• malaysia-gst-menteri-peguam-syarie

    Gelombang GST

    Mutakhir ini, di sana sini sama ada di warung kopi, pejabat-pejabat kerajaan mahupun swasta, pusat membeli-belah hatta di tepi jalan, rakyat Malaysia membincangkan perkara yang sama. Isu yang dianggap menyatupadukan rakyat daripada satu aspek. Impak yang terkesan melalui isu ini bukan sedikit kepalangnya. Dari masyarakat yang tinggal di ceruk kampung hingga golongan urban yang tinggal di bandar semuanya merasai benda yang sama. Tiada yang terkecuali. Persoalannya adakah isu yang sedang hangat melanda negara itu satu perkara yang positif atau negatif?

    Gelombang GST (Goods & Services Tax) atau Cukai Barangan dan Perkhidmatan yang membadai negara kita tika ini telah mendatangkan pelbagai reaksi dan perdebatan hangat dalam kalangan masyarakat. Ia telah menjadi satu polemik yang menjadi bualan rakyat melalui pelbagai medium. Buka saja segala laman sosial yang ada, saya pasti dan jamin semua pihak membincangkan tentang isu yang sama. Pak Ali yang menjual jeruk dan Nek Jah yang menjual cekodok juga tidak terkecuali. Ramai yang lantang bersuara dan menyalak serta memuatnaik status di laman sosial masing-masing tentang isu ini seolah-olah sudah cukup pakar dalam bidang ekonomi dan hukum syarak. Lagak semuanya seolah-olah jaguh yang pernah mendapat gelaran Pelajar SPM Terbaik Peringkat Kebangsaan.

    Persoalannya, adakah semua pihak yang memberi komen mahupun mengutarakan pendapat telah melakukan kajian terhadap perkara ini? Sudahkah diteliti hukumnya menurut hukum syarak bersandarkan dalil-dalil daripada Al-Quran dan Hadis? Tahukah anda apa itu dasar fiskal negara? Sejauhmana hasil petroleum negara mampu untuk menampung ekonomi kita dalam beberapa tahun ke hadapan? Berapa nilai hutang yang terpaksa ditanggung oleh negara ketika ini? Apakah perbezaan antara GST dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebelum ini? Dalam membincangkan tentang sesuatu perkara, saya lebih suka bertanyakan mereka yang lebih arif atau pakar dalam sesuatu bidang itu bersesuaian dengan ayat Al-Quran yang mana Allah S.W.T menyatakan dalam ayat 43 Surah An-Nahl: “Maka bertanyalah kepada ahlinya (orang yang tahu atau pakar) jika kamu tidak mengetahui (keadaan sesuatu perkara).

    Saya akui saya bukanlah seorang yang pakar dan arif berkenaan perkara ini. Apabila di’assign’kan (ditugaskan) oleh bos saya untuk menulis artikel berkaitan isu ini di meja saya, soalan pertama yang saya tempelak kepada bos saya ialah: “Bukankah ini isu yang sensitif, Sir? (panggilan saya kepada bos saya)” Lalu bos saya hanya tersenyum sumbing sambil matanya memandang tepat ke arah saya. Namun itulah tugasan yang harus saya lunaskan demi mencari sebuah jawapan yang tidak berpateri lalu membiarkan sahaja pembaca menilai dan berfikir secara kritis melalui hujah ataupun hukum yang bakal saya bentangkan berkenaan perkara ini.

     

    Haram 

    Memandangkan hukum berkenaan GST bukanlah satu persoalan yang straight forward, maka kita tidak boleh untuk menjatuhkan hukum haram atau halal secara semberono begitu sahaja. Banyak perkara yang perlu dilihat dan ditelusuri terlebih dahulu. Terdapat beberapa dalil yang mengatakan bahawa hukum mengutip cukai itu haram seperti berikut:

    1. Al-Quran:
    • “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah (batil)…” (Surah Al-Baqarah: Ayat 188)
    • “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu…” (Surah An-Nisaa’: Ayat 29)
    1. Hadis:
    • Telah datang kepada Nabi seorang wanita yang berzina yang ingin dilaksanakan hukuman had ke atasnya tetapi Baginda menjawab, “Demi jiwaku pada tangan Allah, sesungguhnya wanita itu telah bertaubat yang sekiranya seorang pemungut cukai bertaubat juga akan diampunkan baginya.” (Riwayat Muslim)
    • “Sesungguhnya tidak akan masuk syurga orang yang memungut cukai.” (Riwayat Ahmad, Abu Daud dan Hakim)
    • “Sesungguhnya pemungut cukai itu berada dalam neraka.” (Riwayat Ahmad)

    Bagi yang mengatakannya haram, mereka berhujah bahawa cukai yang tidak berasaskan maslahah yang dibenarkan oleh syarak adalah diharamkan. Jika kerajaan membelanjakan hasil daripada cukai tersebut untuk tujuan maksiat dan bukannya untuk tujuan memenuhi keperluan maslahah umum, maka ia adalah haram dan berdosa. Mereka juga mengatakan bahawa sebagai seorang Muslim (sama ada dalam bentuk individu atau kerajaan) tidak sepatutnya mengambil harta orang lain melainkan tempat-tempat dan keadaan yang dibenarkan oleh Islam sebagaimana yang ditunjukkan oleh nas dan dalil-dalil syarak.

     

    Harus 

    Manakala dalil-dalil yang mengatakan bahawa cukai itu harus adalah seperti berikut:

    1. Hadis:
    • “Sesungguhnya pada harta itu ada kewajipan lain selain zakat.” (Riwayat at-Tirmidzi)
    1. Kaedah Fiqhiyyah:
    • “Syariat itu dibina atas dasar memenuhi maslahah manusia dan menjauhkan mafsadah daripada mereka.”
    • “Ditanggung kemudaratan khusus untuk mengelakkan berlakunya kemudaratan umum.”
    1. Pandangan Ulama
    • Sebahagian ulama iaitu Ibn Hazm, Ibn Taimiyah, Ibn al-Musili al-Syafi’I, al-Syatibi, Ibn Khaldun, ulama semasa Mahmud Syaltut dan Ahmad Al-Raysuni membenarkan kerajaan untuk mengenakan cukai kepada rakyat sekadar untuk memenuhi maslahah umum pentadbiran negara.

    Buat pengetahuan pembaca, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Kali Ke-106 yang bersidang pada 21 dan 22 Oktober 2014 bersetuju memutuskan bahawa Islam mengharuskan pemerintah atau Ulil Amri untuk mengutip cukai seperti GST selagi mana terdapat keperluan dan maslahah untuk negara dan rakyat, dan pelaksanaannya hendaklah berpandukan parameter syarak seperti berikut:

    1. Kerajaan komited melaksanakan syariat Islam;
    2. Kerajaan memerlukan sumber kewangan;
    3. Cukai yang dikutip hanya untuk memenuhi maslahah daruriyat dan hajiyat;
    4. Bebanan cukai dikutip secara adil;
    5. Cukai dibelanjakan untuk maslahah ummah bukan untuk maksiat;
    6. Agihan cukai hendaklah bertepatan dengan ijtihad ulama semasa dan setempat.

    Sementelah pelaksanaan GST ini masih baru lagi di Malaysia, jadi tidak dinafikan terdapat banyak kelemahan dan kelompongan daripada pelbagai aspek pentadbiran, pengurusan dan pelaksanaannya. Saya sendiri pernah makan pancake di sebuah restoran di ibu kota dan apa yang mengejutkan saya (tak terkejut sangatlah sebenarnya) ialah selain daripada saya dikenakan GST sebanyak 6%, saya juga turut dikenakan caj bagi servis dan perkhidmatan mereka sebanyak 10%. Caj bagi servis dan perkhidmatan mereka dikekalkan, dan ditambah pula dengan caj GST untuk dibayar kepada kerajaan. Menerusi laman sosial Twitter GST Malaysia Info (@gstmalaysiainfo) mengatakan bahawa GST tidak menggantikan Caj Perkhidmatan (Service Charge) tetapi GST hanya menggantikan Cukai Perkhidmatan (Service Tax) sahaja. Caj Perkhidmatan dikutip oleh perniagaan, ia bukan cukai yang dikutip oleh kerajaan. Nah, saya kurang pasti sama ada GST sebenarnya membawa kebaikan atau menambahkan lagi bebanan dalam isu ini. Apa yang pasti, saya keluar daripada restoran tersebut dalam keadaan yang agak geram dan kecewa sambil mengeronyokkan resit tersebut. Kah!

    Untuk pengetahuan pembaca yang budiman, terdapat sesetengah firma guaman yang turut terkena tempias ‘Gelombang GST’ yang mana cukai GST sebanyak 6% dikenakan terhadap khidmat guaman yang diberikan kepada pelanggan-pelanggan yang dihormati mulai 1 April 2015. Walaupun pahit untuk ditelan, tapi itulah realiti yang terpaksa dihadapi atas arahan daripada Jabatan Kastam DiRaja Malaysia. Mana-mana firma guaman yang mencatat annual revenue atau pendapatan tahunan melebihi RM500,000.00 setahun diwajibkan mendaftar di bawah GST. Logiknya, pelanggan-pelanggan akan lari dan lebih cenderung memilih firma yang tidak mengenakan GST. Kesannya kepada firma guaman ialah mereka terpaksa mengurangkan pendapatan tahunan di bawah RM500,000.00 supaya tidak dikenakan GST pada masa akan datang. Ini bakal memberikan kesan yang buruk kepada kewangan firma dan boleh menyebabkan keuntungan yang diperoleh merosot. Nauzubillah.

    Lebih sebulan yang lalu kecoh memperkatakan tentang kenyataan yang dibuat oleh Timbalan Menteri Kewangan, Yang Berhormat Datuk Ahmad Maslan semasa forum penerangan berkenaan GST kepada mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada 11 April yang lalu sehingga namanya menjadi trending di laman sosial Twitter dan Facebook. Beliau telah dikecam dengan hebat lantaran kenyataannya yang menyarankan supaya mahasiswa memasak dan tidak makan di luar untuk mengelakkan GST. Lantaran kenyataannya itu, ia telah menimbulkan kontroversi dalam kalangan mahasiswa UiTM sendiri memandangkan peraturan dalam kampus yang tidak membenarkan pelajar mereka memasak. Dalam kenyataan balasnya, beliau menyatakan bahawa kenyataan yang dibuat itu adalah ditujukan kepada mahasiswa yang tinggal di luar kampus.

    Hakikatnya, lumrah mahasiswa suka akan perkara yang mudah dan cepat oleh sebab kekangan waktu untuk menyiapkan tugasan, belajar dan sebagainya. Kebiasaannya, mereka akan membeli makanan bungkus atau melepak di kedai mamak saja untuk makan. Jika mereka ingin memasak sekalipun, sudah tentu mereka akan membeli bahan makanan bertin atau mi segara (yang mana turut dikenakan GST) untuk dimasak kerana itu dirasakan lebih senang. Bukannya seperti mak-mak kita di rumah yang menggunakan bahan-bahan mentah seperti daging, ikan dan sayur yang tidak dikenakan GST. Selain itu, jika mahasiswa memasak sekalipun, adakah mereka mempunyai masa untuk memasak setiap hari paling tidak dua kali sehari untuk makan tengah hari dan makan malam? Lupakan soal disiplin dan persediaan mahasiswa ke arah melayari alam rumah tangga kerana apa yang harus diberi prioriti ketika ini adalah soal pembelajaran dan bukannya memasak! Maka di sini logikkah saranan yang dilontarkan oleh Timbalan Menteri Kewangan tersebut?

    Walaupun banyak info dan maklumat berkenaan GST telah acapkali dipaparkan kepada rakyat melalui iklan di televisyen, radio, surat khabar dan sebagainya, namun kebaikan hasil daripada pelaksanaan GST Itu tidak sampai dengan tepat kepada rakyat. Jadi, di manakah silapnya? Mungkin kerana banyak persoalan yang timbul di benak fikiran rakyat tentang isu ini seperti sama ada GST sesuai dijalankan dengan keadaan sekarang, kewajaran kerajaan memulakan GST pada kadar 6% dan mengapa tidak 3% atau 5% atau 16%, adilkah golongan miskin juga turut terkena tempias GST dan sebagainya. Apa yang menjadi tanda tanya dan kegusaran rakyat sekarang ini adalah sejauhmana komitmen kerajaan dalam memastikan bahawa hasil GST yang diterima oleh mereka dapat memberi faedah secara langsung kepada rakyat daripada pelbagai aspek seperti pendidikan, perubatan, kemudahan infrastruktur, prasarana dan lain-lain lagi. Contohnya, dari aspek pendidikan, mampukah hasil GST yang diterima dapat memberikan pendidikan percuma kepada mahasiswa di peringkat tinggi, menaiktaraf universiti-universiti tempatan sedia ada dan menghasilkan pensyarah-pensyarah yang lebih berkualiti?

    Apabila kita melabur wang, sudah tentulah kita mengharapkan hasilnya. Begitu juga dengan GST. Rakyat hanya ingin tahu ke mana wang mereka itu akan pergi dan bagi tujuan apa. Tujuan dan faedah yang dapat dinikmati oleh semua secara bersama seperti perumahan mampu milik, perkhidmatan pengangkutan awam yang lebih baik dan juga jalan-jalan rata yang tidak berlubang misalnya. Oleh sebab pelaksanaan GST sekarang ini bakal memberi impak kepada rakyat dalam jangka masa panjang, justeru rakyat amat berharap bahawa duit yang dikutip itu dapat membawa kepada kualiti hidup yang lebih baik dari semasa ke semasa. Seharusnya, kerajaan tidak perlu bersikap apologetik untuk melaksanakan sistem percukaian GST ini walaupun mendapat konotasi yang pelbagai daripada semua pihak jika ia dirasakan baik demi kemakmuran, kelestarian dan kesuburan ekonomi negara. Setelah lebih 160 negara melaksanakan GST, akhirnya kita juga turut melaksanakannya mulai 1 April yang lalu. Ikrar dan slogan GST iaitu “Membangun dan Maju Bersama” haruslah ditaati dan dipatuhi oleh kerajaan kerana ia adalah amanah rakyat yang perlu digalas dengan sebaiknya.

    Seperti burung merpati yang terperangkap dalam sangkarnya, setelah hampir dua bulan pelaksanaan GST berjalan, kita tidak mampu untuk berbuat apa-apa selain menerima dan menelan sahaja cukai GST yang sedang dilaksanakan di negara kita.  Pada 1 Mei yang lalu, suatu perhimpunan Bantah GST oleh sekretariat ‘Kita Lawan’ yang terdiri daripada parti politik, badan bukan kerajaan (NGO), golongan profesional dan mahasiswa telah diadakan di ibu negara yang dihadiri seramai 10,000 orang. Perhimpunan tersebut menunjukkan bahawa orang ramai sangat terkesan dan menolak pelaksanaan GST yang mula diperkenalkan sejak awal April lalu. Namun, sejauh manakah segala protes dan perhimpunan yang dilakukan akan mampu untuk mengubah keputusan pemerintah berkenaan pelaksanaan GST ini? Apa yang mampu kita lakukan ialah sama-sama mendoakan keampuhan dan kestabilan ekonomi negara serta kesejahteraan ummah secara holistik. Bersama-samalah kita mengharapkan sinar dan nikmat hasil daripada pelaksanaan GST di negara kita yang tercinta ini. InsyaAllah.

     

    FAS: Ke arah mencapai Wawasan 2020.

    Artikel disediakan untuk Faiz Adnan & Associates.