• HUDUD TIDAK BERPERIKEMANUSIAAN

    HUDUD TIADA SIFAT KEMANUSIAAN, HANYA MENGHUKUM DAN MENAKUTKAN?

    Soalan: Saya ingin mengajukan soalan berkaitan HUDUD kepada Peguam Syarie Faiz Adnan. Sesetengah pihak menyatakan undang-undang Islam (HUDUD) dibuat hanyalah untuk menghukum dan menakutkan semata-mata. Selain itu, hukuman tersebut juga tiada sifat kemanusiaan. Adakah ia menepati dhawabit maqasid syariah?

    Ani.

     

    Jawapan:

    Terima kasih Ani kerana atas soalan yang diberikan. Pertama sekali, Hudud bukanlah undang-undang yang dibuat untuk menakut-nakutkan manusia. Perlu difahami bahawa konsep undang-undang Hudud ini disyariatkan adalah untuk mendidik orang Islam khususnya dan orang bukan muslim amnya. Ini kerana untuk melaksanakan hudud itu sendiri bukanlah suatu yang mudah. Dalam sesuatu kes Hudud, ia memerlukan kepada kesaksian dan pembuktian yang ketat dan jelas. Jika terdapat keraguan walaupun sedikit maka pesalah tersebut tidak boleh dihukum dengan hukuman Hudud sepertimana sabda Rasulullah saw menyebut :

    ” Lebih baik melepaskan orang yang bersalah daripada menghukum orang yang tidak bersalah “

     

    Dengan kepayahan dan kesukaran untuk melaksanakan Hudud ini jelas menyifatkan bahawa undang-undang ini tidaklah sekejam seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak malah sebaliknya telah pun mengambil kira unsur kemanusian bukan setakat kesan ke atas pesalah tersebut bahkan kepada umat Islam seluruhnya. Hikmah Allah swt mensyariatkan syariat ini bukanlah semata untuk menghukum tetapi untuk perkara yang lebih besar iaitu melindungi kehidupan manusia dari jenayah-jenayah yang akan memberi kesan kepada 5 perkara yang digariskan dalam maqasid syariah khususnya.

     

    Oleh itu pada pandangan peribadi saya, pihak yang menghalang perlaksanaan hudud itulah yang sebenarnya tidak berperikemanusiaan. Kerana apa? Kerana mereka tidak membenarkan ketenteraman dan keharmonian berlaku dalam kehidupan manusia.

     

    Seperti yang kita semua tahu bahawa Hudud ini adalah hak Allah dan manusia juga adalah hak Allah. Jika sekiranya seseorang manusia itu melakukan perkara yang bertentangan dengan kehendak Allah swt maka bagi pandangan peribadi saya, tidak menjadi salah jika Allah swt mengambil kembali nikmat yang diberikan kepada manusia tersebut seperti tangan ( yang dipotong bagi kesalahan mencuri/merompak ) dan seumpamanya. Namun begitu, hukuman ini terhad hanya kepada orang Islam sahaja atas asas keimanan yang mengakui bahawa Allah itu wujud.

     

    Seterusnya dari segi maqasid syariah, ya sememangnya Hudud menepati dhawabitnya. Dalam maqasid syariah, terdapat 5 perkara yang perlu dijaga iaitu akal, keturunan, harta, agama dan nyawa. Melihat kepada jenayah hudud itu sendiri iaitu meminum arak, berzina, mencuri, murtad dan membunuh, dengan adanya had hukuman bagi kesalahan-kesalahan tersebut sekali gus dapat memelihara kelima-lima perkara dalam maqasid syariah.

     

    Hukuman ini sering dianggap kejam dan tidak berprikemanusiaan sepertimana yang didakwa oleh sesetengah pihak. Kerana apa? kerana undang-undang ini datangnya dari Islam. Cuba bayangkan kalau hukuman ini adalah hukuman sivil atau dari pihak barat? Nescaya seluruh masyarakat di Malaysia khususnya atau dunia umumnya akan menerima hukuman-hukuman ini meskipun terpaksa. Apa yang pasti hukuman ini adalah jauh lebih baik dan bertimbang rasa berbanding hukuman barat seperti kerusi elektrik, gantung sampai mati, dan lain-lain. Secara mudah, perbandingan boleh dibuat terhadap hukuman sebat sivil dan syariah yang dilaksanakan di penjara pada hari ini.

    Wallahua’lam.

     

    Artikel disediakan untuk Firma Peguam Syarie Faiz Adnan & Associates.