diberikan[1]. Setiap maklumat berkaitan klien adalah amat sulit dan pihak peguam bertanggungjawab melindungi maklumat peribadi anda. Seandainya anda khuatir dengan maklumat yang mungkin pada hemat anda mengaibkan anda mahupun mana-mana pihak, tidak perlu risau kerana pada pandangan pihak peguam ianya hanyalah sebuah maklumat semata-mata. Ini kerana fokus peguam hanya kepada pembawaan kes, bukti-bukti dan strategi untuk memastikan hak anda tertunai sepertimana yang dituntut. Setiap butiran dan maklumat daripada anda amat bernilai pada kami sebagai peguam demi memastikan hujah-hujah yang akan diutarakan adalah bernas dan kukuh untuk dinilai oleh Hakim Bicara.

     

    SELEPAS KONSULTASI BERAKHIR

    Dapatkan pandangan kedua (Second Opinion)

    Tiada masalah sekiranya anda ingin mendapatkan pandangan kedua. Ini kerana sesi konsultasi adalah peringkat pertama dalam khidmat guaman dan anda masih boleh menukar fikiran selagi mana anda belum membuka fail kes. Di peringkat inilah, anda berpeluang membuat penilaian dari segi keserasian anda dengan peguam, skil dan kemahiran peguam serta nasihat guaman yang diberikan.

     

    Antara sebab lain untuk anda mendapatkan pandangan kedua adalah kerana sudut pandang, cara menginterpretasi kes dan solusi yang disarankan oleh setiap peguam bermungkinan terdapat perbezaan. Jadi, anda berhak memilih mana-mana pandangan yang sesuai dengan kehendak anda. Pastikan anda membuat pilihan selepas mengambil kira jalan yang terbaik untuk kes anda sendiri.

     

    PENUTUP

    Semoga perkongsian kali ni memberi manfaat untuk anda. Anda juga boleh rujuk artikel 8 PERKARA WAJIB TAHU TENTANG KONSULTASI GUAMAN DARI KACAMATA PEGUAM (BAHAGIAN 2) untuk bacaan tambahan mengenai persediaan oleh peguam. Artikel disediakan untuk Laman Web Peguam Syarie Faiz Adnan.

    [1] Seksyen 77, Akta Profesion Guaman Syarie (Wilayah-wilayah Persekutuan), 2019.

  • KEPERLUAN SAKSI DALAM PERMOHONAN PENGESAHAN HIBAH DI MAHKAMAH SYARIAH

    Pengesahan Hibah – Perkembangan produk hibah ini sebagai satu mekanisma perancangan dan juga pengurusan harta orang Islam semakin bertambah maju apabila industri tersebut telah menawarkan pelbagai produk yang berkonsepkan akad hibah. Hibah juga dilihat sebagai sebagai salah satu jalan keluar daripada permasalahan yang mana melibatkan isu-isu harta pusaka yang tidak dapat diselesaikan saban tahun serta ianya sangat bersesuaian dengan keadaan dan adat masyarakat Islam sekarang ini. Ianya dapat dibuktikan apabila permohonan berkenaan pengesahan hibah ini di Mahkamah Syariah semakin meningkat sebagaimana menurut Adilah dan Mohd Zamro (2018) sebanyak 22 kes hibah telah pun dipohon sepanjang tahun 2010 sehingga 2014 di Selangor. Ini menunjukkan bahawa produk hibah ini telah mendapat tempat dalam kalangan masyarakat Islam dan juga tahap kesedaran umat Islam pada hari ini terhadap perancangan awal harta hibah ini semakin bertambah baik.

    Hibah merupakan akad tabarru’ yang dilakukan secara sukarela semasa hayat seseorang tanpa mengharapkan apa-apa balasan (al-Shatiri 2014). Secara asalnya hibah ini terlaksana dengan memenuhi segala rukun-rukun dan syarat yang terdiri daripada pemberi hibah, penerima hibah, harta yang dihibahkan, sighah ijab dan qabul serta al-qabd antara pemberi dan penerima hibah. Sebagaimana kebanyakan akad muamalah yang lain, hibah ini tidak memerlukan kepada saksi sebagai syarat tambahan untuk membolehkan harta itu berpindah milik dan tidak terdapat di dalam mana-mana fuqaha mazhab yang meletakkan syarat bahawa akad hibah tersebut hendaklah disaksikan oleh beberapa orang saksi bagi membenarkan proses pengesahan hibah tersebut berlaku.

    Penggunaan saksi hanya diperlukan apabila timbulnya pertikaian di antara pihak yang berakad  sahaja. Sebaliknya Mahkamah Syariah dalam sesetengah kes menolak permohonan pengesahan hibah jika dakwaan tersebut timbul dan mendatangkan saksi sebagai bukti. Oleh itu telah timbul persoalan sejauh manakan elemen saksi yang diperlukan dan adakah ianya menjadi suatu keperluan semasa untuk meletakkan syarat saksi ketika suatu hibah itu berlangsung.

    Kesaksian menurut bahasa Arab berasal daripada perkataan shahada yang mengandungi beberapa maksud tertentu (al-Wizarah al-Awqaf 2004) sama ada ia bermaksud perkhabaran yang pasti, kehadiran atau pemberitahuan, sumpah, ikrar, kalimah tauhid dan kematian di jalan Allah SWT. Menurut al-Sharbini (2009) pula, kesaksian berasal daripada perkataan shuhud yang bermaksud al-hudur iaitu kehadiran. Seseorang itu telah dikatakan menyaksikan anak bulan apabila dia turut hadir ketika peristiwa tersebut sedang berlaku (al-Qurthubi 1999). Shahada juga bermaksud al-mua’yanah sebagaimana dalam firman Allah yang bermaksud: 

    Dan mereka pula menyifatkan malaikat – yang juga menjadi hamba-hamba Allah Yang Maha Pemurah itu – jenis perempuan. Adakah mereka menyaksikan kejadian malaikat itu? Akan dituliskan kata-kata mereka (yang dusta itu), dan mereka akan ditanya kelak (serta akan menerima balasannya).”  (Surah al-Zukhruf :43:19)

    Oleh itu, kewujudan saksi merupakan elemen yang sangat penting dalam mensabitkan sesebuah hak kerana shahadah merupakan salah satu bentuk al-bayyinah yang diterima oleh syarak. Sebagaimana menurut Ruzman Md. Noor (2008) konsep shahadah, iqrar, al-yamin dan al-qarinah merupakan bentuk-bentuk keterangan yang digunapakai bagi membuktikan kebenaran sesuatu perkara. Namun begitu, individu yang dipilih untuk menjadi saksi itu hendaklah memenuhi dawabit yang ditetapkan oleh syarak agar kesaksian yang dibuat tidak dapat disangkal dan dapat diterima sebagai bukti.

     

    SYARAT KELAYAKAN UNTUK MENJADI SAKSI PENGESAHAN HIBAH

    Secara umumnya saksi boleh dibuat oleh mana-mana individu yang menjadi saksi sebagaimana yang telah digariskan oleh para fuqaha antaranya ialah seorang yang baligh dan berakal,beragama Islam, seorang yang adil,tidak mempunyai kecacatan yakni dalam erti kata lain, saksi bukanlah seorang yang buta dan juga bisu serta akhir sekali saksi juga tidaklah mempunyai unsur-unsur tohmahan yang mana menurut fuqaha tohmahan itu wujud dalam beberapa bentuk sama ada disebabkan wujudnya kepentingan mahupun menolak kemudaratan. Kedua-dua unsur ini boleh menafikan kelayakan seseorang untuk menjadi saksi.

    Syarat-syarat kelayakan ini juga adalah demi menjaga kepentingan kedua-dua belah pihak yang bertikai. Dengan adanya akta dan juga enakmen keterangan di seluruh negeri di Malaysia seperti Akta Keterangan Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 Seksyen 83(1) yang menyebut :

    Tertakluk kepada seksyen ini semua orang Islam adalah kompeten untuk memberikan syahadah atau al-bayyinah sebagai saksi dengan syarat bahawa mereka adalah aqil, baligh, adil, mempunyai ingatan yang baik dan tidak berprasangka.

    Ia sepatutnya menjadi satu panduan bagi pihak penyedia dokumen serta orang awam untuk mengambil saksi yang benar-benar menepati syarak di samping dapat memenuhi kehendak pihak Mahkamah Syariah dalam menerima kesaksian.

     

    KEPERLUAN SAKSI DALAM PENGESAHAN HIBAH DI MAHKAMAH SYARIAH

    Keperluan saksi dalam akad hibah juga dapat dilihat menerusi kes Ibrahim Harun v Mat Yusoff Mat Kassim (03000-044-0005-2015) yang dibicarakan di Mahkamah Syariah Negeri Kelantan. Perayu dalam kes ini iaitu Ibrahim Harun telah tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Kelantan seterusnya membuat rayuan untuk mengesahkan hibah hartanah yang telah dibuat oleh Mek Som binti Ibrahim kepadanya. Fakta dalam kes ini bahawa tanah tersebut telah dipusakai oleh tiga orang iaitu Harun bin Kassim, Ismail bin Kassim dan Mat Yusoff bin Kassim. Mahkamah yang bersidang tidak berpuas hati terhadap hujah dan keterangan yang diberikan oleh perayu dengan mendatangkan hanya seorang saksi sahaja. Keterangan yang diberikan oleh saksi iaitu Yusof bin Yaakob bahawa beliau telah mendengar si mati Mek Som binti Ibrahim mengatakan :

    “Him (perayu), aku hendak beri kepadamu Him tanah pesaka”; kemudian Mek Som kata “mu buat kedai atas tanah ini”.

    Dalam alasan penghujahan, mahkamah menegaskan kesaksian yang dilakukan oleh saksi Perayu tidak jelas serta tidak mencukupi untuk menyokong dakwaan Perayu. Mahkamah dalam kes ini tidak mempersoalkan rukun dan syarat hibah mahupun syarat kelayakan saksi namun bilangan saksi yang hanya seorang sahaja tidak mampu dijadikan hujah yang kukuh untuk mengesahkan dakwaan hibah telah dibuat. Justeru, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Perayu serta mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu bahawa hibah oleh si mati Mek Som binti Taib tidak berlaku kepada Perayu.

     

    KESIMPULAN

    Meletakkan saksi dalam akad hibah bukanlah suatu perkara yang dilarang syarak bahkan saksi merupakan salah satu kehendak maqasid syariah dalam soal penjagaan harta supaya hak pemilikan penerima hibah dapat dijaga. Ketiadaan saksi semasa akad hibah langsung tidak membatalkan akad hibah serta perpindahan pemilikan tetap berlaku. Melihat kepada keputusan Mahkamah Syariah dapatlah disimpulkan bahawa saksi merupakan elemen yang penting untuk diletakkan dalam setiap penyediaan borang hibah ataupun hibah yang dibuat secara lisan agar hak pihak-pihak berakad dapat diserahkan dengan adil. Saksi-saksi yang dikemukakan juga perlulah menepati kehendak syarak seperti tidak mempunyai unsur tohmahan di antara pihak bertikai termasuk kriteria-kriteria saksi yang telah diperuntukkan dalam Undang-undang Keterangan Mahkamah Syariah seharusnya dijadikan garis panduan oleh semua pihak sama ada pihak industri dan juga orang awam.

    Sebarang soalan mengenai kes hibah boleh hubungi Peguam Syarie Faiz Adnan.

  • tuntutan harta sepencarian: bekas isteri dan anak-anak dihalau keluar rumah

    TUNTUTAN HARTA SEPENCARIAN: BEKAS ISTERI DAN ANAK-ANAK DIHALAU KELUAR RUMAH

    SOALAN: Assalamualaikum W.B.T.  Saya ada beberapa persoalan yang ingin diajukan kepada Peguam Syarie Faiz Adnan Associates mengenai harta sepencarian. Saya dan bekas suami telah berkahwin pada 5 julai 1986 dan bercerai pada 6 ogos 2016. Kami telah dikurniakan dua orang cahaya mata. Semasa dalam tempoh perkahwinan, kami berdua mempunyai sebuah rumah teres di Kajang. Rumah tersebut dibeli pada tahun 1994 selepas lapan tahun perkahwinan. Namun setelah kami bercerai, suami menghalau  saya dan anak-anak supaya keluar dari rumah tersebut atas alasan saya tidak mempunyai hak ke atas rumah tersebut memandangkan penama atas tersebut atas nama bekas suami. Jadi persoalan saya disini, adakah saya boleh menuntut di Mahkamah Syariah supaya rumah tersebut dijadikan sebagai harta sepencarian walaupun saya tidak ada mengeluarkan wang dalam proses pembelian rumah tersebut? Dan berapakah kadar yang selayaknya saya terima? Mohon penjelasan. (Malika, Bangi Selangor)

     

    JAWAPAN:

    1) Terima kasih Puan Malika atas soalan yang telah diajukan tersebut. Jadi, melihat kepada permasalahan puan diatas, apa yang dapat saya simpulkan disini ialah  terdapat beberapa isu yang boleh  diketengahkan:

    • Sama ada harta yang dituntut merupakan harta sepencarian atau tidak
    • Sama ada wujud sumbangan pihak-pihak bagi memperolehi harta tersebut dan kadar yang harus dibahagikan kepada pihak-pihak

    Jadi, saya akan cuba menjawab satu-persatu berkenaan isu di atas.

     

    ISU PERTAMA: SAMA ADA HARTA YANG DITUNTUT MERUPAKAN HARTA SEPENCARIAN ATAU TIDAK. 

     

    2) Perkara ini boleh dirujuk mengikut seksyen 2 Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003 berkenaan dengan tafsiran harta sepencarian:

    “Harta sepencarian” ertinya harta yang diperoleh oleh suami dan isteri semasa  perkahwinan berkuatkuasa mengikut syarat-yarat yang ditentukan oleh Hukum Syarak;

    3) Malah perkara ini juga telah dinyatakan secara jelas di dalam Enakmen yang sama seksyen 122(1) yang memperuntukkan:

    Mahkamah hendaklah mempunyai kuasa apabila membenarkan lafaz talaq atau apabila membuat suatu perintah penceraian untuk memerintahkan supaya apa-apa yang diperoleh oleh pihak-pihak sewaktu perkahwinan dengan usaha bersama mereka dibahagikan antara mereka atau supaya mana-mana aset itu dijual dan hasil jualan itu dibahagikan antara pihak-pihak.

    4) Di dalam Al-quran berdasarkan firman Allah di dalam surah An-Nisa’ ayat 32 ada menyebut:

    “Dan janganlah kamu iri hati terhadap apa yang telah dikurniakan Allah kepada sebahagian kamu lebih banyak daripada sebahagian yang lain kerana bagi lelaki ada bahagian dari apa yang diusahakannya dan Bagi perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan dan mohonlah kepada Allah sebahagian daripada kurnianya Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu”

    Berdasarkan kepada nas Al-Quran di atas jelas menyatakan bahawa perempuan (isteri) mempunyai hak ke atas apa yang diusahakan termasuk juga dalam apa-apa usaha yang mendorong suami berjaya dalam kehidupan seharian sehingga suami berjaya memiliki harta harta tersebut. Usaha ini dikenali sebagai “sumbangan tidak langsung”. Usaha ini secara tidak langsung mendapat pengiktirafan dan ianya dijadikan asas di dalam harta sepencarian kerana peranan isteri dalam urusan rumah tangga adalah usaha yang diiktiraf oleh Hukum Syarak.

     

    5) Manakala dari sudut hukum adat pula, walaupun perkataan Harta Sepencarian ini tidak dinyatakan secara khusus oleh syarak, namun ianya merupakan adat melayu yang telah diterima pakai dan mendatangkan kebaikan kepada kaum wanita. Oleh yang demikian tuntutan harta sepencarian di Malaysia adalah berdasarkan kepada adat atau ‘uruf. Sesuatu perkara yang menjadi adat atau ‘uruf yang tidak bertentangan dengan hukum syarak serta menjadi kebiasaan amalan, maka ia layak diiktiraf dari sudut undang-undang.

     

    6) Dalam hal ini, bagi menentukan sama ada harta tersebut adalah harta sepencarian atau tidak, maka mahkamah akan melihat kepada tempoh masa harta tersebut diperolehi dan sama ada wujud atau tidak sumbangan kedua-dua pihak sama ada secara langsung atau tidak langsung bagi memperolehi harta tersebut.

     

    7) Pihak yang ingin menuntut perlulah membuktikan kepada mahkamah bahawa harta sepencarian tersebut sama ada harta alih (seperti wang simpanan dan kereta) atau harta tak alih (seperti rumah atau hartanah) telah diperoleh dalam tempoh perkahwinan. Seandainya harta yang dikumpul itu berlaku selepas penceraian, maka tidaklah dianggap sebagai harta sepencarian.

     

    8) Seorang suami tidak boleh menentukan hak ke atas harta yang bukan mutlak walau namanya tertera sebagai pemilik. Setiap harta yang dibeli walau hanya atas nama suami, ia boleh dituntut sebagai harta sepencarian apabila isteri turut menyumbang. Sumbangan yang dimaksudkan bukan sekadar wang ringgit tetapi tenaga, dorongan dan sokongan yang diberi sehingga membolehkan harta tersebut dikumpul.

     

    9) Jadi, berikutan dengan permasalahan Puan Malika ini, seandainya dapat dibuktikan bahawa rumah teres tersebut telah diperolehi bersama sewaktu dalam perkahwinan sama ada bukti melalui dokumen-dokumen ataupun saksi-saksi maka saya percaya puan juga berhak ke atas rumah tersebut dan ia boleh dituntut sebagai harta sepencarian. Dalam  hal ini, mahkamah akan melihat kepada faktor-faktor tertentu seperti sumbangan pihak-pihak bagi memperolehi harta tersebut dan kadar yang harus dibahagikan. Maka perkara ini akan dijelaskan pada isu yang kedua.

     

    ISU KEDUA: SAMA ADA WUJUD SUMBANGAN PIHAK-PIHAK BAGI MEMPEROLEHI HARTA TERSEBUT DAN KADAR YANG HARUS DIBAHAGIKAN KEPADA PIHAK-PIHAK

     

    10) Perlulah dijelaskan  disini, sebelum Mahkamah menetapkan kadar yang perlu dibahagikan kepada pihak-pihak, mahkamah akan melihat kepada sumbangan yang diberikan di antara kedua-dua pihak. Ini kerana harta sepencarian merupakan tuntutan yang kadarnya ditentukan berdasarkan kepada sedikit atau banyaknya takat sumbangan yang diberikan.

     

    11) Sumbangan yang dimaksudkan disini ialah merujuk kepada sumbangan secara langsung dan sumbangan tidak langsung:

    • Sumbangan secara langsung ini merujuk kepada usaha yang diberikan oleh kedua-dua pihak untuk memperoleh harta tersebut. Antara seperti sumbangan dari sudut kewangan.
    • Manakala, bagi sumbangan tidak langsung pula kebiasannya merujuk kepada kerja-kerja rumah yang dilaksanakan oleh isteri dalam menguruskan rumah tangga. Ini termasuklah idea, dorongan serta keselesaan yang dikecapi suami sehingga membolehkannya mendapatkan harta tersebut

     

    12) Sekiranya harta itu merupakan harta usaha bersama, maka faktor-faktor yang akan diambil kira oleh mahkamah termasuklah takat sumbangan tiap-tiap pihak dalam bentuk wang, harta atau kerja bagi memperoleh harta tersebut, hutang-hutang yang telah dibuat bagi manfaat bersama mereka serta keperluan anak-anak yang belum dewasa daripada perkahwinan itu.

     

    13)  Namun sekiranya harta tersebut merupakan harta tunggal, mahkamah akan melihat kepada sumbangan tidak langsung yang telah dibuat oleh pihak yang tidak memperoleh harta itu. Sebagai contoh melakukan kebajikan keluarga seperti memelihara rumah tangga, memenuhi keperluan anak-anak dan sebagainya.

     

    14) Berkenaan dengan kadar pembahagian harta pula, ianya boleh dikategorikan kepada tiga bahagian iaitu:

    1. Pembahagian sepertiga atau kurang kepada isteri: Pembahagian satu pertiga kepada pihak isteri dan dua pertiga kepada pihak suami akan terpakai apabila si isteri tidak memberi sumbangan kewangan dan hanya memberi sumbangan dalam bentuk menemani suami dan menjaga rumahtangga dan keluarga.
    2. Pembahagian sama rata: Berlaku sekiranya isteri juga memberi sumbangan kewangan, atau harta itu telah didaftarkan dalam kedua-dua nama suami isteri, pada amnya pembahagian akan diberi sama rata di antara suami isteri.
    3. Pembahagian melebihi separuh (1/2)  kepada isteri: Isteri yang menunjukkan bahawa dia memberi lebih sumbangan daripada suami, misalnya dengan memberi sumbangan kewangan dan juga menjaga rumahtangga, patutlah diberi bahagian yang lebih daripada separuh harta sepencarian itu.

     

    KESIMPULAN

     

    15) Maka apa yang boleh saya simpulkan disini ialah saya percaya Puan Malika berhak untuk menuntut rumah tersebut sebagai harta sepencarian. Ini berdasarkan kepada sumbangan tidak langsung yang telah puan berikan sepanjang mendirikan rumah tangga meskipun bukan sumbangan dalam bentuk kewangan. Saya menasihati puan agar mendapatkan khidmat peguam syarie kes puan dapat berjalan dengan lancar memandangkan mereka lebih berpengalaman dalam mengendalikan kes-kes sebegini. Sekian.

     

    Disediakan oleh: Nur Syairah Yusop untuk Peguam Syarie Faiz Adnan & Associates

     

  • peguam syarie faiz adnan hadhanah

    IBU MENANGIS TIDAK DAPAT HAK HADHANAH SELEPAS BERCERAI

    Soalan :

    Saya ingin mengajukan soalan kepada Peguam Syarie Faiz Adnan berkaitan hadhanah. Saya Fatimah (bukan nama sebenar) dan suami telah berkahwin pada 23/2/2011. Hasil perkahwinan kami telahpun dikurniakan 2 orang anak iaitu Rania Aisya berumur 4 tahun dan Aqif Adli 2 tahun. Namun, pada suatu petang saya bergaduh besar dengan bekas suami saya sehingga saya meminta dia menceraikan saya dan berjanji untuk memberi anak-anak kepada dia jika dia (suami) menceraikan saya. Kami kemudian telah sah bercerai pada tahun 2017. Anak-anak saya sehingga sekarang berada dengan bekas suami saya. Tapi sekarang saya telah berkahwin baru dan saya benar-benar merindui anak-anak saya dan menyesal atas perbuatan saya. Saya juga berhasrat untuk mengambil anak-anak saya duduk dan tinggal dengan saya. Adakah saya masih mempunyai hak hadhanah  di sisi undang-undang terhadap kedua anak tersebut? Saya benar-benar menginginkannya. Saya mohon nasihat tuan.

     

    Jawapan:

    Bismilahirahmanirrahim,

    Hadhanah. Menurut seksyen 76 Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984, undang-undang membenarkan suatu perintah hak jagaan anak itu diubah atas alasan yang munasabah. Berdasarkan peruntukan ini, jelas Puan masih berpeluang untuk mendapatkan semula hak jagaan anak tersebut. Oleh itu, tindakan awal yang perlu Puan ambil ialah failkan permohonan ubah perintah hak jagaan anak yang telah diputuskan oleh mahkamah sebelum ini. Seterusnya, dalam permohonan tersebut, Puan perlu nyatakan alasan mengapa permohonan tersebut perlu diubah. Amnya, alasan-alasan yang biasa diberikan ialah telah wujud salah penyataan; atau telah wujud kesilapan fakta; atau telah berlaku perubahan matan tentang hal keadaan berdasarkan perjanjian yang telah dibuat. Disamping itu dalam memutuskan kes ini, Mahkamah juga mengambil kira tiga perkara berikut :

    ·  Kebajikan anak-anak puan

    ·  Umur anak-anak puan ketika hak hadhanah ini dipohon di mahkamah

    ·  Kelayakan puan dalam mendapatkan hak hadhanah

     

    Sebelum menentukan kepada siapa hak hadhanah ini diberikan, perkara utama yang dinilai dan diberi perhatian lebih oleh Mahkamah ialah kebajikan anak. Dalam Kitab Al-Fiqh Al Muqarran Lil Al-Ehwal Shaksiyyah Oleh Sr. Badran Abul Ainnaini Juz 1 Ms 543-544 menyebut :

     

    غاية لامر أن حق الصغير اقوى لان مصلحته مقدمة على مصلحة ابويه وانه يجب العمل بما هو انفغ واصلح للصغير في باب الخضانة

     

    Dari segi kebajikan, Mahkamah menfokuskan kepada 5 perkara asas iaitu makan minum, pakaian, pendidikan, perubatan dan tempat tinggal. Kelima-lima perkara asas ini secara tidak langsung berkait rapat dengan isu kemampuan. Oleh itu, Puan perlu buktikan kepada Mahkamah bahawa Puan mampu menyediakan dan menjaga keperluan anak tersebut dengan baik. Soal bagaimana mengagihkan tanggungjawab menyediakan nafkah anak, ia bergantung kepada persetujuan bersama atau perintah nafkah anak yang dikeluarkan oleh Mahkamah.

    Kedua, jika dilihat pada umur anak puan pada waktu ini adalah masing-masing berumur 4 tahun (anak perempuan) dan 2 tahun (anak lelaki), menurut undang-undang, ibu adalah orang yang paling berhak mendapat hak hadhanah inisehinggalah anak-anak tersebut mencapai umur mumayyiz meskipun anak-anak tersebut diberikan pada suami Puan pada awal penceraian. Berdasarkan petikan daripada kitab kifayah al-Akhyarjuz. 2 ms 161 yang menyatakan:

     

    وإذا فارق الرجل زوجته وله منها ولد فهي احق بخضانته الى سبع سنين

     

    Maksudnya: Apabila berlakunya perpisahan di antara suami dan isteri dan mereka mempunyai anak hasil perkahwinan tersebut, maka ibu adalah orang yang berhak menjaga anak itu sehingga berumur 7 tahun.

    a)      Berkahwin dengan orang yang tidak mahram dengan anak-anaknya

    b)      Berkelakuan buruk secara keterlaluan dan terbuka

    c)      Menukar permaustatinan dengan tujuan menghalang bapa anak-anak tersebut menjalankan pengawasanya

    d)      Murtad

    e)      Menganiaya dan mengabaikan anak-anak

     

    Namun, puan haruslah mengetahui bahawa hak hadhanah boleh hilang apabila didapati orang itu termasuk dalam kategori gugur hak atau hilang kelayakan sebagai seorang hadhinah (penjaga) kepada anak-anak tersebut. Dan kesannya ialah hak hadhanah daripada ibu (puan) boleh berpindah kepada orang lain seperti (suami puan) dan sesiapa yang difikirkan layak menurut Undang-Undang Keluarga Islam seksyen 84 akta yang sama. Hal ini menurut seksyen 83 AUKIWP  1984: Hak sesorang perempuan terhadap hadhanah adalah hilang;-

    Berdasarkan fakta kes ini, puan telah pun berkahwin lain dan menyebabkan hak hadhanah puan terhadap anak-anak tersebut gugur. Hal ini dirujuk berdasarkan hadith Rasulullah SAW:

     

    انت احق بها ما لم تنكحى

     

    Maksudnya : Engkau berhak kepada hadhanah selama mana kamu tidak berkahwin lain.

    Meskipun Puan telah mendapat keredhan dan keizinan suami untuk menjaga anak-anak tersebut namun sedikit sebanyak kebajikan anak-anak tersebut mungkin akan terjejas. Dalam kitab al-Akhyar Juz. 2 ms 153 menyatakan:

     

    لأنها مشغولة بالزوج فيضرر الولد اثر لرضا الزوج

     

    Maksudnya: … isteri biasanya sibuk melayani suaminya dan sudah tentu menjejaskan kedudukan anak itu meskipun ada keredhaan suaminya untuk jaga sama tapi ianya tak beerti.

    Ayat ini berkaitan hukum syarak yang menetapkan bahawa hilang kelayakan isteri yang telah berkahwin lain walaupun dengan redha suaminya dalam menuntut hadhanah. Islam merupakan agama yang mementingkan seorang isteri itu memelihara hubungan dengan suaminya selama-lamanya. Juga, menolak kemudaratan terjadinya apa-apa perkara yang tidak diingini pada anak-anak yang bakal dijaga lebih-lebih lagi melibatkan anak perempuan yang bukan mahram dengan suami yang baru. Tambahan pula,  faktor lambakan kes-kes berkaitan bapa haruan, bapa yang menganiaya anak tiri sehingga trauma apabila isteri tiada di rumah dan bekerja yang kemudian tugas menjaga anak tersebut beralih kepada bapa tiri.

    Namun, masih wujud ruang dan peluang untuk puan mendapatkan hak hadhanah ini daripada bekas suami puan dengan dengan memohon ibu puan (nenek) sebagai hadhinah (penjaga) kepada anak-anak puan di mahkamah kerana menurut seksyen 81 AUKIWP 1984, susunan orang yang berhak dalam menjaga anak-anak selepas ibu adalah nenek dan puan haruslah membuktikan kepada mahkamah bahawa ibu puan sememangnya layak untuk menjaga kebajikan bagi anak-anak puan dan membuktikan bahawa bekas suami puan telah tidak menjalankan kebajikan anak-anak puan dengan baik.

    Dalam isu hadhanah ini, mahkamah akan melihat segala faktor secara menyeluruh, terutama kebajikan dan kemaslahatan anak, bukan melihat kepada kepentingan si ibu atau si bapa. Kebajikan anak adalah yang paling utama mengikut maqasid syariahbagi menjamin kehidupan masa depan yang lebih baik bagi anak itu. Contoh kes diihat pada kes Norhaiza lwn saat (1996) di mana mahkamah menolak tuntutan isteri yang telah berkahwin lain dalam tuntutan mengubah perintah mahkamah berkaitan hadhanah pada bekas suaminya.

     

    Artikel disiarkan untuk laman web Peguam Syarie Faiz Adnan Associates.

  • tempoh-proses-menuntut-fasakh

    Berapa Lamakah Tempoh Dan Masa Diperlukan Bagi Proses Menuntut Fasakh?

    1. Proses penyediaan dan pemfailan pliding sehingga tarikh sebutan (1 bulan)
    2. Proses sebutan untuk menyempurnakan pliding dan pengurusan kes (2 hingga 4 bulan)
    3. Perbicaraan penuh diantara 8 bulan sehingga 12 bulan
    4. Penyediaan hujjah bertulis sehingga keputusan (3 bulan)

    Ramai yang bertanya/mengajukan soalan berkaitan tajuk di atas kepada pihak PEGUAM SYARIE Faiz Adnan Associates sama ada melalui telefon, SMS, whatsapp, termasuk juga ruangan hubungi kami. Di sini kami ingin berkongsi dengan anda soalan yang ditanya oleh Puan Ros (bukan nama sebenar) mengenai tempoh masa bagi proses menuntut fasakh dan berapa jumlah kos perkhidmatan bagi kes terbabit berserta jawapan dari pihak kami. Semoga penjelasan ini sedikit sebanyak membantu anda membuat penilaian dan penelitian tentang langkah penyelesaian yang perlu anda ambil dalam menangani masalah anda.

    Soalan:

    Saya ingin tahu berapakah jumlah wang yg dikenakan bagi perkhidmatan tuan bagi sya menuntut cerai dari suami saya? Selalunya berapa lamakah proses penceraian menuntut fasakh ini? Terima kasih.

    Jawapan:

    Puan Ros, terima kasih kerana menghubungi pihak saya. Saya Faiz Adnan Peguam Syarie.
    Bagi menjawab 2 persoalan yang diajukan, suka saya terangkan soalan ke-2 terlebih dahulu.
    Puan bertanya berapa lamakah kes fasakh mengambil masa sehingga kes selesai. Saya ambil contoh kebiasaannya kes saya bawa di Kuala Lumpur dan di Selangor. Pertama sekiranya ke semua dokumen dan fakta telah lengkap, dari situ kami akan ambil masa 7 hari bekerja untuk memfailkannya di mahkamah.

    Pada hari penfailan, selepas semua pliding dan dokumen diperlukan di terima barulah ianya diproses dan hari yang sama juga tarikh sebutan kali pertama akan diberikan. Biasanya dalam tempoh 21 hari daripada tarikh pemfailan, sebutan pertama akan dibuat. Dalam pada itu penyampaian saman akan dilakukan oleh pihak peguam syarie. Semasa sebutan kali pertama, peguam syarie akan perkenalkan kes dan menjelaskan tentang status penyampaian saman berjaya atau sebaliknya.

    Sekiranya saman sempurna disampaikan dan defendan hadir, maka peguam syarie akan mohon mahkamah berikan masa 2 minggu sehingga sebulan untuk defendan failkan pembelaan dan biasanya 2 minggu lagi untuk pihak peguam syarie untuk memfailkan jawapan kepada pembelaan. Ini bererti tempoh yang diberikan untuk melengkapkan suratcara2 guaman akan mengambil masa 1 bulan setengah sehingga 2 bulan. Kemudian mahkamah akan memberikan tarikh sebutan kedua untuk mempastikan pliding lengkap.

    Dalam keadaan biasa sekiranya defendan melantik peguam selepas sebutan pertama kes, peguam defendan akan memerlukan masa yang lebih panjang untuk menjawab tuntutan puan.

    Selanjutnya jika semua suratcara lengkap maka hakim akan samada terus memberikan tarikh perbicaraan atau beliau akan mengarahkan suatu pengurusan kes dibuat. Jika pilihan ke2 dibuat, maka sebulan atau 2 bulan lagi masa diperlukan oleh peguam syarie untuk menyediakan draf dan disemak serta untuk dipersetujui oleh kesemua pihak terbabit di dalam kes itu.

    Perbicaraan di Selangor lebih singkat berbanding di Wilayah Persekutuan . Ini kerana di Selangor hakim secara praktisnya akan mengarahkan perbicaraan dibuat secara afidavit keterangan. Maka kesemua pihak baik plaintif dan saksi2nya, defendan mahupun saksi2nya menyediakan afidavit keterangan untuk membolehkan hakim mudah memahami perjalanan perbicaraan dalam masa yang singkat.

    Berbanding di Wilayah Persekutuan, hakim bicara lebih senang untuk membicarakan kes melalui keterangan lisan sahaja. Maka itu perbicaraan mungkin menjadi panjang jika tidak dikawal oleh hakim bicara dengan baik.

    Peguam syarie juga diberi peluang untuk menyoal balas pihak defendan dan saksi2nya begitu juga sebaliknya peguam defendan juga berhak atas kapasiti yang sama juga.

    Jangkaan kebiasaannya untuk perbicaraan penuh di Selangor akan memerlukan masa 8 bulan sehingga setahun.

    Berbanding perbicaraan penuh di wilayah persekutuan mungkin lebih dari itu atas alasan perbicaraan lisan.

    Setelah selesai perbicaraan maka kedua2 peguam syarie akan memfailkan hujjah masing2 dan tempoh 2 bulan. Bulan selanjutnya barulah keputusan dibacakan oleh hakim bicara.

    Kesimpulannya berdasarkan penjelasan yang agak detail di atas kita boleh rumuskan jika perbicaraan penuh dengan kehadiran defendan dan peguam syarienya maka kita boleh anggarkan seperti berikut:

    1. Proses penyediaan dan pemfailan pliding sehingga tarikh sebutan (1 bulan)
    2. Proses sebutan untuk menyempurnakan pliding dan pengurusan kes (2 hingga 4 bulan)
    3. Perbicaraan penuh diantara 8 bulan sehingga 12 bulan
    4. Penyediaan hujjah bertulis sehingga keputusan (3 bulan)

    Saya harap puan memahami situasi yang saya berikan tadi. Tidaklah bererti ia adalah suatu yang tepat dan tetap malah jika situasinya berbeza seperti suami enggan hadir maka perjalanan kes puan akan jauh lebih cepat dan pantas. Saya hanya nyatakan berdasarkan kebiasaan yang berlaku bagi kes faskh di mahkamah.

    Persoalan awal puan iaitu berapakah kos bagi menguruskan kes fasakh ini. Jawapannya ia akan bergantung kepada beberapa faktor:

    Pertama fee bergantung kepada tahap kesusahan membawa kes ini di mahkamah. Misalnya kalau bukti tak lengkap atau tidak meyakinkan atau saksi tidak mencukupi atau saksi lemah, maka fee guaman lebih tinggi.

    Kedua fee juga bergantung kepada sejauhmanakah kemahiran peguam syarie yang membawa kes puan. Biasanya jika peguam syarie itu punyai pengalaman lebih 15 tahun maka feenya lebih mahal daripada peguam syarie yang masih baru. Pengalaman akan memahirkan seseorang peguam.

    Ketiga lokasi mahkamah. Lebih jauh mahkamah dengan pejabat peguam syarie maka bertambah lagi kos peguam tersebut.

    Jadi berdasarkan faktor di atas saya harap puan dapat gambaran jelas tentang kes fasakh dan tempoh masa yang diperlukan serta fee guaman seseorang peguam syarie.

    Sila hubungi saya Faiz Adnan di talian 012-6676 200 untuk mengetahui lebih lanjut tentang kes puan.

    Sekian wassalam.
    Peguam Syarie Faiz Adnan
    23 April 2016
    Untuk sebarang pertanyaan, atau sekiranya anda ingin menghubungi Peguam Syarie Faiz Adnan atau ingin membuat temujanji, anda boleh menghubungi kami melalui email, Facebook atau terus menghubungi no telefon pejabat kami.

  • peguam-syarie-saman-mahkamah-syariah

    SAMAN PENGHUTANG PENGHAKIMAN, SATU PERMOHONAN YANG DAPAT MEMBANTU PIHAK TERANIAYA?

    SAMAN DIANIAYA – Luluh perasaan Rozy (bukan nama sebenar) apabila bekas suaminya, Rahim (bukan nama sebenar) tidak mematuhi perintah Mahkamah untuk menyediakan nafkah iddah kepadanya berjumlah RM300.00 sebulan dan nafkah anak berjumlah RM1000.00 kepada 4 orang anaknya. Perintah Mahkamah yang diterima olehnya 5 tahun lepas hanya dipandang sepi tanpa perasaan. Telah banyak usaha yang telah dilakukan untuk meminta nafkah dengan Rahim sepanjang tempoh 5 tahun tersebut namun Rahim seolah-olah cuba mengelakkan diri daripada menjalankan tanggungjawabnya sebagaimana diperintahkan dengan alasan bahawa beliau telah bankrap dan tiada liabiliti untuk dikenakan tindakan daripada Mahkamah.

    Rozy yang hanya berkerja sebagai kerani disebuah syarikat swasta menanggung beban dalam menampung keempat-empat anaknya yang masih berada dibangku persekolahan. Rozy menjadi buntu dan tidak tahu hendak berbuat apa. Ramai rakan-rakan telah menasihati Rozy untuk membawa perkara tersebut di Mahkamah. Sewaktu berada di Mahkamah, Rozy terjumpa dengan seorang Peguam Syarie lalu meminta nasihat daripada Peguam tersebut berkenaan dengan masalah beliau.

    Berdasarkan penerangan Peguam Syarie tersebut, Rozy mempunyai hak untuk memulakan satu permohonan iaitu Saman Penghutang Penghakiman (SPP) terhadap bekas suaminya, Rahim meskipun beliau bankrap kerana isu bankrap tersebut tidak ada kaitan dengan permohonan SSP tersebut kerana peruntukan seksyen 38(1)(a) Akta Kebankrapan 1967 adalah terpakai di dalam kes kebankrapan di Mahkamah Sivil sahaja. Malah, Peguam Syarie tersebut menjelaskan juga bahawa bahawa Mahkamah Syariah tidak terikat dengan Akta Kebankrapan 1967 yang menghalang Pemiutang Penghakiman untuk meneruskan tuntutan ke atas Penghutang Penghakiman lebih-lebih lagi Bidangkuasa Mahkamah Syariah ini lebih kepada hal-hal matriomonal, dan bagi masalah yang dihadapi Rozy ini ini adalah isu berkaitan nafkah iddah beliau dan nafkah anak-anak tersebut.

    Maka, berdasarkan penerangan Peguam Syarie tersebut Rozy mempunyai hak untuk memfailkan Saman Penghutang Penghakiman (SPP) yang dimulakan dengan Notis Permohonan.

    Selanjutnya, Peguam Syarie tersebut menjelaskan bagaimana prosiding bagi permohonan Saman Penghutang Penghakiman (SPP) tersebut yang mana ianya boleh dipohon apabila telah ada satu perintah mengenai apa-apa perkara yang melibatkan wang seperti nafkah diri, nafkah anak, nafkah ‘iddah, mutaah dan sebagainya, di mana satu pihak (penghutang penghakiman telah gagal membayarnya.)

    Melalui penerangan Peguam Syarie tersebut, Rozy juga faham bahawa beliau sebagai pemiutang penghakiman hendaklah membuat permohonan bagi meminta kehadiran Penghutang Penghakiman (creditor) hadir ke Mahkamah setelah adanya satu perintah Mahkamah.

    Setelah permohonan difailkan ke Mahkamah, Mahkamah yang menerima permohonan tersebut hendaklah mengeluarkan suatu Saman Penghutang Penghakiman dan Saman tersebut hendaklah disampaikan sebelum tujuh hari sebelum kes tersebut didengar.

    Kemudiannya, pada hari sebutan nanti, Mahkamah boleh memeriksa Penghutang Penghakiman dari segi kemampuannya membayar atau apa-apa cara bagi penyelesaian hutang penghakiman tersebut dan mendengar keterangan saksi-saksi lain jika ada dengan iqrar.

    Sekiranya Mahkamah berpuashati, Mahkamah boleh memerintahkan penghutang penghakiman terus membayar hutang penghakiman itu sama ada secara sekaligus dengan serta merta, atau dengan tempoh yang ditetapkan oleh Mahkamah, atau dengan membayar secara ansuran dalam satu tempoh yang ditetapkan oleh Mahkamah.

    Tapi bagaimana pula, sekiranya Penghutang Penghakiman tersebut enggan hadir? Persoalan Rozy kepada Peguam Syarie tersebut.

    Peguam Syarie tersebut menjelaskan bahawa sekiranya Penghutang Penghakiman tidak hadir atau enggan hadir walaupun telah berulang kali Mahkamah panggil, maka Mahkamah boleh mengeluarkan waran tangkap dan mengarahkan Penghutang Penghakiman hadir ke hadapan Mahkamah untuk diperiksa dan Mahkamah boleh mengeluarkan Perintah seperti yang disebut tadi setelah pemeriksaan dibuat terhadap Penghutang Penghakiman.

    Bagaimana pula, sekiranya Perintah telah dikeluarkan namun Penghutang Penghakiman masih gagal untuk membuat pembayaran? Kerisauan Rozy terserlah apabila menanyakan soalan tersebut terhadap Peguam Syarie tersebut memandangkan perangai Rahim yang cukup Rozy kenali.

    Peguam Syarie tersebut dengan tenang menerangkan bahawa sekirang Penghutang Penghakiman masih gagal membayar seperti yang diperintahkan, Pemiutang Penghakiman hendaklah meminta Penghutang Penghakiman untuk hadir sekali lagi ke Mahkamah melalui satu notis penghakiman bagi menunjukkan sebab mengapa dia tidak patut dikomitkan ke penjara kerana keingkaran terhadap perintah yang dikeluarkan tersebut. Permohonan untuk mendapat notis penghakiman hendaklah difailkan di Mahkamah dan Mahkamah yang menerima permohonan tersebut hendaklah mengeluarkan suatu notis penghakiman dan diserahkan kepada Penghutang Penghakiman sebelum tujuh hari daripada tarikh yang ditetapkan bagi pendengaran kes tersebut.

    Oleh itu, pada tarikh kes tersebut didengar, Mahkamah hendaklah meminta Penghutang Penghakiman memberikan alasan bagi menjawab tunjuk sebab mengapa beliau tidak boleh dikomitkan ke penjara kerana gagal mematuhi peraturan yang telah dikeluarkan iaitu Perintah Saman Penghutang Penghakiman.

    Jika Mahkamah tidak berpuashati dengan alasan Penghutang Penghakiman tersebut, Mahkamah boleh memerintahkan Penghutang Penghakiman tersebut dikomitkan ke penjara bagi tempoh tidak melebihi tiga puluh (30) hari jika Mahkamah memikirkannya adil untuk memberi pengajaran seseorang untuk lebih bertanggungjawab serta mematuhi perintah yang dikeluarkan oleh Mahkamah.

    Setelah mendengar penjelasan yang panjang lebar daripada Peguam Syarie tersebut, barulah Rozy sedar bahawa dia masih mempunyai hak untuk menuntut di Mahkamah berdasarkan Perintah yang telah dikeluarkan tersebut.

    Akhir sekali, Peguam Syarie tersebut menyatakan bahawa tiada halangan untuk Rozy memfailkan kes tersebut sendiri namun untuk memudahkan dan melancarkan perjalanan prosiding kes tersebut, lebih sesuai untuk melantik pihak yang lebih arif tentang prosidng dan tatacara di Mahkamah untuk membantu beliau di dalam kesnya. Namun disebabkan kesuntukkan waktu, Rozy hanya sempat mendapatkan nombor telefon peguam syarie tersebut untuk perbincangan yang seterusnya.

    Artikel dikeluarkan oleh Faiz Adnan & Associates.

    Untuk sebarang pertanyaan, atau sekiranya anda ingin menghubungi Peguam Syarie Faiz Adnan atau ingin membuat temujanji, anda boleh menghubungi kami melalui email, Facebook atau terus menghubungi no telefon pejabat kami.

  • pengesahan-nikah

    PENGESAHAN NIKAH – PART 1

    SOALAN:

    PENGESAHAN NIKAH – Bahawa saya dan isteri telah pergi ke Thailand melalui Bukit Kayu Hitam dan telah bernikah di Narathiwat pada tahun2014. Namun, sehingga kini kami masih belum membuat apa-apa pengesahan nikah di Mahkamah Syariah. Oleh kerana isteri saya telah mengandung pada awal tahun ini, saya khuatir jika saya tidak mengesahkan pernikahan saya dan ianya akan memberi risiko pada anak saya yang bakal dilahirkan tidak lama lagi. Oleh itu, saya memerlukan nasihat dari pihak Tuan bagi menyelesaikan masalah saya ini secepat mungkin.

    (Aizat dari Subang Jaya)

     

    JAWAPAN: 

    Terima Kasih En.Aizat atas pertanyaan yang diajukan.

    Saya akan membahagikan penerangan bagi kes pengesahan nikah ini kepada 2 bahagian:

     

    1. Hukum Syara’: Rukun & Syarat Nikah

     

    Pertama sekali, perkara yang paling asas adalah mengenalpasti samaada sesuatu perkahwinan itu sah dan memenuhi rukun-rukun nikah yang telah ditetapkan poleh Syara’:

    Saya merujuk kepada apa yang dinyatakan di dalam Kitab Hasyiyah al-Bujairimi Syarah Minhaj at Thullab telah menyatakan:

    “ Fasal dalam membicarakan rukun-rukun nikah dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya. Adapun rukun-rukun nikah itu ialah lima iaitu:

    1. Pengantin Lelaki
    2. Perngantin Perempuan
    • Wali
    1. Dua orang saksi
    2. Sighah/ lafaz ijab qabul”

    Setelah diteliti satu persatu bermula dengan pengantin lelaki dan pengantin perempuan, kedua-dua nya haruslah Islam, baligh, berakal, mukallaf serta tidak mempunyai hubungan darah atau persaudaraan.

    Diantara perkara yang menghalang dari kesahan suatu pernikahan atau pengesahan nikah adalah berbeza bagi pengantin lelaki dan pengantin perempuan. Perkara yang menghalang bagi pengantin perempuan adalah bukan terdiri dari perempuan yang haram dinikahi seperti mepunyai hubungan nasab dengan suami, bukan isteri orang dan tidak berada dalam ‘iddah. Begitu juga dengan pengantin lelaki, hendaklah terdiri dari lelaki yang halal dinikahi seperti tertentu dan tidak beristeri lebih dari 4 orang.

    Seterusnya rukun yang ketiga iaitu berwalikan Wali Hakim yang kebiasaanya juga merupakan jurunikah bagi pernikahan di Majlis Agama di Thailand. Disini perlu dipastikan bahawa semasa pernikahan tersebut, wali Nasab bagi pengantin perempuan berada lebih dari 2 marhalah (60 batu) dari tempat pernikahan tersebut dan sebelum upacara bermula, pengantin perempuan telah memberi persetujuan mewakil walikan serta memberi mandat kepada jurunikah untuk dinikahkan dan penerimaan perwakilan oleh jurunikah tersebut.

    Keempat pula, saksi didalam upacara pernikahan adalah 2 orang saksi yang sihat tubuh badan serta tidak buta juga tidak pekak yang mana beragama Islam dan melengkapi syarat-syarat sebagai seorang saksi.

    Kelima adalah wujudnya sighah atau lafaz ijab dan qabul sewaktu pernikahan tersebut iaitu lafaz ijab dari jurunikah dan lafaz qabul dari pengantin lelaki.

    Ini bertetapan dengan peruntukan di dalam seksyen 12 dan 12(2) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor), seksyen 12 tersebut memperuntukkan bahawa:

    “ Sesuatu perkahwinan itu adalah tidak sah melainkan jika cukup semua syarat yang perlu, menurut Hukum Syara’ untuk menjadikannya sah” 

    Seksyen 12(2) memperuntukkan bahawa:

    “ Walau apapun subseksyen (1) dan tanpa menjejaskan seksyen 40 (2), sesuatu perkahwinan yang telah diupacarakan berlawanan dengan mana-mana peruntukan Bahagian ini tetapi sebaliknya sah mengikut Hukum Syara’, boleh didaftarkan di bawah Enakmen ini dengan perintah daripada Mahkamah”

     

    1. Pembuktian wujudnya pernikahan : Keterangan Dokumentar

    Dalam mempertimbangkan kes ini, Mahkamah akan mengambil kira beberapa perkara penting di dalam permohonan En.Aizat bagi membuktikan tahap pembuktian yang sewajarnya dicapai oleh Pengantin lelaki dan Pengantin perempuan bagi mensabitkan dan meluluskan pengesahan nikah ini berdasarkan dokumen-dokumen sepertimana berikut:

    1. Sesalinan kad pengenalan
    2. Sesalinan catatan keteragan nikah wilayah Narathiwat
    3. Sesalinan bukti passport masuk dan keluar
    4. Sesalinan surat perngesahan perkahwinan dari Majlis Agama Narathiwat
    5. Sesalinan surat pengesahan perkahwinan dari Konsulat Jeneral Malaysia

    Kebiasaanya bagi kes pengesahan nikah, dokumen-dokumen diatas amatlah penting bagi membuktikan kewujudan pernikahan tersebut sehingga mencapai tahap pembuktian yang mana tiada keraguan terhadap pernikahan ini memandangkan dokumen-dokumen tersebut mengandungi maklumat lelaki dan perempuan yang berkahwin, wali, tarikh pernikahan dan juga alamat tempat tinggal kedua-duanya. Dokumen-dokumen ini adalah sah dan mendapat pengesahan daripada badan/institusi yang diiktiraf Malaysia.

    Oleh itu, secara keseluruhannya di dalam kes pengesahan nikah ini, haruslah  diteliti berdasarkan rukun-rukun nikah diatas menurut hukum syara’, keterangan pengantin lelaki dan perempuan bermula dari perjalanan ke Thailand kemudian berkenaan urusan pernikahan di Majlis Agama Narathiwat dan seterusnya pendaftaran di Majlis Agama Narathiwat yang mengendalikan pernikahan tersebut sehinggalah pengesahan di Konsulat Jeneral Malaysia disana. Selepas kesemuanya lengkap dan jelas berdasarkan keterangan dan juga dokumen-dokumen yang disebut di atas, barulah pengesahan nikah ini boleh disahkan di Mahkamah Syariah seterusnya mendapatkan sijil Nikah di Pejabat Agama.

    Oleh yang demikian itu, sy NASIHATKAN En.Aizat melantik Peguam Syarie supaya kes pengesahan nikah ini boleh difailkan dengan teratur serta memenuhi kriteria Undang-undang dan Hukum Syarak.

    Sekian Wassalam.

     

    (Faiz Adnan & Associates)

    Untuk sebarang pertanyaan, atau sekiranya anda ingin menetapkan temujanji dengan Peguam Syarie Faiz Adnan, anda boleh menghubungi kami menerusi telefon/email.

  • fasakh-peguam-syarie-faizadnan

    FASAKH DAN PEMBUKTIAN DI MAHKAMAH SYARIAH

    Client (Puan Ana): Hello Assalamualaikum, ini pejabat peguam ke?

    Peguam: Waalaikumsalam, ya Puan. Betul ni pejabat peguam. Kenapa ya Puan, ada apa-apa yang boleh saya bantu?

    Client (Puan Ana) : Ok macam ni, saya Ana daripada Melaka, saya ingin bertanyakan beberapa soalan berkaitan permasalah rumahtangga dan saya perlukan penjelasan.

    Peguam: Boleh, In Sha Allah saya akan cuba membantu Puan.

    Client (Puan Ana) : Macam ni ye Puan, saya dan suami baru je mendirikan rumahtangga 10 bulan dan perkenalan kami hanya 3 bulan sebelum saya buat keputusan untuk kahwin dengan suami saya ni. Tapi lepas dua sehingga tiga bulan kahwin, suami saya berubah tak macam yang saya kenal sebelum ni.
    Suami saya berhenti kerja lepas 2 bulan kami kahwin dan sehingga kini xde kerja. Saya yang tanggung die. Saya ada suruh dia cari kerja tapi bila saya buka mulut je tentang kerja die melenting dan naik angin.

    Pada mulanya saya masih bertahan sampai satu tahap ni die marahkan saya sebab nasihatkan die suruh berubah die tengking dan marah saya sampai ke tahap memukul tubuh badan saya. Bukan sekali dua die pukul saya Puan, tapi dah banyak kali dan dalam tempoh saya tengah mengandung pun die pukul saya dan penah jugak satu masa tu die kurung saya dalam bilik air sebab marahkan saya keluar atas urusan kerja.

    Saya ni bukan saja sering dipukul tapi sering juga dianiaya mental sebab suami saya asyik minta duit daripada saya bagi tujuan die tukar aksesori kereta dan itulah hobinya. Dahla mintak duit daripada saya, nafkah diri saya pulak xpenah nak bagi dari awal kawin sampai lah sekarang.
    Saya juga sebelum ini pernah minta untuk suami saya lepaskan saya dengan cara baik tapi dia bersumpah depan saya dan cakap yang dia tidak akan sekali-kali mahu lepaskan saya. Saya buntu apa yang patut saya buat tapi saya tak dapat bertahan lagi hidup macam ni. Saya pernah juga terbaca perempuan (isteri) boleh memohon kepada Mahkamah bagi membubarkan perkahwinannya melalui cerai Fasakh. Betul ke Puan? Dan boleh bagi pencerahan kepada saya berkaitan isu yang saya bangkitkan di sini dan saya ingin tahu apakah hak-hak saya untuk memohon Fasakh di Mahkamah?

    Peguam: Benar Puan, perceraian melalui Fasakh adalah salah satu jalan yang Puan boleh mohon di Mahkamah selain perceraian secara khuluk (tebus talak) atau takliq yang merupakan hak isteri untuk memohon sekiranya berlaku keadaan-keadaan tertentu. Saya jelaskan di sini kepada Puan apakah yang dimaksudkan dengan perceraian melalui Fasakh ini. Fasakh ialah “melepaskan ikatan perkahwinan antara suami dan isteri setelah diminta cerai oleh isteri melalui hakim. Fasakh hanya boleh diputuskan oleh pihak yang berkuasa sahaja seperti hakim dan kadi apabila terdapat sebab-sebab tertentu”.

    Saya bantu Puan rujuk seksyen 53 (1) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Melaka) 2002, terdapat beberapa sebab yang membolehkan seseorang itu membuat permohonan Fasakh. Oleh yang demikian itu, perceraian dengan cara ini perlu melalui saluran ke Mahkamah dan adalah lebih baik sekiranya kes seperti Puan ini menggunakan khidmat peguam bagi memudahkan cara perlaksanaannya.

    Di sini saya jelaskan terdapat syarat-syarat/sebab-sebab permohonan Fasakh ini difailkan ada diantaranya ialah:

    • Tempat di mana suami berada tidak diketahui selama lebih daripada satu tahun;
    • Suami tidak mengadakan peruntukan bagi nafkah selama tiga (3) bulan;
    • Suami dihukum penjara selama tiga tahun atau lebih;
    • Suami tidak menunaikan kewajipan perkahwinannya (nafkah batin) tanpa sebab yang munasabah selama tempoh satu tahun;

      dan ada beberapa alasan yang lain.

      Selain itu, jika suami dalam masa perkahwinan itu telah menganiayai isteri seperti:

    • Suami lazim menyakiti isteri atau menjadikan kehidupannya menderita disebabkan kelakuan aniaya tersebut;
    • Suami berkawan dengan perempuan-perempuan atau lelaki jahat atau hidup berperangai keji mengikut pandangan hukum syarak;
    • Suami telah cuba memaksa isteri hidup secara lucah;

      dan beberapa alasan lain yang akan kita bincangkan kemudian ya Puan.

    Bagaimanapun permohonan Fasakh tertakluk oleh Mahkamah dan Mahkamah berhak menolak sekiranya mendapati bahawa kesahihan alasan tersebut tidak terbukti. Ini bererti segala pembuktian di dalam kes Fasakh diberatkan kepada pihak yang menuntut dan di dalam situasi Puan ini, Puan lah yang patut dan mesti membuktikan secara menyeluruh samada secara dokumentar atau saksi yang kompeten dan mencukupi bahawa fakta kes telah mencapai tahap meyakinkan hakim bicara sebelum diluluskan permohonan fasakh itu.

    Berbalik kepada kes Puan ini, Puan katakan bahawa suami sering menganiaya Puan. Bahawa alasan penganiayaan Puan ini Mahkamah akan kenalpasti penganiayaan yang bagaimana Puan maksudkan. Adakah melalui pukul? Kalau pukul, pukul di bahagian mana? Sejauhmana pukulan tersebut mendatangkan kecederaan pada diri Puan? Sejauhmana pula kekerapan suami memukul Puan? Ada saksi tak? ATAU apa bukti yang Puan kata suami pukul Puan itu sudah cukup meyakinkan Mahkamah? Dalam situasi ini bukti dokumentar seperti laporan polis dan laporan perubatan sangat penting untuk ditenderkan di Mahkamah bagi membuktikan bahawa Puan telah dianiaya dari segi fizikal itu. Itu kalau penganiayaan fizikal ya Puan.

    Sama juga dengan penganiayaan mental di mana Puan perlu buktikan kepada Mahkamah sejauhmana penaniayaan tu memberi kesan kepada mental Puan.

    Kesimpulannya Puan, setiap dokumen Puan itu hendaklah dibuktikan di Mahkamah; seperti

    • Isu pukul – apa dokumennya dan saksi
    • Isu penderaan mental – apa dokumen dan saksi
    • Isu nafkah – apa dokumen dan saksi

    Baik Puan, saya rasa diperingkat ini lebih baik kalau kita boleh berjumpa dan saya boleh jelaskan lebih lanjut isu pengabaian dari sudut nafkah diri Puan.

    Client (Puan Ana): Terima kasih Puan sebab bantu saya dalam perkara ini dan saya juga bersedia untuk berjumpa dengan Puan.

    Peguam: Sama- sama Puan, cuma saya NASIHATKAN Puan menggunakan khidmat Peguam Syarie supaya kes ini boleh difailkan dengan teratur serta memenuhi kriteria Undang-undang dan Hukum Syarak.

     

    Hafsah dari Faiz Adnan & Associates

Page 1 of 212