• peguam syarie faiz adnan hadhanah

    IBU MENANGIS TIDAK DAPAT HAK HADHANAH SELEPAS BERCERAI

    Soalan :

    Saya ingin mengajukan soalan kepada Peguam Syarie Faiz Adnan berkaitan hadhanah. Saya Fatimah (bukan nama sebenar) dan suami telah berkahwin pada 23/2/2011. Hasil perkahwinan kami telahpun dikurniakan 2 orang anak iaitu Rania Aisya berumur 4 tahun dan Aqif Adli 2 tahun. Namun, pada suatu petang saya bergaduh besar dengan bekas suami saya sehingga saya meminta dia menceraikan saya dan berjanji untuk memberi anak-anak kepada dia jika dia (suami) menceraikan saya. Kami kemudian telah sah bercerai pada tahun 2017. Anak-anak saya sehingga sekarang berada dengan bekas suami saya. Tapi sekarang saya telah berkahwin baru dan saya benar-benar merindui anak-anak saya dan menyesal atas perbuatan saya. Saya juga berhasrat untuk mengambil anak-anak saya duduk dan tinggal dengan saya. Adakah saya masih mempunyai hak hadhanah  di sisi undang-undang terhadap kedua anak tersebut? Saya benar-benar menginginkannya. Saya mohon nasihat tuan.

     

    Jawapan:

    Bismilahirahmanirrahim,

    Hadhanah. Menurut seksyen 76 Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984, undang-undang membenarkan suatu perintah hak jagaan anak itu diubah atas alasan yang munasabah. Berdasarkan peruntukan ini, jelas Puan masih berpeluang untuk mendapatkan semula hak jagaan anak tersebut. Oleh itu, tindakan awal yang perlu Puan ambil ialah failkan permohonan ubah perintah hak jagaan anak yang telah diputuskan oleh mahkamah sebelum ini. Seterusnya, dalam permohonan tersebut, Puan perlu nyatakan alasan mengapa permohonan tersebut perlu diubah. Amnya, alasan-alasan yang biasa diberikan ialah telah wujud salah penyataan; atau telah wujud kesilapan fakta; atau telah berlaku perubahan matan tentang hal keadaan berdasarkan perjanjian yang telah dibuat. Disamping itu dalam memutuskan kes ini, Mahkamah juga mengambil kira tiga perkara berikut :

    ·  Kebajikan anak-anak puan

    ·  Umur anak-anak puan ketika hak hadhanah ini dipohon di mahkamah

    ·  Kelayakan puan dalam mendapatkan hak hadhanah

     

    Sebelum menentukan kepada siapa hak hadhanah ini diberikan, perkara utama yang dinilai dan diberi perhatian lebih oleh Mahkamah ialah kebajikan anak. Dalam Kitab Al-Fiqh Al Muqarran Lil Al-Ehwal Shaksiyyah Oleh Sr. Badran Abul Ainnaini Juz 1 Ms 543-544 menyebut :

     

    غاية لامر أن حق الصغير اقوى لان مصلحته مقدمة على مصلحة ابويه وانه يجب العمل بما هو انفغ واصلح للصغير في باب الخضانة

     

    Dari segi kebajikan, Mahkamah menfokuskan kepada 5 perkara asas iaitu makan minum, pakaian, pendidikan, perubatan dan tempat tinggal. Kelima-lima perkara asas ini secara tidak langsung berkait rapat dengan isu kemampuan. Oleh itu, Puan perlu buktikan kepada Mahkamah bahawa Puan mampu menyediakan dan menjaga keperluan anak tersebut dengan baik. Soal bagaimana mengagihkan tanggungjawab menyediakan nafkah anak, ia bergantung kepada persetujuan bersama atau perintah nafkah anak yang dikeluarkan oleh Mahkamah.

    Kedua, jika dilihat pada umur anak puan pada waktu ini adalah masing-masing berumur 4 tahun (anak perempuan) dan 2 tahun (anak lelaki), menurut undang-undang, ibu adalah orang yang paling berhak mendapat hak hadhanah inisehinggalah anak-anak tersebut mencapai umur mumayyiz meskipun anak-anak tersebut diberikan pada suami Puan pada awal penceraian. Berdasarkan petikan daripada kitab kifayah al-Akhyarjuz. 2 ms 161 yang menyatakan:

     

    وإذا فارق الرجل زوجته وله منها ولد فهي احق بخضانته الى سبع سنين

     

    Maksudnya: Apabila berlakunya perpisahan di antara suami dan isteri dan mereka mempunyai anak hasil perkahwinan tersebut, maka ibu adalah orang yang berhak menjaga anak itu sehingga berumur 7 tahun.

    a)      Berkahwin dengan orang yang tidak mahram dengan anak-anaknya

    b)      Berkelakuan buruk secara keterlaluan dan terbuka

    c)      Menukar permaustatinan dengan tujuan menghalang bapa anak-anak tersebut menjalankan pengawasanya

    d)      Murtad

    e)      Menganiaya dan mengabaikan anak-anak

     

    Namun, puan haruslah mengetahui bahawa hak hadhanah boleh hilang apabila didapati orang itu termasuk dalam kategori gugur hak atau hilang kelayakan sebagai seorang hadhinah (penjaga) kepada anak-anak tersebut. Dan kesannya ialah hak hadhanah daripada ibu (puan) boleh berpindah kepada orang lain seperti (suami puan) dan sesiapa yang difikirkan layak menurut Undang-Undang Keluarga Islam seksyen 84 akta yang sama. Hal ini menurut seksyen 83 AUKIWP  1984: Hak sesorang perempuan terhadap hadhanah adalah hilang;-

    Berdasarkan fakta kes ini, puan telah pun berkahwin lain dan menyebabkan hak hadhanah puan terhadap anak-anak tersebut gugur. Hal ini dirujuk berdasarkan hadith Rasulullah SAW:

     

    انت احق بها ما لم تنكحى

     

    Maksudnya : Engkau berhak kepada hadhanah selama mana kamu tidak berkahwin lain.

    Meskipun Puan telah mendapat keredhan dan keizinan suami untuk menjaga anak-anak tersebut namun sedikit sebanyak kebajikan anak-anak tersebut mungkin akan terjejas. Dalam kitab al-Akhyar Juz. 2 ms 153 menyatakan:

     

    لأنها مشغولة بالزوج فيضرر الولد اثر لرضا الزوج

     

    Maksudnya: … isteri biasanya sibuk melayani suaminya dan sudah tentu menjejaskan kedudukan anak itu meskipun ada keredhaan suaminya untuk jaga sama tapi ianya tak beerti.

    Ayat ini berkaitan hukum syarak yang menetapkan bahawa hilang kelayakan isteri yang telah berkahwin lain walaupun dengan redha suaminya dalam menuntut hadhanah. Islam merupakan agama yang mementingkan seorang isteri itu memelihara hubungan dengan suaminya selama-lamanya. Juga, menolak kemudaratan terjadinya apa-apa perkara yang tidak diingini pada anak-anak yang bakal dijaga lebih-lebih lagi melibatkan anak perempuan yang bukan mahram dengan suami yang baru. Tambahan pula,  faktor lambakan kes-kes berkaitan bapa haruan, bapa yang menganiaya anak tiri sehingga trauma apabila isteri tiada di rumah dan bekerja yang kemudian tugas menjaga anak tersebut beralih kepada bapa tiri.

    Namun, masih wujud ruang dan peluang untuk puan mendapatkan hak hadhanah ini daripada bekas suami puan dengan dengan memohon ibu puan (nenek) sebagai hadhinah (penjaga) kepada anak-anak puan di mahkamah kerana menurut seksyen 81 AUKIWP 1984, susunan orang yang berhak dalam menjaga anak-anak selepas ibu adalah nenek dan puan haruslah membuktikan kepada mahkamah bahawa ibu puan sememangnya layak untuk menjaga kebajikan bagi anak-anak puan dan membuktikan bahawa bekas suami puan telah tidak menjalankan kebajikan anak-anak puan dengan baik.

    Dalam isu hadhanah ini, mahkamah akan melihat segala faktor secara menyeluruh, terutama kebajikan dan kemaslahatan anak, bukan melihat kepada kepentingan si ibu atau si bapa. Kebajikan anak adalah yang paling utama mengikut maqasid syariahbagi menjamin kehidupan masa depan yang lebih baik bagi anak itu. Contoh kes diihat pada kes Norhaiza lwn saat (1996) di mana mahkamah menolak tuntutan isteri yang telah berkahwin lain dalam tuntutan mengubah perintah mahkamah berkaitan hadhanah pada bekas suaminya.

     

    Artikel disiarkan untuk laman web Peguam Syarie Faiz Adnan Associates.

  • suami-nafsu-kuat

    ISTERI TERANIAYA: SUAMI NAFSU KUAT DAN SUKA MENGHABISKAN HARTA ISTERI

    Soalan: Saya Farah (bukan nama sebenar) merupakan suri rumahtangga sepenuh masa. Saya mempunyai 3 orang anak. Perkahwinan saya dan suami telah mencecah 5 tahun. Suami saya seorang yang sangat kuat nafsu syahwatnya – suami nafsu kuat. Sejak dari awal perkahwinan lagi suami saya tak kira pagi, petang atau malam beliau sering minta bersama sampai saya tak larat melayani dia. Telah beberapa kali saya cuba tolak pelawaan tapi suami paksa saya bersama. Akibat daripada kekerapan melakukan hubungan kelamin, saya telah mengalami pendarahan pada alat sulit dan kerap rasa sakit-sakit. Bila saya mengadu, suami tidak mengendahkan dan langsung tidak pernah bawa saya ke klinik untuk pemeriksaan. Saya hanya bergantung pada ubat tahan sakit saja. Dalam keadaan saya begitu pun, suami tetap dengan sikapnya. Saya betul-betul rasa tertekan dengan masalah ini. Hanya mengenangkan anak-anak sahaja saya masih bertahan dan bersabar sehingga sekarang. Saya pernah menyuarakan masalah ini padanya namun apa yang berlaku, suami saya marah dan tengking saya. Dia mengatakan saya wajib patuh sebab itu arahan daripadanya sebagai suami. Suami juga kadang-kadang sanggup tak pergi kerja kerana nakkan bersama. Dia juga sering bertukar kerja kerana masalah kehadiran dan komitmen.

    suami-nafsu-kuat-2Dari segi duit pula, tanggungan tidak sepenuhnya dari pendapatan suami sebab gaji suami kecil dan kadang-kadang tak ada gaji (dalam tempoh tak bekerja). Hampir kesemua tanggungan tersebut adalah dari saya sendiri. Sebelum saya berkahwin dengan suami, saya mempunyai pekerjaan tetap dengan gaji yang lumayan. Saya telah mempunyai kereta, rumah, duit simpanan dan barang-barang kemas. Namun, semua harta-harta tersebut dicagar oleh suami satu demi satu dan digunakan untuk tampung keperluan keluarga. Suami berjanji untuk tebusnya kembali tapi sekarang lain pula jadinya.  Bila saya bertanyakan tentang harta2 tersebut, suami mengamuk dan ugut saya nak bawa lari anak-anak jika saya sebut tentang hal ini lagi dan dia juga cakap yang dia tak akan tebus harta-harta itu sebab duit tak ada. Saya sekarang buat bisnes online. Alhamdulillah sedikit sebanyak ada juga pendapatan. Tapi sedihnya, kad bank saya suami pegang dan dia gunakan wang itu ikut suka hati tanpa minta izin daripada saya terlebih dahulu. Sejujurnya, saya sudah tidak tahan lagi meneruskan perkahwinan ini dan bercadang untuk bercerai. So, apa yang perlu saya lakukan? Apakah hak yang boleh saya tuntut selepas penceraian? Mohon nasihat.

     

    Jawapan: Terima kasih Puan atas soalan yang diajukan dan saya simpati atas apa yang berlaku atas diri Puan.

    Sebelum saya menerangkan dengan lebih lanjut, harapnya penceraian ini adalah usaha terakhir yang Puan ambil untuk selesaikan konflik rumahtangga Puan dan suami.

    Baiklah, setelah meneliti satu-persatu permasalahan Puan, keadaan dan situasi Puan pada ketika ini adalah diharuskan bercerai mengikut Hukum Syarak berdasarkan 3 sebab berikut:

    1. Telah timbul kemudharatan pada diri Puan akibat dari sikap suami yang terus menerus memaksa Puan melakukan hubungan kelamin.
    2. Suami telah dengan sengaja cuai memperuntukkan nafkah zahir kepada Puan.
    3. Suami telah dengan sengaja melupuskan harta Puan.

    Bagi proses penceraian, memandangkan Puan dan suami masih tinggal sebumbung maka langkah awal yang sebaiknya dibuat ialah Puan berbincang tentang penceraian ini dengan suami terlebih dahulu. Jika suami bersetuju untuk menceraikan Puan, maka Puan boleh menfailkan permohonan cerai di bawah seksyen 47 Akta/Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam. Prosiding penceraian di bawah seksyen ini lebih mudah kerana ia tidak memerlukan kepada pembuktian atau perbicaraan jika pihak-pihak telah bersetuju untuk berpisah. Selain itu, segala aib pasangan juga tidak dibuka. Dari segi Hukum Syarak, tindakan ini sangat dituntut dalam Islam berdasarkan surah al-Baqarah ayat 229, Allah s.w.t berfirman:

     

    فإمساك بمعروف أو تسريح بإحسان

    Maksud: “Setelah itu suami dapat menahannya dengan cara yang baik dan melepaskan dengan baik.”

     

    Manakala jika berlaku sebaliknya yakni keadaan di mana suami Puan tidak menerima atau tidak mahu hadir prosiding penceraian, maka Puan boleh menfailkan tuntutan fasakh di bawah seksyen 53 Akta/Enakmen yang sama. Ini kerana sebab-sebab penceraian Puan seperti yang disebutkan di atas juga ada diperuntukan di bawah seksyen 53.

    Dalam permohonan fasakh, Puan perlu nyatakan bersama alasan-alasan fasakh yang berkaitan seperti berikut:

    (1) suami telah lazim menyakiti dan menjadikan kehidupan Puan menderita disebabkan oleh kelakuan aniayanya,

    (2)  suami telah melupuskan harta Puan dan

    (3)  suami telah cuai mengadakan peruntukan bagi nafkah selama 3 bulan berturut-turut.

    Setiap alasan-alasan yang dikemukakan dalam permohonan fasakh perlu dibuktikan wujud. Kegagalan Puan mengemukakan bukti atau saksi bagi menyokong alasan tersebut boleh menyebabkan tuntutan/permohonan fasakh Puan ditolak.

    Dalam kes fasakh, perkara yang paling penting ialah pembuktian. Saya bantu Puan dalam hal ini. Berdasarkan kepada alasan yang pertama, “suami telah lazim menyakiti dan ……” adalah merujuk kepada tindakan suami yang kerap memaksa Puan melakukan hubungan kelamin sehingga menyebabkan pendarahan pada alat sulit Puan. Hal keadaan ini dikuatkan lagi dengan kelakuan aniaya suami Puan yang langsung tidak mengendahkan kesakitan yang Puan alami dan berterusan memaksa Puan melakukan hubungan kelamin. Akibat daripada sikap suami, Puan mengalami pendarahan dan tekanan perasan. Bagi membuktikan perkara ini, Puan perlu sediakan laporan perubatan. Laporan perubatan disini merujuk kepada laporan doktor berkenaan dengan pendarahan pada alat sulit dan juga laporan pakar psikiatri yang mengesahkan bahawa Puan sememangnya mengalami tekanan perasaan.

    Seterusnya bagi alasan yang kedua, kecuaian suami memperuntukan nafkah adalah merujuk kepada situasi dimana suami tidak sepenuhnya menanggung keperluan keluarga malah sebaliknya telah menggunakan wang simpanan dan harta Puan untuk tujuan tersebut. Ini berlaku kerana suami tidak mempunyai gaji yang tetap ekoran dari masalah bertukar-tukar tempat kerja. Dalam perkara ini, Puan boleh mengemukakan saksi iaitu bekas majikan suami Puan bagi menerangkan tentang sikap dan komitmen suami sebagai pekerja. Selain itu, jiran juga boleh dibawa menjadi saksi sekiranya jiran tersebut kerap melihat kelibat suami di rumah dan mengetahui bahawa suami  tidak  bekerja. Pendek cerita, segala dokumen yang berkaitan yang Puan rasa ianya menyokong alasan tersebut boleh dikemukakan di Mahkamah.

    Bagi alasan yang terakhir iaitu suami telah dengan sengaja melupuskan harta Puan. Difahamkan bahawa suami dalam kes ini telah mungkir janji untuk menebus kembali harta-harta yang telah dicagar tambahan turut mengugut Puan untuk membawa lari anak sekiranya hal ini diungkit lagi. Baik, bagi masalah ini Puan perlu sediakan dokumen2 yang berkaitan dengan transaksi cagaran. Jika transaksi tersebut dibuat secara lisan, sebaiknya minta kerjasama orang yang menerima cagaran itu untuk beri keterangan di Mahkamah bagi mengesahkan kewujudan transaksi tersebut. Selain itu, dokumen harta dan rekod wang simpanan Puan juga perlu dikemukakan untuk menunjukkan harta-harta tersebut adalah kepunyaan Puan. Berhubung dengan isu bawa lari anak, saya cadangkan Puan mohon perintah injuksi dari Mahkamah Syariah. Ini penting untuk menghalang suami dari bawa lari anak dan sekiranya berlaku kejadian ini suami Puan boleh ditangkap dan dipenjarakan. Dalam masa yang sama, Puan juga dinasihatkan untuk memohon perintah interim hadhanah. Permohonan ini adalah bertujuan untuk mendapatkan hak jagaan sementara sepanjang tempoh prosiding berjalan.

    Berkenaan dengan hak-hak selepas penceraian, jika Puan becerai secara baik maka hak yang boleh dituntut ialah nafkah iddah, mutaah, harta sepencarian, hadhanah, dam nafkah anak. Dan sekiranya penceraian secara fasakh, semua hak-hak yang disebutkan Puan boleh tuntut kecuali nafkah iddah.

    Saya kira penerangan yang serba ringkas ini dapat memandu Puan untuk tindakan lanjut. Cuma, saya nasihatkan supaya Puan guna khidmat Peguam Syarie supaya kes ini dikendalikan mengikut prosiding undang-undang yang betul dan menepati Hukum Syarak. Sekiranya Puan ingin bertanya dengan lebih lanjut, Puan boleh hubungi kami di 012 667 6200 (Peguam Syarie Faiz Adnan) atau pejabat 03-2283 1400/03-2283 3400 atau datang terus ke firma kami di Bangsar Utama. Terima kasih.

    Share sekiranya artikel ini bermanfaat!

     

  • pengesahan-nikah-kahwin-dengan-bukan-warganegara

    PENGESAHAN NIKAH: KAHWIN DENGAN BUKAN WARGANEGARA – PART 2

    Ramai yang mengajukan soalan kepada pihak Peguam Syarie Faiz Adnan, melalui email, SMS, Facebook dan sebagainya berkaitan dengan masalah masing-masing dan antara yang banyak dikemukakan kepada kami ialah mengenai pengesahan nikah apabila berkahwin dengan bukan warganegara Malaysia. Ikuti soalan dan jawapan yang kami sediakan seperti di bawah. Semoga sedikit sebanyak dapat membantu anda yang memerlukan jawapan. Share kepada rakan-rakan anda sekiranya bermanfaat. Jika anda mempunyai sebarang soalan atau pertanyaan atau ingin membuat temujanji dengan Peguam Syarie Faiz Adnan, anda boleh hubungi kami di ruangan hubungi kami, atau di Facebook.

     

    Soalan :

    Assalamualaikum w.b.t. Saya Ani dari Kl. Saya ingin bertanya dan mendapatkan pendapat Tuan tentang masalah yang saya hadapi. Saya ialah seorang warganegara Malaysia dan telah berkahwin dengan seorang lelaki yang bukan warganegara. Perkahwinan kami telah diwalikan oleh bapa kandung saya di rumah saya di Klang, Selangor dengan disaksikan oleh 2 orang saksi. Malangnya, kami tidak pernah mendaftarkan perkahwinan kami atas alasan suami saya gagal untuk dapatkan Surat Perakuan Bujang. 2 bulan berkahwin saya didapati mengandung dan setelah kandungan saya berusia 3 bulan kami berkahwin semula mengikut prosedur undang-undang di Malaysia. Perkahwinan ini dibuat atas nasihat kenalan suami saya setelah suami saya berjaya mendapatkan Surat Perakuan Bujang dari negaranya. Timbul isu apabila saya dan suami ingin daftarkan kelahiran anak kami di JPN tetapi ditolak kerana anak kami itu dikatakan telah lahir di luar pernikahan. Saya jadi keliru kerana pada pandangan saya perkahwinan saya dan suami adalah sah disisi Syarak tetapi hanya tidak didaftarkan sahaja. Apa yang perlu saya lakukan? Saya tidak mahu anak kami nanti dicerca dan diejek kelak. Saya amat mengharapkan bantuan Tuan untuk menyelesaikan kekusutan kami. Saya dahului dengan ucapan terima kasih.

     

    pengesahan-nikah-kahwin-dengan-bukan-warganegara-2

     

    Jawapan :

    Wa’alaikumussalam w.b.t

    Saya bahagikan permasalahan Puan ini kepada 4 isu untuk dijawab. Isu tersebut:

     

    • Keesahan pernikahan Puan daripada sudut Hukum Syarak;

    Sesuatu pernikahan sah apabila rukun dan syarat-syarat pernikahan itu dipenuhi. Sacara zahir, pernikahan pertama Puan boleh saya katakan sah kerana memenuhi 5 rukun nikah yang telah digariskan oleh Hukum Syarak iaitu pengantin lelaki, pengantin perempuan, wali, 2 orang saksi, ijab dan qabul. Namun, penelitian terhadap syarat sah rukun pernikahan juga perlulah diteliti satu persatu. Seandainya syarat sah kepada rukun nikah itu dipenuhi dan tidak timbul sebarang keraguan, dapat saya nyatakan bahawa pernikahan Puan yang pertama itu adalah sah di sisi Hukum Syarak. Jika sebaliknya, pernikahan Puan yang pertama itu akan menjadi tidak sah di sisi Hukum Syarak dan pernikahan itu perlulah difarakkan. Oleh itu, bagi menentukan sah atau tidaknya pernikahan Puan yang pertama ini, saya cadangkan agar Puan membuat permohonan pengesahan nikah di Mahkamah Syariah yang berhampiran.

    • Kaedah untuk mendapatkan pengesahan nikah;

    Pengesahan pernikahan Puan yang pertama perlulah dibuat melalui permohonan di Mahkamah Syariah. Adalah dimaklumi kaedah permohonan pengesahan nikah adalah berbeza mengikut negeri bergantung kepada enakmen pentadbiran dan undang-undang keluarga islam negeri-negeri. Bagi mengesahkan nikah Puan, Puan boleh ke Mahkamah Rendah Syariah Klang.  Kaedah permohonanya adalah Puan perlu membuat permohonan dengan mengisi borang MS3 dan MS26 iaitu Afidavit Sokongan seperti yang telah diperuntukkan di bawah seksyen 13 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003. Puan juga perlu kemukakan segala dokumen yang diminta seperti kad pengenalan Puan, pasport suami dan mana-mana dokumen yang berkaitan. Setelah segala dokumen lengkap, Puan digalakkan kemukakan saksi di Mahkamah bagi kes pengesahan nikah tersebut. Saksi tersebut mestilah mereka yang terlibat pada majlis akad nikah Puan itu. Sekiranya terdapat gambar yang diambil, gambar tersebut juga boleh Puan kemukakan sebagai bukti. Jika pernikahan Puan diputuskan sah oleh Mahkamah, maka Puan hendaklah mendaftarkan pernikahan Puan itu di Pejabat Agama Islam Daerah di Bahagian Pendaftaran Nikah Cerai Rujuk di mana Puan bermastautin untuk mendapatkan sijil nikah dan seterusnya bawa bersama sijil nikah ke JPN untuk pendaftaran anak. Sekiranya pernikahan Puan diputuskan tidak sah, maka perkahwinan Puan dan suami akan difarakkan. Namun, anak tersebut bukanlah berstatus anak luar nikah, tetapi anak syubhah.

     

    • Kedudukan sijil nikah kedua; dan

    Bilamana mahkamah memutuskan bahawa perkahwinan Puan yang pertama adalah sah, saya cadangkan Puan mohon kepada Mahkamah untuk membatalkan sijil perkahwinan Puan yang kedua dengan membuat pindaan pada sijil nikah tesebut. Pindaan yang saya maksudkan di sini ialah Puan menggunakan sijil nikah Puan yang kedua itu namun masih menggunakan nombor daftar yang sama cumanya pindaan dilakukan kepada tarikh pernikahan yang terdapat pada sijil nikah Puan itu.

     

    • Konflik undang-undang.

    Konflik undang-undang yang dapat saya lihat dalam situasi Puan ini adalah apabila pendaftarkan kelahiran anak Puan tidak dapat dilakukan. Puan perlu maklum bahawa pernikahan yang sah disisi Syarak perlu didaftarkan agar sijil nikah dapat dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Daerah bagi membolehkan pendaftaran anak Puan dilakukan. Ini bertujuan bagi menjamin bahawa sesuatu pernikahan itu adalah memenuhi kehendak Hukum Syarak dan seterusnya memenuhi keperluan undang-undang.

    Setiap prosedur perlu dipenuhi bagi menjamin kredibiliti Undang-undang Syariah Malaysia serta memartabatkan sistem perundangan syariah sekaligus. Walaupun begitu, undang-undang tidaklah kejam dan menghukum. Hal ini kerana seperti yang telah diperuntukkan di bawah seksyen 12(2) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003, telah memperuntukkan bahawa :

    “ Walau apapun subseksyen (1) dan tanpa menjejaskan seksyen 40 (2), sesuatu perkahwinan yang telah diupacarakan berlawanan dengan mana-mana peruntukan Bahagian ini tetapi sebaliknya sah mengikut Hukum Syara’, boleh didaftarkan di bawah Enakmen ini dengan perintah daripada Mahkamah”

    Dalam situasi Puan ini, Mahkamah perlu membuat pengesahan nikah Puan yang pertama bagi membolehkannya didaftarkan mengikut undang-undang keluarga Islam di Malaysia. Oleh itu, saya mencadangkan kepada Puan untuk melantik mana-mana Peguam Syarie bagi membantu Puan dalam  membuat permohonan pengesahan nikah Puan kali pertama. Bantuan daripada Peguam Syarie dapat memudahkan dan melicinkan proses permohonan pengesahan pernikahan Puan di Mahkamah kelak.

    Wallahu a’lam.

     

    Oleh : Rafini binti Aman

    Dari: Faiz Adnan & Associates

  • kelayakan mutah

    Apakah itu Mut’ah? Layakkah saya untuk menerima Mut’ah?

    Soalan mengenai MUT’AH:

    PEGUAM SYARIE Faiz Adnan, setelah bercerai dengan suami, saya diberitahu bahawa saya boleh menuntut harta sepencarian, nafkah eddah, hak penjagaan anak serta nafkah anak, dan mut’ah daripada suami saya. Namun, saya kurang pasti apakah itu mut’ah? Adakah saya benar-benar layak untuk menerimanya walaupun saya adalah seorang yang berjaya dalam kerjaya saya dan mempunyai pendapatan sendiri? Sekiranya saya layak, adakah saya boleh menuntut seberapa banyak amaun yang saya mahu atau mahkamah akan menetapkan amaun tersebut?

    Jawapan:

                Merujuk kepada soalan Puan di atas, mut’ah adalah suatu bentuk bayaran yang menggambarkan penghargaan kepada bekas isteri yang telah berkhidmat untuk suami dan anak-anak sepanjang tempoh perkahwinan. Menurut pengertian yang diberikan oleh Wahbah Zuhaili dalam kitabnya Fiqh Al Islami Wa Adillatuhu, mut’ah adalah suatu pemberian harta yang wajib keatas lelaki untuk membayar kepada isterinya yang diceraikan pada masa hidup, dengan talak, bergantung kepada beberapa syarat. Seksyen 2 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 juga menyatakan bahawa mut’ah adalah bayaran saguhati yang diberi dari segi Hukum Syara’ kepada isteri yang diceraikan.

                Selepas Puan dan suami diisytiharkan telah bercerai, Puan haruslah memfailkan ke mahkamah bagi menuntut mut’ah dengan menyatakan jumlah yang dirasakan relevan. Seterusnya, Puan haruslah membuktikan kepada mahkamah bahawa bekas suami adalah seorang yang mampu untuk membayar sejumlah bayaran mut’ah yang dituntut tersebut.

                Mut’ah disyariatkan atas lelaki kepada wanita yang telah diceraikan untuk menjadi bekalan bagi meringankan beban mereka yang disebabkan oleh perpisahan dan memulakan kehidupan baru tanpa suami. Selain itu, mut’ah menjadi suatu tuntutan selepas penceraian bagi mengambil hati bekas isteri di samping dapat mengubati perasaan sakit hati dan rasa benci yang berpunca daripada penceraian yang berlaku. Ia juga bagi menutup perasaan sedih, dan malu apabila menerima sangkaan buruk daripada masyarakat terhadap penceraian tersebut.

                Pengarang kitab I’anah at-Talibin, pada Juz 3, m/s 356 juga ada menyatakan bahawa ‘wajib ke atas suami membayar mut’ah kepada isteri yang sudah disentuh (dipersetubuhi) walaupun ianya (isteri itu) seorang hamba, dengan sebab berlakunya penceraian yang bukan kerana kematian salah seorang daripada kedua-dua mereka’.

                Maka jelaslah, seorang lelaki wajib melaksanakan bayaran kepada isteri yang diceraikan, bergantung kepada beberapa syarat.

                Seksyen 56 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 menyatakan bahawa perempuan yang diceraikan tanpa sebab yang patut boleh menuntut mut’ah dan mahkamah boleh memerintahkan suami untuk membayar sejumlah wang yang patut & wajar mengikut hukum syarak. Tafsiran frasa tanpa sebab yang patut telah diperincikan lagi dalam kes Sapiee bin Muda lwn Adnan Hawa bt Mohamad telah merujuk kepada Kitab Mughni Muhtaj yang telah menggariskan syarat kelayakan seorang isteri bagi menuntut mut’ah, antaranya ialah:

    • Penceraian dengan kematian suami / isteri – suami tidak diwajibkan untuk membayar mut’ah
    • Penceraian berpunca daripada suami yang mewajibkan seorang suami untuk membayar mut’ah.
    • Talaq
    • Li’an
    • Suami murtad
    • Fasakh nikah disebabkan aib suami sebelum akad nikah
    • Penceraian berpunca daripada isteri semata-mata – tidak diwajibkan ke atas suami untuk membayar mut’ah:
    • Isteri murtad
    • Isteri memeluk Islam
    • Fasakh nikah kerana aib isteri
    • Isteri memfasakhkan nikah kerana suami papa
    • Isteri memfasakhkan nikah kerana suami mati pucuk

                Puan dan bekas suami seharusnya bersetuju akan suatu amaun bagi bayaran mut’ah. Namun sekiranya gagal mencapai satu persetujuan, Hakim akan menentukan amaun tersebut dan keputusan hakim haruslah dihormati.

                Menurut Kitab Ianah Al Talibin, Juz 3 yang dipetik dalam penghakiman kes Tukimah Ahmad lwn Jamaluddin Ibrahim, berdasarkan ayat 236 daripada Surah Al-Baqarah, penulis kitab tersebut telah menyatakan bahawa kadar penentuan mut’ah mestilah dengan mengambil kira apa yang sesuai dengan keadaan kedua-dua pihak pada masa penceraian.

                Oleh yang demikian, mahkamah dalam mempertimbangkan kadar mut’ah akan melihat kepada faktor-faktor seperti di bawah:-

    • Kemampuan suami
    • Tempoh perkahwinan
    • Taraf hidup pasangan semasa perkahwinan
    • Status pendidikan dan pekerjaan isteri
    • Isteri tidak pernah diisytiharkan nusyuz
    • Menjaga kebajikan rumahtangga dengan baik.
    • Usia pihak-pihak
    • Lain-lain bentuk pengorbanan

          Maka, Puan boleh memfailkan tuntutan mut’ah ke mahkamah tinggi dan menyatakan jumlah yang relevan untuk dituntut. Selepas itu, Puan hendaklah membuktikan bahawa bekas suami adalah seorang yang berkemampuan untuk membayar jumlah yang dituntut tersebut, dengan mengemukakan slip gaji bekas suami, geran tanah, atau apa-apa dokumen atau bukti yang menunjukkan harta-harta beliau. Sekiranya Puan dan bekas suami boleh mencapai persetujuan bersama untuk suatu amaun mut’ah, maka tidak perlu untuk kes mut’ah ini difailkan di mahkamah. Jika sebaliknya berlaku dimana terdapat pertelingkahan tentang mut’ah, kes ini perlulah dibawa ke mahkamah bagi hakim untuk menentukannya. Mempunyai pendapatan dan kerjaya sendiri tidak menghalang Puan untuk menuntut mut’ah kerana ianya adalah hak seorang perempuan apabila diceraikan.

    Untuk sebarang pertanyaan, atau sekiranya anda ingin menetapkan temujanji dengan Peguam Syarie Faiz Adnan, anda boleh menghubungi kami menerusi telefon/email.

  • tempoh-proses-menuntut-fasakh

    Berapa Lamakah Tempoh Dan Masa Diperlukan Bagi Proses Menuntut Fasakh?

    1. Proses penyediaan dan pemfailan pliding sehingga tarikh sebutan (1 bulan)
    2. Proses sebutan untuk menyempurnakan pliding dan pengurusan kes (2 hingga 4 bulan)
    3. Perbicaraan penuh diantara 8 bulan sehingga 12 bulan
    4. Penyediaan hujjah bertulis sehingga keputusan (3 bulan)

    Ramai yang bertanya/mengajukan soalan berkaitan tajuk di atas kepada pihak PEGUAM SYARIE Faiz Adnan Associates sama ada melalui telefon, SMS, whatsapp, termasuk juga ruangan hubungi kami. Di sini kami ingin berkongsi dengan anda soalan yang ditanya oleh Puan Ros (bukan nama sebenar) mengenai tempoh masa bagi proses menuntut fasakh dan berapa jumlah kos perkhidmatan bagi kes terbabit berserta jawapan dari pihak kami. Semoga penjelasan ini sedikit sebanyak membantu anda membuat penilaian dan penelitian tentang langkah penyelesaian yang perlu anda ambil dalam menangani masalah anda.

    Soalan:

    Saya ingin tahu berapakah jumlah wang yg dikenakan bagi perkhidmatan tuan bagi sya menuntut cerai dari suami saya? Selalunya berapa lamakah proses penceraian menuntut fasakh ini? Terima kasih.

    Jawapan:

    Puan Ros, terima kasih kerana menghubungi pihak saya. Saya Faiz Adnan Peguam Syarie.
    Bagi menjawab 2 persoalan yang diajukan, suka saya terangkan soalan ke-2 terlebih dahulu.
    Puan bertanya berapa lamakah kes fasakh mengambil masa sehingga kes selesai. Saya ambil contoh kebiasaannya kes saya bawa di Kuala Lumpur dan di Selangor. Pertama sekiranya ke semua dokumen dan fakta telah lengkap, dari situ kami akan ambil masa 7 hari bekerja untuk memfailkannya di mahkamah.

    Pada hari penfailan, selepas semua pliding dan dokumen diperlukan di terima barulah ianya diproses dan hari yang sama juga tarikh sebutan kali pertama akan diberikan. Biasanya dalam tempoh 21 hari daripada tarikh pemfailan, sebutan pertama akan dibuat. Dalam pada itu penyampaian saman akan dilakukan oleh pihak peguam syarie. Semasa sebutan kali pertama, peguam syarie akan perkenalkan kes dan menjelaskan tentang status penyampaian saman berjaya atau sebaliknya.

    Sekiranya saman sempurna disampaikan dan defendan hadir, maka peguam syarie akan mohon mahkamah berikan masa 2 minggu sehingga sebulan untuk defendan failkan pembelaan dan biasanya 2 minggu lagi untuk pihak peguam syarie untuk memfailkan jawapan kepada pembelaan. Ini bererti tempoh yang diberikan untuk melengkapkan suratcara2 guaman akan mengambil masa 1 bulan setengah sehingga 2 bulan. Kemudian mahkamah akan memberikan tarikh sebutan kedua untuk mempastikan pliding lengkap.

    Dalam keadaan biasa sekiranya defendan melantik peguam selepas sebutan pertama kes, peguam defendan akan memerlukan masa yang lebih panjang untuk menjawab tuntutan puan.

    Selanjutnya jika semua suratcara lengkap maka hakim akan samada terus memberikan tarikh perbicaraan atau beliau akan mengarahkan suatu pengurusan kes dibuat. Jika pilihan ke2 dibuat, maka sebulan atau 2 bulan lagi masa diperlukan oleh peguam syarie untuk menyediakan draf dan disemak serta untuk dipersetujui oleh kesemua pihak terbabit di dalam kes itu.

    Perbicaraan di Selangor lebih singkat berbanding di Wilayah Persekutuan . Ini kerana di Selangor hakim secara praktisnya akan mengarahkan perbicaraan dibuat secara afidavit keterangan. Maka kesemua pihak baik plaintif dan saksi2nya, defendan mahupun saksi2nya menyediakan afidavit keterangan untuk membolehkan hakim mudah memahami perjalanan perbicaraan dalam masa yang singkat.

    Berbanding di Wilayah Persekutuan, hakim bicara lebih senang untuk membicarakan kes melalui keterangan lisan sahaja. Maka itu perbicaraan mungkin menjadi panjang jika tidak dikawal oleh hakim bicara dengan baik.

    Peguam syarie juga diberi peluang untuk menyoal balas pihak defendan dan saksi2nya begitu juga sebaliknya peguam defendan juga berhak atas kapasiti yang sama juga.

    Jangkaan kebiasaannya untuk perbicaraan penuh di Selangor akan memerlukan masa 8 bulan sehingga setahun.

    Berbanding perbicaraan penuh di wilayah persekutuan mungkin lebih dari itu atas alasan perbicaraan lisan.

    Setelah selesai perbicaraan maka kedua2 peguam syarie akan memfailkan hujjah masing2 dan tempoh 2 bulan. Bulan selanjutnya barulah keputusan dibacakan oleh hakim bicara.

    Kesimpulannya berdasarkan penjelasan yang agak detail di atas kita boleh rumuskan jika perbicaraan penuh dengan kehadiran defendan dan peguam syarienya maka kita boleh anggarkan seperti berikut:

    1. Proses penyediaan dan pemfailan pliding sehingga tarikh sebutan (1 bulan)
    2. Proses sebutan untuk menyempurnakan pliding dan pengurusan kes (2 hingga 4 bulan)
    3. Perbicaraan penuh diantara 8 bulan sehingga 12 bulan
    4. Penyediaan hujjah bertulis sehingga keputusan (3 bulan)

    Saya harap puan memahami situasi yang saya berikan tadi. Tidaklah bererti ia adalah suatu yang tepat dan tetap malah jika situasinya berbeza seperti suami enggan hadir maka perjalanan kes puan akan jauh lebih cepat dan pantas. Saya hanya nyatakan berdasarkan kebiasaan yang berlaku bagi kes faskh di mahkamah.

    Persoalan awal puan iaitu berapakah kos bagi menguruskan kes fasakh ini. Jawapannya ia akan bergantung kepada beberapa faktor:

    Pertama fee bergantung kepada tahap kesusahan membawa kes ini di mahkamah. Misalnya kalau bukti tak lengkap atau tidak meyakinkan atau saksi tidak mencukupi atau saksi lemah, maka fee guaman lebih tinggi.

    Kedua fee juga bergantung kepada sejauhmanakah kemahiran peguam syarie yang membawa kes puan. Biasanya jika peguam syarie itu punyai pengalaman lebih 15 tahun maka feenya lebih mahal daripada peguam syarie yang masih baru. Pengalaman akan memahirkan seseorang peguam.

    Ketiga lokasi mahkamah. Lebih jauh mahkamah dengan pejabat peguam syarie maka bertambah lagi kos peguam tersebut.

    Jadi berdasarkan faktor di atas saya harap puan dapat gambaran jelas tentang kes fasakh dan tempoh masa yang diperlukan serta fee guaman seseorang peguam syarie.

    Sila hubungi saya Faiz Adnan di talian 012-6676 200 untuk mengetahui lebih lanjut tentang kes puan.

    Sekian wassalam.
    Peguam Syarie Faiz Adnan
    23 April 2016
    Untuk sebarang pertanyaan, atau sekiranya anda ingin menghubungi Peguam Syarie Faiz Adnan atau ingin membuat temujanji, anda boleh menghubungi kami melalui email, Facebook atau terus menghubungi no telefon pejabat kami.

  • pengesahan-nikah

    PENGESAHAN NIKAH – PART 1

    SOALAN:

    PENGESAHAN NIKAH – Bahawa saya dan isteri telah pergi ke Thailand melalui Bukit Kayu Hitam dan telah bernikah di Narathiwat pada tahun2014. Namun, sehingga kini kami masih belum membuat apa-apa pengesahan nikah di Mahkamah Syariah. Oleh kerana isteri saya telah mengandung pada awal tahun ini, saya khuatir jika saya tidak mengesahkan pernikahan saya dan ianya akan memberi risiko pada anak saya yang bakal dilahirkan tidak lama lagi. Oleh itu, saya memerlukan nasihat dari pihak Tuan bagi menyelesaikan masalah saya ini secepat mungkin.

    (Aizat dari Subang Jaya)

     

    JAWAPAN: 

    Terima Kasih En.Aizat atas pertanyaan yang diajukan.

    Saya akan membahagikan penerangan bagi kes pengesahan nikah ini kepada 2 bahagian:

     

    1. Hukum Syara’: Rukun & Syarat Nikah

     

    Pertama sekali, perkara yang paling asas adalah mengenalpasti samaada sesuatu perkahwinan itu sah dan memenuhi rukun-rukun nikah yang telah ditetapkan poleh Syara’:

    Saya merujuk kepada apa yang dinyatakan di dalam Kitab Hasyiyah al-Bujairimi Syarah Minhaj at Thullab telah menyatakan:

    “ Fasal dalam membicarakan rukun-rukun nikah dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya. Adapun rukun-rukun nikah itu ialah lima iaitu:

    1. Pengantin Lelaki
    2. Perngantin Perempuan
    • Wali
    1. Dua orang saksi
    2. Sighah/ lafaz ijab qabul”

    Setelah diteliti satu persatu bermula dengan pengantin lelaki dan pengantin perempuan, kedua-dua nya haruslah Islam, baligh, berakal, mukallaf serta tidak mempunyai hubungan darah atau persaudaraan.

    Diantara perkara yang menghalang dari kesahan suatu pernikahan atau pengesahan nikah adalah berbeza bagi pengantin lelaki dan pengantin perempuan. Perkara yang menghalang bagi pengantin perempuan adalah bukan terdiri dari perempuan yang haram dinikahi seperti mepunyai hubungan nasab dengan suami, bukan isteri orang dan tidak berada dalam ‘iddah. Begitu juga dengan pengantin lelaki, hendaklah terdiri dari lelaki yang halal dinikahi seperti tertentu dan tidak beristeri lebih dari 4 orang.

    Seterusnya rukun yang ketiga iaitu berwalikan Wali Hakim yang kebiasaanya juga merupakan jurunikah bagi pernikahan di Majlis Agama di Thailand. Disini perlu dipastikan bahawa semasa pernikahan tersebut, wali Nasab bagi pengantin perempuan berada lebih dari 2 marhalah (60 batu) dari tempat pernikahan tersebut dan sebelum upacara bermula, pengantin perempuan telah memberi persetujuan mewakil walikan serta memberi mandat kepada jurunikah untuk dinikahkan dan penerimaan perwakilan oleh jurunikah tersebut.

    Keempat pula, saksi didalam upacara pernikahan adalah 2 orang saksi yang sihat tubuh badan serta tidak buta juga tidak pekak yang mana beragama Islam dan melengkapi syarat-syarat sebagai seorang saksi.

    Kelima adalah wujudnya sighah atau lafaz ijab dan qabul sewaktu pernikahan tersebut iaitu lafaz ijab dari jurunikah dan lafaz qabul dari pengantin lelaki.

    Ini bertetapan dengan peruntukan di dalam seksyen 12 dan 12(2) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor), seksyen 12 tersebut memperuntukkan bahawa:

    “ Sesuatu perkahwinan itu adalah tidak sah melainkan jika cukup semua syarat yang perlu, menurut Hukum Syara’ untuk menjadikannya sah” 

    Seksyen 12(2) memperuntukkan bahawa:

    “ Walau apapun subseksyen (1) dan tanpa menjejaskan seksyen 40 (2), sesuatu perkahwinan yang telah diupacarakan berlawanan dengan mana-mana peruntukan Bahagian ini tetapi sebaliknya sah mengikut Hukum Syara’, boleh didaftarkan di bawah Enakmen ini dengan perintah daripada Mahkamah”

     

    1. Pembuktian wujudnya pernikahan : Keterangan Dokumentar

    Dalam mempertimbangkan kes ini, Mahkamah akan mengambil kira beberapa perkara penting di dalam permohonan En.Aizat bagi membuktikan tahap pembuktian yang sewajarnya dicapai oleh Pengantin lelaki dan Pengantin perempuan bagi mensabitkan dan meluluskan pengesahan nikah ini berdasarkan dokumen-dokumen sepertimana berikut:

    1. Sesalinan kad pengenalan
    2. Sesalinan catatan keteragan nikah wilayah Narathiwat
    3. Sesalinan bukti passport masuk dan keluar
    4. Sesalinan surat perngesahan perkahwinan dari Majlis Agama Narathiwat
    5. Sesalinan surat pengesahan perkahwinan dari Konsulat Jeneral Malaysia

    Kebiasaanya bagi kes pengesahan nikah, dokumen-dokumen diatas amatlah penting bagi membuktikan kewujudan pernikahan tersebut sehingga mencapai tahap pembuktian yang mana tiada keraguan terhadap pernikahan ini memandangkan dokumen-dokumen tersebut mengandungi maklumat lelaki dan perempuan yang berkahwin, wali, tarikh pernikahan dan juga alamat tempat tinggal kedua-duanya. Dokumen-dokumen ini adalah sah dan mendapat pengesahan daripada badan/institusi yang diiktiraf Malaysia.

    Oleh itu, secara keseluruhannya di dalam kes pengesahan nikah ini, haruslah  diteliti berdasarkan rukun-rukun nikah diatas menurut hukum syara’, keterangan pengantin lelaki dan perempuan bermula dari perjalanan ke Thailand kemudian berkenaan urusan pernikahan di Majlis Agama Narathiwat dan seterusnya pendaftaran di Majlis Agama Narathiwat yang mengendalikan pernikahan tersebut sehinggalah pengesahan di Konsulat Jeneral Malaysia disana. Selepas kesemuanya lengkap dan jelas berdasarkan keterangan dan juga dokumen-dokumen yang disebut di atas, barulah pengesahan nikah ini boleh disahkan di Mahkamah Syariah seterusnya mendapatkan sijil Nikah di Pejabat Agama.

    Oleh yang demikian itu, sy NASIHATKAN En.Aizat melantik Peguam Syarie supaya kes pengesahan nikah ini boleh difailkan dengan teratur serta memenuhi kriteria Undang-undang dan Hukum Syarak.

    Sekian Wassalam.

     

    (Faiz Adnan & Associates)

    Untuk sebarang pertanyaan, atau sekiranya anda ingin menetapkan temujanji dengan Peguam Syarie Faiz Adnan, anda boleh menghubungi kami menerusi telefon/email.

  • fasakh-peguam-syarie-faizadnan

    FASAKH: Antara Prosedur Dan Realiti

    REALITI FASAKH – Apabila seseorang pergi ke Mahkamah Syariah, tidak dapat tidak, persepsi dan telahan orang ramai pastinya pelbagai. Sementelahan perkataan mahkamah itu sendiri dan juga fungsinya adalah bagi menyelesaikan kes dan menegakkan keadilan, sudah pasti mahkamah dilihat sebagai sebuah institusi bagi menyelesaikan permasalahan dan mencari solusi kepada sesuatu perkara atau isu. Namun begitu, Mahkamah Syariah bukanlah sebuah badan untuk menyelesaikan perkara-perkara yang berkaitan dengan perceraian semata-mata. Daripada kes-kes mal yang berkaitan dengan orang-orang Islam seperti tuntutan perceraian, hadanah, harta sepencarian, pengesahan hibah, permohonan sijil faraid hinggalah kepada kes-kes jenayah seperti khalwat, nusyuz, muncikari dan menghina agama Islam boleh dibicarakan di Mahkamah Syariah seperti yang diperuntukkan di bawah Undang-undang Mahkamah Syariah di Malaysia.

    Melihat kepada seorang wanita yang memakai baju kurung moden, tinggi lampai persis model, berselendang hitam dan berkaca mata gelap datang ke mahkamah dengan langkah yang tersusun rapi tetapi sedikit kecelaruan, pastinya dia mempunyai masalah. Tetapi riak wajahnya sukar dibaca kerana ditutupi dengan selendang yang ditiup angin sepoi-sepoi bahasa sekali-sekala manakala matanya pula ditutupi kaca mata hitam berjenama Chanel. Setelah mengambil nombor giliran, wanita itu terus menuju ke kaunter yang berkenaan. Lalu bermulalah dialog antara dia dan pegawai mahkamah yang bertugas. “Assalamualaikum Puan. Ada apa-apa yang boleh saya bantu?”, tegur pegawai mahkamah dengan lemah-lembut. “Waalaikumussalam. Nama saya Lara. Saya datang ke sini untuk menuntut cerai daripada suami saya.”, kata wanita itu memulakan perbualan. “Suami Puan sudah melafazkan cerai?” balas pegawai mahkamah tersebut sopan. “Belum.” jawab wanita itu ringkas.

    “Kalau begitu, mengapa tidak bercerai secara baik?” soal pegawai itu lagi. “Suami saya tidak mahu. Beginilah Encik, saya sudah tidak tahan lagi untuk hidup bersama suami saya. Sudahlah nafkah tidak diberi, malah kadang-kala dia juga ada memukul saya. Terbaru, saya dapat tahu dia ada berkahwin dengan perempuan lain di Pattani. Hati perempuan mana Encik yang tahan dan sanggup diperlakukan sedemikian rupa? Saya sudah tidak tahan lagi! Cukuplah Encik, cukup…” tegas wanita itu dengan nada amarah berbaur emosi. Sesekali dia menjadi tumpuan orang di sekitar yang mendengar luahan perasaannya dengan nada suara yang tinggi rendah menggambarkan badai kehidupannya yang dilalui bersama sang suami.

    Tiba hari sebutan kes untuk didengar buat pertama kalinya di Mahkamah Syariah, Puan Lara hadir bersendirian tanpa Peguam Syarie bagi mewakili kesnya. Defendan merangkap suaminya juga tidak hadir walaupun saman telah berjaya diserahkan secara kediri. Hakim menebak pelbagai soalan kepada Puan Lara tetapi jawapannya tetap sama iaitu hendak bercerai dengan suaminya kerana tidak tahan hidup bersama lagi serta diabaikan umpama gantung tidak bertali. Tiada dokumen atau bukti kukuh dikemukakan bagi mensabitkan setiap dakwaan terhadap suaminya itu. Mahkamah memutuskan kes tersebut ditangguhkan ke satu tarikh lain yang ditetapkan dan Hakim memberi peluang kepada Puan Lara untuk mencari Peguam Syarie bagi mewakili kesnya itu memandangkan Peguam Syarie akan membantu bagi melancarkan kesnya dan membawa kes berkenaan ke mahkamah mengikut prosedur yang lebih kemas dan teratur.

    Persoalannya, apakah pilihan yang wanita itu ada? Apakah hak yang diberikan untuknya oleh Undang-undang Syariah? Tidak dinafikan, kebanyakan orang awam tidak mengetahui jenis-jenis perceraian yang terkandung dalam Akta atau Enakmen Undang-undang Keluarga Islam di Malaysia. Mereka tidak bersedia dan tidak membuat persediaan sewajarnya sebelum ke mahkamah kerana menganggap bahawa Mahkamah Syariah akan membantu dan memberikan jawapan yang tepat kepada mereka. Sewajarnya, mereka membuat kajian terlebih dahulu atau setidaknya mencari khidmat Peguam Syarie bagi membantu mereka untuk memudahkan dan melancarkan perjalanan kes. Selain perceraian secara biasa di bawah Seksyen 47 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 (AUKI), jenis-jenis perceraian lain yang terkandung dalam Akta yang sama ialah khuluq atau tebus talaq, takliq, li’an, fasakh dan sebagainya.

    Dalam kes di atas, Puan Lara bolehlah memohon suatu perintah untuk membubarkan perkahwinan iaitu membuat permohonan fasakh di bawah Seksyen 52 AUKI. Sebab-sebab atau alasan-alasan untuk memohon fasakh telah dinyatakan dengan jelas di dalam peruntukan tersebut. Antaranya syarat fasakh jika suami telah cuai atau tidak mengadakan peruntukan bagi nafkah zahir selama tempoh tiga bulan, tidak menunaikan kewajipan perkahwinan iaitu nafkah batin selama tempoh satu tahun tanpa sebab yang munasabah, lazim menyakiti pasangan disebabkan oleh kelakuan aniaya, tidak melayani isteri secara adil mengikut kehendak Hukum Syarak jika suami mempunyai isteri lebih daripada seorang dan banyak lagi. Apa yang perlu dilakukan oleh Puan Lara ialah mengemukakan bukti-bukti kukuh yang berkaitan kerana beban pembuktian bagi kes fasakh adalah berat dan ketat.

    Beban pembuktian merupakan tanggungjawab mengemukakan bukti bagi sesuatu fakta yang menjadi isu. Semakin banyak dakwaan yang dikemukakan oleh satu pihak terhadap pihak yang lain, maka semakin banyaklah beban pembuktian yang harus dikemukakan oleh pihak yang mendakwa di mahkamah. Dalam kes di atas, jika Puan Lara mengatakan bahawa suaminya tidak memberikan nafkah zahir kepadanya, harus diambil kira sama ada dia telah cuai atau gagal memberikan nafkah zahir dalam tempoh masa berapa lama. Begitu juga dengan nafkah batin sama ada ia telah melebihi tempoh satu tahun seperti yang terkandung dalam Enakmen atau tidak. Bagi dakwaan Puan Lara yang mengatakan bahawa suaminya telah memukulnya, suatu laporan polis dan juga laporan perubatan daripada klinik atau hospital perlu dilampirkan sebagai bukti. Manakala bagi dakwaan bahawa suaminya telah berkahwin dengan perempuan lain di Pattani pula, Puan Lara perlu membuktikan bahawa perkahwinan kedua itu telah berlaku dan disebabkan itu juga, suaminya telah tidak berlaku adil kepadanya dari segi giliran bermalam dan juga kemampuan suaminya dalam menyediakan nafkah zahir serta batin.

     

    “Marriage is more than just having sex.”        

    Tujuan perkahwinan adalah bagi menghalalkan perhubungan antara lelaki dan perempuan. Namun, harus diingat bahawa perkahwinan bukanlah medan bagi melempiaskan nafsu semata-mata, akan tetapi terdapat tanggungjawab, amanah dan beban yang harus dipikul dan digalas dengan sebaik-baiknya demi mencari keredaan Ilahi. Suami dan isteri perlulah mengetahui akan hak dan tanggungjawab masing-masing dalam sesebuah perkahwinan. Persediaan sebelum ke alam perkahwinan adalah amat penting kerana kehidupan solo yang dilalui sebelum ini akan terus bertukar status. Bayangkan, kalau dahulu semasa zaman bujang kita tidur berseorangan dengan gaya bebas, kuak lentang, kuak kupu-kupu dan sebagainya, tetapi apabila kita telah berkahwin, celik-celik mata sahaja ada pasangan di sebelah yang mengingatkan kita bahawa ada amanah daripada Allah yang perlu dijaga. MasyaAllah.

    Diwujudkan juga perasaan kasih-sayang dan belas kasihan antara suami isteri supaya dapat hidup bersama dengan tenang dan aman sepertimana firman Allah S.W.T dalam Surah Ar-Ruum Ayat 21 yang bermaksud: “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.

    Realitinya, apabila seorang isteri telah memfailkan kes perceraian di mahkamah terutamanya kes fasakh, telah tidak wujud lagi perasaan kasih sayang terhadap pasangannya. Luka yang dipendam begitu lama di alam perkahwinan bagai tidak dapat disembuhkan lagi. Sang suami beria-ia mempertahankan mahligai yang dibina dan menafikan segala dakwaan yang telah ditohmah oleh si isteri. Terkadang sang suami terpaksa akur dengan kehendak si isteri yang sudah tidak mahu lagi melayari bahtera bersama-sama. Tetapi ada juga kes yang mana sang suami tetap bertahan dan masih ingin terus menjadi nakhoda kepada kapal yang telah dilayari bersama sejak sekian lama. Persoalannya, masih wujudkah benih kasih sayang seperti yang telah disemai sedari awal perkahwinan mereka dahulu? Wujudkah ruang dan peluang kedua untuk pasangan tersebut berubah? Masihkah terdapat walau sekelumit kepercayaan dan kasih sayang jauh di sudut hati pasangan yang mana kepercayaannya selama ini telah dinodai dan dirobek?

    Komunikasi merupakan kunci kepada sesebuah perhubungan. Jika komunikasi antara pasangan baik, maka baiklah sesebuah perhubungan itu. Sikap toleransi dan bertolak-ansur juga penting demi menjaga kerukunan rumah tangga itu sendiri. Berbincanglah secara baik dan berhemah dalam segenap perkara atau masalah agar satu kata putus dan permuafakatan yang jitu dan harmoni dapat dicapai seterusnya melahirkan situasi menang-menang antara kedua-dua belah pihak. Terlafaznya akad nikah yang suci antara sang teruna dengan wali si dara, maka berpindahlah tanggungjawab bapa perempuan itu kepada lelaki yang baru sahaja sah menjadi suaminya. Suatu kehidupan yang baru bakal bermula dan pihak-pihak dalam perkahwinan perlulah mengetahui peranan dan tanggungjawab masing-masing sebagai suami dan isteri. Terdapat fasa-fasa yang akan menguji keutuhan sesebuah rumahtangga itu dan hadapilah setiap cabaran dan dugaan yang mendatang dengan penuh kesabaran dan kasih sayang kerana itulah yang akan mematangkan sesebuah perhubungan agar lebih erat, bermakna dan dihargai.

    Faiz Adnan & Associates: Realiti tidak seindah fantasi.

    Untuk sebarang pertanyaan, atau sekiranya anda ingin menghubungi Peguam Syarie Faiz Adnan atau ingin membuat temujanji, anda boleh menghubungi kami melalui email, Facebook atau terus menghubungi no telefon pejabat kami. Firma kami sedia membantu anda.

  • gadis-kpop-isu

    Kisah Gadis Bertudung & K-Pop

    Terbaru, kita rakyat Malaysia dikejutkan dan digemparkan dengan isu gadis-gadis Melayu bertudung yang memeluk, memegang dan dicium oleh artis-artis daripada kumpulan K-Pop, BIA4 yang hadir ke Malaysia bagi membuat persembahan di KL Live Centre Kuala Lumpur ketika sesi bertemu peminat yang dinamakan sebagai “B1A4 Fan Meeting” pada 10 Januari 2015 yang lalu. Kumpulan ini dianggotai oleh lima orang anak muda iaitu Jung Jin Young, Lee Jung Hwan, Cha Seon Woo, Gong Chan Sik dan Shin Dong Woo. Belum reda lagi kita tersentak daripada lamunan dek isu banjir dan isu nahas kapal terbang yang melanda negara kita baru-baru ini, timbul pula isu aqidah dan moral yang baru yang dilihat seolah-olah tidak menginsafi akan apa yang telah berlaku dan tidak risau akan bala daripada Allah yang mendatang.

    Apabila kita melihat video pendek yang telah menjadi viral di laman-laman sosial yang berdurasi 3 minit 22 saat itu, terdapat tiga pihak yang boleh dipersalahkan dan dilihat bersalah dalam isu ini iaitu pihak penganjur, kumpulan B1A4 dan gadis-gadis Melayu bertudung itu sendiri. Tidak kurang juga ada yang menyalahkan pihak pemerintah, ibu bapa dan juga peminat-peminat tegar K-Pop yang boleh dikategorikan sebagai orang awam. Persoalan yang lebih besarnya di sini ialah siapakah yang paling bersalah? Sementelahan rata-rata orang melihat video itu lalu memberikan pelbagai komen yang dilihat berbaur kutukan dan cacian, sepatutnya isu itu diteladani dan dijadikan ibrah atau pengajaran supaya tidak lagi terjadi pada masa akan datang. Menghentam pihak yang bersalah dengan teruk dengan melangkaui fikiran yang waras dan rasional tidak akan mendatangkan penyelesaian dan solusi kepada masalah tersebut malah mendatangkan perbalahan dan mencambahkan lagi kebencian kepada pihak yang terlibat.

    Ramai yang menyelar tindakan keempat-empat gadis bertudung terbabit yang dilihat keterlaluan dan merelakan saja apa-apa perbuatan yang dilakukan ke atas mereka. Bagi sesiapa yang melihat video berkenaan, ia bagaikan menonton filem yang bergenre ‘suspense thriller’ bahkan lebih seram daripada menonton filem-filem seram seperti The Conjuring mahupun Annabelle barangkali? Kerana apabila menonton setiap babak dalam video itu, kita tidak akan dapat mengagak apa aksi yang bakal dilakukan oleh sama ada artis K-Pop berkenaan atau gadis bertudung itu sendiri. Sungguh. Nafas bagai terhenti dan mata pula seakan terpaku melihat aksi-aksi yang dikatakan melampaui batas-batas norma masyarakat di negara kita yang  Islam merupakan agama rasmi bagi negara ini di bawah Seksyen 3(1) Perlembagaan Persekutuan.

    Dalam video berkenaan, paparan menunjukkan gadis yang pertama hampir-hampir seperti dicium dan dia seolah-olah merelakan saja apa yang mungkin dilakukan oleh artis pujaannya itu. Mana perginya sifat malu dan budaya Timur yang menjadi adat dan resam dalam masyarakat kita? Belum disentuh dari segi mereka sebagai seorang perempuan Melayu yang beragama Islam lagi. Rasanya, pada umur mereka sudah cukup jelas untuk membezakan tentang mana perkara yang halal dan apa perkara yang haram. Tetapi hanya disebabkan keghairahan mereka dapat bertemu secara bersemuka dengan artis pujaan mereka, mereka menjadi hilang punca dan sanggup mencalarkan maruah diri mereka yang menjadi benteng kuat yang terbina kukuh dalam diri mereka sebagai seorang Muslim selama ini.

    Persoalan yang harus digali berkenaan adegan tersebut ialah apakah yang berada dalam benak fikiran gadis-gadis bertudung tersebut pada masa itu? Adakah mereka berasa bangga dapat dipeluk oleh artis-artis K-Pop yang menjadi kegilaan ramai dewasa ini? Adakah mereka ingin menunjukkan kepada seantero dunia bahawa merekalah insan-insan bertuah yang terpilih yang dapat memeluk atau dipeluk oleh artis-artis sanjungan satu dunia? Jika mereka masih bersekolah, adakah cerita ini yang ingin dicanang oleh mereka kepada rakan-rakan sekelas tentang apa yang berlaku pada hari tersebut dan membuatkan rakan-rakan mereka berasa iri hati? Atau adakah ia hanya satu kepuasan diri yang perlu dilunaskan kerana menganggap ia perkara yang datang hanya sekali seumur hidup? Hanya gadis-gadis tersebut yang tahu jawapannya yang berada dalam diri dan minda mereka. Jika mereka berimankan fesyen, maka perbuatan tidak bermoral itulah yang terjadi. Namun, jika mereka berimankan rohani, sudah pasti mereka mampu menepis sebarang godaan duniawi yang cuba menjerat diri mereka. Atas sebab itu juga, keimanan yang didasari dengan rohani yang kuat mampu untuk dizahirkan dan diterjemahkan melalui jasmani yang kental dan utuh dalam mempertahankan aqidah dan maruah diri seorang Muslim sejati.

     

    Hukum

    Tidah sah jika kita tidak menyertakan dan membincangkan sekali hukum berkaitan isu ini. Hukum lelaki yang terbatal wuduknya apabila bersentuhan dengan perempuan yang bukan mahram hatta isterinya sendiri ada dinyatakan dalam Al-Quran menerusi Surah Al-Maa’idah Ayat ke-6 yang mana Allah S.W.T telah berfirman yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali; dan jika kamu junub (berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib; dan jika kamu sakit (tidak boleh kena air), atau dalam pelayaran, atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air, atau kamu sentuh perempuan, sedang kamu tidak mendapat air (untuk berwuduk dan mandi), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah…” Ini menunjukkan bahawa terbatalnya wuduk seorang lelaki atau wanita itu jika bersentuhan dan air wuduknya perlu diambil semula. Terdapat banyak hadis yang menyentuh tentang hukum berkenaan isu ini antaranya sebuah hadis yang diriwayatkan oleh at-Tabrani yang mana Rasulullah S.A.W telah bersabda maksudnya: “Sekiranya kepala salah seorang kamu ditusuk dengan jarum besi, itu adalah lebih baik bagi kamu daripada kamu menyentuh wanita yang tidak halal bagi kamu.” Ini jelas menunjukkan bahawa perbuatan bersentuhan ini adalah sangat berdosa dan salah di sisi Islam.

    Islam tidak melarang dan menegah sesuatu perkara itu ke atas umatnya melainkan atas asbab untuk mengelakkan kemudaratan yang mendatangkan keburukan. Segala hukum dan perkara yang dianjurkan oleh agama Islam adalah demi manfaat dan kebaikan umat sejagat. Gejala ikhtilat atau percampuran antara kaum lelaki dengan perempuan adalah amat ditegah dalam Islam. Daripada bersentuhan, berpegangan tangan, bertepuk tampar, gurauan tanpa batasan, berpelukan malah berciuman adalah haram kerana ia boleh menjurus kepada perbuatan zina. Di dalam ayat Al-Quran menerusi Surah Al-Israa’ Ayat ke-32 Allah S.W.T telah menegaskan yang berbunyi: “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).” Harus difahami bahawa zina itu terbahagi kepada dua iaitu zina yang dilakukan dengan sebenar-benarnya iaitu lelaki yang memasukkan kemaluannya ke dalam kemaluan perempuan secara haram dan yang kedua iaitu zina secara majaz atau kiasan.

    Zina secara majaz ini terjadi dalam bentuk melihat atau mendengar perkara-perkara haram yang menjurus kepada zina, perbuatan-perbuatan seperti bersentuhan, memeluk, mencium atau berimaginasi atau berniat di dalam hati, bercakap benda-benda yang haram dengan wanita ajnabiyah atau bukan mahram dan juga pergi ke tempat-tempat yang menjerumuskan diri ke lembah dan kancah maksiat. Terdapat banyak faktor yang menyebabkan terjadinya perbuatan-perbuatan ini antaranya faktor didikan agama dan iman yang lemah, pengaruh rakan sebaya, faktor persekitaran yang tidak sihat, terlalu terikut-ikut dengan adegan-adegan yang menjadi kebiasaan dalam drama mahupun filem, penggunaan internet yang tiada batasan dan tidak terkawal, kurang ilmu pengetahuan terhadap dalil-dalil yang memperincikan persoalan tersebut secara jelas dan banyak faktor lain yang perlu diteliti dan dikaji lagi.

    Untuk meminati kumpulan dan artis K-Pop itu tidak salah, tetapi perlulah mengawal diri agar tidak terlalu fanatik, taksub dan obses sehingga melakukan perkara-perkara yang tidak diingini lantas mengenepikan iman yang menjadi teras ketaqwaan bagi setiap Muslim. Sepatutnya, mereka elakkanlah diri daripada pergi ke acara persembahan tersebut. Jika hendak pergi juga, elakkanlah diri daripada berada di atas pentas. Jika hendak berada di atas pentas juga, elakkanlah diri daripada bersalaman dan menyentuh artis pujaan mereka yang berada hanya beberapa inci di hadapan mereka. Saat inilah keimanan dan didikan agama yang disemai teruji. Saat ini jugalah para gadis tersebut perlu berkata “NO” kepada artis tersebut yang ingin memegang mereka secara sengaja dalam sedar. Walaupun keizinan daripada gadis-gadis tersebut telah diminta dan diberi, sewajarnya ia ditolak secara baik dan berhemah oleh mereka. Bak kata Felixia Yeap menerusi akaun Facebook beliau, “Alangkah bagusnya kalau adik-adik yang betudung itu say “NO” kat artis Kpop tu atas pentas bila diorang nak peluk. Terus jadi dakwah..atas pentas pula tu. MashaaAllah! Renung-renungkanlah…” Nah, jika seorang wanita Cina Muallaf yang dahulunya merupakan seorang bekas model Playboy boleh berfikiran dan berkata begitu, inikan pula gadis-gadis Melayu bertudung tersebut yang sudah dididik dengan ajaran dan nilai-nilai Islam sedari kecil lagi. Untuk rekod, Felixia juga mengatakan bahawa semasa dia menjadi model sebelum memeluk Islam lagi dia memang tidak suka lelaki menyentuh atau memeluknya walaupun hanya sekadar untuk bergambar kenangan.

     

    Siasatan

    Memetik laporan daripada akhbar Harian Metro yang bertarikh 13 Januari 2005 yang lalu, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) iaitu Datuk Othman Mustapha telah mengarahkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) untuk mengambil tindakan sewajarnya memandangkan JAWI adalah pihak berkuasa agama bertanggungjawab di peringkat Wilayah Persekutuan. JAWI telahpun membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 29 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 berkenaan sesiapa yang berkelakuan tidak sopan di tempat awam yang bertentangan dengan hukum syarak adalah melakukan suatu kesalahan. Di dalam kes ini, artis-artis kumpulan K-Pop berkenaan, B1A4 telah melakukan perkara yang tidak sopan bersama para peminatnya yang merupakan gadis-gadis Melayu bertudung yang dipanggil ke atas pentas untuk melakonkan semula aksi-aksi seperti di dalam drama. Mengikut seksyen tersebut, jika disabitkan bersalah boleh didenda tidak melebihi seribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

     

    Saranan

    Di dalam senario ini, pihak penganjur juga perlu lebih peka dan sensitif akan garis panduan dan tatatertib yang perlu dipatuhi oleh artis-artis dari luar negara yang dibawa masuk terutamanya kerana mereka tidak memahami akan nilai budaya hidup masyarakat majmuk di Malaysia yang rata-ratanya adalah beragama Islam dan mengamalkan norma kehidupan yang berlandaskan kesopanan dan kesusilaan yang tinggi. Artis-artis K-Pop yang dibawa masuk itu juga perlu diberitahu dan membuat kajian terlebih dahulu berkenaan budaya dan pegangan hidup bagi peminat-peminat di sesuatu negara – tempat di mana mereka mengadakan konsert ataupun persembahan jelajah supaya tidak berlaku perkara-perkara yang tidak diingini seperti yang telah terjadi di negara kita beberapa hari yang lalu. Mungkin di beberapa negara lain seperti di negara-negara Barat tidak kisah untuk melakukan aksi-aksi sebegitu tetapi bukan di Malaysia. Ibu bapa juga seharusnya mengawasi segala tingkah laku dan gerak-geri anak-anak mereka agar mereka sentiasa menjaga batas pergaulan dan tidak melakukan perkara-perkara yang negatif yang acapkali dan sinonim dikaitkan dengan remaja. Sudah tiba masanya juga industri televisyen dan perfileman negara melakukan penapisan yang lebih rigid dan ketat terhadap kandungan program melalui adegan-adegan dalam drama, filem mahupun rancangan yang ditayangkan di televisyen agar lebih Islamik dan berlandaskan syariah yang tidak menjurus kepada aksi-aksi yang tidak sopan dan senonoh yang menjadi tatapan masyarakat umum.

    Memetik kata-kata Yusof al-Qadrawi, seorang cendekiawan Islam dari Mesir yang terkenal yang berbunyi: “Jika kamu ingin melihat masa hadapan sesebuah negara, maka lihatlah pada golongan anak muda pada hari ini kerana anak muda hari ini merupakan cerminan masa hadapan negara.”

     

    Artikel ini ditulis oleh Saudara Hariz Shah untuk Faiz Adnan & Associates.

  • ISU PAKSAAAN DALAM TA’LIK TALAK

    PAKSAAN DALAM TA’LIK TALAK – Ulamak telah bersepakat bahawa talak akan jatuh sekiranya pelafaz memenuhi syarat-syarat yang telah di tetapkan. Syarat-syarat yang telah disepakati oleh ulama adalah seperti berikut :

    1- Ada pertalian nikah.

    2- Sempurna akal.

    3- Dengan Kehendak sendiri (pilihan bukan paksaan)

    Ini bermakna talak akan jatuh sekiranya kesemua syarat-syarat berikut telah dipenuhi oleh pelafaz talak.

     

    Paksaan dalam Talak

    ­Adakah jatuh talak sekiranya di paksa melakukannya.

    Talak yang dilafazakan mengandungi unsur-unsur paksaan tidak jatuh kerana tidak memenuhi syarat-syarat sah jatuh talak.

    Antara bentuk unsur-unsur paksaaan yang boleh diterima untuk tidak jatuh talak ialah :

    a- Paksaan yang bukan hak, akan tetapi sekiranya hakim yang paksa kerana untuk hilangkan mudharat pada isteri maka talak akan jatuh. Ini kerana hakim mempunyai hak untuk memaksa.

    b- Ancaman akan berlaku secara langsung– jika tak dilakukan perkara tersebut akan mudharatkan orang yang dipaksa.

    c-Pengancam mampu untuk lakukan perkara tersebut.

     

    Unsur-unsur paksaan ini diiktifar oleh syarak dalam semua perkara. Ia adalah bertujuan untuk menjaga maqasid syariah iaitu agama, diri, akal, harta, nasab dan maruah melainkan dalam perkara-perkara tertentu seperti dalam kes jenayah.

    Dalil-dalil tak jatuh talak sekiranya dipaksa :

    1- Sabda Rasulullah saw :

    Bermaksud :

    “Tidak jatuh talak dan tidak bebas (hamba) dalam paksaan. “

    Diriwayatkan oleh Ibn majah dalam bab talak terpaksa dan terlupa.

     

    2- Sabda Rasulullah saw :

    Bermaksud :

    Allah Taala memaafkan hambanya yang tersilap, terlupa dan apa yang dipaksa ke atasnya”

    Berdasarkan hadis tersebut, jelas sekali menunjukkan apa jua perkara yang dilakukan secara tersilap, terlupa dan dipaksa tidak mendatangkankan kesan hokum ke atas seseorang kerana syarak memaafkan perkara tersebut.

    Ini bermakna syarak tidak mengiktiraf sesuatu perkara yang dilakukan untuk di jadikan tanggungan yang diselit dengan unsur-unsur tersilap, terlupa dan dipaksa.

    Dengan itu, talak yang dipaksa ke atas seseorang untuk dilafazakan tidak jatuh kerana tidak diambil kira oleh syarak untuk disabitkan. Ini kesan dari unsur paksaan (yang diiktiraf syarak)  terdapat ketika melakukan lafaz talak tersebut.

     

    Paksaan dalam ta’lik talak

    Terdapat dua isu dalam masalah ini :

    a- Adakah jatuh talak sekiranya syarat atau sifat ta’lik tersebut berlaku.

    b- Status ta’lik talak tersebut sah atau tidak.

     

    Jawapan bagi kedua isu di atas adalah seperti apa yang di bincangkan dalam isu lafaz talak yang di buat secara paksa.

    Talak tidak jatuh sekiranya terdapat unsur-unsur paksaan (yang diiktiraf syarak) semasa melafazkan talak tersebut.

    Begitulah juga, lafaz ta’lik talak yang di buat kerana dipaksa, talak tersebut tidak jatuh walaupun sifat atau syarat tersebut berlaku. Ini kerana syarak tidak ambil kira “tanggungan” yang di buat dalam keadaan paksa. Ini berdasarkan kedua hadis di atas dan juga bertujuan memelihara maqasid syariah iaitu agama, akal, diri, harta, keturunan dan maruah.

    Dengan itu, adalah lebih aula (utama) tidak jatuhnya talak yang dibuat secara ta’lik dalam paksaaan. Serta dengan sendirinya status lafaz ta’lik talak tersebut adalah terbatal disebabkan terdapat unsur yang menghalang kesahan lafaz ta’lik tersebut iaitu “paksaan”.

     

    PERBEZAAN ANTARA BERSUMPAH DENGAN TA’LIK TALAK DAN TA’LIK TALAK

    Ulama’ telah bersepakat bahawa sekiranya seorang suami melafazkan sighah ta’lik talak, akan menyebabkan jatuhnya talak jika syarat ta’lik tersebut tidak dipatuhi. Contoh seorang suami menta’lik isterinya “sekiranya aku tinggalkan engkau selama 6 bulan berturut-turut tanpa nafkah maka akan jatuh talak satu”.

    Berkaitan dengan isu ta’lik talak ini, timbul satu persoalan sekiranya seorang suami bersumpah menggunakan lafaz ta’lik talak dalam satu perkara. Contoh seorang suami bersumpah di hadapan isterinya “sekiranya aku kahwin lagi maka kau akan jatuh talak satu”. Adakah talak akan jatuh sekiranya pelafaz tersebut melanggar sumpah atau hanya dikenakan kafarah sumpah atau tidak mendatangkan apa-apa kesan rentetan dari lafaznya?

    Melihat kepada kebanyakkan karangan fuqaha terdahulu, mereka tidak banyak membincangkan isu berkenaan dengan lafaz ta’lik talak secara mendalam. Ini berkemungkinan isu tersebut tidak banyak timbul di zaman mereka. Apa yang di bincangkan hanyalah sekadar perkara asas yang berkaitan dengan lafaz ta’lik talak tersebut.

    Ibn Taimiyyah dan kitabnya Fatawa Kabro telah mengupas isu ini dengan mendalam. Pendapat beliau dalam kitab tersebut telah disepakati oleh beberapa tokoh ulama’ kontemporari.

    Menurut Ibn Taimiyyah terdapat perbezaan antara bersumpah dengan ta’lik talak dan ta’lik talak. Perbezaan tersebut adalah seperti berikut :

    Pertama :

    Ta’lik yang dibuat bertujuan untuk menjatuhkan talak.

    • Iaitu pelafaz benar-benar inginkan balasan (jatuh talak) sekiranya syarat tersebut dilanggar walaupun dia membenci syarat tersebut berlaku atau membenci balasan tersebut berlaku atau kedua-duanya (benci syarat dan benci balasan). Contoh sekiranya kau berzina atau mencuri maka kau tertalak. Contoh moden, sekiranya kau sakiti akau lagi maka kau tertalak.
    • Bentuk ta’lik talak yang di buat ini (inginkan balasan jatuh talak) akan mengakibatkan jatuhnya talak jika berlaku syarat atau sifat tersebut.
    • Ini adalah bentuk ta’lik talak yang sempurna bukannya berbentuk sumpah.

     

    Kedua :

    Ta’lik yang di buat bertujuan untuk bersumpah :

    • iaitu pelafaz bermaksud untuk bersumpah tanpa inginkan balasan (jatuh talak) tetapi disebut syarat dan balasan bertujuan supaya dijauhi kedua perkara tersebut.
    • tujuan sumpah ta’lik ialah untuk mencegah perbuatan tersebut dan menakutkannya dengan sumpah. serta tidak bermaksud untuk jatuhnya talak jika melanggar sumpah tersebut.
    • contoh : seorang lelaki berkata kepada isterinya “jika kau keluar kau tertalak” dengan niat untuk mencegahnya dan menakutkannya tanpa niat untuk mentalakkannya.

     

    Penjelasan Ibn Taimiyyah :

    Lafaz sumpah perlu mengandungi salah satu daripada elemen ini, iaitu pencegahan, membenarkan atau mendustakan. Pelafaz perlu komited bahawa dia membenci apa yang di sumpahnya iaitu syarat dan balasan. Seseorang takkan bersumpah melainkan dia membenci syarat dan balasan kepada syarat tersebut. Contoh seseorang menahan diriya dari melakukan sesuatu bersumpah “jika aku melakukan perkara ini maka isteriku tertalak”.

    Melainkan dia bermaksud dalam ta’liknya  berlaku talak jika wujud syarat, maka talak akan jatuh sekiranya berlaku syarat dalam ta’lik tersebut. Contoh seorang lelaki inginkan jatuh talak jika ada syarat atau sifat ta’lik berkata pada isterinya “ jika kamu berzina maka kamu tertalak”.

    Ulasan pendapat ibn Taimiyyah :

    Ibn Taimiyyah berpendapat bahawa sekiranya seseorang melafazkan ta’lik talak, kita perlu melihat atau meneliti maksud (niat) pelafaz tersebut. Jika maksud pelafaz hanya untuk bersumpah maka talak tidak jatuh sekiranya dilanggari syarat tersebut. Sumpah tersebut mestilah mengandungi dorongan kepada menegah sesuatu, menyuruh atau untuk menyakinkan dan mendustakan sesuatu.

    Manakala lafaz ta’lik talak yang di buat tanpa ada sebarang maksud akan mengakibatkan jatuhnya talak sekiranya syarat ta’lik tersebut di langgar.

    Ibn Taimiyyah juga berpendapat, walaupun penyumpah tidak dibebankan dengan talak dia tetap dikenakan kafarah sumpah, sekiranya melanggar ta’lik tersebut. –fatawa kubro-

    Terma sumpah tidak menjadi persoalan di sisi Ibn Taimiyyah. Menurut beliau terpulang kepada individu dalam mengketogorikan terma sumpah berkenaan. Sekiranya mereka menganggap bahawa terma tersebut termasuk dalam sumpah orang-orang mukmin maka jika dilanggari sumpah tersebut dikenakan kifarah. Dan sekiranya mereka menganggap terma tersebut tidak termasuk dalam sumpah yang orang-orang mukmin maka jika dilanggari sumpah tersebut tidak dikenakan kifarah.kerana sumpah tersebut tak sah.- fatawa kubro-

     

    Pendapat fuqaha kontemporari mengenai isu ini.

     

    Syed Sabik dalam karangan yang berjudul fekh sunnah telah membahagikan ta’lik kepada dua bahagian iaitu :

    Pertama : Ta’lik sumpah

    Ta’lik yang tujuannya adalah bersumpah untuk mendorong supaya dilakukan atau ditinggalkan atau menguatkan perkabaran. Contoh seorang suami yang ingin menegah isterinya keluar daripada rumah berkata kepada isterinya “jika kau keluar dari rumah maka kau tertalak.” Taklik bentuk ini tidak jatuh talak jika di langgar.

    Kedua : Ta’lik Syarat

     

    Ta’lik ini bermaksud, jatuh talak jika berlakunya syarat ta’lik tersebut. Contoh kata suami kepada isteri “ jika kau tak izinkan aku bayar lambat mahar kau maka kau tertalak”. Ta’lik bentuk ini jatuh sekiranya dilanggar.

    Rujukan : Syed Sabik, fekh sunnah

     

    Dr. Wahbah Zuhaili dalam kitabnya Feqh Islami Wa Adillatuhu juga, telah membezakan antara ta’lik talak biasa dan ta’lik talak sumpah. Beliau telah bersependapat dengan Ibn Taimiyyah bahawa ta’lik talak berbentuk sumpah tidak menyebabkan jatuhnya talak jika dilanggari.

    Rujukan :Dr Wahbah Zuhaili, Feqh Islami Wa Adillatuhu,(terj) jilid,m/s 569-574.

     

    Dr. Abdul Karim Zaidan dalam kitabnya Al Mufassol fi Ahkam Mar’ah Wa Baitul Muslim Fi Syariah Islamiah, telah membahagikan sighah lafaz ta’lik kepada dua iaitu :

    Pertama : lafaz ta’lik talak bermaksud sumpah

    Kedua : lafaz ta’lik talak semata-mata tiada apa-apa maksud.

    Beliau menyatakan bahawa jika seseorang melafazakan sighah ta’lik talak yang bermaksud sumpah dan tidak berniat untuk menjatuhkan talak, tidak akan menyebabkan talak terjatuh sekiranya syarat tersebut dilanggar.

    Melainkan jika sighah ta’lik talak di lafazkan semata-mata tanpa ada maksud, talak akan jatuh sekiranya syarat tersebut dilanggar.

    Rujukan : Dr Abdul Karim Zaidan, Al Mufassol fi Ahkam Mar’ah Wa Baitul Muslim Fi Syariah Islamiah, m/s 480-484, terbitan Muassasah Ar Risalah.

     

     

    Undang-undang Mesir dan Syria no 25 tahun 1929

    1- Undang-undang Mesir, Perkara 2

    2- Undang-undang Syria Perkara 90

    Telah memperuntukkan :

    “ talak yang bukan secara langsung tidak jatuh kecuali bermaksud mendorong melakukan sesuatu atau menegah melakukannya, ataupun digunakan sebagai penggunaan sumpah bagi menguatkan khabar, bukan kerena yang lain.”

      

    Kesimpulan pendapat Fuqaha Kontemporari. 

    Mereka bersependapat sebagaimana pendapat Ibn Taimiyyah, yang menyatakan bahawa sekiranya seseorang melafazkan ta’lik talak perlu di teliti maksud (niat) sebenar tujuan lafaz tersebut. Sekiranya mengandungi elemen-elemen yang mendorong menyuruh, melarang, membenarkan dan mendustakan sesuatu perkara, talak tidak jatuh jika syarat atau sifat berlaku.

    Akan tetapi jika maksud lafaz tersebut untuk menjatuhkan talak atau tiada apa-apa maksud, talak akan jatuh sekiranya syarat atau sifat berlaku.

    Pendapat ini lebih praktikal jika di bandingkan dengan pendapat yang menyatakan jatuh talak jika langgar ta’lik secara umum.

    Ini kerana penelitian di buat secara mendalam dalam menentukan jenis sighah yang dilafazkan, adakah sighah tersebut ta’lik talak yang sebenarnya atau sumpah yang bertujuan untuk menguatkan, menegah atau mendorong sesuatu perkara.

     

    Rujukan

    • Fatawa Kabir oleh ibn Taimiyyah
    • Fekh Sunnah oleh Sayyid Sabek
    • Feqh Islami Wa Adillatuhu oleh Wahbah Zuhaili
    • Al Mufassol Fi Ahkam Mir’ah Wa Baitul Muslim oleh Abdul Karim Zaidan.
    • Fekh Manhaji oleh Mustafa Khin, Mustafa bugha
    • Bulughul Maram syarah oleh Imam Son’ani.
    • Nailul Awthar oleh Ash Shaukani.
    • Maqasid Amah Lil Syariah Islamiah oleh Dr Hamad
    • http://feqh.al-islam.com

    Untuk sebarang pertanyaan, atau sekiranya anda ingin menghubungi Peguam Syarie Faiz Adnan atau ingin membuat temujanji, anda boleh menghubungi kami melalui email, Facebook atau terus menghubungi no telefon pejabat kami.

Page 2 of 212