• Mahkamah Syariah

    Isu Pembuktian di Mahkamah Syariah

    Seorang wanita dilihat menangis teresak-esak di dalam kandang saksi selepas ditegur beberapa kali oleh hakim bicara kerana gagal memahami kehendak hakim bicara dan undang-undang semasa prosiding perbicaraan keterangan utama bagi dirinya dalam kes fasakh. Beliau nampak tertekan lagi apabila peguam syarie pihak Defendan atau suaminya asyik membantah itu dan ini kerana dakwanya keterangan Plaintif tidak diplidkan dalam pliding beliau semasa kes ini difailkan. Lebih malang lagi apabila wanita ini seperti tidak mempedulikan kehendak undang-undang keterangan dan hakim bicara apabila beliau enggan membawa saksi dan tiada satu pun dokumen yang menyokong keterangannya.

    Kesudahannya hakim bicara memutuskan dan memerintahkan Defendan bersumpah menafikan dakwaan si isteri dan akhirnya kes ini dibuang. Ketika itu barulah wanita ini sedar kesilapan yang dilakukannya. Apa nak buat, nasi telah menjadi bubur. Inilah senario yang biasa dilihat dan terjadi di Mahkamah Syariah apabila pihak-pihak tidak bersedia dalam memberi keterangan semasa proses perbicaraan dan akhirnya memakan diri sendiri. Ini juga jelas menunjukkan peri pentingnya seseorang itu membawa bukti dalam pelbagai bentuk keterangan yang ada bagi mengukuhkan dakwaannya seterusnya memudahkan hakim bicara untuk membuat keputusan yang sewajarnya.

    Menurut Seksyen 3 Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003, keterangan ialah bayyinah dan syahadah. Keterangan lisan pula ialah segala pernyataan yang dibuat oleh saksi yang dibenarkan atau dikehendaki oleh mahkamah berhubung perkara-perkara fakta yang disiasat manakala keterangan dokumentar pula merupakan segala dokumen yang dikemukakan bagi pemeriksaan mahkamah. Secara umumnya, terdapat lima jenis keterangan di bawah Undang-undang Keterangan Islam iaitu:

    1. Keterangan Lisan;
    2. Keterangan Dokumen;
    3. Keterangan Keadaan;
    4. Keterangan Secara Langsung; dan
    5. Keterangan Dengar Cakap

     

    Kaedah keterangan yang terbaik pula ialah keterangan yang berasaskan sumber primer atau sumber asal yang sahih. Misalnya, jika keterangan tersebut berbentuk dokumen, maka dokumen yang terbaik adalah dokumen asal manakala bagi keterangan secara langsung pula, keterangan terbaik ialah pernyataan secara langsung oleh seseorang saksi yang hadir bagi memberikan keterangannya berhubung sesuatu kes di mahkamah. Terdapat banyak kaedah pensabitan yang boleh digunakan bagi membuktikan sesuatu kes di mahkamah dalam Undang-undang Keterangan Islam iaitu:

    1. Iqrar: Pengakuan atau pengiktirafan yang khusus sebagai salah satu cara pembuktian bagi mensabitkan hak atau kepentingan orang lain, ke atas dirinya sendiri, atau mensabitkan sesuatu kesalahan atau tanggungan ke atas dirinya seperti pengakuan berzina.
    2. Syahadah: Pemberitahuan yang bersifat benar menggunakan lafaz kesaksian atau “aku naik saksi” yang dilakukan dalam majlis kehakiman atau mahkamah yang diberikan bagi kepentingan orang lain ke atas orang lain.
    3. Khabar: Sesuatu perkara (kes) yang disampaikan dan dibuktikan melalui perkhabaran mutawatir kepada mahkamah.
    4. Sumpah (al-yamin): Suatu perkataan yang disertakan dengannya nama Allah, digunakan untuk menyatakan kesungguhan (tahqiq) terhadap sesuatu perkara yang tidak akan sabit tanpa bersumpah. Ini termasuklah perkara yang telah berlalu atau yang akan datang.
    5. Qarinah: Setiap sesuatu (sama ada ia boleh dilihat, dirasa, didengar, dipegang dan sebagainya) yang boleh dijadikan bukti atau keterangan bagi mensabitkan tentang ada sesuatu atau tiada sesuatu.
    6. Pendapat Pakar (Ra’yu al-Khabir): Pendapat yang diberi oleh seseorang yang mempunyai kepakaran dalam sesuatu bidang atau persoalan.
    7. Qiyafah: Pembuktian untuk mensabitkan nasab berdasarkan persamaan di antara seorang dengan seorang yang lain.
    8. Catatan (al-Kibah): Tulisan atau catatan yang dibuat oleh seseorang sama ada pemerintah, hakim atau rakyat biasa.
    9. Pengetahuan Hakim (Ilmu al-Qadi): Sesuatu kejadian yang disaksikan dan diketahui oleh seorang hakim yang mengetahui latar belakang dan fakta-fakta kejadian tersebut.
    10. Qasamah: Sumpah yang diulang-ulang dalam dakwaan pembunuhan, sebanyak 50 kali oleh 50 orang lelaki.
    11. Lian: Satu proses sumpah yang mengakibatkan perpisahan suami isteri kerana kegagalan suami membuktikan kecurangan isterinya.
    12. Undian: Satu proses untuk menetapkan orang atau pihak yang akan menikmati sesuatu hak atau kepentingan di antara mereka yang setaraf, yang sama-sama telah memenuhi syarat untuk menikmati hak atau kepentingan tersebut.

     

    Menerusi satu kes lain berhubung isu pertukaran agama, iaitu kes Permohonan Perisytiharan Status Agama Si Mati Nyonya Binti Tahir (2006) 21/2 JH 221, suatu permohonan ex-parte telah dibuat oleh Majlis Agama Islam Negeri Sembilan, Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan dan Pegawai Agama Islam Daerah Tampin, Negeri Sembilan berhubung status dan ketentuan agama Islam Nyonya Binti Tahir yang telah meninggal dunia pada tarikh 18 Januari 2006 kerana sakit tua. Apabila si mati meninggal dunia timbul masalah tentang pengkebumiannya disebabkan status agama yang meragukan. Beliau adalah seorang perempuan Melayu yang dilahirkan pada tahun 1918. Sejak kecil beliau tinggal bersama datuknya seorang mualaf Cina dengan mendapat asuhan dan didikan adat resam dan budaya Cina. Pada tahun 1936, beliau telah berkahwin dengan seorang lelaki Cina dan dikurniakan 13 orang anak.  Sejak berkahwin sehingga beliau mati, beliau hidup dengan menyembah Tokong Cina dan tidak pernah mengamalkan cara hidup Islam sepanjang hidupnya.

    Dalam menentukan bahawa si mati adalah seorang yang beragama Islam atau sebaliknya pada masa kematiannya, mahkamah telah merujuk kepada Surat Akuan yang dibuat oleh si mati di hadapan Pesuruhjaya Sumpah pada 19 Julai 1991 dan satu dokumen yang telah dikeluarkan oleh Pejabat Agama Islam dan Mahkamah Kadi Daerah Alor Gajah, Melaka yang bertarikh 7 Mei 1986 yang berbentuk surat laporan. Dalam surat laporan tersebut, ia menyatakan bahawa Nyonya Tahir sejak dari kecil lagi telah hidup dan dibesarkan secara Cina oleh datuknya dan telah berkahwin dengan lelaki Cina pada usia 18 tahun serta dikurniakan dengan 13 orang anak hasil daripada perkahwinan tersebut. Si mati juga dalam surat itu mengaku telah menyembah Tokong Cina yang terdapat di dalam rumahnya. Kesemua anaknya juga berkahwin dengan orang Cina. Keterangan baiyyinah juga dibawa oleh anak-anak si mati berkaitan amalan ibu mereka semasa hayat yang mengamalkan ajaran Buddha. Dokumen persendirian dalam bentuk gambar-gambar juga diberikan bagi membantu mahkamah.

    Berdasarkan qarinah dan juga bukti-bukti berupa dokumen dan ekshibit daripada ahli-ahli waris si mati menerusi Surat Akuan si mati di hadapan Pesuruhjaya Sumpah, satu dokumen yang berbentuk surat laporan, keterangan saksi dan juga gambar-gambar si mati yang mengamalkan ajaran Buddha semasa hayatnya, mahkamah telah memutuskan bahawa si mati Nyonya Binti Tahir adalah bukan beragama Islam semasa kematiannya dan ahli-ahli waris si mati berhak untuk menuntut mayat beliau serta menguruskan pengebumian mayat berkenaan.

    Kes ini jelas menunjukkan bahawa berdasarkan qarinah yang telah diberikan di mahkamah, bukti-bukti yang dibawa adalah cukup kuat dan yakin untuk diterima pakai di mahkamah berhubung status kematian Nyonya Tahir. Walaupun beliau lahir sebagai seorang perempuan Melayu yang beragama Islam, namun mahkamah terpaksa memutuskan bahawa beliau bukan beragama Islam semasa kematiannya berdasarkan qarinah yang jelas. Dalam Surat Akuannya juga, si mati telah membuat pengakuan (iqrar) bahawa beliau telah keluar daripada agama Islam dan memohon agar dikebumikan secara tradisi orang Cina sekiranya beliau mati.

    Keterangan adalah sesuatu yang sangat penting dalam proses perbicaraan. Tanpa keterangan, hukuman tidak mampu dilaksanakan dan dijalankan dengan adil dan saksama. Keteranganlah yang membantu para hakim untuk mencari kebenaran dan menjatuhkan sesuatu hukuman itu dengan adil dan tepat. Bagi tahap pembuktian keterangan, ia terbahagi kepada lima iaitu:

    1. Yakin;
    2. Zan Al-Ghalib;
    3. Zan;
    4. Syak; dan
    5. Waham

     

    Yakin merupakan pembuktian tanpa keraguan yang mencapai tahap 100%. Ini menunjukkan bahawa keterangan yang dibawa tidak boleh dipatahkan dan merupakan bukti yang paling konkrit yang diterima di mahkamah. Contoh keterangan yang mencapai tahap yakin ialah iqrar dan syahadah. Zan al-ghalib pula merupakan tahap pembuktian kedua tertinggi yang diterima di mahkamah. Ia merupakan pembuktian melampaui keraguan munasabah (beyond reasonable doubt) dan mencapai tahap 90%-99.9%. Contoh keterangannya ialah qarinah.

    Zan pula bermaksud sangkaan atau dalam keadaan yang tidak pasti tetapi lebih hampir dan mirip kepada benar. Tetapi tahap ini tidak cukup untuk mensabitkan sesuatu kes kecuali jika ia sampai kepada tahap zan al-ghalib. Bagi tahap pembuktian yang keempat, syak ialah sangkaan atau keadaan tidak pasti (50-50) di antara sabit atau tidak sabit persamaan kemungkinan di antara yang benar dengan yang salah. Melalui kaedah fiqh, yakin tidak akan terangkat melalui syak kerana tahap syak adalah kemungkinan sahaja. Manakala waham pula merupakan tahap pembuktian yang terendah kerana ia hanyalah sangkaan semata atau keadaan tidak pasti yang lebih cenderung kepada salah dan tidak boleh dijadikan asas pensabitan.

    Terdapat banyak lagi kaedah pembuktian bagi membuktikan keterangan sesuatu kes di mahkamah, terutamanya di era modernisasi ini, kaedah-kaedah saintifik seperti ujian DNA turut digunapakai bagi menentukan kesahan taraf anak luar nikah. Bagi kes seperti fasakh pula, keterangan saksi dan juga dokumen-dokumen seperti bil, resit dan sebagainya juga adalah penting bagi membuktikan pengabaian nafkah yang telah dilakukan oleh pihak Defendan. Dalam Islam, dari segi prinsip pembuktiannya adalah sangat ketat serta rigid dan Mahkamah Syariah memerlukan perbicaraan bagi setiap kes untuk menentukan dan memastikan agar keadilan dapat dicapai dengan seadilnya.
    Artikel oleh: Faiz Adnan & Associates

    Untuk sebarang pertanyaan berkenaan perkhidmatan kami/memerlukan nasihat guaman syarie, anda boleh menghubungi kami di sini.

Page 3 of 3123