
SULH – TIDAK ADIL DAN BERAT SEBELAH?
Soalan tentang Sulh: Assalamualaikum W.B.T. saya ada beberapa soalan yang ingin diajukan kepada Peguam Faiz Adnan Associates mengenai Majlis Sulh. Saya telah bercerai dengan isteri dan diperintahkan oleh mahkamah untuk menghadiri Majlis Sulh bagi menyelesaikan soal harta sepencarian dan hadhanah. Namun, semasa sesi Majlis Sulh berjalan saya merasakan pegawai sulh yang bertugas telah mengendalikan Majlis Sulh tersebut dengan tidak adil dan berat sebelah. Hal ini kerana, Pegawai sulh sentiasa memberi peluang yang berlebihan kepada bekas isteri untuk bercakap dan memberikan cadangan penyelesaian yang dirasakan patut. Saya juga buntu kerana segala cadangan penyelesaian yang diberikan oleh pegawai sulh adalah lebih memihak kepada bekas isteri. Jadi persoalan saya di sini, bolehkah saya membuat aduan? dimanakah untuk saya membuat aduan? Dan adakah keputusan di dalam Majlis Sulh boleh dibatalkan? Saya benar-benar keliru. (Harris, Kajang Selangor)
Jawapan:
Terima kasih Encik Harris atas soalan yang telah diberikan. Saya cuba untuk menjawab pertanyaan encik. Sepertimana yang kita tahu, perdamaian adalah cara yang dianjurkan bagi menyelesaikan sesuatu masalah. Salah satu cara bagaimana perdamaian boleh dilakukan adalah dengan melalui proses Sulh. Di dalam Al-Quran berdasarkan firman Allah di dalam surah Al-Hujurat ayat 9 ada menyebut yang maksudnya:
“Dan jika dua puak dari orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya”
Dalam islam, Sulh adalah bertujuan untuk mengakhirkan konflik permusuhan yang berlaku antara orang islam agar kehidupan yang tenang dan aman dapat dinikmati. Sulh itu sendiri merupakan satu bentuk kontrak yang wujud dan terikat kepada individu yang terlibat. Secara mudahnya, Sulh ini merupakan suatu proses di mana pihak-pihak yang terlibat di dalam suatu pertikaian terhadap satu atau beberapa tuntutan di Mahkamah Syariah dipanggil dan dipertemukan di dalam suatu majlis perundingan terpimpin secara rasmi yang diatur oleh mahkamah berdasarkan prosedur tertentu. Sekiranya perdamaian dapat dicapai, ianya akan dikeluarkan sebagai suatu perintah mahkamah tanpa perlu melalui proses perbicaraan biasa.
Umum kita ketahui bahawa Sulh itu adalah jalan terbaik untuk menyelesaikan pertikaian yang berlaku. Namun begitu, kejayaan kes yang melalui proses Sulh juga adalah bergantung sepenuhnya kepada persediaan pihak-pihak yang bertikai dari segi kesediaan dan komitmen dalam mencapai sesuatu persetujuan bersama. Antara ciri-ciri yang menjadikan sesuatu kes Sulh itu berjaya adalah:-
- Kesungguhan kedua-dua pihak dalam menyelesaikan tuntutan di luar mahkamah.
- Kesediaan oleh kedua-dua pihak dalam memberi dan menerima sesuatu pandangan.
- Kedua-dua pihak berunding secara ikhlas dan terbuka tanpa emosi atau niat untuk membalas dendam.
- Kedua-dua pihak sedar bahawa penyelesaian adalah bagi kepentingan di masa hadapan.
- Kedua-dua pihak sedar kelebihan dan kelemahan jika kes dibawa ke perbicaraan.
Pegawai Sulh adalah tertakluk kepada semua arahan amalan dan tatacara yang telah ditetapkan bagi memudahkan proses Sulh dalam mencapai kejayaan dan membantu Mahkamah dalam mempercepatkan kes. Di dalam Kod Etika Pegawai Sulh juga telah dinyatakan dengan jelas etika-etika yang perlu dipatuhi oleh Pegawai Sulh termasuklah dengan melaksanakan tugasnya dengan penuh keadilan sepertimana yang dikehendaki oleh hukum syarak serta tidak berkelakuan berat sebelah ketika menjalankan Majlis Sulh. Namun begitu, sekiranya seorang Pegawai Sulh tersebut telah menjalankan tugasnya dengan tidak adil dan hanya memenangkan sebelah pihak sahaja maka di dalam kes ini encik boleh membuat aduan terhadap Pegawai Sulh tersebut.
Sebarang aduan mengenai perlangggaran etika oleh Pegawai Sulh semasa menjalankan tugas boleh dilakukan di Mahkamah Syariah ataupun di bahagian Sulh tersebut. Sebaik sahaja aduan dilakukan, pihak atasan akan menyiasat setiap aduan yang dibuat berdasarkan isu-isu yang dibangkitkan oleh encik seperti bagaimana Pegawai Sulh itu mengendalikan kes tersebut dan sebagainya.
Saya faham encik juga pasti tertanya-tanya sama ada selepas aduan dibuat terhadap Pegawai Sulh tersebut, bagaimana dengan sesi Majlis Sulh yang seterusnya. Dalam kes ini, encik boleh membuat pemintaan untuk menukar Pegawai Sulh yang bertugas bagi mengendalikan kes encik. Namun begitu, Majlis Sulh yang akan dijalankan perlulah dimulakan dari awal kembali bermula daripada sebelum bermula perbincangan.
Akhir sekali, bagi persoalan encik sama ada keputusan di dalam Majlis Sulh boleh dibatalkan atau tidak jawapannya adalah masih boleh sekiranya keputusan yang dibuat belum diendorskan oleh mahkamah. Hal ini kerana, segala persetujuan yang dibuat oleh pihak-pihak semasa proses sulh berlangsung berkenaan sesuatu pertikaian akan ditandakan oleh Pegawai Sulh di dalam satu borang persetujuan bersama. Borang tersebut kemudiannya akan diendorskan oleh mahkamah bagi tindakan hakim untuk mengesahkan dan menguatkuasakan persetujuan yang telah dibuat oleh pihak-pihak dengan serta merta. Di dalam situasi encik ini, selagi keputusan tersebut belum diendorskan ke mahkamah bagi mahkamah mengeluarkan satu perintah bersih maka encik masih berpeluang untuk membatalkan persetujuan yang telah dibuat.
Namun sekiranya persetujuan tersebut telah diendorskan oleh mahkamah, encik tidak boleh menarik semula persetujuan yang telah dibuat itu. Walaubagaimanapun, encik masih boleh untuk membuat Tuntutan Mengubah Perintah bagi perintah nafkah anak dan hak jagaan anak sahaja dengan menyatakan perubahan matan yang berlaku dalam terma perintah sebagai contoh perubahan perbelanjaan nafkah anak yang meningkat disebabkan kos pendidikan.
Saya harap penjelasan ringkas yang diberikan dapat mambantu pihak encik dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi.
Sekian terima kasih.
Disediakan oleh Nadhirah Adibah binti Haznul Izad untuk Peguam Syarie Faiz Adnan & Associates