
FASAKH: KEMENANGAN YANG BERSTRATEGI (BHG 2)
FASAKH – Pada penulisan yang terdahulu, topik yang dibincangkan adalah berkaitan bagaimana seseorang Hakim bicara menghakimi bahawa terdapatnya penderaan dalam menuntut permohonan fasakh; rujuk artikel FASAKH: KEMENANGAN YANG BERSTRATEGI (BHG 1). Kes-kes yang telah dibentangkan, telah membuktikan bahawa mahkamah lebih cenderung untuk membubarkan perkahwinan secara fasakh apabila penderaan itu dibuktikan melalui laporan perubatan, keterangan saksi-saksi yang kompeten dan laporan polis. Penulisan kali ini pula akan mengupaskan tentang satu lagi cara untuk membuktikan terdapatnya penderaan untuk menuntut fasakh iaitu melalui iqrar dan juga fungsi-fungsi peguam dalam mengendalikan kes-kes fasakh.
Iqrar
Mahkamah juga turut menerima iqrar seseorang dalam menghakimi kes. Sebagaimana yang terdapat di dalam kes F Y v Z I [2009] 1 SHLR 86. Yang kena tuntut di dalam keterangannya mengaku ada memukul pihak Yang Menuntut sebanyak empat kali. Yang menuntut pula mendakwa yang kena tuntut ada memukulnya lebih dari empat kali. Oleh itu mahkamah memfasakhkan akad nikah perkahwinan mereka.
Menurut undang-undang keterangan Islam, pengakuan Yang Kena Tuntut itu dinamakan iqrar. Iqrar sebagaimana di dalam kitab I’aanatul Taalibin Juz 3, ms 187 menyebut: Iqrar dari segi bahasa bererti mensabitkan, manakala menurut Syarak diertikan sebagai memberitahu hak seseorang atas dirinya. Ikrar juga dinamakan sebagai iktiraf.
Tidak terdapat perselisihan pendapat di kalangan ahli-ahli perundangan Islam (fuqaha) bahawa iqrar adalah satu alat pembuktian. Ianya sabit berdasarkan kepada al-Quran dan al-Sunnah. Firman Allah SWT: “Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekali pun terhadap diri kamu sendiri”, Surah an-Nisa’ (4):135.
Iqrar adalah kesaksian ke atas diri sendiri, iaitu pengakuan dengan hak yang didakwa ke atas diri sendiri. Di dalam undang-undang keterangan Islam yang bertulis pada hari ini seperti mana diperuntukkan di dalam Akta Keterangan Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 di dalam sub-s 17(1) memperuntukkan: Iqrar ialah suatu pengakuan yang dibuat oleh seseorang, secara bertulis atau lisan atau dengan isyarat, menyatakan bahawa dia mempunyai obligasi atau tanggungan terhadap seseorang lain berkenaan dengan sesuatu hak. Di dalam sub-s 17(2)(a) diperuntukkan: (2) Sesuatu iqrar hendaklah dibuat — (a) di dalam mahkamah, di hadapan hakim.
Kesimpulan
Jadi dapat disimpulkan, untuk mahkamah menghakimi sesuatu kes bahawa terdapatnya penderaan sebagai satu asbab untuk memfailkan fasakh, , mahkamah akan melihat kepada perkara-perkara:
- Laporan doktor
- Repot Polis
- Saksi – saksi yang kompeten
- Ikrar
Oleh itu apabila berlaku keganasan rumah tangga, apa yang perlu dilakukan adalah yang pertama, dengan segera membuat pemeriksaan dan mendapatkan laporan doktor. Kedua, ambil gambar lebam atau apa apa objek yang digunakan untuk menyakiti sebagai bukti. Ketiga, pergi terus ke balai polis untuk membuat laporan tentang penderaan yang berlaku. Keempat, mangsa dinasihatkan untuk menceritakan masalah didera dengan keluarga, rakan atau saudara mara. Semua ini adalah bahan bukti yang boleh membantu keterangan di mahkamah syariah dalam menuntut fasakh. Sebaiknya pihak yang menjadi pemohon di dalam kes fasakh dinasihatkan melantik seorang peguam bagi membantu beliau di dalam menguruskan kes.
Fungsi peguam di dalam kes fasakh
Perceraian boleh menjadi sukar walaupun kedua-dua pasangan bersetuju untuk berpisah. Ia juga adalah satu proses yang panjang. Sebaik sahaja anda bercerai, semuanya mesti dibahagikan antara anda berdua. Jika anda cuba berunding dengan pasangan anda sendiri, anda mungkin tidak dapat mencapai kata sepakat. Pasangan anda mungkin juga akan mendapatkan peguam mereka sendiri untuk melindungi kepentingan mereka. Anda juga mungkin akan mengalami kepayahan sewaktu permohonan kepada mahkamah kerana contohnya kesusahan dalam memahami jargon undang-undang atau dalam langkah-langkah dalam proses untuk memohon untuk menuntut fasakh.
Jika anda meneruskan tanpa peguam, anda mungkin akan melakukan kesalahan. Kesilapan ini boleh melambatkan atau merumitkan proses perceraian. Seorang peguam dapat membantu anda untuk melindungi hak hak anda. Ini kerana mereka lebih tahu tentang selok belok undang undang. Permohonan Fasakh memerlukan satu pembuktian yang berat. Oleh itu, melantik seorang peguam adalah amat digalakkan kerana peguam dapat membantu pemohon dalam membuktikan bahawa terdapatnya penderaan. Rundingan dengan peguam selalunya akan memandu pemohon untuk memahami proses perundangan, keperluan fakta dan pembuktian serta saksi supaya kes itu boleh menang atau akhirnya diluluskan oleh Hakim.
Peranan peguam juga akan menentukan strategi berkesan dan teratur supaya setiap fakta dibentangkan mudah difahami oleh seorang Hakim Bicara. Apatah lagi apabila fakta dibentangkan diolah dengan bukti yang kukuh dan saksi yang kompeten sehingga hakim bicara dapat menggambarkan fakta itu dengan jelas dan menyakinkan. Sebab itulah pentingnya melantik seorang peguam yang berkemahiran dan berpengalaman. InsyaAllah dapat membantu menjayakan sesuatu kes dimahkamah.
Walaupun penderitaan dialami seseorang pemohon di dalam konteks fasakh itu benar tetapi belum tentu kebenaran itu dapat menyakinkan seseorang hakim bicara sehinggalah ia dibentangkan dengan jelas dan teratur disokong dengan pembuktian dan saksi yang kukuh dan konsisten. Malah peranan peguam juga mudah-mudahan akan menjayakan sesuatu kes fasakh itu.
Saya akhiri dengan kata-kata keramat daripada Saidina Ali R.A “الحق بلا نظام قد يغلبه الباطل بلا نظام “(al-haqqu bilā nidhomin qod yaglibuhu al-bāthilu bin nidhōm)” yang bermaksud “kebenaran tanpa strategi mudah dikalahkan dengan kebatilan yang berstrategi”. Renung-renungkan dan selamat beramal.
Artikel disediakan oleh: Hajar Mardhiah untuk Peguam Syarie Faiz Adnan & Associates