• tuntutan harta sepencarian: bekas isteri dan anak-anak dihalau keluar rumah

    TUNTUTAN HARTA SEPENCARIAN: BEKAS ISTERI DAN ANAK-ANAK DIHALAU KELUAR RUMAH

    SOALAN: Assalamualaikum W.B.T.  Saya ada beberapa persoalan yang ingin diajukan kepada Peguam Syarie Faiz Adnan Associates mengenai harta sepencarian. Saya dan bekas suami telah berkahwin pada 5 julai 1986 dan bercerai pada 6 ogos 2016. Kami telah dikurniakan dua orang cahaya mata. Semasa dalam tempoh perkahwinan, kami berdua mempunyai sebuah rumah teres di Kajang. Rumah tersebut dibeli pada tahun 1994 selepas lapan tahun perkahwinan. Namun setelah kami bercerai, suami menghalau  saya dan anak-anak supaya keluar dari rumah tersebut atas alasan saya tidak mempunyai hak ke atas rumah tersebut memandangkan penama atas tersebut atas nama bekas suami. Jadi persoalan saya disini, adakah saya boleh menuntut di Mahkamah Syariah supaya rumah tersebut dijadikan sebagai harta sepencarian walaupun saya tidak ada mengeluarkan wang dalam proses pembelian rumah tersebut? Dan berapakah kadar yang selayaknya saya terima? Mohon penjelasan. (Malika, Bangi Selangor)

     

    JAWAPAN:

    1) Terima kasih Puan Malika atas soalan yang telah diajukan tersebut. Jadi, melihat kepada permasalahan puan diatas, apa yang dapat saya simpulkan disini ialah  terdapat beberapa isu yang boleh  diketengahkan:

    • Sama ada harta yang dituntut merupakan harta sepencarian atau tidak
    • Sama ada wujud sumbangan pihak-pihak bagi memperolehi harta tersebut dan kadar yang harus dibahagikan kepada pihak-pihak

    Jadi, saya akan cuba menjawab satu-persatu berkenaan isu di atas.

     

    ISU PERTAMA: SAMA ADA HARTA YANG DITUNTUT MERUPAKAN HARTA SEPENCARIAN ATAU TIDAK. 

     

    2) Perkara ini boleh dirujuk mengikut seksyen 2 Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003 berkenaan dengan tafsiran harta sepencarian:

    “Harta sepencarian” ertinya harta yang diperoleh oleh suami dan isteri semasa  perkahwinan berkuatkuasa mengikut syarat-yarat yang ditentukan oleh Hukum Syarak;

    3) Malah perkara ini juga telah dinyatakan secara jelas di dalam Enakmen yang sama seksyen 122(1) yang memperuntukkan:

    Mahkamah hendaklah mempunyai kuasa apabila membenarkan lafaz talaq atau apabila membuat suatu perintah penceraian untuk memerintahkan supaya apa-apa yang diperoleh oleh pihak-pihak sewaktu perkahwinan dengan usaha bersama mereka dibahagikan antara mereka atau supaya mana-mana aset itu dijual dan hasil jualan itu dibahagikan antara pihak-pihak.

    4) Di dalam Al-quran berdasarkan firman Allah di dalam surah An-Nisa’ ayat 32 ada menyebut:

    “Dan janganlah kamu iri hati terhadap apa yang telah dikurniakan Allah kepada sebahagian kamu lebih banyak daripada sebahagian yang lain kerana bagi lelaki ada bahagian dari apa yang diusahakannya dan Bagi perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan dan mohonlah kepada Allah sebahagian daripada kurnianya Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu”

    Berdasarkan kepada nas Al-Quran di atas jelas menyatakan bahawa perempuan (isteri) mempunyai hak ke atas apa yang diusahakan termasuk juga dalam apa-apa usaha yang mendorong suami berjaya dalam kehidupan seharian sehingga suami berjaya memiliki harta harta tersebut. Usaha ini dikenali sebagai “sumbangan tidak langsung”. Usaha ini secara tidak langsung mendapat pengiktirafan dan ianya dijadikan asas di dalam harta sepencarian kerana peranan isteri dalam urusan rumah tangga adalah usaha yang diiktiraf oleh Hukum Syarak.

     

    5) Manakala dari sudut hukum adat pula, walaupun perkataan Harta Sepencarian ini tidak dinyatakan secara khusus oleh syarak, namun ianya merupakan adat melayu yang telah diterima pakai dan mendatangkan kebaikan kepada kaum wanita. Oleh yang demikian tuntutan harta sepencarian di Malaysia adalah berdasarkan kepada adat atau ‘uruf. Sesuatu perkara yang menjadi adat atau ‘uruf yang tidak bertentangan dengan hukum syarak serta menjadi kebiasaan amalan, maka ia layak diiktiraf dari sudut undang-undang.

     

    6) Dalam hal ini, bagi menentukan sama ada harta tersebut adalah harta sepencarian atau tidak, maka mahkamah akan melihat kepada tempoh masa harta tersebut diperolehi dan sama ada wujud atau tidak sumbangan kedua-dua pihak sama ada secara langsung atau tidak langsung bagi memperolehi harta tersebut.

     

    7) Pihak yang ingin menuntut perlulah membuktikan kepada mahkamah bahawa harta sepencarian tersebut sama ada harta alih (seperti wang simpanan dan kereta) atau harta tak alih (seperti rumah atau hartanah) telah diperoleh dalam tempoh perkahwinan. Seandainya harta yang dikumpul itu berlaku selepas penceraian, maka tidaklah dianggap sebagai harta sepencarian.

     

    8) Seorang suami tidak boleh menentukan hak ke atas harta yang bukan mutlak walau namanya tertera sebagai pemilik. Setiap harta yang dibeli walau hanya atas nama suami, ia boleh dituntut sebagai harta sepencarian apabila isteri turut menyumbang. Sumbangan yang dimaksudkan bukan sekadar wang ringgit tetapi tenaga, dorongan dan sokongan yang diberi sehingga membolehkan harta tersebut dikumpul.

     

    9) Jadi, berikutan dengan permasalahan Puan Malika ini, seandainya dapat dibuktikan bahawa rumah teres tersebut telah diperolehi bersama sewaktu dalam perkahwinan sama ada bukti melalui dokumen-dokumen ataupun saksi-saksi maka saya percaya puan juga berhak ke atas rumah tersebut dan ia boleh dituntut sebagai harta sepencarian. Dalam  hal ini, mahkamah akan melihat kepada faktor-faktor tertentu seperti sumbangan pihak-pihak bagi memperolehi harta tersebut dan kadar yang harus dibahagikan. Maka perkara ini akan dijelaskan pada isu yang kedua.

     

    ISU KEDUA: SAMA ADA WUJUD SUMBANGAN PIHAK-PIHAK BAGI MEMPEROLEHI HARTA TERSEBUT DAN KADAR YANG HARUS DIBAHAGIKAN KEPADA PIHAK-PIHAK

     

    10) Perlulah dijelaskan  disini, sebelum Mahkamah menetapkan kadar yang perlu dibahagikan kepada pihak-pihak, mahkamah akan melihat kepada sumbangan yang diberikan di antara kedua-dua pihak. Ini kerana harta sepencarian merupakan tuntutan yang kadarnya ditentukan berdasarkan kepada sedikit atau banyaknya takat sumbangan yang diberikan.

     

    11) Sumbangan yang dimaksudkan disini ialah merujuk kepada sumbangan secara langsung dan sumbangan tidak langsung:

    • Sumbangan secara langsung ini merujuk kepada usaha yang diberikan oleh kedua-dua pihak untuk memperoleh harta tersebut. Antara seperti sumbangan dari sudut kewangan.
    • Manakala, bagi sumbangan tidak langsung pula kebiasannya merujuk kepada kerja-kerja rumah yang dilaksanakan oleh isteri dalam menguruskan rumah tangga. Ini termasuklah idea, dorongan serta keselesaan yang dikecapi suami sehingga membolehkannya mendapatkan harta tersebut

     

    12) Sekiranya harta itu merupakan harta usaha bersama, maka faktor-faktor yang akan diambil kira oleh mahkamah termasuklah takat sumbangan tiap-tiap pihak dalam bentuk wang, harta atau kerja bagi memperoleh harta tersebut, hutang-hutang yang telah dibuat bagi manfaat bersama mereka serta keperluan anak-anak yang belum dewasa daripada perkahwinan itu.

     

    13)  Namun sekiranya harta tersebut merupakan harta tunggal, mahkamah akan melihat kepada sumbangan tidak langsung yang telah dibuat oleh pihak yang tidak memperoleh harta itu. Sebagai contoh melakukan kebajikan keluarga seperti memelihara rumah tangga, memenuhi keperluan anak-anak dan sebagainya.

     

    14) Berkenaan dengan kadar pembahagian harta pula, ianya boleh dikategorikan kepada tiga bahagian iaitu:

    1. Pembahagian sepertiga atau kurang kepada isteri: Pembahagian satu pertiga kepada pihak isteri dan dua pertiga kepada pihak suami akan terpakai apabila si isteri tidak memberi sumbangan kewangan dan hanya memberi sumbangan dalam bentuk menemani suami dan menjaga rumahtangga dan keluarga.
    2. Pembahagian sama rata: Berlaku sekiranya isteri juga memberi sumbangan kewangan, atau harta itu telah didaftarkan dalam kedua-dua nama suami isteri, pada amnya pembahagian akan diberi sama rata di antara suami isteri.
    3. Pembahagian melebihi separuh (1/2)  kepada isteri: Isteri yang menunjukkan bahawa dia memberi lebih sumbangan daripada suami, misalnya dengan memberi sumbangan kewangan dan juga menjaga rumahtangga, patutlah diberi bahagian yang lebih daripada separuh harta sepencarian itu.

     

    KESIMPULAN

     

    15) Maka apa yang boleh saya simpulkan disini ialah saya percaya Puan Malika berhak untuk menuntut rumah tersebut sebagai harta sepencarian. Ini berdasarkan kepada sumbangan tidak langsung yang telah puan berikan sepanjang mendirikan rumah tangga meskipun bukan sumbangan dalam bentuk kewangan. Saya menasihati puan agar mendapatkan khidmat peguam syarie kes puan dapat berjalan dengan lancar memandangkan mereka lebih berpengalaman dalam mengendalikan kes-kes sebegini. Sekian.

     

    Disediakan oleh: Nur Syairah Yusop untuk Peguam Syarie Faiz Adnan & Associates

     

  • suami-nafsu-kuat

    ISTERI TERANIAYA: SUAMI NAFSU KUAT DAN SUKA MENGHABISKAN HARTA ISTERI

    Soalan: Saya Farah (bukan nama sebenar) merupakan suri rumahtangga sepenuh masa. Saya mempunyai 3 orang anak. Perkahwinan saya dan suami telah mencecah 5 tahun. Suami saya seorang yang sangat kuat nafsu syahwatnya – suami nafsu kuat. Sejak dari awal perkahwinan lagi suami saya tak kira pagi, petang atau malam beliau sering minta bersama sampai saya tak larat melayani dia. Telah beberapa kali saya cuba tolak pelawaan tapi suami paksa saya bersama. Akibat daripada kekerapan melakukan hubungan kelamin, saya telah mengalami pendarahan pada alat sulit dan kerap rasa sakit-sakit. Bila saya mengadu, suami tidak mengendahkan dan langsung tidak pernah bawa saya ke klinik untuk pemeriksaan. Saya hanya bergantung pada ubat tahan sakit saja. Dalam keadaan saya begitu pun, suami tetap dengan sikapnya. Saya betul-betul rasa tertekan dengan masalah ini. Hanya mengenangkan anak-anak sahaja saya masih bertahan dan bersabar sehingga sekarang. Saya pernah menyuarakan masalah ini padanya namun apa yang berlaku, suami saya marah dan tengking saya. Dia mengatakan saya wajib patuh sebab itu arahan daripadanya sebagai suami. Suami juga kadang-kadang sanggup tak pergi kerja kerana nakkan bersama. Dia juga sering bertukar kerja kerana masalah kehadiran dan komitmen.

    suami-nafsu-kuat-2Dari segi duit pula, tanggungan tidak sepenuhnya dari pendapatan suami sebab gaji suami kecil dan kadang-kadang tak ada gaji (dalam tempoh tak bekerja). Hampir kesemua tanggungan tersebut adalah dari saya sendiri. Sebelum saya berkahwin dengan suami, saya mempunyai pekerjaan tetap dengan gaji yang lumayan. Saya telah mempunyai kereta, rumah, duit simpanan dan barang-barang kemas. Namun, semua harta-harta tersebut dicagar oleh suami satu demi satu dan digunakan untuk tampung keperluan keluarga. Suami berjanji untuk tebusnya kembali tapi sekarang lain pula jadinya.  Bila saya bertanyakan tentang harta2 tersebut, suami mengamuk dan ugut saya nak bawa lari anak-anak jika saya sebut tentang hal ini lagi dan dia juga cakap yang dia tak akan tebus harta-harta itu sebab duit tak ada. Saya sekarang buat bisnes online. Alhamdulillah sedikit sebanyak ada juga pendapatan. Tapi sedihnya, kad bank saya suami pegang dan dia gunakan wang itu ikut suka hati tanpa minta izin daripada saya terlebih dahulu. Sejujurnya, saya sudah tidak tahan lagi meneruskan perkahwinan ini dan bercadang untuk bercerai. So, apa yang perlu saya lakukan? Apakah hak yang boleh saya tuntut selepas penceraian? Mohon nasihat.

     

    Jawapan: Terima kasih Puan atas soalan yang diajukan dan saya simpati atas apa yang berlaku atas diri Puan.

    Sebelum saya menerangkan dengan lebih lanjut, harapnya penceraian ini adalah usaha terakhir yang Puan ambil untuk selesaikan konflik rumahtangga Puan dan suami.

    Baiklah, setelah meneliti satu-persatu permasalahan Puan, keadaan dan situasi Puan pada ketika ini adalah diharuskan bercerai mengikut Hukum Syarak berdasarkan 3 sebab berikut:

    1. Telah timbul kemudharatan pada diri Puan akibat dari sikap suami yang terus menerus memaksa Puan melakukan hubungan kelamin.
    2. Suami telah dengan sengaja cuai memperuntukkan nafkah zahir kepada Puan.
    3. Suami telah dengan sengaja melupuskan harta Puan.

    Bagi proses penceraian, memandangkan Puan dan suami masih tinggal sebumbung maka langkah awal yang sebaiknya dibuat ialah Puan berbincang tentang penceraian ini dengan suami terlebih dahulu. Jika suami bersetuju untuk menceraikan Puan, maka Puan boleh menfailkan permohonan cerai di bawah seksyen 47 Akta/Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam. Prosiding penceraian di bawah seksyen ini lebih mudah kerana ia tidak memerlukan kepada pembuktian atau perbicaraan jika pihak-pihak telah bersetuju untuk berpisah. Selain itu, segala aib pasangan juga tidak dibuka. Dari segi Hukum Syarak, tindakan ini sangat dituntut dalam Islam berdasarkan surah al-Baqarah ayat 229, Allah s.w.t berfirman:

     

    فإمساك بمعروف أو تسريح بإحسان

    Maksud: “Setelah itu suami dapat menahannya dengan cara yang baik dan melepaskan dengan baik.”

     

    Manakala jika berlaku sebaliknya yakni keadaan di mana suami Puan tidak menerima atau tidak mahu hadir prosiding penceraian, maka Puan boleh menfailkan tuntutan fasakh di bawah seksyen 53 Akta/Enakmen yang sama. Ini kerana sebab-sebab penceraian Puan seperti yang disebutkan di atas juga ada diperuntukan di bawah seksyen 53.

    Dalam permohonan fasakh, Puan perlu nyatakan bersama alasan-alasan fasakh yang berkaitan seperti berikut:

    (1) suami telah lazim menyakiti dan menjadikan kehidupan Puan menderita disebabkan oleh kelakuan aniayanya,

    (2)  suami telah melupuskan harta Puan dan

    (3)  suami telah cuai mengadakan peruntukan bagi nafkah selama 3 bulan berturut-turut.

    Setiap alasan-alasan yang dikemukakan dalam permohonan fasakh perlu dibuktikan wujud. Kegagalan Puan mengemukakan bukti atau saksi bagi menyokong alasan tersebut boleh menyebabkan tuntutan/permohonan fasakh Puan ditolak.

    Dalam kes fasakh, perkara yang paling penting ialah pembuktian. Saya bantu Puan dalam hal ini. Berdasarkan kepada alasan yang pertama, “suami telah lazim menyakiti dan ……” adalah merujuk kepada tindakan suami yang kerap memaksa Puan melakukan hubungan kelamin sehingga menyebabkan pendarahan pada alat sulit Puan. Hal keadaan ini dikuatkan lagi dengan kelakuan aniaya suami Puan yang langsung tidak mengendahkan kesakitan yang Puan alami dan berterusan memaksa Puan melakukan hubungan kelamin. Akibat daripada sikap suami, Puan mengalami pendarahan dan tekanan perasan. Bagi membuktikan perkara ini, Puan perlu sediakan laporan perubatan. Laporan perubatan disini merujuk kepada laporan doktor berkenaan dengan pendarahan pada alat sulit dan juga laporan pakar psikiatri yang mengesahkan bahawa Puan sememangnya mengalami tekanan perasaan.

    Seterusnya bagi alasan yang kedua, kecuaian suami memperuntukan nafkah adalah merujuk kepada situasi dimana suami tidak sepenuhnya menanggung keperluan keluarga malah sebaliknya telah menggunakan wang simpanan dan harta Puan untuk tujuan tersebut. Ini berlaku kerana suami tidak mempunyai gaji yang tetap ekoran dari masalah bertukar-tukar tempat kerja. Dalam perkara ini, Puan boleh mengemukakan saksi iaitu bekas majikan suami Puan bagi menerangkan tentang sikap dan komitmen suami sebagai pekerja. Selain itu, jiran juga boleh dibawa menjadi saksi sekiranya jiran tersebut kerap melihat kelibat suami di rumah dan mengetahui bahawa suami  tidak  bekerja. Pendek cerita, segala dokumen yang berkaitan yang Puan rasa ianya menyokong alasan tersebut boleh dikemukakan di Mahkamah.

    Bagi alasan yang terakhir iaitu suami telah dengan sengaja melupuskan harta Puan. Difahamkan bahawa suami dalam kes ini telah mungkir janji untuk menebus kembali harta-harta yang telah dicagar tambahan turut mengugut Puan untuk membawa lari anak sekiranya hal ini diungkit lagi. Baik, bagi masalah ini Puan perlu sediakan dokumen2 yang berkaitan dengan transaksi cagaran. Jika transaksi tersebut dibuat secara lisan, sebaiknya minta kerjasama orang yang menerima cagaran itu untuk beri keterangan di Mahkamah bagi mengesahkan kewujudan transaksi tersebut. Selain itu, dokumen harta dan rekod wang simpanan Puan juga perlu dikemukakan untuk menunjukkan harta-harta tersebut adalah kepunyaan Puan. Berhubung dengan isu bawa lari anak, saya cadangkan Puan mohon perintah injuksi dari Mahkamah Syariah. Ini penting untuk menghalang suami dari bawa lari anak dan sekiranya berlaku kejadian ini suami Puan boleh ditangkap dan dipenjarakan. Dalam masa yang sama, Puan juga dinasihatkan untuk memohon perintah interim hadhanah. Permohonan ini adalah bertujuan untuk mendapatkan hak jagaan sementara sepanjang tempoh prosiding berjalan.

    Berkenaan dengan hak-hak selepas penceraian, jika Puan becerai secara baik maka hak yang boleh dituntut ialah nafkah iddah, mutaah, harta sepencarian, hadhanah, dam nafkah anak. Dan sekiranya penceraian secara fasakh, semua hak-hak yang disebutkan Puan boleh tuntut kecuali nafkah iddah.

    Saya kira penerangan yang serba ringkas ini dapat memandu Puan untuk tindakan lanjut. Cuma, saya nasihatkan supaya Puan guna khidmat Peguam Syarie supaya kes ini dikendalikan mengikut prosiding undang-undang yang betul dan menepati Hukum Syarak. Sekiranya Puan ingin bertanya dengan lebih lanjut, Puan boleh hubungi kami di 012 667 6200 (Peguam Syarie Faiz Adnan) atau pejabat 03-2283 1400/03-2283 3400 atau datang terus ke firma kami di Bangsar Utama. Terima kasih.

    Share sekiranya artikel ini bermanfaat!

     

  • harta sepencarian

    HAK ISTERI DALAM HARTA SEPENCARIAN

    HARTA SEPENCARIAN – Bahawa saya dan bekas suami telah pun sah bercerai pada 15hb Januari 2016 yang lalu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya, Selangor. Dalam tempoh perkahwinan, saya dan bekas suami telah memperolehi asset tersebut:

    i) Sebuah rumah jenis teres 2 tingkat yang beralamat di No 1, Jalan SS21/25, Damansara Utama, 56300 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan. (dibeli atas nama bersama) – rumah kelamin sepanjang perkahwinan

    SOALAN:

    Selain hak penjagaan anak, yang menjadi permasalahan saya sekarang ialah bekas suami saya menyatakan bahawa saya langsung tidak ada hak ke atas harta-harta tersebut (harta sepencarian selepas bercerai) memandangkan saya adalah seorang suri rumah yang tidak mempunyai pendapatan, malah saya langsung tidak memberi apa-apa sumbangan kewangan ke atas kewujudan harta-harta tersebut. Saya hanya perlukan kepastian, adakah benar dakwaan bekas suami saya tersebut? saya juga memerlukan tempat tinggal untuk menjalani kehidupan seterusnya. Tambahan pula, bekas suami saya kini telah memberi amaran kepada saya supaya keluar dari rumah kelamin kami setelah tamat tempoh iddah saya. Saya buntu. sila pihak tuan/puan beri penjelasan dengan kadar segera.

    (Puan Mila dari Petaling Jaya)

     

    JAWAPAN:

    Terima kasih puan atas soalan yang diajukan.

    Untuk makluman puan, berdasarkan peruntukkan undang-undang harta sepencarian ini adalah harta yang diperolehi bersama ketika di dalam tempoh perkahwinan sama ada harta alih mahupun harta tak alih. Harta alih adalah seperti wang simpanan & kereta, manakala harta x alih pula seperti rumah & hartanah.

    Dalam mahkamah syariah, pembahagian harta sepencarian adalah ditentukan berdasarkan sumbangan pihak-pihak dalam pemerolehan harta-harta tersebut di mana bentuk sumbangan terbahagi kepada 2 iaitu sumbangan secara langsung dan sumbangan secara tidak langsung.

    Sumbangan secara langsung adalah sumbangan yang berbentuk kewangan,
    Sumbangan tidak langsung pula adalah berbentuk perhatian dalam rumahtangga seperti menjaga kebajikan keluarga, memelihara rumahtangga serta menjaga keperluan keluarga termasuk anak-anak.

    Dalam permasalahan puan ini, saya mendapati bahawa puan tidak pun memberi sumbangan dalam bentuk wang untuk memperolehi harta-harta tersebut, namun demikian puan adalah seorang suri rumah yang setiap masa berkorban menjaga keperluan rumahtangga, menjaga keharmonian rumahtangga. Pengorbanan puan ini dikategorikan sebagai sumbangan tidak langsung di mana dengan pengorbanan puan tersebut, puan telah membantu dan memberi sokongan dari belakang kepada suami supaya berjaya dalam kerjayanya serta dalam kehidupan hariannya agar terus berusaha mengharmonikan rumahtangga puan bersama.

    Merujuk kepada peruntukkan undang-undang di dalam seksyen 122 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor), seksyen tersebut memperuntukkan bahawa:

    “(1) Mahkamah adalah mempunyai kuasa apabila membenarkan lafaz talaq atau apabila membuat sesuatu perintah perceraian untuk memerintah supaya apa-apa aset yang diperolehi oleh pihak-pihak itu dalam masa perkahwinan dengan usaha bersama mereka dibahagi antara mereka atau supaya mana-mana aset yang diperolehi oleh pihak-pihak itu dalam masa perkahwinan dengan usaha bersama mereka dibahagi antara mereka atau supaya mana-mana aset itu dijual dan hasil jualan itu dibahagi antara pihak-pihak itu.”

    Manakala seksyen 122 (2) dan (4) Enakmen yang sama pula menjelaskan tentang sumbangan langsung dan sumbangan x langsung.

    Seksyen 122 (2) memperuntukkan bahawa: (sumbangan langsung)

    Pada menjalankan kuasa yang diberi oleh subseksyen (1), Mahkamah hendaklah mengambil perhatian tentang;
    a) Takat sumbangan-sumbangan yang telah dibuat oleh tiap-tiap satu pihak dalam bentuk wang, harta, atau kerja bagi memperolehi aset-aset itu;
    b) Apa-apa hutang terhutang oleh salah satu pihak yang telah dilakukan bagi manfaat bersama mereka;
    c) Keperluan-keperluan anak-anak yang belum dewasa dari perkahwinan itu, jika ada,

    Dan tertakluk kepada pertimbangan-pertimbangan itu, Mahkamah hendaklah membuat pembahagian yang sama banyak.

    Seksyen 122 (4) memperuntukkan bahawa: (sumbangan tidak langsung)

    Pada menjalankan kuasa yang diberi oleh subseksyen (3),Mahkamah hendaklah memberi perhatian kepada—
    (a) takat sumbangan yang telah dibuat oleh pihak yang tidak memperolehi aset itu, kepada kebajikan keluarga dengan memelihara rumahtangga atau menjaga keluarga;
    (b) keperluan anak-anak yang belum dewasa daripada perkahwinan itu, jika ada,

    dan, tertakluk kepada pertimbangan itu, Mahkamah boleh membahagikan aset itu atau hasil jualan itu mengikut apa-apa kadar yang difikirkannya munasabah, tetapi, walau bagaimanapun, pihak yang telah memperoleh aset itu dengan usahanya hendaklah menerima suatu kadar yang lebih besar.

    Dalam kes puan ini, kebiasaannya Mahkamah akan putuskan 2/3 kepada pihak yang memberi sumbangan langsung dan 1/3 kepada pihak yang memberi sumbangan tidak langsung.

    Oleh yang demikian itu, sy NASIHATKAN puan lantiklah Peguam Syarie supaya kes harta sepencarian ini boleh difailkan dengan teratur serta memenuhi kriteria Undang-undang dan Hukum Syarak.

    PENERANGAN TAMBAHAN (HARTA SEPENCARIAN)

    Dalam mempertimbangkan kes ini, Mahkamah akan mengambil kira beberapa perkara penting di dalam permohonan puan antaranya ialah:
    1. butiran peribadi pihak-pihak
    2. tarikh pernikahan
    3. butiran anak-anak
    4. tarikh & tempat berlaku perceraian
    5. butiran harta-harta yang diperolehi semasa dalam tempoh perkahwinan sehingga bercerai, tarikh diperolehi dll
    6. adakah terdapat harta yang diperolehi sebelum perkahwinan tetapi di majukan di dalam tempoh perkahwinan. Jika ada nyatakan butirannya, tarikh diperolehi dan apakah bentuk kemajuan yang dibuat ke atas harta tersebut.
    7. asset-asset perhiasan, gelang emas dll
    8. tempat tinggal utama di mana pihak-pihak hidup bersama semasa perkahwinan (rumah kelamin).
    9. Sama ada ada orang gaji atau pembantu rumah ada disediakan atau tidak
    10. Butir-butir harta yang diperolehi bagi setiap pasangan seperti tarikh perolehi harta dll
    11. Sejarah pekerjaan setiap pihak
    12. Sejarah kedudukan kewangan, sebelum dan semasa pernikahan
    13. Sumber-sumber yang menjadi harta-harta diperolehi
    14. Perkara yang berkaitan dengan amanah. Contohnya harta diamanahkan kepada anak-anak. Tanggungan pihak-pihak terlibat
    15. Kesihatan pihak-pihak terlibat. Ia ada kaitan dengan kemampuan memperolehi harta
    16. Harta yang diberi sebagai tanda kasih sayang
    17. Fakta mengenai ketenangan jiwa yang diberi oleh isteri kepada suami seperti menjaga anak-anak, dulu bekerja tetapi berhenti untuk menjaga anak-anak dll
    18. Berapakah jumlah tuntutan yang dipohon
    19. Cara tuntutan diselesaikan (sama ada dengan dijual, pindah milik, tukar milik dll).

    Sekian Wassalam..
    (Asma dari Faiz Adnan & Associates)

     

    Untuk sebarang pertanyaan, atau sekiranya anda ingin menetapkan temujanji dengan Peguam Syarie Faiz Adnan, anda boleh menghubungi kami menerusi telefon/email.

  • fasakh-peguam-syarie-faizadnan

    Fasakh VS Takliq – Perbezaan Fasakh dan Takliq

    Dialog FASAKH VS TAKLIQ:

    “Assalamualaikum Peguam Syarie Faiz Adnan… saya nak tanya sikit sama ada saya kena failkan kes fasakh atau takliq? Suami saya dah 3 tahun keluar dari rumah kelamin kami tanpa nafkah. Ada orang nasihatkan saya better saya failkan kes takliq tapi orang mahkamah kata lebih baik fasakh … saya confius”.

    Begitulah soalan yang diajukan kepada saya minggu lepas sewaktu saya dalam perjalanan dari mahkamah shah alam ke Bangsar (ofis). Dalam hati tercuit rasa ingin jelaskan dengan terperinci dan kalau boleh nak sangat jemput puan Ema ( bukan  nama sebenar ) datang ke ofis saya tapi rupanya dia bukan orang sini, nun jauh Sabah.

    “Puan, sebenarnya puan boleh saja nak failkan salah satu daripada 2 jenis kes tu sebab alasan puan tu sesuai untuk kedua-dua kes tu … tapi bagi saya lebih mudah kalau difailkan kes fasakh daripada kes takliq sebab ….”

    Syarat permohonan takliq diluluskan oleh Hakim Bicara :

    i- mestilah alasan yang dikemukakan itu bertepatan dengan lafaz takliq yang dilafazkan oleh pihak suami selepas akad nikah.

    ii- mestilah dibuktikan wujudnya lafaz takliq yang pernah dilafazkan oleh si suami selepas akad nikah dengan mengemukakan bukti dokumentar atau saksi yang menyaksikan lafaz itu

    iii- mestilah membuktikan secara comprehensive samada secara dokumentar atau saksi yang competent dan mencukupi bahawa fakta kes telah dilanggar oleh si suami.

    Jika dirujuk kepada 3 syarat ringkas di atas serta bandingkan dengan syarat permohonan fasakh diluluskan oleh Hakim Bicara :

    i- mestilah alasan untuk fasakh itu bertepatan dengan seksyen 52 (akta undang-undang keluarga islam wilayah-wilayah persekutuan 1984)

    ii- mestilah membuktikan secara comprehensive samada secara dokumentar atau saksi yang competent dan mencukupi bahawa fakta kes telah mencapai tahap meyakinkan hakim bicara sebelum diluluskan permohonan fasakh itu

    “Oooh begitu, maknanya lebih mudah saya failkan kes fasakh daripada kes takliq ye…sebab saya kena dapatkan saksi masa suami saya lafaz takliq dulu …tak mungkin lagi sebab saksi nikah kedua-dua dah meninggalkan . Maklumlah saya dah menikah 20 tahun lepas …eee payah kalau begitu ” reaksi  puan Ema.

    Alhamdulillah mesej saya dapat difahami  dengan jelas oleh Puan Ema. Apa yang saya kongsikan dengan beliau tadi bukanlah kali pertama soalan yang sama diajukan kepada saya malah mengikut pengalaman saya sendiri yang sudah 17 tahun beramal dalam bidang kepeguaman syarie di beberapa buah negeri di Malaysia, inilah cadangan terbaik yang boleh saya berikan kepada klien-klien saya.

    Tak salah kalau difailkan kes takliq, cuma pembuktiannya sahaja yang terpaksa 2 kali kerja . Pertama kena buktikan wujudnya lafaz takliq dan kedua kena buktikan taqlik dilanggar.

    Kes fasakh walaupun nampak susah tapi dari segi pembuktian lebih mudah.Malah seksyen 52 itu memperuntukkan alasan yang lebih ringan berbanding lafaz takliq.

    Misalnya  lafaz taqlik di Selangor :

    “Saya mengaku apabila saya  tinggalkan isteri saya (nama isteri )  selama empat bulan hijrah berturut-turut atau lebih dengan sengaja atau paksaan DAN saya atau wakil saya  tiada memberi nafkah kepadanya selama tempoh yang tersebut padahal ia taatkan saya….”

    Ringkasnya bahawa lafaz di atas memerlukan 2 kombinasi atau syarat yang perlukan pembuktian iaitu suami tinggalkan isteri lebih empat bulan hijrah serta dalam tempoh itu suami atau wakil suami tidak berikan apa-apa nafkah kepada isteri barulah hakim bicara boleh pertimbangkan kes itu.

    Berbanding kes fasakh misalnya seksyen 53 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003 spesifik isu nafkah  iaitu :

    …53(1)(b) : bahawa suami telah cuai atau telah tidak mengadakan peruntukan bagi nafkahnya selama tempoh tiga bulan .

    Jelas di sini isu nafkah yang diperuntukkan  dalam seksyen melibatkan fasakh lebih luas daripada lafaz takliq yamg lebih rigid. Maksudnya kalau seseorang isteri yang nak buktikan suaminya dalam kes fasakh ini terutama dalam isu nafkah, si isteri boleh buktikan samada si suami langsung tidak berikan nafkah zahir kepadanya dalam tempoh tersebut atau samada suami cuai beri nafkah.

    Cuai saya boleh maksudkan si suami culas atau kadang-kadang beri dan kadang-kadang tak beri nafkah kepada isterinya…juga boleh diterima sebagai alasan dan dipertimbangksn oleh hakim bicara sebelum memutuskan samada si iateri layak dipisahkan melalui peruntukan fasakh ini atau sebaliknya.

    “Maaf puan saya dah sampai ofis ni. Nanti saya cuba carikan nombor telefon peguam syarie di Sabah yang boleh bantu puan ye …tapi yang penting puan mesti ada peguam yang bantu puan dalam kes ini ye…bukan apa… nampak mudah tetapi tidak mudah yang disangkakan puan . Better puan lantiklah peguam …hati pun senang dan In sya Allah saya doakan permohonan puan berjaya”.. saya mengakhiri perbualan kami.

    “Terima kasih ye encik Faiz “

    Semoga bermanfaat untuk semua.

    Untuk sebarang pertanyaan, atau sekiranya anda ingin menghubungi Peguam Syarie Faiz Adnan atau ingin membuat temujanji, anda boleh menghubungi kami melalui email, Facebook atau terus menghubungi no telefon pejabat kami.