• mahkamah-syariah-peguam-syarie-faiz-adnan

    Jawatankuasa Pendamai Dan Hakam

    JAWATANKUASA PENDAMAI & HAKAM – Ali dan Mona (bukan nama sebenar) telah tiga bulan melayari bahtera alam rumah tangga. Perkahwinan yang disangkakan indah sebaik sahaja sang suami melafazkan akad nikah di hadapan wali si isteri bersaksikan dua orang saksi lelaki tiba-tiba berantakan. Bayangkan, baru tiga bulan hendak menyulam asmara dan mendalami sifat serta tabiat pasangan masing-masing, mahligai perkahwinan yang dibina utuh atas dasar cinta seakan retak menanti belah. Entah mana silapnya, Mona seakan tekad mahu menuntut perceraian daripada suaminya. Ali pula masih sangsi dan tidak keruan dengan keputusan nekad yang ingin diambil Mona. “Kalau you tak nak ceraikan I, I akan tetap pergi ke Mahkamah Syariah untuk tuntut cerai!” gertak Mona. “Sabarlah sayang, benda ni kan boleh dibawa berbincang?” balas Ali dengan nada tenang bercampur gusar. Persoalannya, apakah cara lain yang boleh dilakukan oleh Ali di peringkat Mahkamah Syariah agar beliau boleh menyelamatkan rumah tangganya bersama Mona?

     Setiap perselisihan rumah tangga mempunyai latar belakang yang berbeza dan tersendiri. Dan setiap individu sama ada sebagai suami ataupun isteri juga mempunyai keperibadian yang berbeza. Itulah sebabnya agama Islam melalui Undang-undang Keluarga mempunyai beberapa pendekatan tertentu untuk menyelesaikan sebarang perselisihan rumah tangga. Sekiranya sesebuah rumah tangga yang bermasalah masih mempunyai peluang dan harapan untuk diselamatkan, maka itu menjadi keutamaan kepada syariah untuk menyelamatkan keadaan kerana perceraian adalah perkara halal yang paling dibenci oleh Allah S.W.T.

    Walaupun demikian, demi menjaga kemaslahatan ummah, sekiranya sesebuah rumah tangga itu mengalami ketegangan dan ia sudah tidak dapat diselamatkan, maka pihak-pihak yang bertikai perlu berpisah menurut apa yang telah diperuntukkan oleh syariah melalui Undang-undang Keluarga. Pematuhan ini sangat perlu demi menjamin maslahah pihak-pihak yang terlibat dalam jangka masa panjang termasuklah apabila kemelut ini melibatkan anak-anak dalam perkahwinan tersebut dan hal ehwal harta yang perlu ditadbir urus dengan sempurna.

    Tuntutan perceraian biasanya dipohon oleh pihak isteri dengan pelbagai alasan. Pihak suami yang mudah untuk bekerjasama dengan pihak isteri dan mahkamah, akan memudahkan perjalanan perbicaraan dengan menjatuhkan talak di hadapan hakim. Perceraian secara persetujuan bersama merupakan perceraian mengikut peraturan yang paling mudah. Maka, perceraian di bawah Seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam adalah kaedah perceraian yang paling efektif dan dapat memelihara aib kedua belah pihak (suami dan isteri). Dari segi prosedur, permohonan perceraian di bawah seksyen ini tidak melibatkan banyak proses mahupun saksi. Sebaik sahaja saman berjaya disampaikan kepada suami dan suami bersetuju untuk bercerai, maka Mahkamah Syariah akan mengarahkan suami melafazkan cerai di dalam mahkamah setelah mendapati perkahwinan tersebut bermasalah. Mudah, cepat dan efisien jika kedua-dua pihak bersetuju bercerai secara baik.

    Akan tetapi, dikatakan bahawa bilangan pihak suami yang mudah untuk bekerjasama dengan pihak isteri apabila berlaku kemelut rumah tangga amatlah kecil. Ego adalah punca utama kepada keengganan untuk bekerjasama. Apabila suami tidak bersetuju dengan perceraian tersebut dan suami hadir ke Mahkamah Syariah, maka mahkamah boleh mengarahkan suatu Jawatankuasa Pendamai dilantik untuk mewakili pihak-pihak.

     

    Jawatankuasa Pendamai

    Jawatankuasa Pendamai ini terdiri daripada seorang pegawai agama di pejabat agama Islam daerah sebagai pengerusi, seorang wakil suami dan seorang wakil isteri. Di peringkat Jawatankuasa Pendamai ini, mahkamah akan memberikan keutamaan kepada saudara dan ahli keluarga terdekat. Wakil-wakil mereka hendaklah berusaha berbincang dan berusaha mencapai perdamaian dalam tempoh enam bulan dari tarikh jawatankuasa ini dibentuk atau dalam tempoh yang lebih lama mengikut arahan mahkamah. Jawatankuasa Pendamai ini hendaklah memanggil dan memberi peluang kepada suami dan isteri menyatakan pendapat dan memanggil wakil untuk siasatan dan pandangan. Di peringkat ini tiada kelibat Peguam Syarie dibenarkan bertindak atau menghadiri sesi tersebut dan perbincangan adalah eksklusif di antara pihak-pihak, wakil pihak-pihak dan pengerusi sahaja.

    Sekiranya pihak-pihak berjaya didamaikan, maka permohonan perceraian ini boleh ditarik balik pada bila-bila masa dengan kebebasan pihak-pihak untuk memfailkan semula permohonan yang sama. Bagaimanapun, sekiranya pasangan gagal didamaikan atau suami enggan melafazkan cerai, maka mahkamah hendaklah merujuk kes tersebut kepada Hakam. Mahkamah juga boleh melantik Jawatankuasa Pendamai yang baru jika mahkamah tidak berpuas hati dengan pengendalian jawatankuasa yang sedia ada.

     

    Hakam

    Hakam diperuntukkan dengan jelas di bawah Seksyen 48 di bawah enakmen yang sama. Hakam juga terdiri daripada kalangan saudara-mara terdekat iaitu dua penimbang tara (Hakam) yang mempunyai makluman berkaitan isu rumah tangga pihak-pihak untuk bertindak bagi pihak suami dan isteri tersebut. Pelantikan hakam dibuat setelah mahkamah berpuas hati perkelahian (syiqaq) sentiasa berlaku antara pihak-pihak dalam tempoh perkahwinan tersebut selepas selesai urusan perdamaian di peringkat Jawatankuasa Pendamai gagal atau menemui jalan buntu.

    Hakam hendaklah berusaha mendapatkan kuasa penuh daripada prinsipal pihak-pihak (Hakam suami daripada suami dan Hakam isteri daripada isteri). Malah, Hakam suami boleh diberi kuasa melafazkan talak bagi pihak suami. Sesi perbincangan menerusi Hakam ini juga tertakluk kepada arahan mahkamah dan hendaklah mengikut hukum syarak. Jika Hakam berpendapat pihak-pihak itu patut bercerai tetapi tidak dapat memerintahkan perceraian kerana sebab lain, mahkamah boleh melantik Hakam yang lain untuk proses yang sama.

    Jika Hakam di pihak suami enggan melafazkan cerai tetapi meminta perceraian dibuat secara tebus talak dan Hakam isteri bersetuju, mahkamah juga boleh mengarahkan perceraian tersebut dilakukan secara tebus talak. Kesemua prosiding ini termasuk Hakam akan mengambil masa lebih kurang enam bulan hingga setahun untuk selesai sekiranya pihak-pihak memberikan kerjasama yang baik dan suami hadir ke mahkamah.

    Namun demikian, sekiranya pihak suami gagal menghadirkan diri dan tidak melantik sebarang Hakam, maka prosiding ini tidak boleh diteruskan. Ketika itulah pilihan atau talian hayat yang boleh diteruskan oleh isteri bagi membubarkan perkahwinan melalui kaedah-kaedah pembubaran perkahwinan yang lain sepertimana yang telah diperuntukkan dalam Akta atau Enakmen Undang-undang Keluarga Islam di Malaysia iaitu sama ada melalui proses fasakh atau taklik.

    Apa yang penting adalah pelantikan serta pemilihan wakil baik di pihak Jawatankuasa Pendamai mahupun Hakam mestilah mereka yang bukan sahaja terdiri daripada kalangan keluarga atau kerabat terdekat tetapi juga mereka yang memahami hukum syarak dan bersedia menerima arahan daripada mahkamah.

    Adalah diharapkan agar pendekatan ini dapat memberi manfaat yang secukupnya kepada pihak-pihak yang bertikai dalam memperjuangkan hak mereka. Menuntut fasakh atau apa saja bentuk perceraian sekalipun bukanlah suatu kejayaan yang manis tetapi lebih merupakan penyelesaian kepada beban yang telah dipikul selama ini.

     

    Faiz Adnan & Associates: Komunikasi merupakan kunci kepada sesebuah perhubungan.

    Untuk sebarang pertanyaan, atau sekiranya anda ingin menghubungi Peguam Syarie Faiz Adnan atau ingin membuat temujanji, anda boleh menghubungi kami melalui email, Facebook atau terus menghubungi no telefon pejabat kami.

Comments are closed.