Navigation

PENCERAIAN DAN PENGESAHAN CERAI

i) Perceraian Secara Talaq

Perceraian secara talaq berlaku apabila kedua-dua pihak suami dan isteri bersetuju untuk bercerai secara baik, atau suami membuat keputusan untuk menceraikan isteri dengan lafaz talaq. Perceraian jenis ini perlulah dibuat permohonan terlebih dahulu di Mahkamah dan didaftarkan untuk direkodkan. Perceraian secara talaq ini di peruntukkan dalam Akta /Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri-negeri.

ii) Perceraian Secara Ta’liq

Ta’liq didefinisikan mengikut Undang-undang Keluarga Islam sebagai lafaz perjanjian yang dibuat oleh suami selepas aqad nikah. Pengamalan perundangan Keluarga Islam di Malaysia mengklasifikasikan perceraian secara ta’liq berlaku apabila suami melanggar ta’liq yang dibuat olehnya semasa upacara aqad nikah. Amalan ta’liq ini walaupun tidak wajib mengikut hukum Syara’, tetapi ia boleh diterima pakai berdasarkan kepada persetujuan kedua-dua pihak.

iii) Perceraian Secara Khulu’

Perceraian secara khulu’ merupakan salah satu alternatif perceraian yang turut diperuntukkan di dalam Undang-undang Keluarga Islam yang diamalkan di Malaysia. Perceraian secara khulu’ boleh berlaku dengan penawaran oleh pihak isteri untuk bercerai dengan suaminya dengan menawarkan sejumlah wang atau harta sebagai pampasan. Perceraian berlaku dengan lafaz talaq oleh suami apabila dia bersetuju dengan pampasan tersebut. Perceraian jenis ini juga termasuk dalam kategori talaq ba’in sughra, oleh itu ia tidak boleh dirujuk.

iv) Perceraian Secara Fasakh

Fasakh merupakan pembubaran perkahwinan melalui kuasa yang diberikan kepada Hakim (judicial decree). Walaupun hak untuk memohon fasakh terpakai kepada kedua-dua suami dan isteri, namun secara amalannya hak fasakh diberikan kepada isteri memandangkan suami mempunyai hak untuk melafazkan talaq. Perceraian secara fasakh boleh berlaku apabila hakim memutuskan untuk memfasakhkan perkahwinan tersebut dengan alasan yang boleh memudaratkan pihak-pihak dalam perkahwinan tersebut dan ia tidak dapat diselamatkan lagi. Peruntukan mengenai fasakh ini turut dinyatakan di dalam undang-undang Keluarga Islam negeri-negeri.

V) Anggapan Kematian

Anggapan mati ialah apabila suami seorang perempuan telah mati atau dipercayai telah mati atau telah tidak didapati apa-apa perkhabaran mengenainya selama tempoh 4 tahun atau lebih. Apabila keadaan itu berterusan dan perempuan itu hendak berkahwin lain, hendaklah terlebih dahulu mendapat pengisytiharan anggapan kematian daripada Mahkamah Syariah.

Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada kami melalui E-mail atau berhubung terus dengan kami.