• tuntutan harta sepencarian: bekas isteri dan anak-anak dihalau keluar rumah

    TUNTUTAN HARTA SEPENCARIAN: BEKAS ISTERI DAN ANAK-ANAK DIHALAU KELUAR RUMAH

    SOALAN: Assalamualaikum W.B.T.  Saya ada beberapa persoalan yang ingin diajukan kepada Peguam Syarie Faiz Adnan Associates mengenai harta sepencarian. Saya dan bekas suami telah berkahwin pada 5 julai 1986 dan bercerai pada 6 ogos 2016. Kami telah dikurniakan dua orang cahaya mata. Semasa dalam tempoh perkahwinan, kami berdua mempunyai sebuah rumah teres di Kajang. Rumah tersebut dibeli pada tahun 1994 selepas lapan tahun perkahwinan. Namun setelah kami bercerai, suami menghalau  saya dan anak-anak supaya keluar dari rumah tersebut atas alasan saya tidak mempunyai hak ke atas rumah tersebut memandangkan penama atas tersebut atas nama bekas suami. Jadi persoalan saya disini, adakah saya boleh menuntut di Mahkamah Syariah supaya rumah tersebut dijadikan sebagai harta sepencarian walaupun saya tidak ada mengeluarkan wang dalam proses pembelian rumah tersebut? Dan berapakah kadar yang selayaknya saya terima? Mohon penjelasan. (Malika, Bangi Selangor)

     

    JAWAPAN:

    1) Terima kasih Puan Malika atas soalan yang telah diajukan tersebut. Jadi, melihat kepada permasalahan puan diatas, apa yang dapat saya simpulkan disini ialah  terdapat beberapa isu yang boleh  diketengahkan:

    • Sama ada harta yang dituntut merupakan harta sepencarian atau tidak
    • Sama ada wujud sumbangan pihak-pihak bagi memperolehi harta tersebut dan kadar yang harus dibahagikan kepada pihak-pihak

    Jadi, saya akan cuba menjawab satu-persatu berkenaan isu di atas.

     

    ISU PERTAMA: SAMA ADA HARTA YANG DITUNTUT MERUPAKAN HARTA SEPENCARIAN ATAU TIDAK. 

     

    2) Perkara ini boleh dirujuk mengikut seksyen 2 Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003 berkenaan dengan tafsiran harta sepencarian:

    “Harta sepencarian” ertinya harta yang diperoleh oleh suami dan isteri semasa  perkahwinan berkuatkuasa mengikut syarat-yarat yang ditentukan oleh Hukum Syarak;

    3) Malah perkara ini juga telah dinyatakan secara jelas di dalam Enakmen yang sama seksyen 122(1) yang memperuntukkan:

    Mahkamah hendaklah mempunyai kuasa apabila membenarkan lafaz talaq atau apabila membuat suatu perintah penceraian untuk memerintahkan supaya apa-apa yang diperoleh oleh pihak-pihak sewaktu perkahwinan dengan usaha bersama mereka dibahagikan antara mereka atau supaya mana-mana aset itu dijual dan hasil jualan itu dibahagikan antara pihak-pihak.

    4) Di dalam Al-quran berdasarkan firman Allah di dalam surah An-Nisa’ ayat 32 ada menyebut:

    “Dan janganlah kamu iri hati terhadap apa yang telah dikurniakan Allah kepada sebahagian kamu lebih banyak daripada sebahagian yang lain kerana bagi lelaki ada bahagian dari apa yang diusahakannya dan Bagi perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan dan mohonlah kepada Allah sebahagian daripada kurnianya Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu”

    Berdasarkan kepada nas Al-Quran di atas jelas menyatakan bahawa perempuan (isteri) mempunyai hak ke atas apa yang diusahakan termasuk juga dalam apa-apa usaha yang mendorong suami berjaya dalam kehidupan seharian sehingga suami berjaya memiliki harta harta tersebut. Usaha ini dikenali sebagai “sumbangan tidak langsung”. Usaha ini secara tidak langsung mendapat pengiktirafan dan ianya dijadikan asas di dalam harta sepencarian kerana peranan isteri dalam urusan rumah tangga adalah usaha yang diiktiraf oleh Hukum Syarak.

     

    5) Manakala dari sudut hukum adat pula, walaupun perkataan Harta Sepencarian ini tidak dinyatakan secara khusus oleh syarak, namun ianya merupakan adat melayu yang telah diterima pakai dan mendatangkan kebaikan kepada kaum wanita. Oleh yang demikian tuntutan harta sepencarian di Malaysia adalah berdasarkan kepada adat atau ‘uruf. Sesuatu perkara yang menjadi adat atau ‘uruf yang tidak bertentangan dengan hukum syarak serta menjadi kebiasaan amalan, maka ia layak diiktiraf dari sudut undang-undang.

     

    6) Dalam hal ini, bagi menentukan sama ada harta tersebut adalah harta sepencarian atau tidak, maka mahkamah akan melihat kepada tempoh masa harta tersebut diperolehi dan sama ada wujud atau tidak sumbangan kedua-dua pihak sama ada secara langsung atau tidak langsung bagi memperolehi harta tersebut.

     

    7) Pihak yang ingin menuntut perlulah membuktikan kepada mahkamah bahawa harta sepencarian tersebut sama ada harta alih (seperti wang simpanan dan kereta) atau harta tak alih (seperti rumah atau hartanah) telah diperoleh dalam tempoh perkahwinan. Seandainya harta yang dikumpul itu berlaku selepas penceraian, maka tidaklah dianggap sebagai harta sepencarian.

     

    8) Seorang suami tidak boleh menentukan hak ke atas harta yang bukan mutlak walau namanya tertera sebagai pemilik. Setiap harta yang dibeli walau hanya atas nama suami, ia boleh dituntut sebagai harta sepencarian apabila isteri turut menyumbang. Sumbangan yang dimaksudkan bukan sekadar wang ringgit tetapi tenaga, dorongan dan sokongan yang diberi sehingga membolehkan harta tersebut dikumpul.

     

    9) Jadi, berikutan dengan permasalahan Puan Malika ini, seandainya dapat dibuktikan bahawa rumah teres tersebut telah diperolehi bersama sewaktu dalam perkahwinan sama ada bukti melalui dokumen-dokumen ataupun saksi-saksi maka saya percaya puan juga berhak ke atas rumah tersebut dan ia boleh dituntut sebagai harta sepencarian. Dalam  hal ini, mahkamah akan melihat kepada faktor-faktor tertentu seperti sumbangan pihak-pihak bagi memperolehi harta tersebut dan kadar yang harus dibahagikan. Maka perkara ini akan dijelaskan pada isu yang kedua.

     

    ISU KEDUA: SAMA ADA WUJUD SUMBANGAN PIHAK-PIHAK BAGI MEMPEROLEHI HARTA TERSEBUT DAN KADAR YANG HARUS DIBAHAGIKAN KEPADA PIHAK-PIHAK

     

    10) Perlulah dijelaskan  disini, sebelum Mahkamah menetapkan kadar yang perlu dibahagikan kepada pihak-pihak, mahkamah akan melihat kepada sumbangan yang diberikan di antara kedua-dua pihak. Ini kerana harta sepencarian merupakan tuntutan yang kadarnya ditentukan berdasarkan kepada sedikit atau banyaknya takat sumbangan yang diberikan.

     

    11) Sumbangan yang dimaksudkan disini ialah merujuk kepada sumbangan secara langsung dan sumbangan tidak langsung:

    • Sumbangan secara langsung ini merujuk kepada usaha yang diberikan oleh kedua-dua pihak untuk memperoleh harta tersebut. Antara seperti sumbangan dari sudut kewangan.
    • Manakala, bagi sumbangan tidak langsung pula kebiasannya merujuk kepada kerja-kerja rumah yang dilaksanakan oleh isteri dalam menguruskan rumah tangga. Ini termasuklah idea, dorongan serta keselesaan yang dikecapi suami sehingga membolehkannya mendapatkan harta tersebut

     

    12) Sekiranya harta itu merupakan harta usaha bersama, maka faktor-faktor yang akan diambil kira oleh mahkamah termasuklah takat sumbangan tiap-tiap pihak dalam bentuk wang, harta atau kerja bagi memperoleh harta tersebut, hutang-hutang yang telah dibuat bagi manfaat bersama mereka serta keperluan anak-anak yang belum dewasa daripada perkahwinan itu.

     

    13)  Namun sekiranya harta tersebut merupakan harta tunggal, mahkamah akan melihat kepada sumbangan tidak langsung yang telah dibuat oleh pihak yang tidak memperoleh harta itu. Sebagai contoh melakukan kebajikan keluarga seperti memelihara rumah tangga, memenuhi keperluan anak-anak dan sebagainya.

     

    14) Berkenaan dengan kadar pembahagian harta pula, ianya boleh dikategorikan kepada tiga bahagian iaitu:

    1. Pembahagian sepertiga atau kurang kepada isteri: Pembahagian satu pertiga kepada pihak isteri dan dua pertiga kepada pihak suami akan terpakai apabila si isteri tidak memberi sumbangan kewangan dan hanya memberi sumbangan dalam bentuk menemani suami dan menjaga rumahtangga dan keluarga.
    2. Pembahagian sama rata: Berlaku sekiranya isteri juga memberi sumbangan kewangan, atau harta itu telah didaftarkan dalam kedua-dua nama suami isteri, pada amnya pembahagian akan diberi sama rata di antara suami isteri.
    3. Pembahagian melebihi separuh (1/2)  kepada isteri: Isteri yang menunjukkan bahawa dia memberi lebih sumbangan daripada suami, misalnya dengan memberi sumbangan kewangan dan juga menjaga rumahtangga, patutlah diberi bahagian yang lebih daripada separuh harta sepencarian itu.

     

    KESIMPULAN

     

    15) Maka apa yang boleh saya simpulkan disini ialah saya percaya Puan Malika berhak untuk menuntut rumah tersebut sebagai harta sepencarian. Ini berdasarkan kepada sumbangan tidak langsung yang telah puan berikan sepanjang mendirikan rumah tangga meskipun bukan sumbangan dalam bentuk kewangan. Saya menasihati puan agar mendapatkan khidmat peguam syarie kes puan dapat berjalan dengan lancar memandangkan mereka lebih berpengalaman dalam mengendalikan kes-kes sebegini. Sekian.

     

    Disediakan oleh: Nur Syairah Yusop untuk Peguam Syarie Faiz Adnan & Associates

     

Comments are closed.