• fasakh-peguam-syarie-faizadnan

    FASAKH DAN PEMBUKTIAN DI MAHKAMAH SYARIAH

    Client (Puan Ana): Hello Assalamualaikum, ini pejabat peguam ke?

    Peguam: Waalaikumsalam, ya Puan. Betul ni pejabat peguam. Kenapa ya Puan, ada apa-apa yang boleh saya bantu?

    Client (Puan Ana) : Ok macam ni, saya Ana daripada Melaka, saya ingin bertanyakan beberapa soalan berkaitan permasalah rumahtangga dan saya perlukan penjelasan.

    Peguam: Boleh, In Sha Allah saya akan cuba membantu Puan.

    Client (Puan Ana) : Macam ni ye Puan, saya dan suami baru je mendirikan rumahtangga 10 bulan dan perkenalan kami hanya 3 bulan sebelum saya buat keputusan untuk kahwin dengan suami saya ni. Tapi lepas dua sehingga tiga bulan kahwin, suami saya berubah tak macam yang saya kenal sebelum ni.
    Suami saya berhenti kerja lepas 2 bulan kami kahwin dan sehingga kini xde kerja. Saya yang tanggung die. Saya ada suruh dia cari kerja tapi bila saya buka mulut je tentang kerja die melenting dan naik angin.

    Pada mulanya saya masih bertahan sampai satu tahap ni die marahkan saya sebab nasihatkan die suruh berubah die tengking dan marah saya sampai ke tahap memukul tubuh badan saya. Bukan sekali dua die pukul saya Puan, tapi dah banyak kali dan dalam tempoh saya tengah mengandung pun die pukul saya dan penah jugak satu masa tu die kurung saya dalam bilik air sebab marahkan saya keluar atas urusan kerja.

    Saya ni bukan saja sering dipukul tapi sering juga dianiaya mental sebab suami saya asyik minta duit daripada saya bagi tujuan die tukar aksesori kereta dan itulah hobinya. Dahla mintak duit daripada saya, nafkah diri saya pulak xpenah nak bagi dari awal kawin sampai lah sekarang.
    Saya juga sebelum ini pernah minta untuk suami saya lepaskan saya dengan cara baik tapi dia bersumpah depan saya dan cakap yang dia tidak akan sekali-kali mahu lepaskan saya. Saya buntu apa yang patut saya buat tapi saya tak dapat bertahan lagi hidup macam ni. Saya pernah juga terbaca perempuan (isteri) boleh memohon kepada Mahkamah bagi membubarkan perkahwinannya melalui cerai Fasakh. Betul ke Puan? Dan boleh bagi pencerahan kepada saya berkaitan isu yang saya bangkitkan di sini dan saya ingin tahu apakah hak-hak saya untuk memohon Fasakh di Mahkamah?

    Peguam: Benar Puan, perceraian melalui Fasakh adalah salah satu jalan yang Puan boleh mohon di Mahkamah selain perceraian secara khuluk (tebus talak) atau takliq yang merupakan hak isteri untuk memohon sekiranya berlaku keadaan-keadaan tertentu. Saya jelaskan di sini kepada Puan apakah yang dimaksudkan dengan perceraian melalui Fasakh ini. Fasakh ialah “melepaskan ikatan perkahwinan antara suami dan isteri setelah diminta cerai oleh isteri melalui hakim. Fasakh hanya boleh diputuskan oleh pihak yang berkuasa sahaja seperti hakim dan kadi apabila terdapat sebab-sebab tertentu”.

    Saya bantu Puan rujuk seksyen 53 (1) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Melaka) 2002, terdapat beberapa sebab yang membolehkan seseorang itu membuat permohonan Fasakh. Oleh yang demikian itu, perceraian dengan cara ini perlu melalui saluran ke Mahkamah dan adalah lebih baik sekiranya kes seperti Puan ini menggunakan khidmat peguam bagi memudahkan cara perlaksanaannya.

    Di sini saya jelaskan terdapat syarat-syarat/sebab-sebab permohonan Fasakh ini difailkan ada diantaranya ialah:

    • Tempat di mana suami berada tidak diketahui selama lebih daripada satu tahun;
    • Suami tidak mengadakan peruntukan bagi nafkah selama tiga (3) bulan;
    • Suami dihukum penjara selama tiga tahun atau lebih;
    • Suami tidak menunaikan kewajipan perkahwinannya (nafkah batin) tanpa sebab yang munasabah selama tempoh satu tahun;

      dan ada beberapa alasan yang lain.

      Selain itu, jika suami dalam masa perkahwinan itu telah menganiayai isteri seperti:

    • Suami lazim menyakiti isteri atau menjadikan kehidupannya menderita disebabkan kelakuan aniaya tersebut;
    • Suami berkawan dengan perempuan-perempuan atau lelaki jahat atau hidup berperangai keji mengikut pandangan hukum syarak;
    • Suami telah cuba memaksa isteri hidup secara lucah;

      dan beberapa alasan lain yang akan kita bincangkan kemudian ya Puan.

    Bagaimanapun permohonan Fasakh tertakluk oleh Mahkamah dan Mahkamah berhak menolak sekiranya mendapati bahawa kesahihan alasan tersebut tidak terbukti. Ini bererti segala pembuktian di dalam kes Fasakh diberatkan kepada pihak yang menuntut dan di dalam situasi Puan ini, Puan lah yang patut dan mesti membuktikan secara menyeluruh samada secara dokumentar atau saksi yang kompeten dan mencukupi bahawa fakta kes telah mencapai tahap meyakinkan hakim bicara sebelum diluluskan permohonan fasakh itu.

    Berbalik kepada kes Puan ini, Puan katakan bahawa suami sering menganiaya Puan. Bahawa alasan penganiayaan Puan ini Mahkamah akan kenalpasti penganiayaan yang bagaimana Puan maksudkan. Adakah melalui pukul? Kalau pukul, pukul di bahagian mana? Sejauhmana pukulan tersebut mendatangkan kecederaan pada diri Puan? Sejauhmana pula kekerapan suami memukul Puan? Ada saksi tak? ATAU apa bukti yang Puan kata suami pukul Puan itu sudah cukup meyakinkan Mahkamah? Dalam situasi ini bukti dokumentar seperti laporan polis dan laporan perubatan sangat penting untuk ditenderkan di Mahkamah bagi membuktikan bahawa Puan telah dianiaya dari segi fizikal itu. Itu kalau penganiayaan fizikal ya Puan.

    Sama juga dengan penganiayaan mental di mana Puan perlu buktikan kepada Mahkamah sejauhmana penaniayaan tu memberi kesan kepada mental Puan.

    Kesimpulannya Puan, setiap dokumen Puan itu hendaklah dibuktikan di Mahkamah; seperti

    • Isu pukul – apa dokumennya dan saksi
    • Isu penderaan mental – apa dokumen dan saksi
    • Isu nafkah – apa dokumen dan saksi

    Baik Puan, saya rasa diperingkat ini lebih baik kalau kita boleh berjumpa dan saya boleh jelaskan lebih lanjut isu pengabaian dari sudut nafkah diri Puan.

    Client (Puan Ana): Terima kasih Puan sebab bantu saya dalam perkara ini dan saya juga bersedia untuk berjumpa dengan Puan.

    Peguam: Sama- sama Puan, cuma saya NASIHATKAN Puan menggunakan khidmat Peguam Syarie supaya kes ini boleh difailkan dengan teratur serta memenuhi kriteria Undang-undang dan Hukum Syarak.

     

    Hafsah dari Faiz Adnan & Associates

  • Mahkamah Syariah

    Isu Pembuktian di Mahkamah Syariah

    Seorang wanita dilihat menangis teresak-esak di dalam kandang saksi selepas ditegur beberapa kali oleh hakim bicara kerana gagal memahami kehendak hakim bicara dan undang-undang semasa prosiding perbicaraan keterangan utama bagi dirinya dalam kes fasakh. Beliau nampak tertekan lagi apabila peguam syarie pihak Defendan atau suaminya asyik membantah itu dan ini kerana dakwanya keterangan Plaintif tidak diplidkan dalam pliding beliau semasa kes ini difailkan. Lebih malang lagi apabila wanita ini seperti tidak mempedulikan kehendak undang-undang keterangan dan hakim bicara apabila beliau enggan membawa saksi dan tiada satu pun dokumen yang menyokong keterangannya.

    Kesudahannya hakim bicara memutuskan dan memerintahkan Defendan bersumpah menafikan dakwaan si isteri dan akhirnya kes ini dibuang. Ketika itu barulah wanita ini sedar kesilapan yang dilakukannya. Apa nak buat, nasi telah menjadi bubur. Inilah senario yang biasa dilihat dan terjadi di Mahkamah Syariah apabila pihak-pihak tidak bersedia dalam memberi keterangan semasa proses perbicaraan dan akhirnya memakan diri sendiri. Ini juga jelas menunjukkan peri pentingnya seseorang itu membawa bukti dalam pelbagai bentuk keterangan yang ada bagi mengukuhkan dakwaannya seterusnya memudahkan hakim bicara untuk membuat keputusan yang sewajarnya.

    Menurut Seksyen 3 Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003, keterangan ialah bayyinah dan syahadah. Keterangan lisan pula ialah segala pernyataan yang dibuat oleh saksi yang dibenarkan atau dikehendaki oleh mahkamah berhubung perkara-perkara fakta yang disiasat manakala keterangan dokumentar pula merupakan segala dokumen yang dikemukakan bagi pemeriksaan mahkamah. Secara umumnya, terdapat lima jenis keterangan di bawah Undang-undang Keterangan Islam iaitu:

    1. Keterangan Lisan;
    2. Keterangan Dokumen;
    3. Keterangan Keadaan;
    4. Keterangan Secara Langsung; dan
    5. Keterangan Dengar Cakap

     

    Kaedah keterangan yang terbaik pula ialah keterangan yang berasaskan sumber primer atau sumber asal yang sahih. Misalnya, jika keterangan tersebut berbentuk dokumen, maka dokumen yang terbaik adalah dokumen asal manakala bagi keterangan secara langsung pula, keterangan terbaik ialah pernyataan secara langsung oleh seseorang saksi yang hadir bagi memberikan keterangannya berhubung sesuatu kes di mahkamah. Terdapat banyak kaedah pensabitan yang boleh digunakan bagi membuktikan sesuatu kes di mahkamah dalam Undang-undang Keterangan Islam iaitu:

    1. Iqrar: Pengakuan atau pengiktirafan yang khusus sebagai salah satu cara pembuktian bagi mensabitkan hak atau kepentingan orang lain, ke atas dirinya sendiri, atau mensabitkan sesuatu kesalahan atau tanggungan ke atas dirinya seperti pengakuan berzina.
    2. Syahadah: Pemberitahuan yang bersifat benar menggunakan lafaz kesaksian atau “aku naik saksi” yang dilakukan dalam majlis kehakiman atau mahkamah yang diberikan bagi kepentingan orang lain ke atas orang lain.
    3. Khabar: Sesuatu perkara (kes) yang disampaikan dan dibuktikan melalui perkhabaran mutawatir kepada mahkamah.
    4. Sumpah (al-yamin): Suatu perkataan yang disertakan dengannya nama Allah, digunakan untuk menyatakan kesungguhan (tahqiq) terhadap sesuatu perkara yang tidak akan sabit tanpa bersumpah. Ini termasuklah perkara yang telah berlalu atau yang akan datang.
    5. Qarinah: Setiap sesuatu (sama ada ia boleh dilihat, dirasa, didengar, dipegang dan sebagainya) yang boleh dijadikan bukti atau keterangan bagi mensabitkan tentang ada sesuatu atau tiada sesuatu.
    6. Pendapat Pakar (Ra’yu al-Khabir): Pendapat yang diberi oleh seseorang yang mempunyai kepakaran dalam sesuatu bidang atau persoalan.
    7. Qiyafah: Pembuktian untuk mensabitkan nasab berdasarkan persamaan di antara seorang dengan seorang yang lain.
    8. Catatan (al-Kibah): Tulisan atau catatan yang dibuat oleh seseorang sama ada pemerintah, hakim atau rakyat biasa.
    9. Pengetahuan Hakim (Ilmu al-Qadi): Sesuatu kejadian yang disaksikan dan diketahui oleh seorang hakim yang mengetahui latar belakang dan fakta-fakta kejadian tersebut.
    10. Qasamah: Sumpah yang diulang-ulang dalam dakwaan pembunuhan, sebanyak 50 kali oleh 50 orang lelaki.
    11. Lian: Satu proses sumpah yang mengakibatkan perpisahan suami isteri kerana kegagalan suami membuktikan kecurangan isterinya.
    12. Undian: Satu proses untuk menetapkan orang atau pihak yang akan menikmati sesuatu hak atau kepentingan di antara mereka yang setaraf, yang sama-sama telah memenuhi syarat untuk menikmati hak atau kepentingan tersebut.

     

    Menerusi satu kes lain berhubung isu pertukaran agama, iaitu kes Permohonan Perisytiharan Status Agama Si Mati Nyonya Binti Tahir (2006) 21/2 JH 221, suatu permohonan ex-parte telah dibuat oleh Majlis Agama Islam Negeri Sembilan, Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan dan Pegawai Agama Islam Daerah Tampin, Negeri Sembilan berhubung status dan ketentuan agama Islam Nyonya Binti Tahir yang telah meninggal dunia pada tarikh 18 Januari 2006 kerana sakit tua. Apabila si mati meninggal dunia timbul masalah tentang pengkebumiannya disebabkan status agama yang meragukan. Beliau adalah seorang perempuan Melayu yang dilahirkan pada tahun 1918. Sejak kecil beliau tinggal bersama datuknya seorang mualaf Cina dengan mendapat asuhan dan didikan adat resam dan budaya Cina. Pada tahun 1936, beliau telah berkahwin dengan seorang lelaki Cina dan dikurniakan 13 orang anak.  Sejak berkahwin sehingga beliau mati, beliau hidup dengan menyembah Tokong Cina dan tidak pernah mengamalkan cara hidup Islam sepanjang hidupnya.

    Dalam menentukan bahawa si mati adalah seorang yang beragama Islam atau sebaliknya pada masa kematiannya, mahkamah telah merujuk kepada Surat Akuan yang dibuat oleh si mati di hadapan Pesuruhjaya Sumpah pada 19 Julai 1991 dan satu dokumen yang telah dikeluarkan oleh Pejabat Agama Islam dan Mahkamah Kadi Daerah Alor Gajah, Melaka yang bertarikh 7 Mei 1986 yang berbentuk surat laporan. Dalam surat laporan tersebut, ia menyatakan bahawa Nyonya Tahir sejak dari kecil lagi telah hidup dan dibesarkan secara Cina oleh datuknya dan telah berkahwin dengan lelaki Cina pada usia 18 tahun serta dikurniakan dengan 13 orang anak hasil daripada perkahwinan tersebut. Si mati juga dalam surat itu mengaku telah menyembah Tokong Cina yang terdapat di dalam rumahnya. Kesemua anaknya juga berkahwin dengan orang Cina. Keterangan baiyyinah juga dibawa oleh anak-anak si mati berkaitan amalan ibu mereka semasa hayat yang mengamalkan ajaran Buddha. Dokumen persendirian dalam bentuk gambar-gambar juga diberikan bagi membantu mahkamah.

    Berdasarkan qarinah dan juga bukti-bukti berupa dokumen dan ekshibit daripada ahli-ahli waris si mati menerusi Surat Akuan si mati di hadapan Pesuruhjaya Sumpah, satu dokumen yang berbentuk surat laporan, keterangan saksi dan juga gambar-gambar si mati yang mengamalkan ajaran Buddha semasa hayatnya, mahkamah telah memutuskan bahawa si mati Nyonya Binti Tahir adalah bukan beragama Islam semasa kematiannya dan ahli-ahli waris si mati berhak untuk menuntut mayat beliau serta menguruskan pengebumian mayat berkenaan.

    Kes ini jelas menunjukkan bahawa berdasarkan qarinah yang telah diberikan di mahkamah, bukti-bukti yang dibawa adalah cukup kuat dan yakin untuk diterima pakai di mahkamah berhubung status kematian Nyonya Tahir. Walaupun beliau lahir sebagai seorang perempuan Melayu yang beragama Islam, namun mahkamah terpaksa memutuskan bahawa beliau bukan beragama Islam semasa kematiannya berdasarkan qarinah yang jelas. Dalam Surat Akuannya juga, si mati telah membuat pengakuan (iqrar) bahawa beliau telah keluar daripada agama Islam dan memohon agar dikebumikan secara tradisi orang Cina sekiranya beliau mati.

    Keterangan adalah sesuatu yang sangat penting dalam proses perbicaraan. Tanpa keterangan, hukuman tidak mampu dilaksanakan dan dijalankan dengan adil dan saksama. Keteranganlah yang membantu para hakim untuk mencari kebenaran dan menjatuhkan sesuatu hukuman itu dengan adil dan tepat. Bagi tahap pembuktian keterangan, ia terbahagi kepada lima iaitu:

    1. Yakin;
    2. Zan Al-Ghalib;
    3. Zan;
    4. Syak; dan
    5. Waham

     

    Yakin merupakan pembuktian tanpa keraguan yang mencapai tahap 100%. Ini menunjukkan bahawa keterangan yang dibawa tidak boleh dipatahkan dan merupakan bukti yang paling konkrit yang diterima di mahkamah. Contoh keterangan yang mencapai tahap yakin ialah iqrar dan syahadah. Zan al-ghalib pula merupakan tahap pembuktian kedua tertinggi yang diterima di mahkamah. Ia merupakan pembuktian melampaui keraguan munasabah (beyond reasonable doubt) dan mencapai tahap 90%-99.9%. Contoh keterangannya ialah qarinah.

    Zan pula bermaksud sangkaan atau dalam keadaan yang tidak pasti tetapi lebih hampir dan mirip kepada benar. Tetapi tahap ini tidak cukup untuk mensabitkan sesuatu kes kecuali jika ia sampai kepada tahap zan al-ghalib. Bagi tahap pembuktian yang keempat, syak ialah sangkaan atau keadaan tidak pasti (50-50) di antara sabit atau tidak sabit persamaan kemungkinan di antara yang benar dengan yang salah. Melalui kaedah fiqh, yakin tidak akan terangkat melalui syak kerana tahap syak adalah kemungkinan sahaja. Manakala waham pula merupakan tahap pembuktian yang terendah kerana ia hanyalah sangkaan semata atau keadaan tidak pasti yang lebih cenderung kepada salah dan tidak boleh dijadikan asas pensabitan.

    Terdapat banyak lagi kaedah pembuktian bagi membuktikan keterangan sesuatu kes di mahkamah, terutamanya di era modernisasi ini, kaedah-kaedah saintifik seperti ujian DNA turut digunapakai bagi menentukan kesahan taraf anak luar nikah. Bagi kes seperti fasakh pula, keterangan saksi dan juga dokumen-dokumen seperti bil, resit dan sebagainya juga adalah penting bagi membuktikan pengabaian nafkah yang telah dilakukan oleh pihak Defendan. Dalam Islam, dari segi prinsip pembuktiannya adalah sangat ketat serta rigid dan Mahkamah Syariah memerlukan perbicaraan bagi setiap kes untuk menentukan dan memastikan agar keadilan dapat dicapai dengan seadilnya.
    Artikel oleh: Faiz Adnan & Associates

    Untuk sebarang pertanyaan berkenaan perkhidmatan kami/memerlukan nasihat guaman syarie, anda boleh menghubungi kami di sini.