
FASAKH: KEMENANGAN YANG BERSTRATEGI (BHG 1)
Fasakh ditakrifkan sebagai pembubaran akad nikah melalui keputusan hakim. Secara ringkasnya, mahkamah membenarkan perceraian apabila ia berpuas hati, berdasarkan fakta kes, saksi-saksi dan bukti kukuh yang kompeten bahawa terdapat alasan untuk pasangan itu bercerai. Pembubaran perkahwinan melalui fasakh tidak memerlukan suami melafazkan talak, pergantungan taklik, mahupun pembayaran pampasan oleh isteri kepada suami di bawah khuluk. Untuk bercerai melalui fasakh, apa yang diperlukan pemohon membuat permohonan di mahkamah untuk perintah fasakh melalui peruntukan seksyen yang sesuai.
Misalnya,merujuk kepada Seksyen 53 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Sembilan) 2003, Bahagian V – Pembubaran Perkahwinan, seseorang perempuan atau lelaki, mengikut mana-mana yang berkenaan, yang berkahwin mengikut Hukum Syarak berhak mendapat suatu perintah untuk fasakh atas satu atau lebih daripada alasan yang berikut, iaitu— (h) bahawa suami atau isteri menganiayai isteri atau suaminya iaitu, antara lain— (i) lazim menyakiti atau menjadikan kehidupannya menderita disebabkan oleh kelakuan aniaya;
Kebiasaannya, kes-kes yang dirujuk di Mahkamah Syariah terutamanya dalam pembubaran secara fasakh melibatkan penderaan secara fizikal kerana ia lebih mudah dibuktikan melalui kesan fizikal, laporan perubatan dan laporan polis.
Sebagai contoh, di dalam kes D Hjh S bt P D Hj A v Hj M S bin Hj A [2011] 3 SHLR 99 plaintif telah menfailkan tuntutan cerai secara dharar syarie.. Plaintif di dalam tuntutannya menyatakan antara lain, bahawa defendan telah lazimnya menyakiti atau menjadikan kehidupan plaintif menderita disebabkan oleh kelakuan aniayanya. Defendan juga telah menggunakan kekerasan fizikal terhadap plaintif. Mahkamah memutuskan mentalaq plaintif dengan satu talaq bain sugra.
Di dalam kes ini, plaintif telah mengemukakan dua dakwaan:
- defendan memukul plaintif pada 9 Januari 1997; dan
- defendan memukul plaintif sebelum plaintif keluar rumah pada 8 September 2002.
Laporan Perubatan
9 Januari 1997
Plaintif mendakwa defendan ada memukulnya menyebabkan plaintif mengalami kecederaan di bahagian telinga kiri. Selepas kejadian itu plaintif ke klinik untuk mendapatkan rawatan. Akibat pukulan tersebut plaintif telah mendapat kecederaan seperti mana ekshibit yang telah dikemukakan kepada mahkamah iaitu. Pihak defendan telah mendakwa bahawa keterangan plaintif tersebut adalah bercanggah dengan apa yang dinyatakan dalam ekshibit. Dalam ekshibit. menyatakan bahawa plaintif mendapat kecederaan adalah akibat dari terjatuh dalam bilik mandi dan tidak pula menyatakan plaintif dipukul. Keterangan ini menurut defendan dikuatkan lagi dengan keterangan yang diberikan oleh saksi dalam mahkamah ini.
Namun perkara ini disangkal oleh plaintif bahawa plaintif tidak memberitahu sepenuhnya kejadian sebenarnya kepada saksi dengan alasan tidak mahu rahsia rumahtangga diketahui orang lain dan tidak mahu berpanjangan. Oleh yang demikian plaintif mempunyai sebab untuk tidak bercakap benar di hadapan saksi iaitu orang yang merawat plaintif.
Dalam hal ini mahkamah dapati bahawa hanya keterangan yang berhubung dengan kecederaan sahaja yang dikemukakan saksi. Sedangkan keterangan mengenai dakwaan dipukul tidak dikemukakan sebarang saksi mengenainya. Mahkamah tidak mendapati ada sebarang saksi yang tahu mengenai dengan punca kecederaan plaintif disebabkan oleh dipukul oleh defendan ataupun sekurang-kurangnya mendengar dari plaintif. Dengan alasan demikian mahkamah berpendapat bahawa keterangan menyatakan plaintif terjatuh dalam kamar mandi dan terhantuk ke besin itu adalah lebih meyakinkan mahkamah untuk menerima berbanding dengan dakwaan dipukul oleh defendan.
Oleh itu, seharusnya apabila mangsa kepada penderaan berhadapan dengan situasi begini, mangsa dinasihati untuk jujur sahaja tentang apa yang berlaku kepada pegawai kesihatan yang memeriksa. Ini kerana mahkamah lebih cenderung untuk menerima fakta yang mempunyai bukti. Apabila mangsa tidak jujur, ia telah menutup satu jalan untuk membuktikan terdapatnya penderaan.
Keterangan Saksi
8 September 2002
Menurut keterangan plaintif, plaintif dipukul di tangan dan di belakang badan. Menurut plaintif lagi memang ada lebam dilihat oleh ibu bapa plaintif semasa balik ke rumah mereka. Dalam keterangan Saksi pertama, beliau menyatakan bahawa plaintif ada menunjukkan tangannya biru dan plaintif menyatakan dia dipukul. Dalam keterangan Saksi kedua pula ada menyatakan bahawa dia ada mendengar plaintif dan defendan berkelahi dan beliau ada mendengar tentang cerita defendan membaling jam kearah Plaintif.
Saksi ketiga pula dalam keterangannya menyatakan beliau ada bertanya tentang pertelingkahan yang berlaku.. Saksi melihat ketika Plaintif memakai t-shirt, di sebelah tangan antara bahu dan siku ada lebam biru, dan bila ditanya, plaintif memberitahu ia merupakan kesan dipukul dengan kotak jam beberapa kali.
Saksi keempat dalam keterangannya pula menyatakan plaintif bercerita, plaintif dipukul oleh suami. Plaintif bercerita bila sudah di rumah, plaintif ada bertengkar dan terus di pukul suami di lengan dan menunjukkan tempat yang dipukul. Saksi melihat lengan disebelah kirinya sudah ‘mambang’’ dipukul beberapa kali. Yang saksi nampak biru-biru lebam.
Mahkamah memutuskan bahawa, dalam kejadian yang didakwa ini plaintif telah mengemukakan saksi yang tidak melihat secara langsung akan kejadian dipukul tersebut. Saksi-saksi tersebut melihat kesan dari kejadian tersebut iaitu lebam-lebam, biru dan ‘mambang’ menurut keterangan masing-masing saksi. Keterangan saksi-saksi ini walaupun bukan keterangan saksi-saksi secara langsung tetapi keterangan mereka ini adalah dianggap sebagai keterangan secara qarinah yang diterima pakai oleh mahkamah sebagai hukum syara seperti mana yang termaktub dalam Akta Keterangan Mahkamah-Mahkamah Syariah, 2001. mahkamah berpuashati mendapati defendan telah melakukan penganiayaan terhadap plaintif dengan memukulnya pada 3 September 2002.
Jelaslah bahawa disini mahkamah akan masih menerima pernyataan saksi walaupun saksi tersebut tidak melihat secara langsung penderaan tersebut. Ia sudah mencukupi untuk seseorang saksi itu melihat apa yang terjadi kesan daripada penderaan seperti terdapatnya lebam, pendarahan atau luka. Jadi untuk mengumpulkan bukti, amatlah penting untuk mangsa penderaan berkongsikan masalah kepada orang lain, jangan pendam, kerana mungkin suatu hari mereka dapat membantu menjadi saksi sewaktu perbicaraan.
Laporan Polis
Di dalam kes WSWH v RK [2018] 4 SHLR 73 Plaintif mendakwa sepanjang tempoh perkahwinan, defendan ialah seorang suami yang panas baran, sering marah, suka menyumpah seranah, sering mengugut serta pernah memukul plaintif apabila berlaku perselisihan faham. Pada bulan Mei 2015 semasa berada di dalam rumah di hadapan anak-anak, defendan telah bertindak memukul peha plaintif sebanyak tiga kali. Kejadian ini telah diakui oleh defendan dalam keterangannya. Akibat perbuatan ini, terdapat kesan lebam pada peha plaintif dan mengalami kesakitan yang berterusan malahan plaintif turut ditahan di Hospital Ampang. Plaintif turut mengemukakan sesalinan laporan polis bertarikh 14 Mei 2015 dan sesalinan gambar yang menunjukkan kesan pukulan oleh defendan.
Pada 27 Julai 2015 ketika berada di kedai kraftangan plaintif, defendan telah datang membuat kecoh dan berlaku perselisihan faham sehingga defendan bertindak menolak plaintif hingga terjatuh. Sesalinan laporan polis tarikh tersebut telah dilampirkan sebagai bukti. Plaintif mendakwa segala perlakuan defendan tersebut telah menyebabkannya berasa trauma dan takut. Saksi plaintif (1) dalam keterangannya mendakwa kejadian tersebut diketahuinya melalui salah seorang pekerja plaintif yang memaklumkan kepadanya. Saksi plaintif (1) terus menghubungi ibu saudaranya dan dua orang bapa saudaranya untuk membuat laporan polis. Mahkamah menerima salinan laporan polis dan gambar kesan pukulan tersebut berdasarkan kepada s 49 EKMSS 2003.
Oleh itu, mangsa dera dinasihatkan agar bersegera ke mana-mana balai polis untuk membuat laporan. Laporan yang dibuat tidak semestinya meminta polis membuat tindakan, tapi ia boleh menjadi laporan asas sahaja (cover report).
Kesimpulan
Setakat ini, telah diperjelaskan secara ringkas betapa perlunya pembuktian fakta sama ada melalui keterangan saksi yang kompeten dan konsisten serta tindakan susulan melalui pemeriksaan doktor serta repot polis bagi memperlihatkan kepada Mahkamah betapa serius sesuatu dakwaan. Saya akan menambah isu-isu lain di keluaran akan datang.