• 8 PERKARA WAJIB TAHU TENTANG KONSULTASI GUAMAN DARI KACAMATA ANAK GUAM (BAHAGIAN 1)

    Konsultasi Guaman – Kelihatan staf-staf sedang fokus menyiapkan dokumen-dokumen pliding kes masing-masing untuk pemfailan di Mahkamah. Ada yang sedang khusyuk membaca, ada yang asyik membelek kitab-kitab Fiqh untuk menyediakan hujah dan ada juga yang menyusun fail-fail klien yang bertimbun di atas meja. Tiba-tiba deringan telefon memecah kesunyian pejabat peguam meminta untuk segera diangkat. Kedengaran suara seorang wanita yang lemah lembut dan ramah menyapa di hujung talian dengan selingan suara tangisan dan teriakan anak kecil. Beliau memperkenalkan diri sebagai Puan Syamsiah dan memberitahu tujuan panggilan tersebut dibuat. Soalan demi soalan diajukan Puan Syamsiah sebelum akhirnya membuat keputusan untuk bertemujanji bersama peguam syarie bagi mendapatkan nasihat guaman bagi masalah rumahtangga yang dialami oleh beliau. Terakhir sebelum perbualan tersebut tamat, Puan Syamsiah mengajukan soalan yang biasa ditanya oleh pihak klien; “Adakah apa-apa persediaan yang perlu saya buat atau dokumen-dokumen yang perlu saya bawa sebelum datang ke firma guaman Tuan untuk konsultasi guaman?

     

    Dalam penulisan artikel kali ini, kami akan kongsikan beberapa perkara asas dan tips-tips menarik yang mesti diambil maklum oleh klien sebelum hadir ke pejabat peguam bagi memastikan proses konsultasi guaman berjalan dengan lancar. Sesi konsultasi guaman atau sesi rundingan guaman adalah proses pertama yang akan berlangsung sebelum apa-apa tindakan undang-undang diteruskan di mana ianya juga adalah sebuah peluang kepada pihak klien untuk membuat pilihan dan keputusan yang terbaik untuk kes yang akan dibawa. Proses konsultasi guaman ini boleh dibahagikan kepada tiga fasa iaitu; Sebelum, Semasa dan Selepas sesi konsultasi.

     

    SEBELUM SESI KONSULTASI GUAMAN

    Lakukan Kajian Latar Belakang Firma Guaman dan Peguam

    Adalah lebih baik sekiranya anda lakukan kajian dan selidik latar belakang firma guaman secara ringkas. Dapatkan maklumat-maklumat penting seperti alamat firma, usia penubuhan firma, kelayakan peguam dan staf, perkhidmatan yang ditawarkan dan sebagainya. Perkara ini amat penting bagi memastikan urusan anda diuruskan oleh pihak yang bertanggungjawab dan berpengalaman. Kenalpasti sama ada firma guaman tersebut menawarkan perkhidmatan sama ada perkhidmatan guaman Syariah, Sivil, Jenayah, ataupun Conveyancing.

     

    Sebagai seorang klien, anda juga perlu selidik latar belakang peguam yang berkenaan; tempoh masa berkecimpung dalam amalan guaman, karakter dan kemahiran tambahan yang ada pada peguam tersebut. Perkara-perkara sebegini harus dinilai oleh klien supaya kepercayaan dari pihak klien terhadap peguam tersebut lebih kuat dan juga dapat membantu membina keserasian di antara klien dengan peguam tersebut. Pilih peguam yang stabil dari segi organisasi dan kewangan kerana perjalanan kes mengambil masa yang lama. Perkara ini penting bagi mengelakkan kes terbantut kerana firma ditutup atau lebih serius terjadinya pecah amanah.

     

    Maklumat-maklumat tersebut boleh diperolehi daripada pelbagai sumber seperti kenalan rapat, media sosial, laman web, dan sebagainya. Anda juga boleh mendapatkan maklumat tersebut daripada Mahkamah. Kebiasaanya, peguam-peguam akan dikenali dan berkenalan rapat dengan pegawai dan staf-staf Mahkamah. Seseorang peguam digelar sebagai peguam senior kerana pengalamannya yang melebih 7 tahun dan mereka lebih mahir dan berpengalaman menguruskan kes-kes berat dan jarang (rare cases) apatah lagi kes-kes ringan atau clear cut cases.

     

    Elakkan Gender Bias

    Dalam mengenali dan memilih peguam, pemilihan berdasarkan jantina (gender bias) adalah perkara yang perlu dielakkan. Tak kiralah sama ada peguam tersebut adalah lelaki atau perempuan, apa yang penting adalah kepercayaan dan keserasian anda dengan peguam pilihan anda. Pastikan keutamaan anda adalah pengetahuan, kemahiran dan pengalaman peguam yang mampu membina kepercayaan anda bahawa peguam tersebut mampu untuk menguruskan kes anda dengan baik. Peguam lelaki dan perempuan masing-masing mempunyai kemahiran dan sudut pandang yang mungkin berbeza. Pilihlah berdasarkan kepercayaan yang telah terbina, bukan berdasarkan jantina, umur dan lain-lain.

     

    Sediakan rangka atau kronologi peristiwa-peristiwa penting

    Penyediaan kronologi kes amat penting dalam sesi konsultasi. Ini kerana setiap kejadian yang berlaku akan dibahaskan dengan lebih kritikal semasa perbicaraan di Mahkamah dan ianya diperlukan semasa penyediakan pliding. Adalah lebih baik jika anda dapat sediakan rangka yang lengkap termasuk peristiwa, tarikh, masa dan komen peribadi mengenai insiden-insiden tersebut dengan mengikut turutan kronologi setepat yang boleh. Mulakan dengan senarai insiden atau peristiwa yang penting misalnya untuk kes-kes Syariah; kejadian-kejadian di antara suami isteri seperti pergaduhan, pukul-memukul, apa-apa bentuk kekasaran, atau pengabaian mahupun kejadian curang atau apa sahaja peristiwa yang dilakukan oleh pasangan yang dianggap penting untuk kes.

     

    Bagi kes-kes yang melibatkan lafaz seperti cerai, rujuk, ta’liq, hibah, wasiat dan sebagainya, adalah lebih baik jika lafaz tersebut dinyatakan semula dengan jelas beserta tarikh, masa dan keadaan semasa lafaz tersebut dikeluarkan. Semakin tepat dan jelas ciri-ciri peristiwa tersebut, semakin kuat kredibiliti fakta-fakta yang akan anda bawa di Mahkamah dan ia akan membantu membina keyakinan dan kepercayaan Hakim terhadap fakta yang anda kemukakan dan akhirnya keputusan lebih cenderung untuk berpihak kepada anda. Apa yang pasti, setiap bukti-bukti yang jelas dan terperinci akan meningkatkan tahap kredibiliti anda.

     

    Bawa bukti-bukti munasabah

    Perkara yang paling utama untuk disediakan sebelum hadir untuk mendapatkan nasihat guaman adalah dokumen pengenalan diri, bukti-bukti yang munasabah, serta saksi-saksi yang paling dipercayai. Dokumen atau bukti tersebut termasuklah kad pengenalan diri, sijil perakuan nikah/cerai, sijil lahir anak, tangkap layar perbualan WhatsApp, apa-apa mesej, audio, video dan sebagainya.

     

    Apa sahaja perkara yang anda lihat sebagai relevan untuk kes anda, bawakan semasa sesi konsultasi tersebut. Peguam anda akan meneliti bahan bukti tersebut dan akan memilih bukti-bukti yang paling utama dan sesuai untuk dikemukakan di hadapan Mahkamah. Manakala untuk dokumen-dokumen peribadi, adalah lebih baik jika anda sediakan salinan atau scan dokumen tersebut, kemudian serahkan kepada peguam jika anda risau hilang atau sebagainya.

     

    Perlu diingatkan di sini bahawa setiap dakwaan yang akan anda kemukakan mesti disokong dengan bukti. Misalnya, jika anda mendakwa telah dikasari atau dipukul oleh pasangan, sertakan bukti sokongan seperti laporan polis atau laporan perubatan. Ingat, dakwaan tanpa bukti sokongan hanya sebuah dakwaan semata-mata. Justeru, sentiasalah ambil langkah berjaga-jaga. Ambil tindakan ke atas setiap perkara yang melanggar hak anda sebagai persediaan sekiranya perkara yang lebih besar berlaku.

     

    Bawa saksi yang paling dipercayai

    Sekiranya dalam kejadian tertentu, wujud saksi yang menyaksikan peristiwa tersebut secara langsung (direct witness), saksi tersebut adalah yang paling layak dibawa sebagai saksi utama. Pastikan saksi tersebut ingat dengan jelas setiap satu kronologi kejadian tersebut dan merupakan orang yang paling anda percayai.

     

    SEMASA KONSULTASI BERLANGSUNG

    Ceritakan dengan ringkas dan padat

    Semasa sesi konsultasi, ceritakan dengan ringkas dan padat menggunakan kronologi atau rangka yang telah anda sediakan sebelum hadir ke pejabat peguam. Tunjukkan bukti-bukti yang relevan untuk setiap kejadian tersebut. Tidak perlu risau jika anda akhirnya terpaksa mengalirkan air mata kerana situasi tersebut adalah sangat normal apatah lagi dalam kes-kes Syariah dan ianya amat difahami oleh pihak peguam. Peguam yang baik akan memandu anda ke arah perbincangan yang lebih efektif memenuhi kehendak anda dalam masa yang sama memenuhi kriteria undang-undang. Oleh itu, pilihlah peguam yang serasi dengan anda serta mahir dalam menguruskan kes.

     

    Dalam menempuhi sesuatu permasalahan pasti akan memberi impak emosi sehingga ada yang tidak mampu untuk menanganinya. Namun begitu, khidmat guaman adalah platform terbaik yang mempunyai kepakaran dari sudut undang-undang dan hukum Syarak serta mampu untuk menjaga kepentingan anda.

     

    Tempoh masa yang optimum untuk satu sesi konsultasi adalah selama 1 jam 30 minit. Pada awal sesi, anda biasanya akan diberi ruang untuk menceritakan masalah anda dan kemudiannya perbincangan tersebut akan dipandu oleh peguam anda mengikut perspektif dan kriteria undang-undang. Cara yang paling efektif dalam sesi konsultasi adalah melalui teknik Cross Conversation, iaitu dengan cara soal dan jawab. Peguam anda akan bertanyakan soalan-soalan yang penting dari sudut pandang undang-undang dan anda akan menjawab sambil menceritakan dari sudut pandang anda sendiri. Cara ini lebih menjimatkan masa sekali gus memenuhi kehendak kedua-dua pihak.

     

    Bersikap jujur dan telus

    Banyak adegan yang dipertontonkan di dalam Drama atau Filem yang melibatkan prosedur litigasi di mana klien bertindak merahsiakan perkara tertentu yang mungkin memalukan atau atas apa-apa sebab tertentu dan akhirnya terbongkar dalam perbicaraan setelah disoal atau diasak oleh peguam pihak lawan yang mana akan menyebabkan penghakiman yang dikeluarkan tidak menyebelahi pihak klien. Ianya adalah amat penting bagi setiap klien yang hadir untuk sesi konsultasi supaya bersikap jujur dan telus tanpa menyembunyikan apa-apa maklumat atau perkara yang penting yang berkait langsung dengan kes.

     

    Langkah yang terbaik adalah anda ceritakan setiap kejadian dengan teliti tanpa menyembunyikan apa-apa maklumat yang mana pada hemat anda berkait rapat dengan kes yang bakal dibawa. Anda tidak perlu risau mengenai maklumat yang disampaikan kepada pihak peguam. Ini kerana peguam terikat dengan undang-undang yang ketat di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi. Akta Profession Guaman Syarie juga memperuntukkan bahawa tindakan tatatertib yang berat oleh pihak Majlis Peguam Syarie terhadap peguam syarie sekiranya terdapat salah laku di dalam perkhidmatan guaman yang diberikan[1]. Setiap maklumat berkaitan klien adalah amat sulit dan pihak peguam bertanggungjawab melindungi maklumat peribadi anda. Seandainya anda khuatir dengan maklumat yang mungkin pada hemat anda mengaibkan anda mahupun mana-mana pihak, tidak perlu risau kerana pada pandangan pihak peguam ianya hanyalah sebuah maklumat semata-mata. Ini kerana fokus peguam hanya kepada pembawaan kes, bukti-bukti dan strategi untuk memastikan hak anda tertunai sepertimana yang dituntut. Setiap butiran dan maklumat daripada anda amat bernilai pada kami sebagai peguam demi memastikan hujah-hujah yang akan diutarakan adalah bernas dan kukuh untuk dinilai oleh Hakim Bicara.

     

    SELEPAS KONSULTASI BERAKHIR

    Dapatkan pandangan kedua (Second Opinion)

    Tiada masalah sekiranya anda ingin mendapatkan pandangan kedua. Ini kerana sesi konsultasi adalah peringkat pertama dalam khidmat guaman dan anda masih boleh menukar fikiran selagi mana anda belum membuka fail kes. Di peringkat inilah, anda berpeluang membuat penilaian dari segi keserasian anda dengan peguam, skil dan kemahiran peguam serta nasihat guaman yang diberikan.

     

    Antara sebab lain untuk anda mendapatkan pandangan kedua adalah kerana sudut pandang, cara menginterpretasi kes dan solusi yang disarankan oleh setiap peguam bermungkinan terdapat perbezaan. Jadi, anda berhak memilih mana-mana pandangan yang sesuai dengan kehendak anda. Pastikan anda membuat pilihan selepas mengambil kira jalan yang terbaik untuk kes anda sendiri.

     

    PENUTUP

    Semoga perkongsian kali ni memberi manfaat untuk anda. Anda juga boleh rujuk artikel 8 PERKARA WAJIB TAHU TENTANG KONSULTASI GUAMAN DARI KACAMATA PEGUAM (BAHAGIAN 2) untuk bacaan tambahan mengenai persediaan oleh peguam. Artikel disediakan untuk Laman Web Peguam Syarie Faiz Adnan.

    [1] Seksyen 77, Akta Profesion Guaman Syarie (Wilayah-wilayah Persekutuan), 2019.

Comments are closed.