• BOLEH KE WARIS MENUNTUT HARTA SEPENCARIAN BAGI PIHAK SI MATI?

    BOLEH KE WARIS MENUNTUT HARTA SEPENCARIAN BAGI PIHAK SI MATI?

    Soalan:Assalamualaikum… Ibu saya sudah meninggal tetapi tiada tuntutan harta sepencarian dibuat. Dalam pada masa yang sama, ayah saya mempunyai isteri kedua. Soalan saya, boleh ke saya sebagai waris si mati (ibu saya) membuat tuntutan harta sepencarian bagi pihak ibu saya? Sebab apa yang saya faham, harta sepencarian ni yang boleh tuntut suami atau isteri sahaja kerana melibatkan harta pasangan masing-masing…mohon penjelasan, terima kasih.”

     

    Sepertimana yang kita sedia ketahui, orang yang berhak menuntut harta sepencarian selepas kematian adalah suami atau isteri si mati kerana ia adalah hak perkongsian mereka berdua.  Peruntukan bagi harta sepencarian pasangan suami isteri terdapat di dalam setiap Enakmen atau Akta di setiap negeri-negeri di Malaysia. Di Selangor, menurut Seksyen 2(1), Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003, tafsiran Harta Sepencarian; menjelaskan bahawa harta sepencarian adalah harta yang diperolehi bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuatkuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum Syarak.

     

    Seksyen 122 enakmen yang sama juga memperuntukan berkenaan dengan kuasa mahkamah memerintah pembahagian harta sepencarian yang diperolehi, dapat kita simpulkan bahawa harta sepencarian adalah harta yang terhasil sama ada dengan usaha bersama antara suami isteri atau salah satu pihak dalam suatu perkahwinan yang sah mengikut undang-undang.

     

    Walaupun begitu, ianya tidaklah menjadi penghalang bagi waris si mati yang telah membuat tuntutan harta sepencarian selepas kematian salah satu pihak tetapi meninggal sebelum kes dapat dibicarakan untuk meneruskan tuntutan tersebut. Ini dapat dilihat dalam kes Wan Chik bin Wan Abdul Kadir lwn. Esah Zakarian dan 5 YL, plaintif merupakan anak lelaki kepada kedua-dua si mati iaitu Wan Abdul Kadir (bapanya) dan Jeriah (ibunya). Tuntutan dibuat ekoran tuntutan yang dibuat oleh Jeriah, isteri kedua Wan Abdul Kadir, yang telah meninggal dunia sebelum kes dapat dibicarakan. Mahkamah telah meluluskan tuntutan dengan memberikan hak satu per tiga dari harta alih dan harta tak alih sebagai harta sepencarian Jeriah.

     

    Yang menjadi persoalan adalah, adakah waris isteri tadi boleh membuat tuntuan harta sepencarian sekiranya tiada tuntutan dibuat oleh isteri sebelum dia meninggal dunia?

     

    Perkara ini mungkin terjadi apabila suami berpoligami. Terdapat situasi: Pertama: suami meninggal dunia, kemudian salah seorang isterinya pula meninggal tanpa membuat tuntutan harta sepencarian. Kedua: Salah seorang isteri meninggal, tetapi suami masih hidup. Adakah waris isteri tersebut boleh menuntut harta sepencarian bagi pihaknya?

     

    Pendirian mahkamah di dalam kes Tuan Awang Tuan Mamat & Others lwn. Tuan Alam bin Tuan Ahmad @ Other, plaintif merupakan anak kepada kedua-dua si mati iaitu Tuan Mamat (ayah plaintif) dan Tuan Sonik (ibu plaintif). Manakala pihak Defendan pula adalah keluarga isteri kedua Tuan Mamat. Mahkamah memutuskan tuntutan plaintif di tolak dengan alasan bahawa kedua-dua ibu bapa mereka telah lama meninggal dunia iaitu lebih 50 tahun. Akan tetapi pihak mahkamah tidak menafikan hak waris untuk menuntut harta sepencarian bagi pihak si mati.

     

    Walau bagaimanapun, waris-waris suami atau isteri kepada si mati boleh menuntut harta sepencarian jika salah satu pihak masih hidup tidak membuat sebarang tuntutan. Sebagai contoh, apabila suami mempunyai dua orang isteri dan salah seorang isterinya meninggal dunia, maka waris kepada isteri si mati tersebut boleh menuntut harta sepencarian bagi pihak si mati.

     

    Jika diteliti dari kes Hajjah Saudah lwn. Hanafi Hj. Daud & Lain-lain, Plaintif adalah isteri kepada si mati yang telah menuntut harta sepencarian terhadap empat lot tanah yang didaftarkan atas nama si mati. Manakala Defendan pula ialah anak-anak si mati dari isterinya yang kedua. Defendan dalam tuntutan balas mereka menuntut enam lot tanah lain yang didaftarkan atas nama Plaintif sebagai harta sepencarian bagi pihak bapa mereka. Pihak mahkamah telah memutuskan bahawa empat lot tanah itu adalah harta sepencarian dan enam lot tanah yang didaftarkan atas nama Plaintif turut dianggap sebagai harta sepencarian. Plaintif telah membuat rayuan terhadap keputusan mahkamah tinggi yang memutuskan bahawa enam lot tanah yang didaftarkan atas namanya ialah harta sepencarian. Mahkamah Rayuan Syariah Kelantan telah memberi pilihan kepada perayu (Plaintif) untuk bersumpah syarie yang enam lot itu adalah miliknya sendiri. Setelah bersumpah, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa enam lot tanah tersebut bukanlah harta sepencarian dan ia adalah milik perayu persendirian. Sekiranya perayu enggan bersumpah, tuntutan harta sepencarian oleh waris bagi pihaknya boleh diterima.

     

    Berdasarkan kes di atas, berasaskan pandangan bahawa hak terhadap harta sepencarian adalah hak yang sememangnya thabit dalam diri, sama ada si suami mahupun si isteri, yang boleh dituntut sama ada dalam perceraian, ketika suami ingin berpoligami atau kematian salah satu pihak. Maka waris si mati juga berhak menuntut harta sepencarian bagi si mati. Cumanya yang menjadi persoalan adalah, bagaimana waris si mati dapat membuktikan dan memuaskan hati mahkamah bahawa harta tersebut adalah harta sepencarian si mati yang memberi sumbangan secara langsung atau tidak langsung semasa dalam tempoh perkahwinan si mati.