• gadis-kpop-isu

    Kisah Gadis Bertudung & K-Pop

    Terbaru, kita rakyat Malaysia dikejutkan dan digemparkan dengan isu gadis-gadis Melayu bertudung yang memeluk, memegang dan dicium oleh artis-artis daripada kumpulan K-Pop, BIA4 yang hadir ke Malaysia bagi membuat persembahan di KL Live Centre Kuala Lumpur ketika sesi bertemu peminat yang dinamakan sebagai “B1A4 Fan Meeting” pada 10 Januari 2015 yang lalu. Kumpulan ini dianggotai oleh lima orang anak muda iaitu Jung Jin Young, Lee Jung Hwan, Cha Seon Woo, Gong Chan Sik dan Shin Dong Woo. Belum reda lagi kita tersentak daripada lamunan dek isu banjir dan isu nahas kapal terbang yang melanda negara kita baru-baru ini, timbul pula isu aqidah dan moral yang baru yang dilihat seolah-olah tidak menginsafi akan apa yang telah berlaku dan tidak risau akan bala daripada Allah yang mendatang.

    Apabila kita melihat video pendek yang telah menjadi viral di laman-laman sosial yang berdurasi 3 minit 22 saat itu, terdapat tiga pihak yang boleh dipersalahkan dan dilihat bersalah dalam isu ini iaitu pihak penganjur, kumpulan B1A4 dan gadis-gadis Melayu bertudung itu sendiri. Tidak kurang juga ada yang menyalahkan pihak pemerintah, ibu bapa dan juga peminat-peminat tegar K-Pop yang boleh dikategorikan sebagai orang awam. Persoalan yang lebih besarnya di sini ialah siapakah yang paling bersalah? Sementelahan rata-rata orang melihat video itu lalu memberikan pelbagai komen yang dilihat berbaur kutukan dan cacian, sepatutnya isu itu diteladani dan dijadikan ibrah atau pengajaran supaya tidak lagi terjadi pada masa akan datang. Menghentam pihak yang bersalah dengan teruk dengan melangkaui fikiran yang waras dan rasional tidak akan mendatangkan penyelesaian dan solusi kepada masalah tersebut malah mendatangkan perbalahan dan mencambahkan lagi kebencian kepada pihak yang terlibat.

    Ramai yang menyelar tindakan keempat-empat gadis bertudung terbabit yang dilihat keterlaluan dan merelakan saja apa-apa perbuatan yang dilakukan ke atas mereka. Bagi sesiapa yang melihat video berkenaan, ia bagaikan menonton filem yang bergenre ‘suspense thriller’ bahkan lebih seram daripada menonton filem-filem seram seperti The Conjuring mahupun Annabelle barangkali? Kerana apabila menonton setiap babak dalam video itu, kita tidak akan dapat mengagak apa aksi yang bakal dilakukan oleh sama ada artis K-Pop berkenaan atau gadis bertudung itu sendiri. Sungguh. Nafas bagai terhenti dan mata pula seakan terpaku melihat aksi-aksi yang dikatakan melampaui batas-batas norma masyarakat di negara kita yang  Islam merupakan agama rasmi bagi negara ini di bawah Seksyen 3(1) Perlembagaan Persekutuan.

    Dalam video berkenaan, paparan menunjukkan gadis yang pertama hampir-hampir seperti dicium dan dia seolah-olah merelakan saja apa yang mungkin dilakukan oleh artis pujaannya itu. Mana perginya sifat malu dan budaya Timur yang menjadi adat dan resam dalam masyarakat kita? Belum disentuh dari segi mereka sebagai seorang perempuan Melayu yang beragama Islam lagi. Rasanya, pada umur mereka sudah cukup jelas untuk membezakan tentang mana perkara yang halal dan apa perkara yang haram. Tetapi hanya disebabkan keghairahan mereka dapat bertemu secara bersemuka dengan artis pujaan mereka, mereka menjadi hilang punca dan sanggup mencalarkan maruah diri mereka yang menjadi benteng kuat yang terbina kukuh dalam diri mereka sebagai seorang Muslim selama ini.

    Persoalan yang harus digali berkenaan adegan tersebut ialah apakah yang berada dalam benak fikiran gadis-gadis bertudung tersebut pada masa itu? Adakah mereka berasa bangga dapat dipeluk oleh artis-artis K-Pop yang menjadi kegilaan ramai dewasa ini? Adakah mereka ingin menunjukkan kepada seantero dunia bahawa merekalah insan-insan bertuah yang terpilih yang dapat memeluk atau dipeluk oleh artis-artis sanjungan satu dunia? Jika mereka masih bersekolah, adakah cerita ini yang ingin dicanang oleh mereka kepada rakan-rakan sekelas tentang apa yang berlaku pada hari tersebut dan membuatkan rakan-rakan mereka berasa iri hati? Atau adakah ia hanya satu kepuasan diri yang perlu dilunaskan kerana menganggap ia perkara yang datang hanya sekali seumur hidup? Hanya gadis-gadis tersebut yang tahu jawapannya yang berada dalam diri dan minda mereka. Jika mereka berimankan fesyen, maka perbuatan tidak bermoral itulah yang terjadi. Namun, jika mereka berimankan rohani, sudah pasti mereka mampu menepis sebarang godaan duniawi yang cuba menjerat diri mereka. Atas sebab itu juga, keimanan yang didasari dengan rohani yang kuat mampu untuk dizahirkan dan diterjemahkan melalui jasmani yang kental dan utuh dalam mempertahankan aqidah dan maruah diri seorang Muslim sejati.

     

    Hukum

    Tidah sah jika kita tidak menyertakan dan membincangkan sekali hukum berkaitan isu ini. Hukum lelaki yang terbatal wuduknya apabila bersentuhan dengan perempuan yang bukan mahram hatta isterinya sendiri ada dinyatakan dalam Al-Quran menerusi Surah Al-Maa’idah Ayat ke-6 yang mana Allah S.W.T telah berfirman yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali; dan jika kamu junub (berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib; dan jika kamu sakit (tidak boleh kena air), atau dalam pelayaran, atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air, atau kamu sentuh perempuan, sedang kamu tidak mendapat air (untuk berwuduk dan mandi), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah…” Ini menunjukkan bahawa terbatalnya wuduk seorang lelaki atau wanita itu jika bersentuhan dan air wuduknya perlu diambil semula. Terdapat banyak hadis yang menyentuh tentang hukum berkenaan isu ini antaranya sebuah hadis yang diriwayatkan oleh at-Tabrani yang mana Rasulullah S.A.W telah bersabda maksudnya: “Sekiranya kepala salah seorang kamu ditusuk dengan jarum besi, itu adalah lebih baik bagi kamu daripada kamu menyentuh wanita yang tidak halal bagi kamu.” Ini jelas menunjukkan bahawa perbuatan bersentuhan ini adalah sangat berdosa dan salah di sisi Islam.

    Islam tidak melarang dan menegah sesuatu perkara itu ke atas umatnya melainkan atas asbab untuk mengelakkan kemudaratan yang mendatangkan keburukan. Segala hukum dan perkara yang dianjurkan oleh agama Islam adalah demi manfaat dan kebaikan umat sejagat. Gejala ikhtilat atau percampuran antara kaum lelaki dengan perempuan adalah amat ditegah dalam Islam. Daripada bersentuhan, berpegangan tangan, bertepuk tampar, gurauan tanpa batasan, berpelukan malah berciuman adalah haram kerana ia boleh menjurus kepada perbuatan zina. Di dalam ayat Al-Quran menerusi Surah Al-Israa’ Ayat ke-32 Allah S.W.T telah menegaskan yang berbunyi: “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).” Harus difahami bahawa zina itu terbahagi kepada dua iaitu zina yang dilakukan dengan sebenar-benarnya iaitu lelaki yang memasukkan kemaluannya ke dalam kemaluan perempuan secara haram dan yang kedua iaitu zina secara majaz atau kiasan.

    Zina secara majaz ini terjadi dalam bentuk melihat atau mendengar perkara-perkara haram yang menjurus kepada zina, perbuatan-perbuatan seperti bersentuhan, memeluk, mencium atau berimaginasi atau berniat di dalam hati, bercakap benda-benda yang haram dengan wanita ajnabiyah atau bukan mahram dan juga pergi ke tempat-tempat yang menjerumuskan diri ke lembah dan kancah maksiat. Terdapat banyak faktor yang menyebabkan terjadinya perbuatan-perbuatan ini antaranya faktor didikan agama dan iman yang lemah, pengaruh rakan sebaya, faktor persekitaran yang tidak sihat, terlalu terikut-ikut dengan adegan-adegan yang menjadi kebiasaan dalam drama mahupun filem, penggunaan internet yang tiada batasan dan tidak terkawal, kurang ilmu pengetahuan terhadap dalil-dalil yang memperincikan persoalan tersebut secara jelas dan banyak faktor lain yang perlu diteliti dan dikaji lagi.

    Untuk meminati kumpulan dan artis K-Pop itu tidak salah, tetapi perlulah mengawal diri agar tidak terlalu fanatik, taksub dan obses sehingga melakukan perkara-perkara yang tidak diingini lantas mengenepikan iman yang menjadi teras ketaqwaan bagi setiap Muslim. Sepatutnya, mereka elakkanlah diri daripada pergi ke acara persembahan tersebut. Jika hendak pergi juga, elakkanlah diri daripada berada di atas pentas. Jika hendak berada di atas pentas juga, elakkanlah diri daripada bersalaman dan menyentuh artis pujaan mereka yang berada hanya beberapa inci di hadapan mereka. Saat inilah keimanan dan didikan agama yang disemai teruji. Saat ini jugalah para gadis tersebut perlu berkata “NO” kepada artis tersebut yang ingin memegang mereka secara sengaja dalam sedar. Walaupun keizinan daripada gadis-gadis tersebut telah diminta dan diberi, sewajarnya ia ditolak secara baik dan berhemah oleh mereka. Bak kata Felixia Yeap menerusi akaun Facebook beliau, “Alangkah bagusnya kalau adik-adik yang betudung itu say “NO” kat artis Kpop tu atas pentas bila diorang nak peluk. Terus jadi dakwah..atas pentas pula tu. MashaaAllah! Renung-renungkanlah…” Nah, jika seorang wanita Cina Muallaf yang dahulunya merupakan seorang bekas model Playboy boleh berfikiran dan berkata begitu, inikan pula gadis-gadis Melayu bertudung tersebut yang sudah dididik dengan ajaran dan nilai-nilai Islam sedari kecil lagi. Untuk rekod, Felixia juga mengatakan bahawa semasa dia menjadi model sebelum memeluk Islam lagi dia memang tidak suka lelaki menyentuh atau memeluknya walaupun hanya sekadar untuk bergambar kenangan.

     

    Siasatan

    Memetik laporan daripada akhbar Harian Metro yang bertarikh 13 Januari 2005 yang lalu, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) iaitu Datuk Othman Mustapha telah mengarahkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) untuk mengambil tindakan sewajarnya memandangkan JAWI adalah pihak berkuasa agama bertanggungjawab di peringkat Wilayah Persekutuan. JAWI telahpun membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 29 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 berkenaan sesiapa yang berkelakuan tidak sopan di tempat awam yang bertentangan dengan hukum syarak adalah melakukan suatu kesalahan. Di dalam kes ini, artis-artis kumpulan K-Pop berkenaan, B1A4 telah melakukan perkara yang tidak sopan bersama para peminatnya yang merupakan gadis-gadis Melayu bertudung yang dipanggil ke atas pentas untuk melakonkan semula aksi-aksi seperti di dalam drama. Mengikut seksyen tersebut, jika disabitkan bersalah boleh didenda tidak melebihi seribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

     

    Saranan

    Di dalam senario ini, pihak penganjur juga perlu lebih peka dan sensitif akan garis panduan dan tatatertib yang perlu dipatuhi oleh artis-artis dari luar negara yang dibawa masuk terutamanya kerana mereka tidak memahami akan nilai budaya hidup masyarakat majmuk di Malaysia yang rata-ratanya adalah beragama Islam dan mengamalkan norma kehidupan yang berlandaskan kesopanan dan kesusilaan yang tinggi. Artis-artis K-Pop yang dibawa masuk itu juga perlu diberitahu dan membuat kajian terlebih dahulu berkenaan budaya dan pegangan hidup bagi peminat-peminat di sesuatu negara – tempat di mana mereka mengadakan konsert ataupun persembahan jelajah supaya tidak berlaku perkara-perkara yang tidak diingini seperti yang telah terjadi di negara kita beberapa hari yang lalu. Mungkin di beberapa negara lain seperti di negara-negara Barat tidak kisah untuk melakukan aksi-aksi sebegitu tetapi bukan di Malaysia. Ibu bapa juga seharusnya mengawasi segala tingkah laku dan gerak-geri anak-anak mereka agar mereka sentiasa menjaga batas pergaulan dan tidak melakukan perkara-perkara yang negatif yang acapkali dan sinonim dikaitkan dengan remaja. Sudah tiba masanya juga industri televisyen dan perfileman negara melakukan penapisan yang lebih rigid dan ketat terhadap kandungan program melalui adegan-adegan dalam drama, filem mahupun rancangan yang ditayangkan di televisyen agar lebih Islamik dan berlandaskan syariah yang tidak menjurus kepada aksi-aksi yang tidak sopan dan senonoh yang menjadi tatapan masyarakat umum.

    Memetik kata-kata Yusof al-Qadrawi, seorang cendekiawan Islam dari Mesir yang terkenal yang berbunyi: “Jika kamu ingin melihat masa hadapan sesebuah negara, maka lihatlah pada golongan anak muda pada hari ini kerana anak muda hari ini merupakan cerminan masa hadapan negara.”

     

    Artikel ini ditulis oleh Saudara Hariz Shah untuk Faiz Adnan & Associates.