• isu-transgender-peguamsyarie

    TRILOGI TRANSGENDER: PART I

    Mahkamah Persekutuan baru-baru ini telah memutuskan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan sebagai tidak berperlembagaan. Keputusan ini adalah rentetan daripada rayuan Kerajaan Negeri Sembilan dan Empat Perayu Yang Lain; Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan, Pengarahnya, Ketua Penguatkuasa Syariah Negeri Sembilan dan Ketua Pendakwa Syarie Negeri Sembilan bagi membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan enakmen syariah negeri itu yang menghukum golongan transgender lelaki Islam memakai pakaian wanita sebagai tidak sah. Mahkamah Persekutuan membuat keputusan berkenaan atas sebab ketidakpatuhan prosedur substantif menurut Perkara 4(3) dan 4(4) Perlembagaan Persekutuan yang dibuat oleh pihak Responden sedari awal lagi. Ini bermakna, tindakan yang dibawa oleh pihak Responden di peringkat Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan sebenarnya adalah tidak sah.

    Menyorot kembali keputusan kes ini yang telah diputuskan di Mahkamah Tinggi pada tahun 2012, Hakim Datuk Siti Mariah Ahmad telah menolak permohonan semakan pemohon-pemohon iaitu Juzaili Khamis, Shukor Jani dan Wan Fairol Wan Ismail bagi mencabar undang-undang itu yang menghalang mereka berpakaian seperti wanita atas alasan kesalahan yang dilakukan mereka adalah berlandaskan undang-undang dan tidak bercanggah dengan Perlembagaan. Beliau memutuskan bahawa badan perundangan negeri mempunyai kuasa melaksanakan undang-undang itu kepada orang Islam dan perkara yang tergolong sebagai kesalahan dalam ajaran Islam. Hakim tersebut juga menyatakan bahawa penguatkuasaan Seksyen 66 itu adalah bagi mengelakkan kesan negatif kepada masyarakat iaitu mengelakkan perbuatan homoseksual dan lesbian yang menjadi punca merebaknya HIV.

    Namun di peringkat Mahkamah Rayuan, panel tiga hakim yang diketuai oleh (a three-man bench led by) Datuk Mohd Hishamuddin Mohd Yunus berkata Seksyen 66 telah melanggar Perkara 5(1) berhubung kebebasan diri, Perkara 8(1) berhubung kesamarataan, Perkara 8(2) berhubung diskriminasi, Perkara 9(2) berhubung kebebasan bergerak dan Perkara 10(1)(a) berhubung kebebasan bercakap dan bersuara seperti yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Beliau juga berkata bahawa andaian hakim bicara Mahkamah Tinggi itu tidak disokong dan dibuktikan, sebaliknya hanya bersandarkan kepada pandangan peribadi atau prejudis. Alasan sedemikian adalah tanpa asas dan tidak adil kepada perayu-perayu dan lelaki Islam yang mengalami masalah Gender Identity Disorder (GID).

     

    Apa itu GID?

    Merujuk kepada laman web www.imedik.org, Gender Identity Disorder atau GID merupakan istilah yang digunakan bagi merujuk kepada salah satu penyakit mental dalam Diagnostic and Statistical Manual for Mental Disorder. Istilah ini kini dikenali sebagai Gender Dysphoria (GD) setelah manual ini dikemaskini di dalam versi terkininya. Secara umumnya, GD merujuk kepada kecelaruan identiti seseorang terhadap jantina kelahirannya (natal gender). Kecelaruan ini melibatkan aspek afektif (emosi) dan kognitif (pemikiran) individu tersebut. Ini bermakna, sebagai contoh, seseorang yang dilahirkan dengan biologi lelaki merasa celaru dengan identiti tersebut dan merasa terganggu (distressed) dari sudut perasaan dan fikiran. Kecelaruan ini diterjemahkan sama ada dalam bentuk meniru perilaku, pemakaian dan sifat jantina berlawanan atau perasaan kuat ingin menyembunyikan tanda-tanda biologi tubuh badan yang menunjukkan jantina asalnya. Apabila berbicara tentang diagnosis GID ini dan implikasinya kepada masyarakat, ada tiga persoalan asas yang perlu difahami secara umum iaitu:

    • Apakah sebenarnya kriteria dan indikasi diagnosis ini?
    • Adakah ia tergolong dalam masalah mental?
    • Sekiranya ia dikategorikan sebagai masalah perbuatan, bagaimanakah kesannya terhadap perilaku mereka yang bertentangan dengan undang-undang?

     

    Peruntukan Undang-undang

    Trans berasal daripada istilah Inggeris yang bermaksud melintas atau melintang (cross), manakala gender adalah berkaitan peranan jantina sama ada bersifat maskulin atau feminin. Oleh itu, transgender bermaksud seseorang yang berketerampilan dengan gender yang berlawanan atau bertentangan dengan jantina asalnya yang dikenalpasti semasa lahir. Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 menyebut bahawa “Mana-mana orang lelaki yang memakai pakaian perempuan atau berlagak seperti perempuan di mana-mana tempat awam adalah melakukan satu kesalahan dan hendaklah apabila disabitkan dikenakan hukuman denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

     

    Hukum Syarak

    Berdasarkan hadis riwayat Bukhari, daripada Ibnu Abbas R.A berkata: “Rasulullah S.A.W melaknat mereka yang menyerupai wanita daripada kalangan lelaki dan mereka yang menyerupai lelaki daripada kalangan wanita” dan hadis riwayat Abu Daud yang berbunyi daripada Abi Hurairah R.A berkata: “Rasulullah S.A.W telah melaknat orang lelaki yang memakai pakaian perempuan dan perempuan yang memakai pakaian lelaki”. Ini jelas menunjukkan bahawa sebarang perlakuan meniru atau mencontohi sifat jantina yang berlawanan adalah jelas bertentangan dan dilarang dalam Islam. Sesungguhnya Nabi melaknat golongan seperti ini dan tidak mengaku mereka sebagai umatnya di akhirat kelak. Di dalam al-Quran jelas menunjukkan bahawa Allah S.W.T telah menciptakan dua jantina sahaja menerusi Surah Al-Hujuraat Ayat 13 yang bermaksud: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan suku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain).”

    Hal mengubah ciptaan Allah juga ada disebut dalam Surah An-Nisa’ Ayat 119 yang berbunyi: “Dan demi sesungguhnya, aku akan menyesatkan mereka (daripada kebenaran), dan demi sesungguhnya aku akan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong, dan demi sesungguhnya aku akan menyuruh mereka (mencacatkan binatang-binatang ternak), lalu mereka membelah telinga binatang-binatang itu; dan aku akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah. Dan (ingatlah) sesiapa yang mengambil syaitan menjadi pemimpin yang ditaati selain daripada Allah, maka sesungguhnya rugilah ia dengan kerugian yang terang nyata.” Menurut beberapa kitab tafsir seperti kitab At-Thabari dan Al-Qurtubi menyebut bahawa beberapa perkara yang diharamkan kerana mengubah ciptaan Allah ialah mengebiri manusia, homoseksual, lesbian, menyambung rambut dengan rambut palsu dan takhannus (transgender).

     

    Khunsa

    Apabila membicarakan tentang topik transgender ini, tidak dapat tidak pasti dibincangkan sekali tentang khunsa. Terdapat dua kategori khunsa iaitu khunsa wadih dan khunsa musykil. Khunsa wadih ialah khunsa yang nyata memiliki tanda-tanda kelakian atau keperempuanan dan dapat dibezakan sama ada lelaki atau perempuan semasa bayi oleh warisnya melalui pemerhatian sifat dan ciri alat kelamin tersebut atau berdasarkan dari alat yang mana satu tempat keluar air kencing terlebih dahulu. Khunsa musykil pula ialah individu yang mempunyai dua alat kelamin dan air kencing keluar serentak dari kedua-dua alat tersebut dan identiti jantinanya sukar dibezakan atau hanya dapat dibezakan setelah baligh. Musykil ini hilang apabila dapat ditentukan dari mana tempat keluar air kencing atau kuantiti paling banyak atau dikira yang paling akhir berhenti.

    Jantina mereka juga boleh ditentukan setelah baligh dengan tanda-tanda yang dikenal pasti sama ada memiliki ciri-ciri kewanitaan (seperti kedatangan haid) atau kelakian (seperti tumbuh janggut dan misai). Dalam kes ini, ulama pada umumnya berpandangan bahawa membuat pembedahan jantina bagi khunsa musykil adalah dibenarkan. Apa yang haram ialah menukar jantina daripada lelaki kepada perempuan atau sebaliknya. Dalam kes ketidaktentuan jantina seperti ini, syarak memberi pengecualian kepada golongan khunsa musykil untuk menentukan jantina melalui pembedahan dengan syarat disokong oleh keterangan pakar dalam bidang tersebut. Kelonggaran adalah khusus sebagai maslahah atau demi kebaikan bagi membolehkan individu itu dapat menjalani kehidupan dengan lebih baik dan melaksanakan tanggungjawab sebagai Muslim dengan lebih sempurna.

     

    Fatwa

    Beberapa fatwa telah dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan berkenaan isu pertukaran jantina ini. Melalui Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-4 yang telah bersidang pada 13-14 April 1982 telah membincangkan tentang pertukaran jantina daripada lelaki kepada perempuan dan memutuskan bahawa:

    • Pertukaran jantina daripada lelaki kepada perempuan atau sebaliknya melalui pembedahan adalah haram di segi syarak
    • Seseorang yang dilahirkan lelaki, hukumnya tetap lelaki walaupun ia berjaya ditukarkan jantinanya melalui pembedahan.
    • Seseorang yang dilahirkan perempuan, hukumnya tetap perempuan walaupun ia berjaya ditukarkan jantinanya melalui pembedahan.
    • Seseorang yang dilahirkan “khunsa musykil” iaitu manusia yang dilahirkan mempunyai dua alat kemaluan lelaki dan perempuan, diharuskan pembedahan bagi mengekalkan salah satu alat jantina yang benar-benar berfungsi dapat digunakan mengikut keadaan yang sesuai.

    Perbuatan menukar jantina sama ada daripada lelaki kepada perempuan atau sebaliknya akan melibatkan implikasi hukum dari segi syarak berkaitan perkahwinan, perwalian, ibadat, kematian dan hal-hal berkaitan kerana perbuatan menukar jantina tersebut adalah jelas dilarang dan diharamkan oleh Islam. Seorang lelaki yang menukar jantinanya melalui pembedahan alat kelaminnya kepada alat kelamin perempuan, tidak diiktiraf sebagai perempuan dan sekiranya berkahwin, maka perkahwinan tersebut adalah tidak sah.

    Faiz Adnan & Associates: Sekiranya Mahkamah Persekutuan membenarkan keputusan Mahkamah Rayuan, maka apakah implikasinya yang mungkin bakal terjadi di Malaysia?

     

Comments are closed.