• abjad-dan-angka-faiz-adnan-associates

    Abjad Dan Angka

    Pandai.

    Ia juga merupakan satu perkara yang subjektif, sama seperti kecantikan. Atau perkara-perkara lain yang tidak dapat diukur dalam bentuk skala objektif mahupun jawapan mudah ‘ya’ atau ‘tidak’.

    Apabila bercakap perihal kepandaian, saya pasti rata-rata daripada kita melihat dan menilai kepandaian itu dari sudut akademik. Ketika di zaman persekolahan, siapa yang mendapat paling banyak gred ‘A’ dalam peperiksaan, maka dia digelar ‘Budak Paling Pandai’, manakala di peringkat universiti pula, ia diukur melalui siapa yang mendapat pointer atau CGPA paling tinggi pada setiap semester. Pemikiran kebanyakan daripada kita yang telah disogok dengan persepsi sebegini telah memberikan definisi kepandaian secara automatik.

    Saya ingat lagi, semasa di zaman persekolahan, saya pernah bertanyakan kepada seorang rakan perempuan yang saya kira cukup pandai dari segi akademik, perihal kepandaian. Apa yang menarik perhatian saya ialah beliau mengutarakan kembali satu persoalan yang membuatkan saya berfikir. Kata beliau: “Adakah bayi yang baru dilahirkan itu kita sudah tahu bahawa dia seorang yang pandai atau tidak?”. Ia membuatkan saya berfikir sejenak. Lalu saya menemui jawapannya. Sesungguhnya kitalah yang mencorakkan masa depan kita sendiri.

    Ayah saya merupakan seorang Profesor. Namun, itu bukanlah suatu jaminan bahawa saya juga merupakan seorang yang pandai seperti ayah saya. Seperti bait lirik lagu kumpulan nasyid popular, Raihan yang berbunyi: “Iman tak dapat diwarisi, dari seorang ayah yang bertaqwa…” Begitu juga dengan kepandaian. Ia tidak dapat diwarisi. Jika ada yang berkata: “Oh dia anak Profesor, patutlah dia pandai…” Salah! Persepsi dan tanggapan anda perlu dibetulkan. Kotak kecil dalam minda anda perlu dibuka seluas-luasnya umpama hamparan di lautan yang terbentang luas sebelum anda berfikiran dan berkata begitu. Jangan sempitkan pemikiran anda dengan persepsi sebegitu.

    Pada pengamatan saya, pandai ini sama seperti bakat. Ia boleh diasah. Saya tidak nafikan, ada orang yang dilahirkan sebagai genius. Saya juga mempunyai beberapa rakan yang genius. Itu merupakan anugerah Allah bagi mereka. Namun, seperti saya katakan tadi, kepandaian boleh diasah. Seperti subjek matematik, apabila seseorang itu kerap membuat latihan, maka akhirnya dia akan dapat menguasai sesuatu soalan atau permasalahan itu dengan baik. Practice makes perfect. Siapa yang usahanya lebih, maka hasilnya juga lebih. Siapa yang kurang usahanya, maka hasilnya juga setimpal dengan apa yang diusahakan. Mudah. Tidak perlukan kepada perkiraan algebra yang rumit sekalipun.

    Di dalam Surah Ar-Ra’d ayat 11 ada mengatakan: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah apa yang ada pada suatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa yang ada pada diri mereka.” Ayat ini jelas menunjukkan bahawa seseorang itu harus berusaha sekiranya ingin mengubah nasib mereka sendiri. Bak kata pepatah Arab, siapa yang berusaha akan mendapat apa yang diusahakannya, dan siapa yang bercucuk tanam akan menuai hasilnya. Maka, untuk maju ke hadapan dalam hidup, seseorang itu perlulah berusaha. Sifat dengki dan berprasangka terhadap orang lain yang lebih berjaya tidak akan membawa anda ke mana. Ya, mungkin anda akan berasa lega dan selesa untuk seketika, tapi selepas itu?

    Secara peribadi, definisi saya terhadap kepandaian itu pelbagai. Kepandaian itu bukan hanya diukur melalui keputusan akademik semata-mata, bahkan meliputi skop yang luas, dari pelbagai aspek dan perkara. Ada orang yang mungkin tidak pandai dalam akademik, namun pandai dalam bersukan, menari, memasak, berkomunikasi, bermain komputer, bidang fotografi, aspek kepimpinan dan sebagainya. Malahan, pandai mengawal kenderaan dan mahir tentang selok-belok di jalan raya juga termasuk dalam kategori pandai. Jika seseorang itu pandai dari sudut akademik, kokurikulum, sahsiah diri, kepimpinan dan mempunyai bakat dalam pelbagai cabang yang lain, itu merupakan bonus bagi mereka. It shows that he’s an all-rounder, that’s good.

    Ada yang kurang pandai semasa di zaman persekolahan, tapi menyerlah ketika di alam universiti. Begitu juga sebaliknya. Saya akui, ketika di zaman persekolahan peringkat menengah, saya bukanlah seorang yang pandai seperti rakan-rakan bijaksana saya yang lain. Nama saya tidak tergolong dalam senarai Top 10 Pelajar Terbaik Tingkatan. Top 20 juga tiada. Untuk mendapat tempat dalam senarai Top 50 juga sukar bagi saya. Bahkan, nama saya pernah tercicir daripada senarai Top 100 tingkatan saya pada ketika itu. Jika definisi pandai adalah diukur sedemikian rupa, maka saya bukanlah merupakan seorang yang pandai ketika itu.

    Sebab apa? Tentulah kerana ramai lagi pelajar yang lebih pandai daripada saya. Mungkin juga terdapat beberapa subjek yang bukan merupakan subjek kegemaran saya yang menyebabkan keseluruhan keputusan peperiksaan saya merudum. Namun itu bukanlah alasannya. Sukar ataupun tidak, saya terpaksa melalui dan menempuhinya sehingga tamat alam pembelajaran di peringkat menengah untuk melanjutkan pelajaran ke fasa seterusnya. Mencuba sehabis baik ketika menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) adalah senjata terakhir saya. Kurang pandai dalam sesuatu subjek itu bukan bererti kita boleh membuat sambil lewa dan tidak memberi penekanan yang lebih terhadap subjek tersebut, malahan usaha yang berlipat kali ganda adalah diperlukan dan amat digalakkan. Better late than never.

    Apabila melangkah ke alam universiti, saya kira ia merupakan bidang yang kita pilih secara khusus sebelum menerokai ke dunia kerjaya yang lebih mencabar. Jadi, sepatutnya tiada lagi istilah belajar secara terpaksa, sementelah itu pengkhususan yang kita pilih. Tidak dinafikan ada yang bertukar bidang di alam kerjaya dengan apa yang dipelajari sewaktu zaman pembelajaran, tapi itu cerita lain. Saya lebih suka akan konsep pembelajaran di universiti yang mana bukan hanya tertumpu pada kertas peperiksaan semata-mata, namun terdapat juga markah bagi kerja kursus, pembentangan dan juga partisipasi di dalam kelas yang turut diambil kira. Seharusnya mahasiswa patut mengambil kesempatan dan peluang yang ada untuk meningkatkan skil dalam diri mereka, selain meningkatkan markah.

    Walaupun saya hanya belajar di kolej universiti yang sedang membangun di sebuah negeri yang maju, namun saya tidak pernah meletakkan diri saya kurang setara berbanding mahasiswa di universiti-universiti tempatan yang lain. Prinsip saya, kita harus meletakkan pemikiran di kelas pertama walaupun kita berada di tempat kelas ketiga, sebagai contoh. Tempat pembelajaran bukanlah satu-satunya kayu ukur untuk menentukan kejayaan kita, tetapi ia lebih bergantung kepada usaha individu itu sendiri. Jika kita berada di universiti awam No.1 negara sekalipun, tetapi jika kita malas, tiada gunanya. Di mana juga tempat pembelajaran kita, usaha untuk memperoleh kejayaan itu yang harus diberi prioriti.

    Niatkan diri untuk belajar kerana Allah, menggembirakan kedua ibu bapa kita, dan kemudian untuk diri kita sendiri yang ingin menimba dan menuntut ilmu sepanjang hayat. Niat dan tindakan haruslah berjalan seiringan. Jika dalam kes jenayah, mens rea (niat) yang disusuli dengan actus reus (tindakan) akan menghasilkan satu jenayah yang sempurna yang mana jika didapati bersalah, pelakunya boleh dihukum. Begitu juga analoginya dengan kejayaan. Niat untuk berjaya itu sudah cukup baik, namun jikalau sekadar niat sahaja tanpa sebarang usaha, maka wajarkah kita mendapat kejayaan yang sempurna seperti yang diimpikan? Selepas berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai apa yang kita mahukan, berdoa dan bertawakallah kepada Allah kerana Dia adalah sebaik-baik Perancang.

    Pokok pangkalnya, setiap insan boleh mengecapi kejayaan yang diidamkan andainya berusaha dan meyakini bahawa setiap sesuatu yang terjadi itu adalah ketetapan daripada Allah S.W.T. Allah telah mengurniakan setiap daripada kita kelebihan dan keistimewaan yang berbeza-beza yang menjadikan kita pandai dari pelbagai sudut. Janganlah disempitkan kepandaian seseorang itu hanya dari sudut akademik sahaja sehingga merendah-rendahkan potensi dan nilai tambah yang terdapat dalam diri anda. Jangan kerana kesempitan minda kita, kita sempitkan persepsi dan kehidupan orang lain. Sayang, kerana definisi kepandaian itu adalah luas daripada apa yang anda nilaikan selama ini. Berenanglah di lautan yang luas, bukan hanya selama-lamanya di kolam renang yang kecil dan sempit.

    FAS: Biar tak pandai, jangan memandai-mandai.

    Artikel disediakan oleh Hariz Shah untuk Faiz Adnan & Associates.

Comments are closed.