• isu-transgender-peguamsyarie

    TRILOGI TRANSGENDER: PART II

    Seperti yang telah dibincangkan pada tajuk yang lepas dalam “Trilogi Transgender: Part I”, sedikit sebanyak telah diceritakan tentang pengenalan kepada isu transgender yang pernah menjadi bualan dan perdebatan hangat rakyat Malaysia. Perkara-perkara yang telah dibincangkan adalah berkenaan keputusan kes transgender di tiga peringkat mahkamah; Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan secara ringkas, apakah itu masalah Gender Identity Disorder (GID) yang dijadikan alasan oleh golongan transgender tersebut supaya tidak dikenakan tindakan dan hukuman di bawah undang-undang Syariah, peruntukan undang-undang yang diguna pakai di Malaysia terhadap golongan ini menerusi Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 dan juga hukum syarak bersandarkan dalil al-Quran dan as-Sunnah serta fatwa yang telah dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan berkenaan isu pertukaran jantina ini.

    Dalam tajuk ini pula, kita akan memfokuskan dan membawa pemikiran pembaca kepada apakah kemungkinan kesan jika Mahkamah Persekutuan membenarkan keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan Seksyen 66 tersebut sebagai tidak sah dan tidak berperlembagaan serta antara saranan yang boleh dilontarkan bagi membantu untuk membendung isu ini. Seperti yang kita sedia maklum, keputusan Mahkamah Persekutuan baru-baru ini memberi nafas lega kepada umat Islam yang beriman di seluruh Malaysia. Ternyata, keputusan mengejutkan yang telah dikeluarkan oleh Mahkamah Rayuan sebelum itu yang menyatakan bahawa Seksyen 66 adalah tidak sah dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan telah sedikit sebanyak mendatangkan keresahan dan gejolak yang bukan kepalang dalam kalangan umat Islam di Malaysia khususnya yang terlibat dalam bidang perundangan Syariah. Antara implikasinya jika peruntukan dalam Enakmen Jenayah Syariah Negeri itu diisytiharkan sebagai tidak sah ialah:

    • Terdapat kemungkinan bahawa peruntukan-peruntukan lain di dalam Enakmen Jenayah Syariah Negeri-negeri juga diisytiharkan sebagai tidak sah kerana bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan seperti kesalahan meminum minuman yang memabukkan, kesalahan zina, liwat dan banyak lagi
    • Merendahkan bidang kuasa Mahkamah Syariah yang membicarakan dan mengadili kes-kes yang berkaitan dengan orang Islam sedangkan Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan jelas menyebut bahawa Mahkamah Sivil tidak boleh mempunyai bidang kuasa berkenaan apa-apa perkara dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah
    • Golongan lelaki yang cenderung sifat mereka ke arah kewanitaan akan menggunakan hujah mengalami masalah GID bagi menghalalkan segala perbuatan mereka yang menyerupai wanita
    • Golongan transgender yang memakai pakaian perempuan atau berlagak seperti perempuan di mana-mana tempat awam tidak boleh ditangkap dan didakwa di Mahkamah Syariah atas nama kebebasan asasi
    • Kewujudan golongan ini akan bercambah kerana tiada undang-undang yang akan menyekat mereka daripada bebas mengekspresikan diri walaupun bertentangan dengan hukum syarak
    • Kebebasan asasi yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan akan menjadi kebebasan mutlak hakiki yang membolehkan sesiapa sahaja membuat sebarang perkara hatta menyalahi moral, undang-undang dan prinsip agama sekalipun
    • Membuka ruang bukan sahaja bagi golongan transgender, namun juga golongan-golongan lain seperti lesbian, gay, biseksual dan lain-lain atau lebih dikenali sebagai LGBT untuk menuntut hak-hak asasi mereka supaya diiktiraf
    • Seperti di Amerika Syarikat dan United Kingdom, tidak mustahil golongan ini juga akan menuntut hak perkahwinan sejenis
    • Jika perkahwinan sejenis dibenarkan (Nauzubillah!) maka ini akan mencacatkan dan meruntuhkan institusi kekeluargaan dan kehidupan bermasyarakat di Malaysia
    • Akan terjadi masalah sosial yang kian melarat dan meruncing serta penyakit berbahaya yang semakin merebak dalam kalangan masyarakat di Malaysia
    • Tuntutan supaya Islam menerima golongan transgender dan membuka lebih banyak peluang dan ruang kepada doktrin dan fahaman liberalisme serta pelbagai lagi fahaman ‘-isme’ lain yang mengarut dari Barat

     

    Cadangan

    Langkah yang telah dilakukan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam usaha untuk mengembalikan golongan mak nyah atau transgender kepada fitrah asal mereka melalui Program Mukhayyam harus diberi kredit dan sokongan yang padu dan sewajarnya oleh semua pihak tanpa sebarang prejudis. Sepatutnya, golongan seperti ini disantuni dan dikasihi, bukannya terus ditohmah dan dicemuh oleh masyarakat yang menyebabkan mereka berasa tersisih lalu kembali ke jalan hitam itu. Setiap pihak perlulah memainkan watak yang bersesuaian dalam menangani isu transgender ini secara proaktif dan berhemah sementelahan ia merupakan soal ummah yang tidak boleh dipandang enteng dan diperlekeh begitu sahaja. Antara cadangan yang boleh diutarakan bagi membantu untuk membendung isu ini ialah:

    • Kuasa perundangan Syariah berkaitan hal ehwal orang Islam yang telah diperuntukkan kepada setiap negeri melalui Jadual Kesembilan, Senarai 2, Senarai Negeri Perlembagaan Persekutuan perlu dijaga dan dipertahan agar tidak dirobek sewenang-wenangnya dan diganggu-gugat oleh pihak-pihak yang berkepentingan
    • Peruntukan undang-undang Syariah yang ada sekarang ini berkaitan transgender perlu dipelihara dan ditambah baik agar tidak dilihat bersikap diskriminasi hanya kepada golongan lelaki yang menyerupai wanita sahaja
    • Tafsiran kesalahan-kesalahan dalam agama Islam (Precepts of Islam) perlu difahami dan diperluas maksudnya bukan hanya setakat melanggar ‘rukun-rukun Islam’ seperti tidak menunaikan solat dan tidak berpuasa sahaja misalnya tetapi juga melibatkan segala kesalahan terhadap ‘perintah agama Islam’ yang meliputi aqidah, syariah dan akhlak Islamiah.
    • Badan-badan bukan kerajaan (NGO) di bawah Persatuan-persatuan Islam dan Badan Dakwah perlulah memperluas dan mempergiat lagi misi dan skop dakwah untuk turun padang dan bertemu sendiri dengan golongan ini bagi menasihati dan mendidik mereka tentang nilai-nilai yang terdapat dalam ajaran Islam
    • Memperbanyak lagi program-program keinsafan untuk membawa golongan transgender ini kembali ke pangkal jalan seperti Program Mukhayyam dan seumpamanya di peringkat Pejabat Agama setiap daerah terutamanya di bandar-bandar besar yang menjadi hot spot bagi golongan ini bertapak
    • Sukatan dan silibus mata pelajaran Pendidikan Islam di sekolah-sekolah perlu diberi penekanan terhadap isu semasa dan realiti permasalahan ummah yang semakin serius serta kesannya dari sudut agama, sosial dan undang-undang
    • Ibu bapa perlulah mendidik dan menanam jati diri anak-anak sesuai dengan fitrah mereka sebagai seorang lelaki atau seorang perempuan sedari kecil lagi serta memantau pergaulan mereka dengan siapa mereka berkawan atau bercampur
    • Masyarakat awam seharusnya bersama-sama membantu golongan transgender ini dalam memberikan sokongan moral dan dorongan kepada mereka dan tidak memandang hina akan segala usaha untuk membawa golongan ini kembali kepada fitrah asal mereka
    • Semua pihak perlulah menggembleng usaha dan tenaga dalam menjalankan kerja-kerja amar makruf nahi munkar dalam membendung gejala-gejala negatif daripada berleluasa terutamanya yang membabitkan soal aqidah dan akhlak umat Islam

     

    Kesimpulan

    Isu transgender ini merupakan suatu isu yang serius yang dilihat cuba mencabar norma kehidupan sosial dan bermain api dengan persoalan hukum syarak dan undang-undang di Malaysia. Seharusnya, masalah GID tidak patut dijadikan hujah sama sekali untuk membenarkan golongan transgender ini semakin berkembang biak di negara kita. Cuba bayangkan, jikalau seorang pedofil yang didakwa atas tuduhan mencabul kanak-kanak boleh minta supaya dilepaskan atas alasan penyakit mental, jika begitu berapa ramai pesalah yang akan bebas tanpa dikenakan sebarang tindakan undang-undang? Sama juga justifikasinya bagi seorang transgender yang bebas melakukan apa sahaja yang bertentangan dengan budaya dan norma masyarakat serta melanggar hukum syarak dengan berpakaian atau berkelakuan seperti jantina berlawanan atas alasan mengalami masalah GID.

    Segala keputusan berkenaan kes ini boleh menjadi pioneer atau perintis kepada kes-kes susulan yang mungkin terjadi pada masa akan datang jika ia tidak ditangani secara baik dari akar umbinya. Isu ini akan membawa kepada masalah aqidah yang lebih besar dalam kalangan umat Islam jika suatu pendekatan yang wajar dan tegas tidak diambil kira menurut hukum syarak berteraskan al-Quran dan as-Sunnah. Jika hukum syarak diketepikan dan undang-undang serta pendapat hakim dari Barat yang diterima pakai dan dijadikan rujukan atau precedent, maka bagaimanakah kita hendak mempertahankan nilai-nilai kesucian agama Islam itu sendiri? Jangan nanti sudah terantuk baru terngadah, baru kita terhegeh-hegeh mahu mengambil cakna tentang realiti masalah ummah yang melanda negara kita. Ketika itu, sesal dahulu pendapatan sesal kemudian tidak berguna kerana nasi sudahpun menjadi bubur.

    Generasi bangsa umat Islam akan datang perlu dipelihara daripada segala sudut sahsiah, akhlak dan aqidahnya daripada terus terjebak dan terjerumus ke dalam arus kemodenan dan globalisasi yang semakin rakus meninggalkan prinsip agama dan moral yang menjadi tunjang keimanan dan ketamadunan dalam diri manusia. Segala tuntutan di peringkat antarabangsa yang giat melaung-laungkan dan mempromosi kebebasan, keadilan dan persamaan atas nama hak asasi manusia supaya mengiktiraf golongan LGBT ini perlu ditolak sekeras-kerasnya. Agama Islam sebagai agama Persekutuan di Malaysia melalui Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan perlulah disanjung tinggi dan dihormati oleh semua pihak waima apa latar belakang agama, kaum dan politik sekalipun. Oleh itu, segala langkah pencegahan daripada membiarkan gejala tidak sihat ini daripada menjadi semakin kronik dan membarah perlu dikaji dan dikuatkuasakan melalui peruntukan undang-undang Syariah yang sah dan tidak boleh dicabar. Sungguh, mencegah adalah lebih baik daripada mengubati.

    Faiz Adnan & Associates: Kembalilah kepada akhlak yang merupakan roh agama Islam kerana agama tanpa akhlak ibarat jasad yang tidak bernyawa.

Comments are closed.