
BOLEH KE WARIS MENUNTUT HARTA SEPENCARIAN BAGI PIHAK SI MATI?
Soalan: “Assalamualaikum… Ibu saya sudah meninggal tetapi tiada tuntutan harta sepencarian dibuat. Dalam pada masa yang sama, ayah saya mempunyai isteri kedua. Soalan saya, boleh ke saya sebagai waris si mati (ibu saya) membuat tuntutan harta sepencarian bagi pihak ibu saya? Sebab apa yang saya faham, harta sepencarian ni yang boleh tuntut suami atau isteri sahaja kerana melibatkan harta pasangan masing-masing…mohon penjelasan, terima kasih.”
Sepertimana yang kita sedia ketahui, orang yang berhak menuntut harta sepencarian selepas kematian adalah suami atau isteri si mati kerana ia adalah hak perkongsian mereka berdua. Peruntukan bagi harta sepencarian pasangan suami isteri terdapat di dalam setiap Enakmen atau Akta di setiap negeri-negeri di Malaysia. Di Selangor, menurut Seksyen 2(1), Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003, tafsiran Harta Sepencarian; menjelaskan bahawa harta sepencarian adalah harta yang diperolehi bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuatkuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum Syarak.
Seksyen 122 enakmen yang sama juga memperuntukan berkenaan dengan kuasa mahkamah memerintah pembahagian harta sepencarian yang diperolehi, dapat kita simpulkan bahawa harta sepencarian adalah harta yang terhasil sama ada dengan usaha bersama antara suami isteri atau salah satu pihak dalam suatu perkahwinan yang sah mengikut undang-undang.
Walaupun begitu, ianya tidaklah menjadi penghalang bagi waris si mati yang telah membuat tuntutan harta sepencarian selepas kematian salah satu pihak tetapi meninggal sebelum kes dapat dibicarakan untuk meneruskan tuntutan tersebut. Ini dapat dilihat dalam kes Wan Chik bin Wan Abdul Kadir lwn. Esah Zakarian dan 5 YL, plaintif merupakan anak lelaki kepada kedua-dua si mati iaitu Wan Abdul Kadir (bapanya) dan Jeriah (ibunya). Tuntutan dibuat ekoran tuntutan yang dibuat oleh Jeriah, isteri kedua Wan Abdul Kadir, yang telah meninggal dunia sebelum kes dapat dibicarakan. Mahkamah telah meluluskan tuntutan dengan memberikan hak satu per tiga dari harta alih dan harta tak alih sebagai harta sepencarian Jeriah.
Yang menjadi persoalan adalah, adakah waris isteri tadi boleh membuat tuntuan harta sepencarian sekiranya tiada tuntutan dibuat oleh isteri sebelum dia meninggal dunia?
Perkara ini mungkin terjadi apabila suami berpoligami. Terdapat situasi: Pertama: suami meninggal dunia, kemudian salah seorang isterinya pula meninggal tanpa membuat tuntutan harta sepencarian. Kedua: Salah seorang isteri meninggal, tetapi suami masih hidup. Adakah waris isteri tersebut boleh menuntut harta sepencarian bagi pihaknya?
Pendirian mahkamah di dalam kes Tuan Awang Tuan Mamat & Others lwn. Tuan Alam bin Tuan Ahmad @ Other, plaintif merupakan anak kepada kedua-dua si mati iaitu Tuan Mamat (ayah plaintif) dan Tuan Sonik (ibu plaintif). Manakala pihak Defendan pula adalah keluarga isteri kedua Tuan Mamat. Mahkamah memutuskan tuntutan plaintif di tolak dengan alasan bahawa kedua-dua ibu bapa mereka telah lama meninggal dunia iaitu lebih 50 tahun. Akan tetapi pihak mahkamah tidak menafikan hak waris untuk menuntut harta sepencarian bagi pihak si mati.
Walau bagaimanapun, waris-waris suami atau isteri kepada si mati boleh menuntut harta sepencarian jika salah satu pihak masih hidup tidak membuat sebarang tuntutan. Sebagai contoh, apabila suami mempunyai dua orang isteri dan salah seorang isterinya meninggal dunia, maka waris kepada isteri si mati tersebut boleh menuntut harta sepencarian bagi pihak si mati.
Jika diteliti dari kes Hajjah Saudah lwn. Hanafi Hj. Daud & Lain-lain, Plaintif adalah isteri kepada si mati yang telah menuntut harta sepencarian terhadap empat lot tanah yang didaftarkan atas nama si mati. Manakala Defendan pula ialah anak-anak si mati dari isterinya yang kedua. Defendan dalam tuntutan balas mereka menuntut enam lot tanah lain yang didaftarkan atas nama Plaintif sebagai harta sepencarian bagi pihak bapa mereka. Pihak mahkamah telah memutuskan bahawa empat lot tanah itu adalah harta sepencarian dan enam lot tanah yang didaftarkan atas nama Plaintif turut dianggap sebagai harta sepencarian. Plaintif telah membuat rayuan terhadap keputusan mahkamah tinggi yang memutuskan bahawa enam lot tanah yang didaftarkan atas namanya ialah harta sepencarian. Mahkamah Rayuan Syariah Kelantan telah memberi pilihan kepada perayu (Plaintif) untuk bersumpah syarie yang enam lot itu adalah miliknya sendiri. Setelah bersumpah, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa enam lot tanah tersebut bukanlah harta sepencarian dan ia adalah milik perayu persendirian. Sekiranya perayu enggan bersumpah, tuntutan harta sepencarian oleh waris bagi pihaknya boleh diterima.
Berdasarkan kes di atas, berasaskan pandangan bahawa hak terhadap harta sepencarian adalah hak yang sememangnya thabit dalam diri, sama ada si suami mahupun si isteri, yang boleh dituntut sama ada dalam perceraian, ketika suami ingin berpoligami atau kematian salah satu pihak. Maka waris si mati juga berhak menuntut harta sepencarian bagi si mati. Cumanya yang menjadi persoalan adalah, bagaimana waris si mati dapat membuktikan dan memuaskan hati mahkamah bahawa harta tersebut adalah harta sepencarian si mati yang memberi sumbangan secara langsung atau tidak langsung semasa dalam tempoh perkahwinan si mati.

TUNTUTAN HARTA SEPENCARIAN: BEKAS ISTERI DAN ANAK-ANAK DIHALAU KELUAR RUMAH
SOALAN: Assalamualaikum W.B.T. Saya ada beberapa persoalan yang ingin diajukan kepada Peguam Syarie Faiz Adnan Associates mengenai harta sepencarian. Saya dan bekas suami telah berkahwin pada 5 julai 1986 dan bercerai pada 6 ogos 2016. Kami telah dikurniakan dua orang cahaya mata. Semasa dalam tempoh perkahwinan, kami berdua mempunyai sebuah rumah teres di Kajang. Rumah tersebut dibeli pada tahun 1994 selepas lapan tahun perkahwinan. Namun setelah kami bercerai, suami menghalau saya dan anak-anak supaya keluar dari rumah tersebut atas alasan saya tidak mempunyai hak ke atas rumah tersebut memandangkan penama atas tersebut atas nama bekas suami. Jadi persoalan saya disini, adakah saya boleh menuntut di Mahkamah Syariah supaya rumah tersebut dijadikan sebagai harta sepencarian walaupun saya tidak ada mengeluarkan wang dalam proses pembelian rumah tersebut? Dan berapakah kadar yang selayaknya saya terima? Mohon penjelasan. (Malika, Bangi Selangor)
JAWAPAN:
1) Terima kasih Puan Malika atas soalan yang telah diajukan tersebut. Jadi, melihat kepada permasalahan puan diatas, apa yang dapat saya simpulkan disini ialah terdapat beberapa isu yang boleh diketengahkan:
- Sama ada harta yang dituntut merupakan harta sepencarian atau tidak
- Sama ada wujud sumbangan pihak-pihak bagi memperolehi harta tersebut dan kadar yang harus dibahagikan kepada pihak-pihak
Jadi, saya akan cuba menjawab satu-persatu berkenaan isu di atas.
ISU PERTAMA: SAMA ADA HARTA YANG DITUNTUT MERUPAKAN HARTA SEPENCARIAN ATAU TIDAK.
2) Perkara ini boleh dirujuk mengikut seksyen 2 Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003 berkenaan dengan tafsiran harta sepencarian:
“Harta sepencarian” ertinya harta yang diperoleh oleh suami dan isteri semasa perkahwinan berkuatkuasa mengikut syarat-yarat yang ditentukan oleh Hukum Syarak;
3) Malah perkara ini juga telah dinyatakan secara jelas di dalam Enakmen yang sama seksyen 122(1) yang memperuntukkan:
“Mahkamah hendaklah mempunyai kuasa apabila membenarkan lafaz talaq atau apabila membuat suatu perintah penceraian untuk memerintahkan supaya apa-apa yang diperoleh oleh pihak-pihak sewaktu perkahwinan dengan usaha bersama mereka dibahagikan antara mereka atau supaya mana-mana aset itu dijual dan hasil jualan itu dibahagikan antara pihak-pihak.
4) Di dalam Al-quran berdasarkan firman Allah di dalam surah An-Nisa’ ayat 32 ada menyebut:
“Dan janganlah kamu iri hati terhadap apa yang telah dikurniakan Allah kepada sebahagian kamu lebih banyak daripada sebahagian yang lain kerana bagi lelaki ada bahagian dari apa yang diusahakannya dan Bagi perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan dan mohonlah kepada Allah sebahagian daripada kurnianya Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu”
Berdasarkan kepada nas Al-Quran di atas jelas menyatakan bahawa perempuan (isteri) mempunyai hak ke atas apa yang diusahakan termasuk juga dalam apa-apa usaha yang mendorong suami berjaya dalam kehidupan seharian sehingga suami berjaya memiliki harta harta tersebut. Usaha ini dikenali sebagai “sumbangan tidak langsung”. Usaha ini secara tidak langsung mendapat pengiktirafan dan ianya dijadikan asas di dalam harta sepencarian kerana peranan isteri dalam urusan rumah tangga adalah usaha yang diiktiraf oleh Hukum Syarak.
5) Manakala dari sudut hukum adat pula, walaupun perkataan Harta Sepencarian ini tidak dinyatakan secara khusus oleh syarak, namun ianya merupakan adat melayu yang telah diterima pakai dan mendatangkan kebaikan kepada kaum wanita. Oleh yang demikian tuntutan harta sepencarian di Malaysia adalah berdasarkan kepada adat atau ‘uruf. Sesuatu perkara yang menjadi adat atau ‘uruf yang tidak bertentangan dengan hukum syarak serta menjadi kebiasaan amalan, maka ia layak diiktiraf dari sudut undang-undang.
6) Dalam hal ini, bagi menentukan sama ada harta tersebut adalah harta sepencarian atau tidak, maka mahkamah akan melihat kepada tempoh masa harta tersebut diperolehi dan sama ada wujud atau tidak sumbangan kedua-dua pihak sama ada secara langsung atau tidak langsung bagi memperolehi harta tersebut.
7) Pihak yang ingin menuntut perlulah membuktikan kepada mahkamah bahawa harta sepencarian tersebut sama ada harta alih (seperti wang simpanan dan kereta) atau harta tak alih (seperti rumah atau hartanah) telah diperoleh dalam tempoh perkahwinan. Seandainya harta yang dikumpul itu berlaku selepas penceraian, maka tidaklah dianggap sebagai harta sepencarian.
8) Seorang suami tidak boleh menentukan hak ke atas harta yang bukan mutlak walau namanya tertera sebagai pemilik. Setiap harta yang dibeli walau hanya atas nama suami, ia boleh dituntut sebagai harta sepencarian apabila isteri turut menyumbang. Sumbangan yang dimaksudkan bukan sekadar wang ringgit tetapi tenaga, dorongan dan sokongan yang diberi sehingga membolehkan harta tersebut dikumpul.
9) Jadi, berikutan dengan permasalahan Puan Malika ini, seandainya dapat dibuktikan bahawa rumah teres tersebut telah diperolehi bersama sewaktu dalam perkahwinan sama ada bukti melalui dokumen-dokumen ataupun saksi-saksi maka saya percaya puan juga berhak ke atas rumah tersebut dan ia boleh dituntut sebagai harta sepencarian. Dalam hal ini, mahkamah akan melihat kepada faktor-faktor tertentu seperti sumbangan pihak-pihak bagi memperolehi harta tersebut dan kadar yang harus dibahagikan. Maka perkara ini akan dijelaskan pada isu yang kedua.
ISU KEDUA: SAMA ADA WUJUD SUMBANGAN PIHAK-PIHAK BAGI MEMPEROLEHI HARTA TERSEBUT DAN KADAR YANG HARUS DIBAHAGIKAN KEPADA PIHAK-PIHAK
10) Perlulah dijelaskan disini, sebelum Mahkamah menetapkan kadar yang perlu dibahagikan kepada pihak-pihak, mahkamah akan melihat kepada sumbangan yang diberikan di antara kedua-dua pihak. Ini kerana harta sepencarian merupakan tuntutan yang kadarnya ditentukan berdasarkan kepada sedikit atau banyaknya takat sumbangan yang diberikan.
11) Sumbangan yang dimaksudkan disini ialah merujuk kepada sumbangan secara langsung dan sumbangan tidak langsung:
- Sumbangan secara langsung ini merujuk kepada usaha yang diberikan oleh kedua-dua pihak untuk memperoleh harta tersebut. Antara seperti sumbangan dari sudut kewangan.
- Manakala, bagi sumbangan tidak langsung pula kebiasannya merujuk kepada kerja-kerja rumah yang dilaksanakan oleh isteri dalam menguruskan rumah tangga. Ini termasuklah idea, dorongan serta keselesaan yang dikecapi suami sehingga membolehkannya mendapatkan harta tersebut
12) Sekiranya harta itu merupakan harta usaha bersama, maka faktor-faktor yang akan diambil kira oleh mahkamah termasuklah takat sumbangan tiap-tiap pihak dalam bentuk wang, harta atau kerja bagi memperoleh harta tersebut, hutang-hutang yang telah dibuat bagi manfaat bersama mereka serta keperluan anak-anak yang belum dewasa daripada perkahwinan itu.
13) Namun sekiranya harta tersebut merupakan harta tunggal, mahkamah akan melihat kepada sumbangan tidak langsung yang telah dibuat oleh pihak yang tidak memperoleh harta itu. Sebagai contoh melakukan kebajikan keluarga seperti memelihara rumah tangga, memenuhi keperluan anak-anak dan sebagainya.
14) Berkenaan dengan kadar pembahagian harta pula, ianya boleh dikategorikan kepada tiga bahagian iaitu:
- Pembahagian sepertiga atau kurang kepada isteri: Pembahagian satu pertiga kepada pihak isteri dan dua pertiga kepada pihak suami akan terpakai apabila si isteri tidak memberi sumbangan kewangan dan hanya memberi sumbangan dalam bentuk menemani suami dan menjaga rumahtangga dan keluarga.
- Pembahagian sama rata: Berlaku sekiranya isteri juga memberi sumbangan kewangan, atau harta itu telah didaftarkan dalam kedua-dua nama suami isteri, pada amnya pembahagian akan diberi sama rata di antara suami isteri.
- Pembahagian melebihi separuh (1/2) kepada isteri: Isteri yang menunjukkan bahawa dia memberi lebih sumbangan daripada suami, misalnya dengan memberi sumbangan kewangan dan juga menjaga rumahtangga, patutlah diberi bahagian yang lebih daripada separuh harta sepencarian itu.
KESIMPULAN
15) Maka apa yang boleh saya simpulkan disini ialah saya percaya Puan Malika berhak untuk menuntut rumah tersebut sebagai harta sepencarian. Ini berdasarkan kepada sumbangan tidak langsung yang telah puan berikan sepanjang mendirikan rumah tangga meskipun bukan sumbangan dalam bentuk kewangan. Saya menasihati puan agar mendapatkan khidmat peguam syarie kes puan dapat berjalan dengan lancar memandangkan mereka lebih berpengalaman dalam mengendalikan kes-kes sebegini. Sekian.
Disediakan oleh: Nur Syairah Yusop untuk Peguam Syarie Faiz Adnan & Associates

Apakah itu Mut’ah? Layakkah saya untuk menerima Mut’ah?
Soalan mengenai MUT’AH:
PEGUAM SYARIE Faiz Adnan, setelah bercerai dengan suami, saya diberitahu bahawa saya boleh menuntut harta sepencarian, nafkah eddah, hak penjagaan anak serta nafkah anak, dan mut’ah daripada suami saya. Namun, saya kurang pasti apakah itu mut’ah? Adakah saya benar-benar layak untuk menerimanya walaupun saya adalah seorang yang berjaya dalam kerjaya saya dan mempunyai pendapatan sendiri? Sekiranya saya layak, adakah saya boleh menuntut seberapa banyak amaun yang saya mahu atau mahkamah akan menetapkan amaun tersebut?
Jawapan:
Merujuk kepada soalan Puan di atas, mut’ah adalah suatu bentuk bayaran yang menggambarkan penghargaan kepada bekas isteri yang telah berkhidmat untuk suami dan anak-anak sepanjang tempoh perkahwinan. Menurut pengertian yang diberikan oleh Wahbah Zuhaili dalam kitabnya Fiqh Al Islami Wa Adillatuhu, mut’ah adalah suatu pemberian harta yang wajib keatas lelaki untuk membayar kepada isterinya yang diceraikan pada masa hidup, dengan talak, bergantung kepada beberapa syarat. Seksyen 2 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 juga menyatakan bahawa mut’ah adalah bayaran saguhati yang diberi dari segi Hukum Syara’ kepada isteri yang diceraikan.
Selepas Puan dan suami diisytiharkan telah bercerai, Puan haruslah memfailkan ke mahkamah bagi menuntut mut’ah dengan menyatakan jumlah yang dirasakan relevan. Seterusnya, Puan haruslah membuktikan kepada mahkamah bahawa bekas suami adalah seorang yang mampu untuk membayar sejumlah bayaran mut’ah yang dituntut tersebut.
Mut’ah disyariatkan atas lelaki kepada wanita yang telah diceraikan untuk menjadi bekalan bagi meringankan beban mereka yang disebabkan oleh perpisahan dan memulakan kehidupan baru tanpa suami. Selain itu, mut’ah menjadi suatu tuntutan selepas penceraian bagi mengambil hati bekas isteri di samping dapat mengubati perasaan sakit hati dan rasa benci yang berpunca daripada penceraian yang berlaku. Ia juga bagi menutup perasaan sedih, dan malu apabila menerima sangkaan buruk daripada masyarakat terhadap penceraian tersebut.
Pengarang kitab I’anah at-Talibin, pada Juz 3, m/s 356 juga ada menyatakan bahawa ‘wajib ke atas suami membayar mut’ah kepada isteri yang sudah disentuh (dipersetubuhi) walaupun ianya (isteri itu) seorang hamba, dengan sebab berlakunya penceraian yang bukan kerana kematian salah seorang daripada kedua-dua mereka’.
Maka jelaslah, seorang lelaki wajib melaksanakan bayaran kepada isteri yang diceraikan, bergantung kepada beberapa syarat.
Seksyen 56 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 menyatakan bahawa perempuan yang diceraikan tanpa sebab yang patut boleh menuntut mut’ah dan mahkamah boleh memerintahkan suami untuk membayar sejumlah wang yang patut & wajar mengikut hukum syarak. Tafsiran frasa tanpa sebab yang patut telah diperincikan lagi dalam kes Sapiee bin Muda lwn Adnan Hawa bt Mohamad telah merujuk kepada Kitab Mughni Muhtaj yang telah menggariskan syarat kelayakan seorang isteri bagi menuntut mut’ah, antaranya ialah:
- Penceraian dengan kematian suami / isteri – suami tidak diwajibkan untuk membayar mut’ah
- Penceraian berpunca daripada suami yang mewajibkan seorang suami untuk membayar mut’ah.
- Talaq
- Li’an
- Suami murtad
- Fasakh nikah disebabkan aib suami sebelum akad nikah
- Penceraian berpunca daripada isteri semata-mata – tidak diwajibkan ke atas suami untuk membayar mut’ah:
- Isteri murtad
- Isteri memeluk Islam
- Fasakh nikah kerana aib isteri
- Isteri memfasakhkan nikah kerana suami papa
- Isteri memfasakhkan nikah kerana suami mati pucuk
Puan dan bekas suami seharusnya bersetuju akan suatu amaun bagi bayaran mut’ah. Namun sekiranya gagal mencapai satu persetujuan, Hakim akan menentukan amaun tersebut dan keputusan hakim haruslah dihormati.
Menurut Kitab Ianah Al Talibin, Juz 3 yang dipetik dalam penghakiman kes Tukimah Ahmad lwn Jamaluddin Ibrahim, berdasarkan ayat 236 daripada Surah Al-Baqarah, penulis kitab tersebut telah menyatakan bahawa kadar penentuan mut’ah mestilah dengan mengambil kira apa yang sesuai dengan keadaan kedua-dua pihak pada masa penceraian.
Oleh yang demikian, mahkamah dalam mempertimbangkan kadar mut’ah akan melihat kepada faktor-faktor seperti di bawah:-
- Kemampuan suami
- Tempoh perkahwinan
- Taraf hidup pasangan semasa perkahwinan
- Status pendidikan dan pekerjaan isteri
- Isteri tidak pernah diisytiharkan nusyuz
- Menjaga kebajikan rumahtangga dengan baik.
- Usia pihak-pihak
- Lain-lain bentuk pengorbanan
Maka, Puan boleh memfailkan tuntutan mut’ah ke mahkamah tinggi dan menyatakan jumlah yang relevan untuk dituntut. Selepas itu, Puan hendaklah membuktikan bahawa bekas suami adalah seorang yang berkemampuan untuk membayar jumlah yang dituntut tersebut, dengan mengemukakan slip gaji bekas suami, geran tanah, atau apa-apa dokumen atau bukti yang menunjukkan harta-harta beliau. Sekiranya Puan dan bekas suami boleh mencapai persetujuan bersama untuk suatu amaun mut’ah, maka tidak perlu untuk kes mut’ah ini difailkan di mahkamah. Jika sebaliknya berlaku dimana terdapat pertelingkahan tentang mut’ah, kes ini perlulah dibawa ke mahkamah bagi hakim untuk menentukannya. Mempunyai pendapatan dan kerjaya sendiri tidak menghalang Puan untuk menuntut mut’ah kerana ianya adalah hak seorang perempuan apabila diceraikan.
Untuk sebarang pertanyaan, atau sekiranya anda ingin menetapkan temujanji dengan Peguam Syarie Faiz Adnan, anda boleh menghubungi kami menerusi telefon/email.

HAK ISTERI DALAM HARTA SEPENCARIAN
HARTA SEPENCARIAN – Bahawa saya dan bekas suami telah pun sah bercerai pada 15hb Januari 2016 yang lalu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya, Selangor. Dalam tempoh perkahwinan, saya dan bekas suami telah memperolehi asset tersebut:
i) Sebuah rumah jenis teres 2 tingkat yang beralamat di No 1, Jalan SS21/25, Damansara Utama, 56300 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan. (dibeli atas nama bersama) – rumah kelamin sepanjang perkahwinan
SOALAN:
Selain hak penjagaan anak, yang menjadi permasalahan saya sekarang ialah bekas suami saya menyatakan bahawa saya langsung tidak ada hak ke atas harta-harta tersebut (harta sepencarian selepas bercerai) memandangkan saya adalah seorang suri rumah yang tidak mempunyai pendapatan, malah saya langsung tidak memberi apa-apa sumbangan kewangan ke atas kewujudan harta-harta tersebut. Saya hanya perlukan kepastian, adakah benar dakwaan bekas suami saya tersebut? saya juga memerlukan tempat tinggal untuk menjalani kehidupan seterusnya. Tambahan pula, bekas suami saya kini telah memberi amaran kepada saya supaya keluar dari rumah kelamin kami setelah tamat tempoh iddah saya. Saya buntu. sila pihak tuan/puan beri penjelasan dengan kadar segera.
(Puan Mila dari Petaling Jaya)
JAWAPAN:
Terima kasih puan atas soalan yang diajukan.
Untuk makluman puan, berdasarkan peruntukkan undang-undang harta sepencarian ini adalah harta yang diperolehi bersama ketika di dalam tempoh perkahwinan sama ada harta alih mahupun harta tak alih. Harta alih adalah seperti wang simpanan & kereta, manakala harta x alih pula seperti rumah & hartanah.
Dalam mahkamah syariah, pembahagian harta sepencarian adalah ditentukan berdasarkan sumbangan pihak-pihak dalam pemerolehan harta-harta tersebut di mana bentuk sumbangan terbahagi kepada 2 iaitu sumbangan secara langsung dan sumbangan secara tidak langsung.
– Sumbangan secara langsung adalah sumbangan yang berbentuk kewangan,
– Sumbangan tidak langsung pula adalah berbentuk perhatian dalam rumahtangga seperti menjaga kebajikan keluarga, memelihara rumahtangga serta menjaga keperluan keluarga termasuk anak-anak.
Dalam permasalahan puan ini, saya mendapati bahawa puan tidak pun memberi sumbangan dalam bentuk wang untuk memperolehi harta-harta tersebut, namun demikian puan adalah seorang suri rumah yang setiap masa berkorban menjaga keperluan rumahtangga, menjaga keharmonian rumahtangga. Pengorbanan puan ini dikategorikan sebagai sumbangan tidak langsung di mana dengan pengorbanan puan tersebut, puan telah membantu dan memberi sokongan dari belakang kepada suami supaya berjaya dalam kerjayanya serta dalam kehidupan hariannya agar terus berusaha mengharmonikan rumahtangga puan bersama.
Merujuk kepada peruntukkan undang-undang di dalam seksyen 122 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor), seksyen tersebut memperuntukkan bahawa:
“(1) Mahkamah adalah mempunyai kuasa apabila membenarkan lafaz talaq atau apabila membuat sesuatu perintah perceraian untuk memerintah supaya apa-apa aset yang diperolehi oleh pihak-pihak itu dalam masa perkahwinan dengan usaha bersama mereka dibahagi antara mereka atau supaya mana-mana aset yang diperolehi oleh pihak-pihak itu dalam masa perkahwinan dengan usaha bersama mereka dibahagi antara mereka atau supaya mana-mana aset itu dijual dan hasil jualan itu dibahagi antara pihak-pihak itu.”
Manakala seksyen 122 (2) dan (4) Enakmen yang sama pula menjelaskan tentang sumbangan langsung dan sumbangan x langsung.
Seksyen 122 (2) memperuntukkan bahawa: (sumbangan langsung)
Pada menjalankan kuasa yang diberi oleh subseksyen (1), Mahkamah hendaklah mengambil perhatian tentang;
a) Takat sumbangan-sumbangan yang telah dibuat oleh tiap-tiap satu pihak dalam bentuk wang, harta, atau kerja bagi memperolehi aset-aset itu;
b) Apa-apa hutang terhutang oleh salah satu pihak yang telah dilakukan bagi manfaat bersama mereka;
c) Keperluan-keperluan anak-anak yang belum dewasa dari perkahwinan itu, jika ada,
Dan tertakluk kepada pertimbangan-pertimbangan itu, Mahkamah hendaklah membuat pembahagian yang sama banyak.
Seksyen 122 (4) memperuntukkan bahawa: (sumbangan tidak langsung)
Pada menjalankan kuasa yang diberi oleh subseksyen (3),Mahkamah hendaklah memberi perhatian kepada—
(a) takat sumbangan yang telah dibuat oleh pihak yang tidak memperolehi aset itu, kepada kebajikan keluarga dengan memelihara rumahtangga atau menjaga keluarga;
(b) keperluan anak-anak yang belum dewasa daripada perkahwinan itu, jika ada,
dan, tertakluk kepada pertimbangan itu, Mahkamah boleh membahagikan aset itu atau hasil jualan itu mengikut apa-apa kadar yang difikirkannya munasabah, tetapi, walau bagaimanapun, pihak yang telah memperoleh aset itu dengan usahanya hendaklah menerima suatu kadar yang lebih besar.
Dalam kes puan ini, kebiasaannya Mahkamah akan putuskan 2/3 kepada pihak yang memberi sumbangan langsung dan 1/3 kepada pihak yang memberi sumbangan tidak langsung.
Oleh yang demikian itu, sy NASIHATKAN puan lantiklah Peguam Syarie supaya kes harta sepencarian ini boleh difailkan dengan teratur serta memenuhi kriteria Undang-undang dan Hukum Syarak.
PENERANGAN TAMBAHAN (HARTA SEPENCARIAN)
Dalam mempertimbangkan kes ini, Mahkamah akan mengambil kira beberapa perkara penting di dalam permohonan puan antaranya ialah:
1. butiran peribadi pihak-pihak
2. tarikh pernikahan
3. butiran anak-anak
4. tarikh & tempat berlaku perceraian
5. butiran harta-harta yang diperolehi semasa dalam tempoh perkahwinan sehingga bercerai, tarikh diperolehi dll
6. adakah terdapat harta yang diperolehi sebelum perkahwinan tetapi di majukan di dalam tempoh perkahwinan. Jika ada nyatakan butirannya, tarikh diperolehi dan apakah bentuk kemajuan yang dibuat ke atas harta tersebut.
7. asset-asset perhiasan, gelang emas dll
8. tempat tinggal utama di mana pihak-pihak hidup bersama semasa perkahwinan (rumah kelamin).
9. Sama ada ada orang gaji atau pembantu rumah ada disediakan atau tidak
10. Butir-butir harta yang diperolehi bagi setiap pasangan seperti tarikh perolehi harta dll
11. Sejarah pekerjaan setiap pihak
12. Sejarah kedudukan kewangan, sebelum dan semasa pernikahan
13. Sumber-sumber yang menjadi harta-harta diperolehi
14. Perkara yang berkaitan dengan amanah. Contohnya harta diamanahkan kepada anak-anak. Tanggungan pihak-pihak terlibat
15. Kesihatan pihak-pihak terlibat. Ia ada kaitan dengan kemampuan memperolehi harta
16. Harta yang diberi sebagai tanda kasih sayang
17. Fakta mengenai ketenangan jiwa yang diberi oleh isteri kepada suami seperti menjaga anak-anak, dulu bekerja tetapi berhenti untuk menjaga anak-anak dll
18. Berapakah jumlah tuntutan yang dipohon
19. Cara tuntutan diselesaikan (sama ada dengan dijual, pindah milik, tukar milik dll).
Sekian Wassalam..
(Asma dari Faiz Adnan & Associates)
Untuk sebarang pertanyaan, atau sekiranya anda ingin menetapkan temujanji dengan Peguam Syarie Faiz Adnan, anda boleh menghubungi kami menerusi telefon/email.