• KEPERLUAN SAKSI DALAM PERMOHONAN PENGESAHAN HIBAH DI MAHKAMAH SYARIAH

    Pengesahan Hibah – Perkembangan produk hibah ini sebagai satu mekanisma perancangan dan juga pengurusan harta orang Islam semakin bertambah maju apabila industri tersebut telah menawarkan pelbagai produk yang berkonsepkan akad hibah. Hibah juga dilihat sebagai sebagai salah satu jalan keluar daripada permasalahan yang mana melibatkan isu-isu harta pusaka yang tidak dapat diselesaikan saban tahun serta ianya sangat bersesuaian dengan keadaan dan adat masyarakat Islam sekarang ini. Ianya dapat dibuktikan apabila permohonan berkenaan pengesahan hibah ini di Mahkamah Syariah semakin meningkat sebagaimana menurut Adilah dan Mohd Zamro (2018) sebanyak 22 kes hibah telah pun dipohon sepanjang tahun 2010 sehingga 2014 di Selangor. Ini menunjukkan bahawa produk hibah ini telah mendapat tempat dalam kalangan masyarakat Islam dan juga tahap kesedaran umat Islam pada hari ini terhadap perancangan awal harta hibah ini semakin bertambah baik.

    Hibah merupakan akad tabarru’ yang dilakukan secara sukarela semasa hayat seseorang tanpa mengharapkan apa-apa balasan (al-Shatiri 2014). Secara asalnya hibah ini terlaksana dengan memenuhi segala rukun-rukun dan syarat yang terdiri daripada pemberi hibah, penerima hibah, harta yang dihibahkan, sighah ijab dan qabul serta al-qabd antara pemberi dan penerima hibah. Sebagaimana kebanyakan akad muamalah yang lain, hibah ini tidak memerlukan kepada saksi sebagai syarat tambahan untuk membolehkan harta itu berpindah milik dan tidak terdapat di dalam mana-mana fuqaha mazhab yang meletakkan syarat bahawa akad hibah tersebut hendaklah disaksikan oleh beberapa orang saksi bagi membenarkan proses pengesahan hibah tersebut berlaku.

    Penggunaan saksi hanya diperlukan apabila timbulnya pertikaian di antara pihak yang berakad  sahaja. Sebaliknya Mahkamah Syariah dalam sesetengah kes menolak permohonan pengesahan hibah jika dakwaan tersebut timbul dan mendatangkan saksi sebagai bukti. Oleh itu telah timbul persoalan sejauh manakan elemen saksi yang diperlukan dan adakah ianya menjadi suatu keperluan semasa untuk meletakkan syarat saksi ketika suatu hibah itu berlangsung.

    Kesaksian menurut bahasa Arab berasal daripada perkataan shahada yang mengandungi beberapa maksud tertentu (al-Wizarah al-Awqaf 2004) sama ada ia bermaksud perkhabaran yang pasti, kehadiran atau pemberitahuan, sumpah, ikrar, kalimah tauhid dan kematian di jalan Allah SWT. Menurut al-Sharbini (2009) pula, kesaksian berasal daripada perkataan shuhud yang bermaksud al-hudur iaitu kehadiran. Seseorang itu telah dikatakan menyaksikan anak bulan apabila dia turut hadir ketika peristiwa tersebut sedang berlaku (al-Qurthubi 1999). Shahada juga bermaksud al-mua’yanah sebagaimana dalam firman Allah yang bermaksud: 

    Dan mereka pula menyifatkan malaikat – yang juga menjadi hamba-hamba Allah Yang Maha Pemurah itu – jenis perempuan. Adakah mereka menyaksikan kejadian malaikat itu? Akan dituliskan kata-kata mereka (yang dusta itu), dan mereka akan ditanya kelak (serta akan menerima balasannya).”  (Surah al-Zukhruf :43:19)

    Oleh itu, kewujudan saksi merupakan elemen yang sangat penting dalam mensabitkan sesebuah hak kerana shahadah merupakan salah satu bentuk al-bayyinah yang diterima oleh syarak. Sebagaimana menurut Ruzman Md. Noor (2008) konsep shahadah, iqrar, al-yamin dan al-qarinah merupakan bentuk-bentuk keterangan yang digunapakai bagi membuktikan kebenaran sesuatu perkara. Namun begitu, individu yang dipilih untuk menjadi saksi itu hendaklah memenuhi dawabit yang ditetapkan oleh syarak agar kesaksian yang dibuat tidak dapat disangkal dan dapat diterima sebagai bukti.

     

    SYARAT KELAYAKAN UNTUK MENJADI SAKSI PENGESAHAN HIBAH

    Secara umumnya saksi boleh dibuat oleh mana-mana individu yang menjadi saksi sebagaimana yang telah digariskan oleh para fuqaha antaranya ialah seorang yang baligh dan berakal,beragama Islam, seorang yang adil,tidak mempunyai kecacatan yakni dalam erti kata lain, saksi bukanlah seorang yang buta dan juga bisu serta akhir sekali saksi juga tidaklah mempunyai unsur-unsur tohmahan yang mana menurut fuqaha tohmahan itu wujud dalam beberapa bentuk sama ada disebabkan wujudnya kepentingan mahupun menolak kemudaratan. Kedua-dua unsur ini boleh menafikan kelayakan seseorang untuk menjadi saksi.

    Syarat-syarat kelayakan ini juga adalah demi menjaga kepentingan kedua-dua belah pihak yang bertikai. Dengan adanya akta dan juga enakmen keterangan di seluruh negeri di Malaysia seperti Akta Keterangan Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 Seksyen 83(1) yang menyebut :

    Tertakluk kepada seksyen ini semua orang Islam adalah kompeten untuk memberikan syahadah atau al-bayyinah sebagai saksi dengan syarat bahawa mereka adalah aqil, baligh, adil, mempunyai ingatan yang baik dan tidak berprasangka.

    Ia sepatutnya menjadi satu panduan bagi pihak penyedia dokumen serta orang awam untuk mengambil saksi yang benar-benar menepati syarak di samping dapat memenuhi kehendak pihak Mahkamah Syariah dalam menerima kesaksian.

     

    KEPERLUAN SAKSI DALAM PENGESAHAN HIBAH DI MAHKAMAH SYARIAH

    Keperluan saksi dalam akad hibah juga dapat dilihat menerusi kes Ibrahim Harun v Mat Yusoff Mat Kassim (03000-044-0005-2015) yang dibicarakan di Mahkamah Syariah Negeri Kelantan. Perayu dalam kes ini iaitu Ibrahim Harun telah tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Kelantan seterusnya membuat rayuan untuk mengesahkan hibah hartanah yang telah dibuat oleh Mek Som binti Ibrahim kepadanya. Fakta dalam kes ini bahawa tanah tersebut telah dipusakai oleh tiga orang iaitu Harun bin Kassim, Ismail bin Kassim dan Mat Yusoff bin Kassim. Mahkamah yang bersidang tidak berpuas hati terhadap hujah dan keterangan yang diberikan oleh perayu dengan mendatangkan hanya seorang saksi sahaja. Keterangan yang diberikan oleh saksi iaitu Yusof bin Yaakob bahawa beliau telah mendengar si mati Mek Som binti Ibrahim mengatakan :

    “Him (perayu), aku hendak beri kepadamu Him tanah pesaka”; kemudian Mek Som kata “mu buat kedai atas tanah ini”.

    Dalam alasan penghujahan, mahkamah menegaskan kesaksian yang dilakukan oleh saksi Perayu tidak jelas serta tidak mencukupi untuk menyokong dakwaan Perayu. Mahkamah dalam kes ini tidak mempersoalkan rukun dan syarat hibah mahupun syarat kelayakan saksi namun bilangan saksi yang hanya seorang sahaja tidak mampu dijadikan hujah yang kukuh untuk mengesahkan dakwaan hibah telah dibuat. Justeru, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Perayu serta mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu bahawa hibah oleh si mati Mek Som binti Taib tidak berlaku kepada Perayu.

     

    KESIMPULAN

    Meletakkan saksi dalam akad hibah bukanlah suatu perkara yang dilarang syarak bahkan saksi merupakan salah satu kehendak maqasid syariah dalam soal penjagaan harta supaya hak pemilikan penerima hibah dapat dijaga. Ketiadaan saksi semasa akad hibah langsung tidak membatalkan akad hibah serta perpindahan pemilikan tetap berlaku. Melihat kepada keputusan Mahkamah Syariah dapatlah disimpulkan bahawa saksi merupakan elemen yang penting untuk diletakkan dalam setiap penyediaan borang hibah ataupun hibah yang dibuat secara lisan agar hak pihak-pihak berakad dapat diserahkan dengan adil. Saksi-saksi yang dikemukakan juga perlulah menepati kehendak syarak seperti tidak mempunyai unsur tohmahan di antara pihak bertikai termasuk kriteria-kriteria saksi yang telah diperuntukkan dalam Undang-undang Keterangan Mahkamah Syariah seharusnya dijadikan garis panduan oleh semua pihak sama ada pihak industri dan juga orang awam.

    Sebarang soalan mengenai kes hibah boleh hubungi Peguam Syarie Faiz Adnan.