• status agama anak bawah umur

    STATUS AGAMA ANAK BAWAH UMUR & HAK HADHANAH APABILA SALAH SEORANG IBU BAPA MEMELUK ISLAM: ADAKAH ISLAM ATAU KEKAL DENGAN AGAMA IBU BAPA KETIKA BERKAHWIN?

    Status Agama Anak Bawah Umur – Islam sentiasa mementingkan kebajikan anak bagi memastikan anak tersebut dapat membesar dan menjalani kehidupan yang sempurna seperti kanak-kanak lain. Banyak aspek yang perlu diberikan penekanan seperti kesihatan, keselamatan dan pendidikan. Oleh kerana itu, jika ibu bapa bercerai, mereka tetap perlu mengambil berat akan anak mereka kerana ini merupakan tanggungjawab mereka selagi mereka di bawah umur. Bercerai bukan bererti terputus segala hubungan dan tanggungjawab. 

    Terlebih dahulu, lebih baik jika kita melihat pandangan ulama daripada 4 mazhab berkaitan isu di atas. Ulama daripada 4 mazhab tersebut mempunyai pandangan yang berbeza mengenai isu ini. Ada yang mengatakan status agama anak bawah umur sekiranya salah seorang ibu bapa memeluk agama Islam adalah Islam. Akan tetapi, ada juga yang mengatakan sebaliknya. Sudah semestinya pandangan-pandangan yang berbeza daripada ulama ini mempunyai hujah mereka yang tersendiri. 

     

    Pandangan 4 Mazhab Berkaitan Status Agama Anak Bawah Umur Apabila Salah Seorang Ibu Bapa Memeluk Agama Islam.

    Para ulama’ dan fuqaha sudah semestinya mempunyai pandangan yang berbeza mengenai isu status agama anak bawah umur apabila salah seorang pasangan memeluk agama Islam. Hal  ini menunjukkan bahawa isu ini termasuk dalam perkara ijtihadi. Jumhur ulama’ iaitu Mazhab Hanafi, Hanbali dan Syafie berpendapat bahawa di dalam isu ini, anak-anak akan mengikut agama Islam tidak kira yang memeluk agama Islam itu ibu atau bapa. Pendapat ini adalah bersandarkan kepada hadis Nabi SAW yang bermaksud : Daripada ‘A’idz Amr Almuzani, daripada Nabi SAW bersabda : “Islam itu tinggi dan tiada yang lebih tinggi daripadanya”. 

    Berikut pula adalah pandangan ulama-ulama dari setiap mazhab berkaitan penjagaan anak bawah umur apabila salah seorang ibu bapa memeluk agama Islam.

    1. Pandangan Iman al-Imraniyy dari Mazhab Shafie: Imam al-Imraniyy (2000) menjelaskan di dalam kitabnya “al-Bayan Fi Madhhab al-Imam al-Shafie”:
      Maksudnya, “Tidak sabit hak penjagaan anak bagi orang fasik, kerana tidak ada jaminan keselamatan yang kanak-kanak itu akan membesar mengikut caranya. Sekiranya salah seorang daripada ibu bapa itu adalah beragama Islam, maka anak tersebut diberikan kepada yang beragama Islam, dan tidak sabit hak penjagaan kepada orang kafir”.

    2. Pandangan Imam Ibn Abidin dari Mazhab Hanafi:Imam Ibn Abidin menyatakan dalam kitabnya “Radd al-Muhtar ‘Ala al-Durr al-Mukhtar”: Maksudnya, “(Sabit hak penjagaan bagi ibu) iaitu ibu nasab, (walaupun) ibu itu seorang ahli kitab atau majusi atau (selepas perceraian) (kecuali sekiranya ibu itu murtad) sehinggalah dia menjadi muslimah kembali kerana dia akan ditahan (atau si ibu seorang yang jahat) yang mana kejahatannya boleh menyebabkan si anak terbiar seperti berzina, nyanyian, mencuri dan ratapan ketika kematian seperti yang dibahaskan dalam kitab “Bahr al-Ra’iq” dan kitab “Nahr al-Fa’iq”.Ibnu ‘Abidin (1992) berkata lagi: Maksudnya, “Kerana belas kasihan itu tidak berbeza dengan berbezanya agama”.

    3. Pandangan Imam al-Zarqaniyy dari Mazhab Malikiyy:Imam al-Zarqaniyy menjelaskan dalam kitabnya “Sharh al-Zarqaniyy ‘Ala Mukhtasar Sayyidi Khalil”: Maksudnya, “(Hak penjagaan bagi kanak-kanak lelaki sehingga mereka telah baligh dan hak penjagaan perempuan seperti memberi nafakah adalah bagi hak ibu) walaupun ibu itu seorang kafir”.
      Imam Malik mempunyai pandangan yang berbeza mengenai isu ini iaitu anak-anak di bawah umur akan mengikut agama Islam sekiranya yang memeluk agama Islam itu ialah bapanya. Akan tetapi, sekiranya ibu yang memeluk Islam, anak-anak tersebut tidak perlu ikut memeluk agama Islam. Hal ini kerana, mengikut Imam Malik, seorang anak dinasabkan kepada bapanya dan bukan ibu. Oleh yang demikian, anak-anak akan ikut memeluk agama Islam hanya apabila bapanya memeluk agama Islam. Jika ibunya yang memeluk agama Islam, anak-anak tidak akan mengikut agama baru ibunya iaitu Islam dan kekal dengan agama asal ketika ibu bapa mereka berkahwin.
    4. Pandangan Imam al-Buhutiyy dari Mazhab Hanbaliyy:
      Imam al-Buhutiyy  berkata dalam kitabnya “Kashshaf al-Qina’ An Matn al-Iqna”: Maksudnya, “(Tidak ada) penjagaan juga (bagi orang kafir ke atas kanak-kanak Islam). Bahkan kemudaratannya lebih besar kerana ia akan memberi fitnah daripada agamanya dan mengeluarkannya daripada agama Islam, dengan cara mengajarnya dan mendidiknya dengan kekufuran. Perkara yang demikian itu kesemuanya merupakan kemudaratan”.

    Di sini dapat kita simpulkan bahawa Mazhab Shafie dan Hanafi lebih lebih cenderung kepada pandangan bahawa di dalam isu status agama anak bawah umur selepas salah seorang ibu bapa memeluk agama Islam, anak-anak adalah mengikut agama Islam tidak kira sama ada yang memeluk agama Islam itu ibu atau bapa. Pandangan tersebut adalah berdasarkan hadis Nabi SAW:

    Daripada A’idz bin Amr Almuzani, daripada Nabi SAW bersabda : “Islam itu tinggi dan tiada yang lebih tinggi daripadanya”.

    Berkaitan dengan isu penjagaan anak atau hadhanah, Mazhab Shafie dan Hanbali juga berpendapat bahawa tiada hak penjagaan bagi orang bukan Islam. Hak penjagaan anak tersebut akan diberikan kepada yang beragama Islam. Hal ini adalah bagi memelihara keselamatan akidah anak tersebut dan menghindarinya daripada sebarang kemudharatan jika sekiranya anak tersebut diletakkan di bawah jagaan orang bukan Islam. Ibu bapa yang bukan beragama Islam tidak layak untuk mempunyai hak penjagaan anak kerana dibimbangi ibu atau bapa yang bukan beragama Islam akan mempengaruhi agama anak tersebut. Dalam erti kata lain, akidah anak yang beragama Islam tersebut mungkin akan terjejas.  

    Pandangan ulama daripada Mazhab Maliki menyatakan bahawa boleh sekiranya penjaga si anak seorang yang bukan beragama Islam. Akan tetapi menurut Wahbah al-Zuhailiy, ulama Mazhab Hanafi dan maliki memberi kebenaran kepada ibu atau bapa yang bukan beragama Islam untuk menjaga anak hanyalah sehingga anak itu mencapai umur mumayyiz. Setelah anak itu mumayyiz ataupun akidah anak itu didapati terjejas ketika di bawah jagaan ibu atau bapanya yang bukan Islam, maka anak itu hendaklah diserahkan kepada penjaganya yang Islam walaupun sebelum anak itu mencapai umur mumayyiz. 

    Selain pandangan daripada 4 mazhab iaitu Mazhab Shafie, Hanafi, Maliki dan Hanbali, terdapat juga fatwa-fatwa lain berkaitan dengan hak hadhanah dan juga status agama anak bawah umur apabila salah seorang ibu bapa memeluk agama Islam dan juga Di dalam Persidangan Penyelarasan Undang-Undang Syarak/Sivil kali Ke-19, semua ahli persidangan tersebut telah bersetuju bahawa:

    “Menasihati Kabinet supaya tidak meminda Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan, Seksyen 51 Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 dipinda supaya orang yang memeluk Islam diberikan hak untuk membubarkan perkahwinan sivilnya di Mahkamah Sivil, mana-mana pasangan yang memeluk Islam yang mempunyai anak-anak yang di bawah umur 18 tahun hendaklah menjadi orang Islam selaras dengan Hukum Syarak dan hak hadhanah hendaklah diputuskan oleh Mahkamah Sivil dengan mengambil kira kebajikan dan maslahah anak.”

    Terdapat juga fatwa-fatwa kontemporari daripada ulama yang baru dikeluarkan. Antaranya adalah pandangan daripada Dr Abd al-Rahman bin Hasan al-Nafisah yang bermaksud:

    “Mudah-mudahan pandangan yang tepat -Allah lebih Mengetahui adalah apa yang disebut dalam mazhab imam Abu Hanifah dan Malik yang membenarkan hak penjagaan kepada ibu bukan Islam. Hal ini kerana athar yang ada menunjukkan bahawa tabiat seorang ibu (sama ada dia seorang Islam atau tidak) dalam perasaan kasih sayang kepada anak-anaknya dan penjagaan mereka melebihi ayah mereka. Tetapi ini tidak menafikan hak bapa pada anak-anaknya. Si ibu tidaklah melebihi kekuatan si ayah apabila si anak melepasi tahap kanak-kanak. Apabila si anak melepasi tahap kanak-kanak, dia dapat mengetahui banak perkara dan membezakannya. Sekiranya si ibu adalah muslimah, wajib si anak berada bersama si ayah untuk pendidikannya. Sekiranya si ibu bukan muslimah (dan ini asas masalah), dibimbangi selepas baligh si anak akan terbiasa dengan agamanya. Oleh itu, wajib si anak bersama si ayah”.

    Selain itu, Dr Abd al-Latif al-Fatur juga ada berkata di dalm kitabnya iaitu “Fatawa Wa Qadaya Fiqhiyyah Mu’asirah” yang membawa maksud:

    Islamnya penjaga bukanlah syarat dalam hak penjagaan kanak-kanak, kerana belas kasihan ibu biologi tidak terkesan ke atasnya dengan perbezaan agamanya (si ibu) dengan agama kanak-kanak tersebut. Ia menjadikan ibu itu lebih berhak dengan penjagaannya (kanak-kanak tersebut), kecuali jika ditakuti ke atasnya akan memberi kesan dengan penjagaannya atau kanak-kanak itu diberi makan yang haram dalam Islam, maka si ibu umpama orang yang jahat lagi tidak beramanah ke atas penjagaan si anak”.

     

    Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia

    Seterusnya Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-87 memutuskan bahawa:

    Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah berpandangan bahawa di dalam Islam, Jumhur Ulama telah bersepakat bahawa apabila salah seorang ibu atau bapa memeluk Islam, agama anak di bawah umur juga adalah Islam dan penjagaan anak hendaklah diletakkan di bawah ibu atau bapa yang beragama Islam.

    Oleh yang demikian, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa apabila salah seorang pasangan (ibu atau bapa) memeluk agama Islam, status agama anak bawah umur pasangan tersebut adalah secara langsung beragama Islam.

    Muzakarah juga bersetuju memutuskan supaya Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa agama seseorang yang di bawah umur 18 tahun hendaklah ditetapkan oleh ibu atau bapa atau penjaganya tidak perlu dipinda.

    Institut Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa Sedunia (INFAD), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) ada membuat beberapa syor berkaitan isu ini. Seperti yang dapat kita lihat, keempat-empat mazhab fiqh mempunyai pandangan yang berbeza berkaitan isu ini. Oleh itu kita dinasihatkan agar tidak mengeluarkan kenyataan yang menyalahkan dan menyesatkan mana-mana pandangan mazhab fiqh Islam. Menurut pandangan dari segi fiqh, pandangan yang mensyaratkan bahawa penjaga si anak sama ada ibu atau bapa harus islam adalah lebih tepat demi menjaga kemaslahatan dan akidah anak tersebut.

    Perkara 11(1) Perlembagaan Persekutuan ada menyatakan peruntukan berkaitan dengan  hak kebebasan beragama bagi setiap individu di Persekutuan Malaysia. Peruntukan ini merangkumi hak untuk mengamalkan dan menganut sesuatu agama tetapi ianya tertakluk kepada 11(4). Perkara 11(4) mengehadkan dan membuat sekatan terhadap penyebaran agama bukan Islam kepada orang Islam. Penulisan ini lebih memfokuskan kepada isu pertukaran agama yang melibatkan salah seorang dari ibu bapa bukan Islam kepada Islam, manakala seorang lagi masih kekal dengan agama bukan Islam, status agama anak bawah umur dan juga isu berkaitan hak penjagaan anak. 

    Berdasarkan peruntukan undang-undang yang sedia ada iaitu Perkara  12(4) Perlembagaan Persekutuan, ia ada menyatakan bahawa agama bagi seseorang yang berada di bawah umur hendaklah ditentukan oleh ibunya atau bapanya atau penjaganya. Peruntukan ini sekaligus menyatakan bahawa persetujuan daripada salah satu pihak sahaja sudah mencukupi bagi menentukan agama seorang kanak-kanak yang di bawah umur. Hal ini adalah kerana, di dalam Perkara 12(4), perkataan yang digunakan adalah “parent or guardian” dan bukannya “parents or guardian” yang bermaksud ibu atau bapa atau penjaga. Bukannya ibu dan bapa dan penjaga. 

    Seterusnya berdasarkan Seksyen 95 Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 memperuntukkan bahawa seseorang yang tidak beragama Islam boleh masuk Islam jika dia sempurna akal dan mencapai umur lapan belas tahun; atau jika dia belum mencapai umur lapan belas tahun, ibu atau bapa atau penjaganya mengizinkan kemasukannya. Peruntukan di bawah akta ini juga menyatakan bahawa sudah memadai jika keizinan untuk memasuki agama Islam bagi seseorang yang berada di bawah umur diberi oleh salah seorang daripada tiga individu yang disebutkan di atas. Tidak perlu mendapat keizinan ketiga-tiganya sekali. 

     

    Isu Berbangkit Serta Hak Hadhanah

    Isu status agama anak bawah umur setelah ibu atau bapa memeluk agama islam menjadi perdebatan dalam kalangan masyarakat. Hal ini tidak boleh dipandang remeh kerana ianya merupakan satu isu yang berkaitan dengan akidah dan akidah juga merupakan sesuatu asas penting dalam kehidupan setiap muslim. Agama Islam mengajar kita untuk sentiasa bertolak-ansur. Akan tetapi perlu diingatkan bahawa tiada tolak ansur di dalam sesetengah perkara contohnya perkara yang melibatkan akidah seseorang muslim itu sendiri. 

    Masyarakat kita sendiri juga sering berselisih pendapat mengenai isu status agama anak bawah umur apabila salah seorang ibu bapa mereka memeluk Islam. Isu ini menjadi perhatian masyarakat oleh kerana ianya melibatkan dua kaum dan agama yang berbeza iaitu Islam dan bukan Islam. Sudah semestinya pihak masing-masing ingin mempertahankan hak mereka. Tidak salah sekiranya mereka ingin pertahankan hak akan tetapi perlu diingatkan bahawa kita mempunyai undang-undang yang melindungi hak agama masing- masing. 

    Orang Islam tertakluk di bawah undang-undang syariah manakala orang bukan Islam tertakluk di bawah undang-undang sivil. Adalah tidak wajar sekiranya masyarakat atau sesiapa sahaja pertahankan sesuatu hak tanpa melihat kepada peruntukan undang-undang sedia ada. Di dalam masalah ini, sebolehnya kita mahu kedua-dua belah pihak mendapat keadilan yang sewajarnya. Oleh itu, hendaklah kita berbalik kepada peruntukan undang-undang kedua dua belah pihak bagi mendapatkan pertimbangan yang baik. Dalam kebanyakan kes, biasanya akan ada pertembungan di antara dua bidang kuasa iaitu di antara bidang kuasa mahkamah syariah dengan mahkamah sivil. 

    Terdapat banyak isu yang akan timbul selepas berlakunya perceraian misalnya tuntutan nafkah iddah, nafkah anak, mutaah, harta sepencarian dan yang sering menjadi rebutan pasangan yang sudah bercerai adalah hadhanah. Tuntutan hadhanah atau hak jagaan anak yang akan menjadi lebih sukar sekiranya ia melibatkan pasangan Islam dan bukan Islam. Hal ini terjadi apabila salah seorang pasangan bukan Islam tersebut memeluk agama islam dan menuntut hak jagaan anak.

    Pelbagai persoalan akan timbul iaitu persoalan tentang siapa yang lebih berhak menjaga anak tersebut dan juga bagaimana dengan status anak tersebut. Adakah anak tersebut akan kekal dengan agama asal ibu bapanya ketika berkahwin atau akan ikut menganut agama Islam dan siapa yang berhak terhadap hak penjagaan anak tersebut?

    Antara kes-kes yang berkaitan dengan isu di atas adalah kes Subashini Rajasingam Lawan Saravanan Thangathoray. Suami iaitu Saravanan telah memeluk agama Islam dan dia juga turut mengislamkan anak sulungnya yang pada ketika itu berusia 4 tahun. Isterinya, Subashini, membantah tindakan Saravanan yang telah mengislamkan anak lelakinya kerana tidak mendapatkan persetujuannya terlebih dahulu. 

    Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa ayah kepada kanak-kanak tersebut berkuasa untuk mengislamkan anaknya berdasarkan Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa agama seseorang yang berada di bawah umur lapan belas tahun hendaklah ditentukan oleh ibu atau bapa atau penjaganya. 

    Oleh disebabkan itu,dalam kes ini, secara tidak langsung ayah tersebut berhak untuk mengislamkan anaknya walaupun tanpa persetujuan daripada ibu anak tersebut. 

    Kes seterusnya ini berlainan sedikit daripada kes di atas tetapi turut mendapat perhatian masyarakat iaitu kes Viran a/l Nagapan v Deepa a/p Subramaniam.

    Di dalam kes ini, perayu telah memeluk Islam pada tahun 2012 dan telah mendaftarkan pemelukan Islam kedua-dua anaknya yang merupakan hasil daripada perkahwinan sivilnya dengan responden. Perayu juga telah memohon  pembubaran perkahwinan sivilnya dengan responden di Mahkamah Tinggi Syariah Seremban.

    Mahkamah kemudiannya memberikan perintah pembubaran perkahwinan tersebut dan memberikan hak jagaan dua orang anak kepada perayu manakala responden diberikan hak untuk melawat dan akses ke atas anak tersebut. Responden pula memfailkan petisyen untuk perceraian di mahkamah tinggi sivil seremban dan juga perintah hak jagaan anak. Mahkamah Tinggi Sivil Seremban kemudiannya membubarkan perkahwinan tersebut dan responden diberikan hak jagaan penuh ke atas dua orang anaknya itu. Terdapat campur tangan dari pihak IGP dan juga AG di dalam kes ini . pertembungan di antara perintah daripada Mahkamah Syariah dan Sivil telah menimbulkan isu-isu yang melibatkan kepentingan awam. 

    Dalam mengambil kira sama ada perintah hak penjagaan Mahkamah Tinggi sepertimana disahkan oleh Mahkamah Rayuan patut kekalkan ia menjadi perlu untuk mengambil kira kebajikan kanak-kanak itu, yang merupakan pertimbangan paling utama dalam menentukan hak penjagaan kanak-kanak itu. Andaian bahawa seorang kanak-kanak muda lebih elok bersama ibunya dan bukan bapanya merupakan andaian yang boleh dipatahkan dan bahawa andaian itu sendiri tidak semestinya suatu faktor penentu. Ia perlu diimbangi bersama faktor-faktor lain yang relevan dan pertimbangan yang pertama dan penting sepatutnya kebajikan kanak-kanak.

    Bagi tujuan menjadikan kebajikan anak-anak suatu yang paling utama ia adalah perlu untuk mengambil kira perkara-perkara seperti kelakuan pihak-pihak, status kewangan dan sosial mereka, jantina dan umur kanak-kanak itu, hasratnya setakat mana ia boleh ditentukan ber-gantung kepada umut kanak-kanak, laporan sulit pegawai kebajikan sosial dan sama ada dalam jangka panjang ia lebih kepada kepentingan, kebajikan dan kegembiraan kanak-kanak itu untuk bersama ibu atau bapa.

    Apabila anak lelaki dan anak perempuan disoal secara rahsia, ia didapati bahawa anak lelaki itu memilih untuk tinggal dengan bapanya dan tidak berhasrat untuk tinggal dengan ibunya, manakala anak perempuan itu telah menyatakan dia ingin tinggal dengan ibunya. Ia jelas bahawa kedua-dua kanak-kanak itu pasti dengan pilihan mereka, telah selesa dan dijaga dengan baik. Oleh itu, dengan mengambil kira kebajikan kanak-kanak tersebut ia menjadi jelas bahawa ia tidak perlu untuk mengganggu urusan sekarang. Dalam keadaan itu, perintah hak penjagaan yang diberikan oleh Mahkamah Tinggi patut diubah agar hak penjagaan anak perempuan kekal dengan responden manakala hak penjagaan anak lelaki berpindah kepada perayu. 

    Dua kes yang telah disebutkan di atas mempunyai sedikit perbezaan. Di dalam kes Viran a/l Nagapan v Deepa a/p Subramaniam, keputusan mahkamah didapati lebih terbuka dan luas dalam membuat keputusan yang telah memberikan hak jagaan anak lelaki kepada perayu dan juga hak jagaan anak perempuan kepada responden. Ianya bukan sahaja tertumpu kepada isu pengislaman kanak-kanak itu sahaja akan tetapi sudut kebajikan kanak-kanak tersebut perlu di ambil kira sebagai faktor sampingan.

    Pertikaian yang timbul di dalam isu ini berkemungkinan besar disebabkan oleh 2 perkara:

    1. Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa untuk memutuskan sesuatu hak penjagaan anak.
    2. Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidang kuasa ke atas individu yang bukan beragama Islam. 

    Keputusan yang telah dibuat oleh hakim-hakim di dalam kes di atas adalah berdasarkan pentafsiran dan kepentingan anak itu. Sekiranya anak itu selesa tinggal dengan ibunya maka mahkamah akan beri hak penjagaan kepada ibunya, begitu juga sebaliknya.

    Bagi mengatasi isu ini, beberapa pindaan terhadap Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 harus dilakukan bagi mengelakkan timbul pertikaian yang lebih teruk di masa hadapan. Kita sudahpun berhadapan dengan beberapa kes yang menyebabkan pertembungan di antara dua bidang kuasa berbeza yang akhirnya menimbulkan kekecohan dan juga kekeliruan dalam kalangan masyarakat. Pertembungan di antara dua bidang kuasa ini jika tidak diselesaikan akan menimbulkan pelbagai masalah berkenaan isu yang sama.

    Di dalam kedua-dua kes yang disebutkan di atas, masing-masing ingin mempertahankan bidang kuasa mereka iaitu di antara Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil terhadap isu tersebut. Sekiranya, keputusan Mahkamah Syariah diterima, pihak satu lagi akan menganggap bahawa mereka didiskriminasikan ataupun haknya mereka dinafikan kerana mereka tidak boleh mendengar perbicaraan yang dijalankan di Mahkamah Syariah. Begitu juga sebaliknya jika keputusan mahkamah sivil yang diguna pakai di dalam isu ini.

    Penghakiman di dalam kes Indira Gandhi a/p Mutho iaitu kes yang terbaru berkaitan dengan isu di atas adalah berbeza berbanding kes-kes yang sebelumnya. Ada beberapa isu berbangkit yang mendapat perhatian iaitu berkaitan dengan pendaftaran penukaran agama kepada agama Islam dan juga keizinan untuk memeluk agama islam dari ibu atau bapa atau penjaga. 

    Berkaitan dengan isu pertama, persoalan yang timbul adalah:

    • Adakah Pendaftar Mualaf atau wakilnya boleh mendaftarkan penukaran agama Islam anak-anak pihak tersebut. 

    Mahkamah Persekutuan menyatakan bahawa had kuasa bagi Pendaftar Mualaf telah ditentukan di dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004.

    Seksyen 96(1) mensyaratkan kehendak-kehendak bagi pemelukan agama Islam seseorang iaitu:

    • (a) orang itu mestilah mengucapkan dua kalimah Syahadah dalam bahasa Arab secara yang semunasabahnya jelas;
    • pada masa dia mengucap dua kalimah Syahadah itu, orang itu mestilah sedar bahawa kalimah itu bermakna “Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku naik saksi bahawa Nabi Muhammad S.A.W. ialah Pesuruh Allah”; dan
    • pengucapan itu mestilah dibuat dengan kerelaan hati orang itu sendiri.

    Seksyen 106(b) pula mensyaratkan keupayaan untuk memeluk agama Islam bagi kanak-kanak yang belum mencapai umur lapan belas tahun, ibu atau bapa atau penjaganya mengizinkan secara bertulis pemelukan agama Islam olehnya.

    Di dalam kes ini, dapat dilihat bahawa kedua-dua keperluan seksyen tersebut tidak dipenuhi. Oleh itu, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa pengeluaran sijil perakuan memeluk agama Islam tersebut adalah tidak sah. Mahkamah Persekutuan menekankan bahawa ia tidak membincangkan mengenai fakta pemelukan agama Islam tetapi kesahan perakuan dan pendaftaran.

    Isu kedua adalah: 

    • Izin memeluk agama Islam dari ibu atau bapa atau penjaga

    Bagi isu kedua ini, Mahkamah hendaklah memutuskan sama ada kedua-dua ibu bapa perlu memberikan izin sebelum anak-anak yang lahir dalam perkahwinan sivil memeluk agama Islam. Perkara 12 (4) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa, bagi maksud hak berkenaan pendidikan agama seseorang yang di bawah umur lapan belas tahun hendaklah ditetapkan oleh ibu atau bapanya atau penjaganya.

    Tafsiran terhadap hak-hak asasi dalam Perlembagan Persekutuan tidak boleh di ambil secara literal. Mahkamah berpendapat bahawa isu penukaran agama adalah sebuah isu yang besar yang boleh memberikan impak terhadap kanak-kanak tersebut. Justeru, tindakan membenarkan kanak-kanak menukar agama tanpa kebenaran kedua-dua ibu dan bapa akan menimbulkan isu dan berlawanan dengan kepentingan yang terbaik bagi anak.

    Mahkamah telah mengambil pendekatan secara menyeluruh yang membawa maksud perlunya keizinan dari kedua ibu dan bapa dengan merujuk kepada Seksyen 5 Akta Penjagaan Budak 1961 yang memperuntukkan bahawa ibu hendalaklah mempunyai hak dan autoriti yang sama sebagaimana yang dibenarkan oleh undang-undang kepada bapa. Hak bagi kedua-dua mereka terhadap penjagaan anak hendaklah sama. 

    Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa pasangan yang memeluk Islam dan pasangannya yang bukan Islam mesti memberi persetujuan bagi penukaran agama anak bawah umur kepada Islam.

    Hakim Zulkefli yang mengetuai panel itu berkata keputusan tersebut dicapai sebulat suara walaupun penukaran agama adalah isu yang menimbulkan perbalahan, namun keputusan mahkamah tidak dipengaruhi oleh kepercayaan agama.

    Persetujuan daripada Indira Gandhi dan bekas suaminya Muhammad Riduan Abdullah, (dahulu dikenali sebagi K. Pathmanathan) adalah diperlukan sebelum sijil penukaran agama kepada Islam dapat dikeluarkan kepada ketiga-tiga anak mereka. Pendekatan membenarkan penukaran agama anak atas persetujuan hanya satu pihak akan menimbulkan persoalan yang sukar.

    Pertimbangan utama mahkamah ialah untuk melindungi kebajikan kanak-kanak. Mahkamah tidak membuat penghakiman berdasarkan prinsip kepercayaan mana-mana pasangan.

Comments are closed.