• kelayakan mutah

    Apakah itu Mut’ah? Layakkah saya untuk menerima Mut’ah?

    Soalan mengenai MUT’AH:

    PEGUAM SYARIE Faiz Adnan, setelah bercerai dengan suami, saya diberitahu bahawa saya boleh menuntut harta sepencarian, nafkah eddah, hak penjagaan anak serta nafkah anak, dan mut’ah daripada suami saya. Namun, saya kurang pasti apakah itu mut’ah? Adakah saya benar-benar layak untuk menerimanya walaupun saya adalah seorang yang berjaya dalam kerjaya saya dan mempunyai pendapatan sendiri? Sekiranya saya layak, adakah saya boleh menuntut seberapa banyak amaun yang saya mahu atau mahkamah akan menetapkan amaun tersebut?

    Jawapan:

                Merujuk kepada soalan Puan di atas, mut’ah adalah suatu bentuk bayaran yang menggambarkan penghargaan kepada bekas isteri yang telah berkhidmat untuk suami dan anak-anak sepanjang tempoh perkahwinan. Menurut pengertian yang diberikan oleh Wahbah Zuhaili dalam kitabnya Fiqh Al Islami Wa Adillatuhu, mut’ah adalah suatu pemberian harta yang wajib keatas lelaki untuk membayar kepada isterinya yang diceraikan pada masa hidup, dengan talak, bergantung kepada beberapa syarat. Seksyen 2 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 juga menyatakan bahawa mut’ah adalah bayaran saguhati yang diberi dari segi Hukum Syara’ kepada isteri yang diceraikan.

                Selepas Puan dan suami diisytiharkan telah bercerai, Puan haruslah memfailkan ke mahkamah bagi menuntut mut’ah dengan menyatakan jumlah yang dirasakan relevan. Seterusnya, Puan haruslah membuktikan kepada mahkamah bahawa bekas suami adalah seorang yang mampu untuk membayar sejumlah bayaran mut’ah yang dituntut tersebut.

                Mut’ah disyariatkan atas lelaki kepada wanita yang telah diceraikan untuk menjadi bekalan bagi meringankan beban mereka yang disebabkan oleh perpisahan dan memulakan kehidupan baru tanpa suami. Selain itu, mut’ah menjadi suatu tuntutan selepas penceraian bagi mengambil hati bekas isteri di samping dapat mengubati perasaan sakit hati dan rasa benci yang berpunca daripada penceraian yang berlaku. Ia juga bagi menutup perasaan sedih, dan malu apabila menerima sangkaan buruk daripada masyarakat terhadap penceraian tersebut.

                Pengarang kitab I’anah at-Talibin, pada Juz 3, m/s 356 juga ada menyatakan bahawa ‘wajib ke atas suami membayar mut’ah kepada isteri yang sudah disentuh (dipersetubuhi) walaupun ianya (isteri itu) seorang hamba, dengan sebab berlakunya penceraian yang bukan kerana kematian salah seorang daripada kedua-dua mereka’.

                Maka jelaslah, seorang lelaki wajib melaksanakan bayaran kepada isteri yang diceraikan, bergantung kepada beberapa syarat.

                Seksyen 56 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 menyatakan bahawa perempuan yang diceraikan tanpa sebab yang patut boleh menuntut mut’ah dan mahkamah boleh memerintahkan suami untuk membayar sejumlah wang yang patut & wajar mengikut hukum syarak. Tafsiran frasa tanpa sebab yang patut telah diperincikan lagi dalam kes Sapiee bin Muda lwn Adnan Hawa bt Mohamad telah merujuk kepada Kitab Mughni Muhtaj yang telah menggariskan syarat kelayakan seorang isteri bagi menuntut mut’ah, antaranya ialah:

    • Penceraian dengan kematian suami / isteri – suami tidak diwajibkan untuk membayar mut’ah
    • Penceraian berpunca daripada suami yang mewajibkan seorang suami untuk membayar mut’ah.
    • Talaq
    • Li’an
    • Suami murtad
    • Fasakh nikah disebabkan aib suami sebelum akad nikah
    • Penceraian berpunca daripada isteri semata-mata – tidak diwajibkan ke atas suami untuk membayar mut’ah:
    • Isteri murtad
    • Isteri memeluk Islam
    • Fasakh nikah kerana aib isteri
    • Isteri memfasakhkan nikah kerana suami papa
    • Isteri memfasakhkan nikah kerana suami mati pucuk

                Puan dan bekas suami seharusnya bersetuju akan suatu amaun bagi bayaran mut’ah. Namun sekiranya gagal mencapai satu persetujuan, Hakim akan menentukan amaun tersebut dan keputusan hakim haruslah dihormati.

                Menurut Kitab Ianah Al Talibin, Juz 3 yang dipetik dalam penghakiman kes Tukimah Ahmad lwn Jamaluddin Ibrahim, berdasarkan ayat 236 daripada Surah Al-Baqarah, penulis kitab tersebut telah menyatakan bahawa kadar penentuan mut’ah mestilah dengan mengambil kira apa yang sesuai dengan keadaan kedua-dua pihak pada masa penceraian.

                Oleh yang demikian, mahkamah dalam mempertimbangkan kadar mut’ah akan melihat kepada faktor-faktor seperti di bawah:-

    • Kemampuan suami
    • Tempoh perkahwinan
    • Taraf hidup pasangan semasa perkahwinan
    • Status pendidikan dan pekerjaan isteri
    • Isteri tidak pernah diisytiharkan nusyuz
    • Menjaga kebajikan rumahtangga dengan baik.
    • Usia pihak-pihak
    • Lain-lain bentuk pengorbanan

          Maka, Puan boleh memfailkan tuntutan mut’ah ke mahkamah tinggi dan menyatakan jumlah yang relevan untuk dituntut. Selepas itu, Puan hendaklah membuktikan bahawa bekas suami adalah seorang yang berkemampuan untuk membayar jumlah yang dituntut tersebut, dengan mengemukakan slip gaji bekas suami, geran tanah, atau apa-apa dokumen atau bukti yang menunjukkan harta-harta beliau. Sekiranya Puan dan bekas suami boleh mencapai persetujuan bersama untuk suatu amaun mut’ah, maka tidak perlu untuk kes mut’ah ini difailkan di mahkamah. Jika sebaliknya berlaku dimana terdapat pertelingkahan tentang mut’ah, kes ini perlulah dibawa ke mahkamah bagi hakim untuk menentukannya. Mempunyai pendapatan dan kerjaya sendiri tidak menghalang Puan untuk menuntut mut’ah kerana ianya adalah hak seorang perempuan apabila diceraikan.

    Untuk sebarang pertanyaan, atau sekiranya anda ingin menetapkan temujanji dengan Peguam Syarie Faiz Adnan, anda boleh menghubungi kami menerusi telefon/email.