• jenis-sumpah

    KONSEP DAN AMALAN SUMPAH DALAM MAHKAMAH SYARIAH

    SUMPAH (AL-YAMIN)

    Rentetan daripada artikel sebelum ini berhubung dengan Isu Pembuktian Di Mahkamah Syariah, sumpah (al-yamin) merupakan salah satu kaedah pensabitan yang boleh digunakan bagi membuktikan sesuatu kes di Mahkamah Syariah. Dalam satu kejadian yang berlaku di Mahkamah, seorang wanita telah diarahkan oleh Hakim untuk bersumpah bagi menafikan dakwaan pihak penuntut disebabkan ketidakhadiran Penuntut untuk mengukuhkan dakwaannya pada hari prosiding. Rentetan daripada sumpah tersebut, maka Mahkamah Yang Mulia telah menolak permohonan Penuntut. Dalam kes Adiba Yasmin lawan Abdul Rani (JH,V/I,1990,44), Mahkamah memutuskan bahawa keterangan kedua-dua pihak adalah lemah dan pihak Penuntut gagal membuktikan kesnya. Oleh itu, Mahkamah mengarahkan Pihak yang Kena Tuntut bersumpah menafikan tuntutan. Rentetan daripada sumpah tersebut, Mahkamah Yang Mulia memutuskan bahawa permohonan Penuntut ditolak. Fenomena sedemikan sering berlaku kerana sumpah adalah salah satu pembuktian yang terpakai di Mahkamah Syariah kerana fungsinya adalah untuk menjelaskan lagi bahawa sumpah digunakan untuk memperkukuhkan sesuatu yang tidak pasti dengan menggunakan nama Allah atau sifatNya sama ada yang telah lalu atau yang akan datang, sama ada untuk mensabitkan atau menafikan.

    Definisi

    Menurut Abdul Karim Zaidan, sumpah (al-yamin) bermaksud sumpah yang dikenakan ke atas pihak yang kena dakwa sama ada Islam atau tidak, adil atau fasik, lelaki atau wanita sebagai menafikan dakwaan ke atas mereka. Begitu juga menurut Abdul Fattah Muhammad Abu Al-Ainain menurut pengarang Syarah al-azhar yang memberi definisi iaitu kata-kata yang khusus ataupun maknanya itu mengandungi sesuatu yang boleh menguatkan apa yang dituturkan oleh orang yang bersumpah itu sama ada ia hendak membuat sesuatu perkara atau meninggalkannya atau mempunyai ciri-ciri sebagaimana yang disumpah atau sebaliknya.

    Dalil

    Peranan sumpah ini telah diterangkan Allah s.w.t dalam surah al-Maidah ayat 89 yang bermaksud Allah tidak akan menyiksamu (menuntut kamu bertanggungjawab) disebabkan sumpah kamu yang tidak sengaja tetapi tuhan akan menyiksamu kerana sumpah yang telah kamu ikat teguh”. Ia bertepatan dengan Hadith Rasulullah S.A.W, Al-bayyinah itu keatas pihak yang mendakwa dan sumpah itu kepada pihak yang ingkar” (Al-San’ani,4:204).

    Peruntukan Undang-undang

    Menurut Seksyen 72 Akta Keterangan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan (AKMSWP) juga telah memperuntukkan tentang sumpah iaitu “Beban untuk mengemukakan keterangan dalam sesuatu kes mal terletak pada orang yang mengatakan atau menegaskan sesuatu fakta (al-mudda’i) dan orang yang mengangkat sumpah untuk menafikan atau mempertikaikan sesuatu fakta (al-mudda’i alaiyh)”. Sumpah yang berkaitan dengan tuntutan di mahkamah boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu;

     

    jenis-sumpah

    1. SUMPAH PIHAK YANG KENA TUNTUT (AL-MUDDA’I ALAIYH)

    Merupakan sumpah asal yang berlaku apabila pihak yang menuntut gagal mengemukakan bukti yang mencukupi dan pihak yang kena tuntut menafikan perkara yang dituntut maka beliau diminta untuk bersumpah menafikan tuntutan berkenaan. Disebut sebagai ‘al-yamin al-asliyyah’, ‘al-yamin al-wajibah’ atau ‘al-yamin al-rafia’h’. Perkara ini diperuntukkan dalam AKMSWP iaitu; Seksyen 87(1) Dalam kes mal, keterangan hendaklah diberikan oleh Plaintif dan Defendan, dan jika Defendan menafikan tuntutan terhadapnya dia hendaklah dikehendaki mengangkat sumpah mengikut hukum syarak, Seksyen 87(2) Jika defendan mengangkat sumpah dibawah subseksyen (1), tuntutan yang dibuat oleh Plaintif hendaklah ditolak. Antara kes-kes yang menggunakan sumpah di Mahkamah Syariah iaitu Mat Husain Daud lawan ZawiahMamat (JH,VIII/I,1992,60), kes yang melibatkan harta sepencarian dan pihak yang menuntut tidak mempunyai keterangan yang cukup mengikut hukum syarak. Pihak yang kena tuntut pula menafikan. Mahkamah mengarahkan yang kena tuntut untuk bersumpah. Lalu tuntutan ditolak. Terdapat keadaan dimana pihak yang kena tuntut enggan mengangkat sumpah untuk menafikan tuntutan, maka peruntukan Seksyen 87(2)(b) AKMSWP seperti berikut adalah terpakai “ Jika Defendan enggan mengangkat sumpah, maka Mahkamah bolehlah meminta Plaintif mengangkat sumpah dan dengan sumpah itu tuntutannya hendaklah diterima”.

     

    2. SUMPAH PIHAK MENUNTUT (AL-MUDDA’I) 

    1. Yamin Jalibah: Sumpah oleh penuntut untuk mensabitkan tuntutan. Terbahagi kepada 4 bentuk:
      1. Sumpah Penuntut bersama seorang saksi diterangkan dalam Seksyen 88 AKMSWP yang menyebut bahawa “Jika di dalam kes mal, penuntut hanya mengemukakan seorang saksi, maka keterangan saksi itu hanya boleh diterima jika beserta dengan sumpah Penuntut”.
      2. YAMIN MARDUDAH: Sumpah yang dikembalikan diperuntukkan dalam Seksyen 87(2)(b) AKMSWP memperuntukkan “Jika defendan enggan mengangkat sumpah, maka Mahkamah bolehlah meminta plaintif mengangkat sumpah dan dengan sumpah itu tuntutannya hendaklah diterima.
      3. QASAMAH: Sumpah 50 kali berkaitan dengan tuduhan ke atas seseorang yang melakukan pembunuhan.
      4. LIAN: Sumpah yang dilaksanakan oleh suami /isteri bagi tuduhan melakukan zina antara mereka tanpa ada saksi yang cukup bagi mengelakkan hukuman jenayah qazaf.
    2. YAMIN TUHMAH : Sumpah yang dilakukan oleh Penuntut untuk menafikan sebarang tohmahan atau tuduhan yang terkena ke atas pihak yang kena tuntut atau dengan tujuan untuk membersihkan pihak yang kena tuntut bila sesuatu tuntutan itu tidak dapat dibuktikan.
    3. YAMIN ISTIZHAR: Sumpah yang bertujuan untuk memperkuatkan dan memperjelaskan tuntutan dan menolak sebarang tohmahan yang terkena kepada Penuntut setelah ia berjaya membuktikan tuntutannya. Sebagai contoh dalam kes Hasnah lawan Borhan al-Din (JH, VI/1,1998,118) iaitu berkaitan dengan pengesahan cerai taklik atas alasan meninggalkan Penuntut dan tidak memberi nafkah. Penuntut berjaya membuktikan melalui keterangan dua orang saksi bahawa telah wujud lafaz taklik berkenaan dan telah wujud perlanggarannya. Yang menuntut bersumpah untuk memperkuatkan tuntutan maka tuntutan diterima oleh Mahkamah Yang Mulia.

     

    Kesimpulan

    Tuntasnya, sumpah juga merupakan salah satu kaedah pensabitan yang digunakan dalam Undang-undang Keterangan Islam. Sumpah digunakan untuk menolak dakwaan atau menafikan sesuatu tuduhan. Ia juga merupakan alternatif terakhir apabila pihak tertentu gagal untuk mengemukakan bukti atau keterangan-keterangan lain melalui iqrar, syahadah dan qarinah misalnya. Pemakaian konsep al-bayyinah atau keterangan melalui pelbagai kaedah pensabitan ini memberikan ruang yang luas kepada semua pihak untuk mengemukakan apa sahaja bentuk keterangan yang dikira relevan dan dapat membantu hakim bicara serta mahkamah dalam proses untuk menegakkan keadilan dan memberikan keputusan yang sewajarnya. Walaupun peruntukan undang-undang ada memperuntukkan perkara-perkara yang berkaitan dengan kaedah-kaedah pensabitan melalui Undang-undang Keterangan Islam ini, namun rujukan muktamad adalah berdasarkan kepada hukum syarak daripada mana-mana mazhab yang sah jika terdapat kekeliruan di dalam memahami peruntukan undang-undang ataupun di dalam keadaan berlakunya lakuna (kelompongan) undang-undang.

    Untuk sebarang pertanyaan, atau sekiranya anda ingin menetapkan temujanji dengan Peguam Syarie Faiz Adnan, anda boleh menghubungi kami menerusi telefon/email.

     

    Artikel disediakan oleh: Faiz Adnan & Associates

Comments are closed.