• fasakh-peguam-syarie-faizadnan

    FASAKH: Antara Prosedur Dan Realiti

    REALITI FASAKH – Apabila seseorang pergi ke Mahkamah Syariah, tidak dapat tidak, persepsi dan telahan orang ramai pastinya pelbagai. Sementelahan perkataan mahkamah itu sendiri dan juga fungsinya adalah bagi menyelesaikan kes dan menegakkan keadilan, sudah pasti mahkamah dilihat sebagai sebuah institusi bagi menyelesaikan permasalahan dan mencari solusi kepada sesuatu perkara atau isu. Namun begitu, Mahkamah Syariah bukanlah sebuah badan untuk menyelesaikan perkara-perkara yang berkaitan dengan perceraian semata-mata. Daripada kes-kes mal yang berkaitan dengan orang-orang Islam seperti tuntutan perceraian, hadanah, harta sepencarian, pengesahan hibah, permohonan sijil faraid hinggalah kepada kes-kes jenayah seperti khalwat, nusyuz, muncikari dan menghina agama Islam boleh dibicarakan di Mahkamah Syariah seperti yang diperuntukkan di bawah Undang-undang Mahkamah Syariah di Malaysia.

    Melihat kepada seorang wanita yang memakai baju kurung moden, tinggi lampai persis model, berselendang hitam dan berkaca mata gelap datang ke mahkamah dengan langkah yang tersusun rapi tetapi sedikit kecelaruan, pastinya dia mempunyai masalah. Tetapi riak wajahnya sukar dibaca kerana ditutupi dengan selendang yang ditiup angin sepoi-sepoi bahasa sekali-sekala manakala matanya pula ditutupi kaca mata hitam berjenama Chanel. Setelah mengambil nombor giliran, wanita itu terus menuju ke kaunter yang berkenaan. Lalu bermulalah dialog antara dia dan pegawai mahkamah yang bertugas. “Assalamualaikum Puan. Ada apa-apa yang boleh saya bantu?”, tegur pegawai mahkamah dengan lemah-lembut. “Waalaikumussalam. Nama saya Lara. Saya datang ke sini untuk menuntut cerai daripada suami saya.”, kata wanita itu memulakan perbualan. “Suami Puan sudah melafazkan cerai?” balas pegawai mahkamah tersebut sopan. “Belum.” jawab wanita itu ringkas.

    “Kalau begitu, mengapa tidak bercerai secara baik?” soal pegawai itu lagi. “Suami saya tidak mahu. Beginilah Encik, saya sudah tidak tahan lagi untuk hidup bersama suami saya. Sudahlah nafkah tidak diberi, malah kadang-kala dia juga ada memukul saya. Terbaru, saya dapat tahu dia ada berkahwin dengan perempuan lain di Pattani. Hati perempuan mana Encik yang tahan dan sanggup diperlakukan sedemikian rupa? Saya sudah tidak tahan lagi! Cukuplah Encik, cukup…” tegas wanita itu dengan nada amarah berbaur emosi. Sesekali dia menjadi tumpuan orang di sekitar yang mendengar luahan perasaannya dengan nada suara yang tinggi rendah menggambarkan badai kehidupannya yang dilalui bersama sang suami.

    Tiba hari sebutan kes untuk didengar buat pertama kalinya di Mahkamah Syariah, Puan Lara hadir bersendirian tanpa Peguam Syarie bagi mewakili kesnya. Defendan merangkap suaminya juga tidak hadir walaupun saman telah berjaya diserahkan secara kediri. Hakim menebak pelbagai soalan kepada Puan Lara tetapi jawapannya tetap sama iaitu hendak bercerai dengan suaminya kerana tidak tahan hidup bersama lagi serta diabaikan umpama gantung tidak bertali. Tiada dokumen atau bukti kukuh dikemukakan bagi mensabitkan setiap dakwaan terhadap suaminya itu. Mahkamah memutuskan kes tersebut ditangguhkan ke satu tarikh lain yang ditetapkan dan Hakim memberi peluang kepada Puan Lara untuk mencari Peguam Syarie bagi mewakili kesnya itu memandangkan Peguam Syarie akan membantu bagi melancarkan kesnya dan membawa kes berkenaan ke mahkamah mengikut prosedur yang lebih kemas dan teratur.

    Persoalannya, apakah pilihan yang wanita itu ada? Apakah hak yang diberikan untuknya oleh Undang-undang Syariah? Tidak dinafikan, kebanyakan orang awam tidak mengetahui jenis-jenis perceraian yang terkandung dalam Akta atau Enakmen Undang-undang Keluarga Islam di Malaysia. Mereka tidak bersedia dan tidak membuat persediaan sewajarnya sebelum ke mahkamah kerana menganggap bahawa Mahkamah Syariah akan membantu dan memberikan jawapan yang tepat kepada mereka. Sewajarnya, mereka membuat kajian terlebih dahulu atau setidaknya mencari khidmat Peguam Syarie bagi membantu mereka untuk memudahkan dan melancarkan perjalanan kes. Selain perceraian secara biasa di bawah Seksyen 47 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 (AUKI), jenis-jenis perceraian lain yang terkandung dalam Akta yang sama ialah khuluq atau tebus talaq, takliq, li’an, fasakh dan sebagainya.

    Dalam kes di atas, Puan Lara bolehlah memohon suatu perintah untuk membubarkan perkahwinan iaitu membuat permohonan fasakh di bawah Seksyen 52 AUKI. Sebab-sebab atau alasan-alasan untuk memohon fasakh telah dinyatakan dengan jelas di dalam peruntukan tersebut. Antaranya syarat fasakh jika suami telah cuai atau tidak mengadakan peruntukan bagi nafkah zahir selama tempoh tiga bulan, tidak menunaikan kewajipan perkahwinan iaitu nafkah batin selama tempoh satu tahun tanpa sebab yang munasabah, lazim menyakiti pasangan disebabkan oleh kelakuan aniaya, tidak melayani isteri secara adil mengikut kehendak Hukum Syarak jika suami mempunyai isteri lebih daripada seorang dan banyak lagi. Apa yang perlu dilakukan oleh Puan Lara ialah mengemukakan bukti-bukti kukuh yang berkaitan kerana beban pembuktian bagi kes fasakh adalah berat dan ketat.

    Beban pembuktian merupakan tanggungjawab mengemukakan bukti bagi sesuatu fakta yang menjadi isu. Semakin banyak dakwaan yang dikemukakan oleh satu pihak terhadap pihak yang lain, maka semakin banyaklah beban pembuktian yang harus dikemukakan oleh pihak yang mendakwa di mahkamah. Dalam kes di atas, jika Puan Lara mengatakan bahawa suaminya tidak memberikan nafkah zahir kepadanya, harus diambil kira sama ada dia telah cuai atau gagal memberikan nafkah zahir dalam tempoh masa berapa lama. Begitu juga dengan nafkah batin sama ada ia telah melebihi tempoh satu tahun seperti yang terkandung dalam Enakmen atau tidak. Bagi dakwaan Puan Lara yang mengatakan bahawa suaminya telah memukulnya, suatu laporan polis dan juga laporan perubatan daripada klinik atau hospital perlu dilampirkan sebagai bukti. Manakala bagi dakwaan bahawa suaminya telah berkahwin dengan perempuan lain di Pattani pula, Puan Lara perlu membuktikan bahawa perkahwinan kedua itu telah berlaku dan disebabkan itu juga, suaminya telah tidak berlaku adil kepadanya dari segi giliran bermalam dan juga kemampuan suaminya dalam menyediakan nafkah zahir serta batin.

     

    “Marriage is more than just having sex.”        

    Tujuan perkahwinan adalah bagi menghalalkan perhubungan antara lelaki dan perempuan. Namun, harus diingat bahawa perkahwinan bukanlah medan bagi melempiaskan nafsu semata-mata, akan tetapi terdapat tanggungjawab, amanah dan beban yang harus dipikul dan digalas dengan sebaik-baiknya demi mencari keredaan Ilahi. Suami dan isteri perlulah mengetahui akan hak dan tanggungjawab masing-masing dalam sesebuah perkahwinan. Persediaan sebelum ke alam perkahwinan adalah amat penting kerana kehidupan solo yang dilalui sebelum ini akan terus bertukar status. Bayangkan, kalau dahulu semasa zaman bujang kita tidur berseorangan dengan gaya bebas, kuak lentang, kuak kupu-kupu dan sebagainya, tetapi apabila kita telah berkahwin, celik-celik mata sahaja ada pasangan di sebelah yang mengingatkan kita bahawa ada amanah daripada Allah yang perlu dijaga. MasyaAllah.

    Diwujudkan juga perasaan kasih-sayang dan belas kasihan antara suami isteri supaya dapat hidup bersama dengan tenang dan aman sepertimana firman Allah S.W.T dalam Surah Ar-Ruum Ayat 21 yang bermaksud: “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.

    Realitinya, apabila seorang isteri telah memfailkan kes perceraian di mahkamah terutamanya kes fasakh, telah tidak wujud lagi perasaan kasih sayang terhadap pasangannya. Luka yang dipendam begitu lama di alam perkahwinan bagai tidak dapat disembuhkan lagi. Sang suami beria-ia mempertahankan mahligai yang dibina dan menafikan segala dakwaan yang telah ditohmah oleh si isteri. Terkadang sang suami terpaksa akur dengan kehendak si isteri yang sudah tidak mahu lagi melayari bahtera bersama-sama. Tetapi ada juga kes yang mana sang suami tetap bertahan dan masih ingin terus menjadi nakhoda kepada kapal yang telah dilayari bersama sejak sekian lama. Persoalannya, masih wujudkah benih kasih sayang seperti yang telah disemai sedari awal perkahwinan mereka dahulu? Wujudkah ruang dan peluang kedua untuk pasangan tersebut berubah? Masihkah terdapat walau sekelumit kepercayaan dan kasih sayang jauh di sudut hati pasangan yang mana kepercayaannya selama ini telah dinodai dan dirobek?

    Komunikasi merupakan kunci kepada sesebuah perhubungan. Jika komunikasi antara pasangan baik, maka baiklah sesebuah perhubungan itu. Sikap toleransi dan bertolak-ansur juga penting demi menjaga kerukunan rumah tangga itu sendiri. Berbincanglah secara baik dan berhemah dalam segenap perkara atau masalah agar satu kata putus dan permuafakatan yang jitu dan harmoni dapat dicapai seterusnya melahirkan situasi menang-menang antara kedua-dua belah pihak. Terlafaznya akad nikah yang suci antara sang teruna dengan wali si dara, maka berpindahlah tanggungjawab bapa perempuan itu kepada lelaki yang baru sahaja sah menjadi suaminya. Suatu kehidupan yang baru bakal bermula dan pihak-pihak dalam perkahwinan perlulah mengetahui peranan dan tanggungjawab masing-masing sebagai suami dan isteri. Terdapat fasa-fasa yang akan menguji keutuhan sesebuah rumahtangga itu dan hadapilah setiap cabaran dan dugaan yang mendatang dengan penuh kesabaran dan kasih sayang kerana itulah yang akan mematangkan sesebuah perhubungan agar lebih erat, bermakna dan dihargai.

    Faiz Adnan & Associates: Realiti tidak seindah fantasi.

    Untuk sebarang pertanyaan, atau sekiranya anda ingin menghubungi Peguam Syarie Faiz Adnan atau ingin membuat temujanji, anda boleh menghubungi kami melalui email, Facebook atau terus menghubungi no telefon pejabat kami. Firma kami sedia membantu anda.

Comments are closed.