• faiz-adnan-associates-hari-raya-aidilfitri-2015

    PERUTUSAN KHAS SEMPENA AIDILFITRI 1436H

    Bismillahirrahmanirrahim,

    Assalamualaikum W.B.T diucapkan kepada semua umat Islam di seluruh dunia dan pengunjung setia laman web Faiz Adnan & Associates ini. Semoga kalian berada dalam keadaan yang sejahtera dan baik-baik sahaja hendaknya.

    Sedar tidak sedar, kini kita telah memasuki ke fasa terakhir bulan Ramadan. Kita telahpun melepasi fasa pertama iaitu 10 hari pertama (kerahmatan), kemudian 10 hari di fasa kedua (keampunan) dan sekarang kita berada dalam zon fasa ketiga iaitu 10 hari terakhir di bulan Ramadan (pembebasan daripada api neraka).

    Seharusnya, kita merebut peluang keemasan di saat ‘Pecutan Terakhir’ ini untuk menggandakan lagi amal ibadah kita bagi mengejar pahala dan mendapatkan keredaan-Nya. Ini adalah bertepatan dengan hadis Nabi Muhammad S.A.W yang bermaksud: “Apabila memasuki sepuluh hari terakhir (Ramadan), maka baginda mengetatkan ikatan kainnya (meninggalkan tempat tidur dengan tidak bersama-sama dengan isteri-isteri baginda kerana sibuk menumpukan perhatian sepenuhnya kepada ibadah) dan menghidupkan malam-malamnya (dengan ibadah) serta membangunkan keluarganya.” (Riwayat Bukhari)

    Lebih manis lagi, Allah S.W.T telah menganugerahkan dan menghadiahkan kita dengan malam Lailatul Qadar iaitu malam yang lebih baik daripada seribu bulan pada sepuluh malam terakhir Ramadan. Sebagaimana firman Allah S.W.T dalam Surah Al-Qadr Ayat 1-5 yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada malam Lailatul Qadar. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam Lailatul Qadar itu?  Malam Lailatul Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut). Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!

    Banyak amal ibadah sunat yang boleh dilakukan selain ibadah fardu seperti amalan bersedekah, solat sunat tarawih, qiamullail, tadarus Al-Quran, mendengar ceramah dan tazkirah, belanja orang buka puasa serta pelbagai lagi amalan-amalan sunat lain yang wajar dilakukan pada bulan Ramadan yang mulia ini untuk mendapat pahala yang berlipat kali ganda yang telah dijanjikan oleh-Nya. Peluang yang ada dan ganjaran yang diberikan ini haruslah direbut sebaik mungkin. Amalan-amalan yang baik seperti ini seharusnya dilakukan secara istiqamah dan berterusan di bulan-bulan yang lain sementelah bulan Ramadan bukan pesta ibadah bermusim sahaja, sebaliknya ia adalah satu platform tarbiah agar setiap umat Islam dilatih dan diingatkan untuk sentiasa melakukan kebaikan sepanjang masa.

    Dalam kemeriahan dan keghairahan kita menyambut Aidilfitri yang tinggal hanya beberapa hari saja lagi ini, janganlah kita lupa pada insan-insan lain yang mungkin kurang bernasib baik dan tidak berkemampuan serta saudara-saudara Islam kita yang ditindas dan terpaksa bergelut dengan peperangan di negara mereka. Bayangkan, di saat kita sedang menikmati juadah berbuka dan raya yang beraneka rasa dan bermacam jenis, apa pula hidangan yang terbentang di hadapan mereka? Adakah mereka mempunyai pilihan yang pelbagai seperti kita? Sama-samalah kita muhasabah diri dan memanjatkan kesyukuran pada-Nya kerana Dialah yang memberi rezeki kepada makhluk sekalian alam di langit dan di bumi.

    Tatkala negara kita dilanda dengan krisis kewangan yang kurang stabil ketika ini, kami percaya bahawa seluruh rakyat Malaysia tidak kira apa latar belakang sekalipun turut terkesan dengan apa yang berlaku. Justeru itu, adalah lebih baik kita mengambil langkah berjimat-cermat dan mengambil pendekatan wasatiyyah dalam perbelanjaan seharian terutamanya dalam menyediakan segala persiapan untuk menyambut sambutan Aidilfitri kelak. Janganlah kerana hendak semuanya serba baru dan berkilat di hari raya dengan menggunakan konsep ‘Setahun Sekali’, kita menghalalkan sikap bermewah-mewah dan memboros di hari raya. Ukur baju di badan sendiri dan rancanglah perbelanjaan anda dengan bajet yang berpatutan supaya tidak berlaku pembaziran yang amat tidak disukai dalam Islam.

    Detik 1 Syawal merupakan satu tarikh yang mana umat Islam meraikan kemenangan setelah sebulan berpuasa. Kita sepatutnya bersyukur kerana dapat menyambut hari yang bahagia ini dalam keadaan yang aman dan harmoni bersama keluarga yang tercinta. Bayangkan, kita seronok menyambut raya dengan bunyi kanak-kanak riang bermain bunga api, tetapi saudara-saudara Islam kita terpaksa menyambut raya dengan bunyi bedilan bom di negara mereka. Sekali lagi, dalam kegembiraan meraikan hari raya, ingatlah mereka yang kurang bernasib baik dan bersyukurlah akan nikmat keamanan dan kemakmuran yang telah dikurniakan ini.

    Sempena menyambut bulan Syawal yang bakal menjelang tiba, marilah kita terus mengimarahkan dan menyemarakkan tradisi amalan ziarah-menziarahi dan kunjung-mengunjung rumah terbuka. Bukalah pintu rumah dan pintu hati untuk menyambut kaum keluarga, sanak-saudara dan sahabat handai dari pelbagai agama, kaum dan kepercayaan untuk beraya ke rumah masing-masing bagi mengeratkan lagi hubungan silaturrahim dan jalinan ukhuwah yang terbina. Mungkin dalam setahun itu kita jarang-jarang berjumpa atau tiada masa untuk bersua muka langsung, maka inilah masanya untuk kita saling menziarahi bagi bertanya khabar dan beramah mesra. Di samping itu, janganlah kita lupa pada mereka yang sudah pergi meninggalkan kita terlebih dahulu dengan melawat pusara mereka dan mendoakan mereka agar ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.

    Akhir kalam, kami seluruh warga kerja Faiz Adnan & Associates dengan rendah hatinya ingin mengambil kesempatan ini menyusun sepuluh jari memohon keampunan dan kemaafan zahir dan batin di bulan yang mulia ini atas apa jua kesalahan mahupun kekhilafan yang kami lakukan secara sengaja atau tidak sengaja. Kami mendoakan agar semua pihak selamat menuju ke destinasi masing-masing untuk berhari raya bertemu keluarga serta sanak-saudara yang tercinta dan juga selamat kembali bertugas semula nanti. Semoga Allah S.W.T sentiasa merahmati dan memberkati kehidupan kita semua waima di mana jua kita berada.

    Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar Walillahil Hamd.

    “Ada Saman dan Penyata Tuntutan,

    Notis Permohonan dan Afidavit Sokongan,

    Selamat Hari Raya kami ucapkan,

    Harap dimaafkan segala kesalahan.”

     

    Faiz Adnan & Associates: Selamat Hari Raya Aidilfitri 1436H.