• PENAFIAN NASAB ANAK DALAM ISLAM - BOLEHKAH DNA MENDAHULUI LIAN

    PENAFIAN NASAB ANAK DALAM ISLAM: BOLEHKAH DNA MENDAHULUI LI’AN?

    PERSOALAN/ISU DNA, PENAFIAN NASAB ANAK, LI’AN: Sejajar dengan kecanggihan teknologi, nasab anak boleh ditentukan melalui ujian paterniti DNA. Menurut laman web rasmi Jabatan Kimia Malaysia (JKM), ujian ini biasanya dibuat untuk mengesahkan mahupun menafikan kenasaban seorang anak kepada bapa biologinya. Tambahannya, ketepatan sesuatu ujian paterniti DNA ialah 99.9999%. Persoalan yang timbul ialah, adakah Islam menerima pakai kaedah ujian paterniti DNA ini untuk menafikan nasab anak kepada bapa biologinya, dengan mengambil kira tahap ketepatannya atau terdapat kaedah yang khusus dalam isu penafian nasab anak menurut kaca mata Islam? Makalah kali ini akan mengupas isu-isu yang bersangkut paut dengan penafian nasab anak menurut perspektif Islam dengan merujuk kepada kes-kes berkaitan yang telah diselesaikan di Mahkamah Syariah di Malaysia.

     

    UNDANG-UNDANG/HUKUM:

    Kes Eddyham bin Zainuddin lwn Rahimah bt. Muhamad JH 40 BHG. 2 1436H di peringkat Mahkamah Rayuan Syariah di Negeri Sembilan telah membincangkan isu ini secara teliti, yang mana kes ini menyentuh dua isu utama iaitu penerimaan keterangan pakar dalam keputusan DNA untuk menafikan nasab anak serta isu tempoh penafian nasab anak menurut hukum syara’. Oleh yang demikian, kes ini sedikit sebanyak akan dirujuk dalam makalah kali ini.

     

    ISU 1: KAEDAH PENAFIAN NASAB ANAK

    Menurut Mahkamah Rayuan Syariah dalam kes tersebut, walaupun ujian DNA lebih moden dan bersifat saintifik, ia hanya boleh diguna pakai dalam pensabitan nasab dan bukan untuk menafikan nasab. Pensabitan nasab melalui kaedah DNA dapat diterima pakai dengan menyamakan kaedah tersebut dengan qiyafah iaitu kaedah penentuan nasab secara tradisional. Hadith nabi yang membenarkan kaedah qiyafah yang disertakan dalam kes tersebut ialah hadith nabi yang disebut dalam Subul Al-Salam Syarh Bulugh Al-Maram, terjemahannya:

    Dari ‘A’isyah r.a. berkata: pada suatu hari Nabi s.a.w telah masuk menemuiku dalam keadaan gembira yang jelas terbayang di wajah baginda sambil berkata ((Tidakkah kamu melihat bagaimana Mujazzazi al-Mudliji? Sebentar tadi dia telah memerhatikan Zaid bin Harithah dan Usamah b. Zaid dan menilik kaki mereka, lalu dia berkata: kaki mereka mempunyai persamaan antara satu sama lain (yakni mempunyai pertalian nasab).

     

    Namun begitu, menurut Mahkamah Syariah Rayuan dalam kes tersebut, kaedah pensabitan nasab menurut hukum syara’ adalah berbeza berbanding dengan kaedah penafian nasab. Ini adalah disebabkan oleh kaedah khusus yang telah ditetapkan oleh hukum syara’ untuk penafian nasab iaitu melalui kaedah li’an. Dalil pensyariatan li’an disebabkan oleh qazaf, iaitu seorang suami telah menuduh isterinya berzina dengan lelaki lain yang mengakibatkan terlahirnya anak yang dinafikan nasab tersebut, telah dirakamkan di dalam kitab suci Al-Qur’an iaitu di dalam Surah An-Nur ayat 6-9. Mafhumnya:

    Dan orang-orang yang menuduh isteri-isterinya (berzina) dan tiada mempunyai saksi lain selain dari dirinya, maka kesaksian seseorang itu (dapat diterima) dengan empat kali bersumpah dengan Nama Allah bahawa ia dari orang-orang yang benar. Dan (sumpah) yang kelima ialah bahawa kutukan Allah akan ditimpa ke atasnya jika ia dari kalangan orang-orang yang berdusta. Dan isteri pula terhindar dari hukuman (had) jika ia bersaksi (bersumpah) sebanyak 4 kali dengan nama Allah bahawa suaminya dari kalangan-kalangan orang-orang yang berdusta. Dan sumpah yang kelima ialah bahawa kemurkaan Allah akan ditimpakan kepadanya jika suaminya termasuk orang-orang yang benar.”

     

    Memandangkan kes ini diputuskan di Negeri Sembilan, maka Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Sembilan) 2003 telah dirujuk, yang mana seksyen 111 Enakmen tersebut juga telah menetapkan li’an sebagai kaedah khusus dalam kes penafian nasab anak. Sekyen tersebut adalah pari materia dengan seksyen 110 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984, yang berbunyi:

    Jika seseorang perempuan yang berkahwin dengan seseorang lelaki melahirkan seorang anak lebih daripada enam bulan qamariah dari tarikh perkahwinannya itu atau dalam masa empat tahun qamariah selepas perkahwinannya itu dibubarkan sama ada oleh sebab kematian lelaki itu atau oleh sebab perceraian, dan perempuan itu pula tidak berkahwin semula, maka lelaki itu hendaklah disifatkan sebagai bapa anak itu, tetapi lelaki itu boleh, dengan cara li’an atau kutukan, menafikan anak itu sebagai anaknya di hadapan Mahkamah.

     

    Menurut dalil daripada Al-Qur’an serta provisi undang-undang di atas, ternyata, hanya terdapat satu kaedah khusus dalam penafian nasab anak iaitu melalui kaedah li’an dan bukan dengan cara yang lain, mahupun dengan kaedah yang serba moden seperti DNA. Ini juga adalah selaras dengan keputusan Majma’ Fiqh al-Islami yang telah bersidang pada 5-10 Januari 2002, bahawa kaedah DNA “tidak boleh digunakan untuk menafikan nasab anak apalagi digunakannya untuk mendahului kaedah li’an”, seperti yang tertera di laman web rasmi Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan.

     

    ISU 2: TEMPOH PENAFIAN NASAB ANAK

    Seterusnya, isu yang perlu dibincangkan ialah tempoh penafian nasab anak menurut hukum syara’. Di Malaysia, kes berkaitan dengan li’an  bukanlah sesuatu yang asing mahupun baru, tetapi setakat ini, masih belum ada lagi kes yang berjaya untuk menafikan nasab anak melalui kaedah li’an disebabkan oleh ketidakcaknaan pemohon akan tempoh penafian nasab anak yang mempunyai hadnya. Antara kes-kes berkaitan dengan li’an yang boleh anda rujuk ialah kes Haji Ghazali v. Asmah JH (1980-81) Jil. 2 serta kes Wan Azmi lwn Nik Salwani (1415H) 9 JH(2) 192, yang mana isu mengenai keperluan menyegerakan penafian nasab anak dalam kes li’an telah disentuh. Punca lain yang mengakibatkan permohonan li’an gagal adalah apabila seorang suami hanya mengambil tindakan untuk menafikan nasab anak yang dikandung isterinya setelah isterinya membuat tuntutan nafkah. Perkara ini juga telah dibincangkan dalam kedua-dua kes yang telah disebutkan di atas.

     

    Dalam kes Eddyham bin Zainuddin lwn Rahimah bt. Muhamad (supra), Mahkamah telah merujuk kepada kitab Mughni al-Muhtaj, Jilid 3, hlm. 381, yang menukilkan bahawa:

    “Penafian nasab hendaklah dibuat dengan kadar segera menurut qaul jadeed. Diterima kelewatan sebagai keuzuran bilamana ia menerima khabar isterinya telah melahirkan anak pada malam hari, lalu ia menangguhkan sehingga pagi hari atau ia menerima khabar itu semasa sedang lapar, lalu ditangguhkan sehingga ia selesai makan, atau ketika sedang telanjang sehingga ia berpakaian. Sekiranya ia dipenjara, atau sakit atau kerana takut hartanya binasa, maka ia hendaklah menghantar surat kepada hakim supaya dihantar naibnya untuk membolehkan dia berli’an di hadapan naibnya atau memaklumkan kepada hakim bahawa pendiriannya adalah menafikan nasab anak itu. Jika ia tidak menafikan dengan segera maka terbatal haknya untuk menafikannya.”

     

    Jelaslah menurut kitab di atas, penafian nasab anak perlulah dibuat dengan kadar segera dan kelewatan hanya diterima jika terdapat keuzuran. Dalam kes Eddyham ini, Mahkamah berpendapat tiada keuzuran yang mengharuskan kelewatannya menafikan nasab anak iaitu selepas tiga tahun setelah terdapat qarinahqarinah atau petunjuk-petunjuk yang menunjukkan zan yang kuat bahawa anak tersebut tidak berasal daripada nasabnya. Maka, persoalannya sekarang, seberapa segerakah penafian nasab perlu dilakukan?

     

    Mazhab yang empat telah berselisih pendapat mengenai hal ini. Menurut pendapat mazhab Hanafi, penafian nasab perlulah dilakukan sejurus selepas anak tersebut dilahirkan atau dalam tempoh tujuh (7) hari secara adat atau kebiasaannya diterima ucapan tahniah disebabkan oleh kelahiran bayi tersebut. Kitab Al-Fiqh al-Islam wa Adillatuh, karangan Wahbah al-Zuhaili, Jilid 7, muka surat 567 boleh dirujuk untuk mengetahui pandangan mazhab Hanafi ini. Seterusnya, menurut pendapat mazhab Maliki, penafian perlulah dibuat sebelum kelahiran anak tersebut, jika suami tersebut mengetahui akan status anak tersebut dari mulanya. Pendapat ini ada disebutkan di dalam kitab Wahbah al-Zuhaili tersebut pada halaman 569. Manakala, menurut Mazhab Syafi’ie, penafian hendaklah dilakukan sewaktu bayi tersebut berada dalam kandungan ibunya atau sejurus setelah kelahiran. Ini juga merupakan pendapat mazhab Hanbali, dan penjelasan lanjut boleh anda rujuk kitab Mughni al-Muhtaj, Jilid 5, halaman 76.

     

    Bagaimanakah pula dengan pengaplikasiannya di Malaysia? Merujuk kepada kes Wan Azmi lwn Nik Salwani (supra), yang juga dirujuk oleh Mahkamah yang bijaksana dalam kes Eddyham (supra), tempoh penafian setelah lebih kurang setahun kelahiran anak juga dikira lewat iaitu sewaktu si isteri membuat tuntutan nafkah terhadap suaminya. Manakala, dalam kes Eddyham, terdapat unsur kelewatan menafikan nasab anak, apabila si suami menafikan nasab anak yang dilahirkan isterinya itu selepas tiga tahun setelah terdapat qarinahqarinah yang menimbulkan zan yang kuat untuk menafikan nasab anak tersebut.

     

    APLIKASI & KESIMPULAN

    Merujuk kepada otoriti-otiriti di atas dan diaplikasikan kepada isu-isu yang dibincangkan dalam makalah kali ini, kaedah untuk menafikan nasab anak menurut kaca mata Islam hanyalah satu, iaitu melalui kaedah li’an, manakala ujian DNA hanyalah sebagai penguat, qarinah atau petunjuk untuk meyakinkan suami sebelum beliau membuat li’an terhadap isterinya untuk menafikan nasab anak yang dilahirkan isterinya. Ini adalah demikian kerana, suami tidak seharusnya sewenang-wenangnya menafikan nasab anak yang dikandung isteri, atau dalam erti kata lain, menuduh isteri melakukan zina dengan lelaki lain, kerana kesalahan qazaf atau menuduh isteri melakukan zina membawa kepada hukuman had.        Manakala, menjawab isu tempoh penafian nasab dalam Islam, ia haruslah dibuat seberapa segera, dan had tempoh yang spesifik akan bergantung kepada fakta kes kerana Mahkamah atau hakim yang bijaksana akan mengambil kira jika terdapat sebarang keuzuran yang membolehkan kelewatan penafian nasab dilakukan. Jika penafian nasab dilewatkan tanpa sebarang keuzuran, tuntutan li’an berpotensi untuk ditolak oleh Mahkamah semudahnya. Wallahu a’lam.

Comments are closed.