
PERUTUSAN KHAS SEMPENA AIDILFITRI 1436H
Bismillahirrahmanirrahim,
Assalamualaikum W.B.T diucapkan kepada semua umat Islam di seluruh dunia dan pengunjung setia laman web Faiz Adnan & Associates ini. Semoga kalian berada dalam keadaan yang sejahtera dan baik-baik sahaja hendaknya.
Sedar tidak sedar, kini kita telah memasuki ke fasa terakhir bulan Ramadan. Kita telahpun melepasi fasa pertama iaitu 10 hari pertama (kerahmatan), kemudian 10 hari di fasa kedua (keampunan) dan sekarang kita berada dalam zon fasa ketiga iaitu 10 hari terakhir di bulan Ramadan (pembebasan daripada api neraka).
Seharusnya, kita merebut peluang keemasan di saat ‘Pecutan Terakhir’ ini untuk menggandakan lagi amal ibadah kita bagi mengejar pahala dan mendapatkan keredaan-Nya. Ini adalah bertepatan dengan hadis Nabi Muhammad S.A.W yang bermaksud: “Apabila memasuki sepuluh hari terakhir (Ramadan), maka baginda mengetatkan ikatan kainnya (meninggalkan tempat tidur dengan tidak bersama-sama dengan isteri-isteri baginda kerana sibuk menumpukan perhatian sepenuhnya kepada ibadah) dan menghidupkan malam-malamnya (dengan ibadah) serta membangunkan keluarganya.” (Riwayat Bukhari)
Lebih manis lagi, Allah S.W.T telah menganugerahkan dan menghadiahkan kita dengan malam Lailatul Qadar iaitu malam yang lebih baik daripada seribu bulan pada sepuluh malam terakhir Ramadan. Sebagaimana firman Allah S.W.T dalam Surah Al-Qadr Ayat 1-5 yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada malam Lailatul Qadar. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam Lailatul Qadar itu? Malam Lailatul Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut). Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!”
Banyak amal ibadah sunat yang boleh dilakukan selain ibadah fardu seperti amalan bersedekah, solat sunat tarawih, qiamullail, tadarus Al-Quran, mendengar ceramah dan tazkirah, belanja orang buka puasa serta pelbagai lagi amalan-amalan sunat lain yang wajar dilakukan pada bulan Ramadan yang mulia ini untuk mendapat pahala yang berlipat kali ganda yang telah dijanjikan oleh-Nya. Peluang yang ada dan ganjaran yang diberikan ini haruslah direbut sebaik mungkin. Amalan-amalan yang baik seperti ini seharusnya dilakukan secara istiqamah dan berterusan di bulan-bulan yang lain sementelah bulan Ramadan bukan pesta ibadah bermusim sahaja, sebaliknya ia adalah satu platform tarbiah agar setiap umat Islam dilatih dan diingatkan untuk sentiasa melakukan kebaikan sepanjang masa.
Dalam kemeriahan dan keghairahan kita menyambut Aidilfitri yang tinggal hanya beberapa hari saja lagi ini, janganlah kita lupa pada insan-insan lain yang mungkin kurang bernasib baik dan tidak berkemampuan serta saudara-saudara Islam kita yang ditindas dan terpaksa bergelut dengan peperangan di negara mereka. Bayangkan, di saat kita sedang menikmati juadah berbuka dan raya yang beraneka rasa dan bermacam jenis, apa pula hidangan yang terbentang di hadapan mereka? Adakah mereka mempunyai pilihan yang pelbagai seperti kita? Sama-samalah kita muhasabah diri dan memanjatkan kesyukuran pada-Nya kerana Dialah yang memberi rezeki kepada makhluk sekalian alam di langit dan di bumi.
Tatkala negara kita dilanda dengan krisis kewangan yang kurang stabil ketika ini, kami percaya bahawa seluruh rakyat Malaysia tidak kira apa latar belakang sekalipun turut terkesan dengan apa yang berlaku. Justeru itu, adalah lebih baik kita mengambil langkah berjimat-cermat dan mengambil pendekatan wasatiyyah dalam perbelanjaan seharian terutamanya dalam menyediakan segala persiapan untuk menyambut sambutan Aidilfitri kelak. Janganlah kerana hendak semuanya serba baru dan berkilat di hari raya dengan menggunakan konsep ‘Setahun Sekali’, kita menghalalkan sikap bermewah-mewah dan memboros di hari raya. Ukur baju di badan sendiri dan rancanglah perbelanjaan anda dengan bajet yang berpatutan supaya tidak berlaku pembaziran yang amat tidak disukai dalam Islam.
Detik 1 Syawal merupakan satu tarikh yang mana umat Islam meraikan kemenangan setelah sebulan berpuasa. Kita sepatutnya bersyukur kerana dapat menyambut hari yang bahagia ini dalam keadaan yang aman dan harmoni bersama keluarga yang tercinta. Bayangkan, kita seronok menyambut raya dengan bunyi kanak-kanak riang bermain bunga api, tetapi saudara-saudara Islam kita terpaksa menyambut raya dengan bunyi bedilan bom di negara mereka. Sekali lagi, dalam kegembiraan meraikan hari raya, ingatlah mereka yang kurang bernasib baik dan bersyukurlah akan nikmat keamanan dan kemakmuran yang telah dikurniakan ini.
Sempena menyambut bulan Syawal yang bakal menjelang tiba, marilah kita terus mengimarahkan dan menyemarakkan tradisi amalan ziarah-menziarahi dan kunjung-mengunjung rumah terbuka. Bukalah pintu rumah dan pintu hati untuk menyambut kaum keluarga, sanak-saudara dan sahabat handai dari pelbagai agama, kaum dan kepercayaan untuk beraya ke rumah masing-masing bagi mengeratkan lagi hubungan silaturrahim dan jalinan ukhuwah yang terbina. Mungkin dalam setahun itu kita jarang-jarang berjumpa atau tiada masa untuk bersua muka langsung, maka inilah masanya untuk kita saling menziarahi bagi bertanya khabar dan beramah mesra. Di samping itu, janganlah kita lupa pada mereka yang sudah pergi meninggalkan kita terlebih dahulu dengan melawat pusara mereka dan mendoakan mereka agar ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.
Akhir kalam, kami seluruh warga kerja Faiz Adnan & Associates dengan rendah hatinya ingin mengambil kesempatan ini menyusun sepuluh jari memohon keampunan dan kemaafan zahir dan batin di bulan yang mulia ini atas apa jua kesalahan mahupun kekhilafan yang kami lakukan secara sengaja atau tidak sengaja. Kami mendoakan agar semua pihak selamat menuju ke destinasi masing-masing untuk berhari raya bertemu keluarga serta sanak-saudara yang tercinta dan juga selamat kembali bertugas semula nanti. Semoga Allah S.W.T sentiasa merahmati dan memberkati kehidupan kita semua waima di mana jua kita berada.
Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar Walillahil Hamd.
“Ada Saman dan Penyata Tuntutan,
Notis Permohonan dan Afidavit Sokongan,
Selamat Hari Raya kami ucapkan,
Harap dimaafkan segala kesalahan.”
Faiz Adnan & Associates: Selamat Hari Raya Aidilfitri 1436H.

Gelombang GST
Mutakhir ini, di sana sini sama ada di warung kopi, pejabat-pejabat kerajaan mahupun swasta, pusat membeli-belah hatta di tepi jalan, rakyat Malaysia membincangkan perkara yang sama. Isu yang dianggap menyatupadukan rakyat daripada satu aspek. Impak yang terkesan melalui isu ini bukan sedikit kepalangnya. Dari masyarakat yang tinggal di ceruk kampung hingga golongan urban yang tinggal di bandar semuanya merasai benda yang sama. Tiada yang terkecuali. Persoalannya adakah isu yang sedang hangat melanda negara itu satu perkara yang positif atau negatif?
Gelombang GST (Goods & Services Tax) atau Cukai Barangan dan Perkhidmatan yang membadai negara kita tika ini telah mendatangkan pelbagai reaksi dan perdebatan hangat dalam kalangan masyarakat. Ia telah menjadi satu polemik yang menjadi bualan rakyat melalui pelbagai medium. Buka saja segala laman sosial yang ada, saya pasti dan jamin semua pihak membincangkan tentang isu yang sama. Pak Ali yang menjual jeruk dan Nek Jah yang menjual cekodok juga tidak terkecuali. Ramai yang lantang bersuara dan menyalak serta memuatnaik status di laman sosial masing-masing tentang isu ini seolah-olah sudah cukup pakar dalam bidang ekonomi dan hukum syarak. Lagak semuanya seolah-olah jaguh yang pernah mendapat gelaran Pelajar SPM Terbaik Peringkat Kebangsaan.
Persoalannya, adakah semua pihak yang memberi komen mahupun mengutarakan pendapat telah melakukan kajian terhadap perkara ini? Sudahkah diteliti hukumnya menurut hukum syarak bersandarkan dalil-dalil daripada Al-Quran dan Hadis? Tahukah anda apa itu dasar fiskal negara? Sejauhmana hasil petroleum negara mampu untuk menampung ekonomi kita dalam beberapa tahun ke hadapan? Berapa nilai hutang yang terpaksa ditanggung oleh negara ketika ini? Apakah perbezaan antara GST dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebelum ini? Dalam membincangkan tentang sesuatu perkara, saya lebih suka bertanyakan mereka yang lebih arif atau pakar dalam sesuatu bidang itu bersesuaian dengan ayat Al-Quran yang mana Allah S.W.T menyatakan dalam ayat 43 Surah An-Nahl: “Maka bertanyalah kepada ahlinya (orang yang tahu atau pakar) jika kamu tidak mengetahui (keadaan sesuatu perkara).”
Saya akui saya bukanlah seorang yang pakar dan arif berkenaan perkara ini. Apabila di’assign’kan (ditugaskan) oleh bos saya untuk menulis artikel berkaitan isu ini di meja saya, soalan pertama yang saya tempelak kepada bos saya ialah: “Bukankah ini isu yang sensitif, Sir? (panggilan saya kepada bos saya)” Lalu bos saya hanya tersenyum sumbing sambil matanya memandang tepat ke arah saya. Namun itulah tugasan yang harus saya lunaskan demi mencari sebuah jawapan yang tidak berpateri lalu membiarkan sahaja pembaca menilai dan berfikir secara kritis melalui hujah ataupun hukum yang bakal saya bentangkan berkenaan perkara ini.
Haram
Memandangkan hukum berkenaan GST bukanlah satu persoalan yang straight forward, maka kita tidak boleh untuk menjatuhkan hukum haram atau halal secara semberono begitu sahaja. Banyak perkara yang perlu dilihat dan ditelusuri terlebih dahulu. Terdapat beberapa dalil yang mengatakan bahawa hukum mengutip cukai itu haram seperti berikut:
- Al-Quran:
- “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah (batil)…” (Surah Al-Baqarah: Ayat 188)
- “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu…” (Surah An-Nisaa’: Ayat 29)
- Hadis:
- Telah datang kepada Nabi seorang wanita yang berzina yang ingin dilaksanakan hukuman had ke atasnya tetapi Baginda menjawab, “Demi jiwaku pada tangan Allah, sesungguhnya wanita itu telah bertaubat yang sekiranya seorang pemungut cukai bertaubat juga akan diampunkan baginya.” (Riwayat Muslim)
- “Sesungguhnya tidak akan masuk syurga orang yang memungut cukai.” (Riwayat Ahmad, Abu Daud dan Hakim)
- “Sesungguhnya pemungut cukai itu berada dalam neraka.” (Riwayat Ahmad)
Bagi yang mengatakannya haram, mereka berhujah bahawa cukai yang tidak berasaskan maslahah yang dibenarkan oleh syarak adalah diharamkan. Jika kerajaan membelanjakan hasil daripada cukai tersebut untuk tujuan maksiat dan bukannya untuk tujuan memenuhi keperluan maslahah umum, maka ia adalah haram dan berdosa. Mereka juga mengatakan bahawa sebagai seorang Muslim (sama ada dalam bentuk individu atau kerajaan) tidak sepatutnya mengambil harta orang lain melainkan tempat-tempat dan keadaan yang dibenarkan oleh Islam sebagaimana yang ditunjukkan oleh nas dan dalil-dalil syarak.
Harus
Manakala dalil-dalil yang mengatakan bahawa cukai itu harus adalah seperti berikut:
- Hadis:
- “Sesungguhnya pada harta itu ada kewajipan lain selain zakat.” (Riwayat at-Tirmidzi)
- Kaedah Fiqhiyyah:
- “Syariat itu dibina atas dasar memenuhi maslahah manusia dan menjauhkan mafsadah daripada mereka.”
- “Ditanggung kemudaratan khusus untuk mengelakkan berlakunya kemudaratan umum.”
- Pandangan Ulama
- Sebahagian ulama iaitu Ibn Hazm, Ibn Taimiyah, Ibn al-Musili al-Syafi’I, al-Syatibi, Ibn Khaldun, ulama semasa Mahmud Syaltut dan Ahmad Al-Raysuni membenarkan kerajaan untuk mengenakan cukai kepada rakyat sekadar untuk memenuhi maslahah umum pentadbiran negara.
Buat pengetahuan pembaca, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Kali Ke-106 yang bersidang pada 21 dan 22 Oktober 2014 bersetuju memutuskan bahawa Islam mengharuskan pemerintah atau Ulil Amri untuk mengutip cukai seperti GST selagi mana terdapat keperluan dan maslahah untuk negara dan rakyat, dan pelaksanaannya hendaklah berpandukan parameter syarak seperti berikut:
- Kerajaan komited melaksanakan syariat Islam;
- Kerajaan memerlukan sumber kewangan;
- Cukai yang dikutip hanya untuk memenuhi maslahah daruriyat dan hajiyat;
- Bebanan cukai dikutip secara adil;
- Cukai dibelanjakan untuk maslahah ummah bukan untuk maksiat;
- Agihan cukai hendaklah bertepatan dengan ijtihad ulama semasa dan setempat.
Sementelah pelaksanaan GST ini masih baru lagi di Malaysia, jadi tidak dinafikan terdapat banyak kelemahan dan kelompongan daripada pelbagai aspek pentadbiran, pengurusan dan pelaksanaannya. Saya sendiri pernah makan pancake di sebuah restoran di ibu kota dan apa yang mengejutkan saya (tak terkejut sangatlah sebenarnya) ialah selain daripada saya dikenakan GST sebanyak 6%, saya juga turut dikenakan caj bagi servis dan perkhidmatan mereka sebanyak 10%. Caj bagi servis dan perkhidmatan mereka dikekalkan, dan ditambah pula dengan caj GST untuk dibayar kepada kerajaan. Menerusi laman sosial Twitter GST Malaysia Info (@gstmalaysiainfo) mengatakan bahawa GST tidak menggantikan Caj Perkhidmatan (Service Charge) tetapi GST hanya menggantikan Cukai Perkhidmatan (Service Tax) sahaja. Caj Perkhidmatan dikutip oleh perniagaan, ia bukan cukai yang dikutip oleh kerajaan. Nah, saya kurang pasti sama ada GST sebenarnya membawa kebaikan atau menambahkan lagi bebanan dalam isu ini. Apa yang pasti, saya keluar daripada restoran tersebut dalam keadaan yang agak geram dan kecewa sambil mengeronyokkan resit tersebut. Kah!
Untuk pengetahuan pembaca yang budiman, terdapat sesetengah firma guaman yang turut terkena tempias ‘Gelombang GST’ yang mana cukai GST sebanyak 6% dikenakan terhadap khidmat guaman yang diberikan kepada pelanggan-pelanggan yang dihormati mulai 1 April 2015. Walaupun pahit untuk ditelan, tapi itulah realiti yang terpaksa dihadapi atas arahan daripada Jabatan Kastam DiRaja Malaysia. Mana-mana firma guaman yang mencatat annual revenue atau pendapatan tahunan melebihi RM500,000.00 setahun diwajibkan mendaftar di bawah GST. Logiknya, pelanggan-pelanggan akan lari dan lebih cenderung memilih firma yang tidak mengenakan GST. Kesannya kepada firma guaman ialah mereka terpaksa mengurangkan pendapatan tahunan di bawah RM500,000.00 supaya tidak dikenakan GST pada masa akan datang. Ini bakal memberikan kesan yang buruk kepada kewangan firma dan boleh menyebabkan keuntungan yang diperoleh merosot. Nauzubillah.
Lebih sebulan yang lalu kecoh memperkatakan tentang kenyataan yang dibuat oleh Timbalan Menteri Kewangan, Yang Berhormat Datuk Ahmad Maslan semasa forum penerangan berkenaan GST kepada mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada 11 April yang lalu sehingga namanya menjadi trending di laman sosial Twitter dan Facebook. Beliau telah dikecam dengan hebat lantaran kenyataannya yang menyarankan supaya mahasiswa memasak dan tidak makan di luar untuk mengelakkan GST. Lantaran kenyataannya itu, ia telah menimbulkan kontroversi dalam kalangan mahasiswa UiTM sendiri memandangkan peraturan dalam kampus yang tidak membenarkan pelajar mereka memasak. Dalam kenyataan balasnya, beliau menyatakan bahawa kenyataan yang dibuat itu adalah ditujukan kepada mahasiswa yang tinggal di luar kampus.
Hakikatnya, lumrah mahasiswa suka akan perkara yang mudah dan cepat oleh sebab kekangan waktu untuk menyiapkan tugasan, belajar dan sebagainya. Kebiasaannya, mereka akan membeli makanan bungkus atau melepak di kedai mamak saja untuk makan. Jika mereka ingin memasak sekalipun, sudah tentu mereka akan membeli bahan makanan bertin atau mi segara (yang mana turut dikenakan GST) untuk dimasak kerana itu dirasakan lebih senang. Bukannya seperti mak-mak kita di rumah yang menggunakan bahan-bahan mentah seperti daging, ikan dan sayur yang tidak dikenakan GST. Selain itu, jika mahasiswa memasak sekalipun, adakah mereka mempunyai masa untuk memasak setiap hari paling tidak dua kali sehari untuk makan tengah hari dan makan malam? Lupakan soal disiplin dan persediaan mahasiswa ke arah melayari alam rumah tangga kerana apa yang harus diberi prioriti ketika ini adalah soal pembelajaran dan bukannya memasak! Maka di sini logikkah saranan yang dilontarkan oleh Timbalan Menteri Kewangan tersebut?
Walaupun banyak info dan maklumat berkenaan GST telah acapkali dipaparkan kepada rakyat melalui iklan di televisyen, radio, surat khabar dan sebagainya, namun kebaikan hasil daripada pelaksanaan GST Itu tidak sampai dengan tepat kepada rakyat. Jadi, di manakah silapnya? Mungkin kerana banyak persoalan yang timbul di benak fikiran rakyat tentang isu ini seperti sama ada GST sesuai dijalankan dengan keadaan sekarang, kewajaran kerajaan memulakan GST pada kadar 6% dan mengapa tidak 3% atau 5% atau 16%, adilkah golongan miskin juga turut terkena tempias GST dan sebagainya. Apa yang menjadi tanda tanya dan kegusaran rakyat sekarang ini adalah sejauhmana komitmen kerajaan dalam memastikan bahawa hasil GST yang diterima oleh mereka dapat memberi faedah secara langsung kepada rakyat daripada pelbagai aspek seperti pendidikan, perubatan, kemudahan infrastruktur, prasarana dan lain-lain lagi. Contohnya, dari aspek pendidikan, mampukah hasil GST yang diterima dapat memberikan pendidikan percuma kepada mahasiswa di peringkat tinggi, menaiktaraf universiti-universiti tempatan sedia ada dan menghasilkan pensyarah-pensyarah yang lebih berkualiti?
Apabila kita melabur wang, sudah tentulah kita mengharapkan hasilnya. Begitu juga dengan GST. Rakyat hanya ingin tahu ke mana wang mereka itu akan pergi dan bagi tujuan apa. Tujuan dan faedah yang dapat dinikmati oleh semua secara bersama seperti perumahan mampu milik, perkhidmatan pengangkutan awam yang lebih baik dan juga jalan-jalan rata yang tidak berlubang misalnya. Oleh sebab pelaksanaan GST sekarang ini bakal memberi impak kepada rakyat dalam jangka masa panjang, justeru rakyat amat berharap bahawa duit yang dikutip itu dapat membawa kepada kualiti hidup yang lebih baik dari semasa ke semasa. Seharusnya, kerajaan tidak perlu bersikap apologetik untuk melaksanakan sistem percukaian GST ini walaupun mendapat konotasi yang pelbagai daripada semua pihak jika ia dirasakan baik demi kemakmuran, kelestarian dan kesuburan ekonomi negara. Setelah lebih 160 negara melaksanakan GST, akhirnya kita juga turut melaksanakannya mulai 1 April yang lalu. Ikrar dan slogan GST iaitu “Membangun dan Maju Bersama” haruslah ditaati dan dipatuhi oleh kerajaan kerana ia adalah amanah rakyat yang perlu digalas dengan sebaiknya.
Seperti burung merpati yang terperangkap dalam sangkarnya, setelah hampir dua bulan pelaksanaan GST berjalan, kita tidak mampu untuk berbuat apa-apa selain menerima dan menelan sahaja cukai GST yang sedang dilaksanakan di negara kita. Pada 1 Mei yang lalu, suatu perhimpunan Bantah GST oleh sekretariat ‘Kita Lawan’ yang terdiri daripada parti politik, badan bukan kerajaan (NGO), golongan profesional dan mahasiswa telah diadakan di ibu negara yang dihadiri seramai 10,000 orang. Perhimpunan tersebut menunjukkan bahawa orang ramai sangat terkesan dan menolak pelaksanaan GST yang mula diperkenalkan sejak awal April lalu. Namun, sejauh manakah segala protes dan perhimpunan yang dilakukan akan mampu untuk mengubah keputusan pemerintah berkenaan pelaksanaan GST ini? Apa yang mampu kita lakukan ialah sama-sama mendoakan keampuhan dan kestabilan ekonomi negara serta kesejahteraan ummah secara holistik. Bersama-samalah kita mengharapkan sinar dan nikmat hasil daripada pelaksanaan GST di negara kita yang tercinta ini. InsyaAllah.
FAS: Ke arah mencapai Wawasan 2020.
Artikel disediakan untuk Faiz Adnan & Associates.

KONSEP DAN AMALAN SUMPAH DALAM MAHKAMAH SYARIAH
SUMPAH (AL-YAMIN)
Rentetan daripada artikel sebelum ini berhubung dengan Isu Pembuktian Di Mahkamah Syariah, sumpah (al-yamin) merupakan salah satu kaedah pensabitan yang boleh digunakan bagi membuktikan sesuatu kes di Mahkamah Syariah. Dalam satu kejadian yang berlaku di Mahkamah, seorang wanita telah diarahkan oleh Hakim untuk bersumpah bagi menafikan dakwaan pihak penuntut disebabkan ketidakhadiran Penuntut untuk mengukuhkan dakwaannya pada hari prosiding. Rentetan daripada sumpah tersebut, maka Mahkamah Yang Mulia telah menolak permohonan Penuntut. Dalam kes Adiba Yasmin lawan Abdul Rani (JH,V/I,1990,44), Mahkamah memutuskan bahawa keterangan kedua-dua pihak adalah lemah dan pihak Penuntut gagal membuktikan kesnya. Oleh itu, Mahkamah mengarahkan Pihak yang Kena Tuntut bersumpah menafikan tuntutan. Rentetan daripada sumpah tersebut, Mahkamah Yang Mulia memutuskan bahawa permohonan Penuntut ditolak. Fenomena sedemikan sering berlaku kerana sumpah adalah salah satu pembuktian yang terpakai di Mahkamah Syariah kerana fungsinya adalah untuk menjelaskan lagi bahawa sumpah digunakan untuk memperkukuhkan sesuatu yang tidak pasti dengan menggunakan nama Allah atau sifatNya sama ada yang telah lalu atau yang akan datang, sama ada untuk mensabitkan atau menafikan.
Definisi
Menurut Abdul Karim Zaidan, sumpah (al-yamin) bermaksud sumpah yang dikenakan ke atas pihak yang kena dakwa sama ada Islam atau tidak, adil atau fasik, lelaki atau wanita sebagai menafikan dakwaan ke atas mereka. Begitu juga menurut Abdul Fattah Muhammad Abu Al-Ainain menurut pengarang Syarah al-azhar yang memberi definisi iaitu kata-kata yang khusus ataupun maknanya itu mengandungi sesuatu yang boleh menguatkan apa yang dituturkan oleh orang yang bersumpah itu sama ada ia hendak membuat sesuatu perkara atau meninggalkannya atau mempunyai ciri-ciri sebagaimana yang disumpah atau sebaliknya.
Dalil
Peranan sumpah ini telah diterangkan Allah s.w.t dalam surah al-Maidah ayat 89 yang bermaksud “Allah tidak akan menyiksamu (menuntut kamu bertanggungjawab) disebabkan sumpah kamu yang tidak sengaja tetapi tuhan akan menyiksamu kerana sumpah yang telah kamu ikat teguh”. Ia bertepatan dengan Hadith Rasulullah S.A.W, “Al-bayyinah itu keatas pihak yang mendakwa dan sumpah itu kepada pihak yang ingkar” (Al-San’ani,4:204).
Peruntukan Undang-undang
Menurut Seksyen 72 Akta Keterangan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan (AKMSWP) juga telah memperuntukkan tentang sumpah iaitu “Beban untuk mengemukakan keterangan dalam sesuatu kes mal terletak pada orang yang mengatakan atau menegaskan sesuatu fakta (al-mudda’i) dan orang yang mengangkat sumpah untuk menafikan atau mempertikaikan sesuatu fakta (al-mudda’i alaiyh)”. Sumpah yang berkaitan dengan tuntutan di mahkamah boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu;
1. SUMPAH PIHAK YANG KENA TUNTUT (AL-MUDDA’I ALAIYH)
Merupakan sumpah asal yang berlaku apabila pihak yang menuntut gagal mengemukakan bukti yang mencukupi dan pihak yang kena tuntut menafikan perkara yang dituntut maka beliau diminta untuk bersumpah menafikan tuntutan berkenaan. Disebut sebagai ‘al-yamin al-asliyyah’, ‘al-yamin al-wajibah’ atau ‘al-yamin al-rafia’h’. Perkara ini diperuntukkan dalam AKMSWP iaitu; Seksyen 87(1) Dalam kes mal, keterangan hendaklah diberikan oleh Plaintif dan Defendan, dan jika Defendan menafikan tuntutan terhadapnya dia hendaklah dikehendaki mengangkat sumpah mengikut hukum syarak, Seksyen 87(2) Jika defendan mengangkat sumpah dibawah subseksyen (1), tuntutan yang dibuat oleh Plaintif hendaklah ditolak. Antara kes-kes yang menggunakan sumpah di Mahkamah Syariah iaitu Mat Husain Daud lawan ZawiahMamat (JH,VIII/I,1992,60), kes yang melibatkan harta sepencarian dan pihak yang menuntut tidak mempunyai keterangan yang cukup mengikut hukum syarak. Pihak yang kena tuntut pula menafikan. Mahkamah mengarahkan yang kena tuntut untuk bersumpah. Lalu tuntutan ditolak. Terdapat keadaan dimana pihak yang kena tuntut enggan mengangkat sumpah untuk menafikan tuntutan, maka peruntukan Seksyen 87(2)(b) AKMSWP seperti berikut adalah terpakai “ Jika Defendan enggan mengangkat sumpah, maka Mahkamah bolehlah meminta Plaintif mengangkat sumpah dan dengan sumpah itu tuntutannya hendaklah diterima”.
2. SUMPAH PIHAK MENUNTUT (AL-MUDDA’I)
- Yamin Jalibah: Sumpah oleh penuntut untuk mensabitkan tuntutan. Terbahagi kepada 4 bentuk:
- Sumpah Penuntut bersama seorang saksi diterangkan dalam Seksyen 88 AKMSWP yang menyebut bahawa “Jika di dalam kes mal, penuntut hanya mengemukakan seorang saksi, maka keterangan saksi itu hanya boleh diterima jika beserta dengan sumpah Penuntut”.
- YAMIN MARDUDAH: Sumpah yang dikembalikan diperuntukkan dalam Seksyen 87(2)(b) AKMSWP memperuntukkan “Jika defendan enggan mengangkat sumpah, maka Mahkamah bolehlah meminta plaintif mengangkat sumpah dan dengan sumpah itu tuntutannya hendaklah diterima.
- QASAMAH: Sumpah 50 kali berkaitan dengan tuduhan ke atas seseorang yang melakukan pembunuhan.
- LIAN: Sumpah yang dilaksanakan oleh suami /isteri bagi tuduhan melakukan zina antara mereka tanpa ada saksi yang cukup bagi mengelakkan hukuman jenayah qazaf.
- YAMIN TUHMAH : Sumpah yang dilakukan oleh Penuntut untuk menafikan sebarang tohmahan atau tuduhan yang terkena ke atas pihak yang kena tuntut atau dengan tujuan untuk membersihkan pihak yang kena tuntut bila sesuatu tuntutan itu tidak dapat dibuktikan.
- YAMIN ISTIZHAR: Sumpah yang bertujuan untuk memperkuatkan dan memperjelaskan tuntutan dan menolak sebarang tohmahan yang terkena kepada Penuntut setelah ia berjaya membuktikan tuntutannya. Sebagai contoh dalam kes Hasnah lawan Borhan al-Din (JH, VI/1,1998,118) iaitu berkaitan dengan pengesahan cerai taklik atas alasan meninggalkan Penuntut dan tidak memberi nafkah. Penuntut berjaya membuktikan melalui keterangan dua orang saksi bahawa telah wujud lafaz taklik berkenaan dan telah wujud perlanggarannya. Yang menuntut bersumpah untuk memperkuatkan tuntutan maka tuntutan diterima oleh Mahkamah Yang Mulia.
Kesimpulan
Tuntasnya, sumpah juga merupakan salah satu kaedah pensabitan yang digunakan dalam Undang-undang Keterangan Islam. Sumpah digunakan untuk menolak dakwaan atau menafikan sesuatu tuduhan. Ia juga merupakan alternatif terakhir apabila pihak tertentu gagal untuk mengemukakan bukti atau keterangan-keterangan lain melalui iqrar, syahadah dan qarinah misalnya. Pemakaian konsep al-bayyinah atau keterangan melalui pelbagai kaedah pensabitan ini memberikan ruang yang luas kepada semua pihak untuk mengemukakan apa sahaja bentuk keterangan yang dikira relevan dan dapat membantu hakim bicara serta mahkamah dalam proses untuk menegakkan keadilan dan memberikan keputusan yang sewajarnya. Walaupun peruntukan undang-undang ada memperuntukkan perkara-perkara yang berkaitan dengan kaedah-kaedah pensabitan melalui Undang-undang Keterangan Islam ini, namun rujukan muktamad adalah berdasarkan kepada hukum syarak daripada mana-mana mazhab yang sah jika terdapat kekeliruan di dalam memahami peruntukan undang-undang ataupun di dalam keadaan berlakunya lakuna (kelompongan) undang-undang.
Untuk sebarang pertanyaan, atau sekiranya anda ingin menetapkan temujanji dengan Peguam Syarie Faiz Adnan, anda boleh menghubungi kami menerusi telefon/email.
Artikel disediakan oleh: Faiz Adnan & Associates

PROSEDUR PENYAMPAIAN SAMAN & KESAN KEPADA PERBICARAAN
PENYAMPAIAN SAMAN & PERBICARAAN – Suatu kes di antara AAAA bin AAAA lwn BBBB binti BBBB, (Rayuan Mal No. 14500-001-002-2001 Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Kes ini tidak dilaporkan) iaitu tuntutan mengenai hadhanah anak dimana Hakim Bicara telah memutuskan hak lawatan diberikan kepada responden tanpa kehadiran perayu. Perayu telah berhujah bahawa penyampaian saman atau notis telah tidak dibuat dengan sempurna kerana Perayu tidak mengetahui tarikh perbicaraan dan tidak pula disampaikan kepada peguam perayu walaupun perayu telah melantik peguam Syarienya secara sah sepertimana yang diarahkan oleh Mahkamah sebelumnya. Mahkamah memutuskan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah adalah tidak sah dan mengarahkan kes tersebut dibicara semula.
Berdasarkan kepada kes di atas menunjukkan bahawa penyampaian apa-apa dokumen seperti notis kehadiran, saman atau permohonan hendaklah disampaikan dengan sempurna kepada pihak satu lagi sebelum sesuatu tindakan kepada prosiding seterusnya boleh diputuskan oleh Hakim Bicara.
PENDAHULUAN
Secara ringkasnya, terdapat dua cara yang perlu digunakan dalam memulakan tindakan prosiding mal di Mahkamah Syariah, iaitu:
- Saman di bawah sek.7 (1) Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003; dan
- Permohonan mengikut kaedah Am di bawah Sek.7 (2) Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003.
Kemudian, sebaik sahaja saman disediakan dan difailkan ke Mahkamah dan pengindorsannya telah didrafkan dengan sewajarnya, langkah berikutnya ialah mendaftarkan kes atau tuntutan tersebut di Mahkamah dan diberi nombor kod pendaftaran mengikut klasifikasi kes-kes atau tuntutan yang dikehendaki Plaintif terhadap Defendan.
Bagaimana Saman di sampaikan kepada pihak Defendan?
Langkah berikutnya bersesuaian dengan tajuk utama di atas ialah Penyampaian Saman oleh Plaintif kepada Defendan atau Defendan-defendan. Penyampaian sesuatu saman boleh dibahagikan kepada dua keadaan, iaitu;
- Penyampaian saman dalam bidangkuasa; dan
- Penyampaian saman di luar bidangkuasa
Apakah yang dimaksudkan oleh Penyampaian Dalam Bidang Kuasa dan Bagaimana Penyampaian tersebut dilakukan?
Kaedah Am yang dipakai untuk menyampaikan proses penyampaian saman ialah “Penyampaian Ke diri ” (personal service). Penyampaian Ke diri iaitu kepada diri Defendan yang berada dalam bidang kuasa Mahkamah, yakni berada dalam negeri dimana saman tersebut difailkan oleh Plaintif.
Prosedur ini memerlukan Plaintif atau ejennya menyerahkan atau meninggalkan kepada Defendan sendiri satu salinan saman, yakni suatu salinan yang mengandungi meterai Mahkamah dan tandatangan Pendaftar. Bagaimanapun, peguam Syarie Defendan boleh menerima penyampaian saman bagi pihak Defendan dan seterusnya peguam syarie Defendan akan mengindorskan suatu kenyataan di atas saman tersebut.
- Keengganan Menerima Saman atau Dokumen
Jika Defendan atau defendan-defendan, enggan untuk menerima saman, dibenarkan untuk melakukan perkara-perkara seperti berikut:
- saman atau dokumen tersebut bolehlah ditinggalkan berhampiran dengan orang itu dan perhatiannya hendahlah diarahkan kepada saman tersebut mengikut Sek. 42 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003;
- Jika pihak-pihak itu telah diwakili oleh peguam Syarie mana-mana pihak yang telah menfaikan wakalah mengikut Sek.34 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003 kecuali sebagaimana yang diperuntukkan selainnya mengikut Sek. 43 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003;
- keengganannya sudah memadai untuk penyampaian tersebut dianggap terlaksana dengan syarat satu afidavit penyampaian tersebut keengganan menerima suatu saman hendaklah difailkan sebagai bukti keengganan tersebut.
- Hari Kehadiran
Sesuatu saman yang diserahkan di alamat bagi penyampaian mana-mana orang hendaklah disifatkan telah disampaikan kepada orang itu mengikut Sek.44 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003.
Sesuatu saman hendaklah disampaikan tidak kurang daripada (7) tujuh hari genap sebelum hari kehadiran melainkan jika Mahkamah memerintahkan selainnya. Pendaftar Mahkamah boleh mengubah hari kehadiran kepada satu tarikh kain, jika perlu mengikut Sek.45 (1),(2) dan (3) Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003.
Bagaimanapun, berdasarkan Arahan Amalan No. 2 Tahun 2012, peraturan telah ditetapkan bagi tujuan penyelarasan mengenai tempoh penyampaian saman Kediri Defendan. Tempoh penyampaian saman Kediri kepada Defendan selain saman yang beralamat di luar bidang kuasa sesebuah mahkamah hendaklah disempurnakan dalam tempoh 14 hari dari tarikh saman dikeluarkan.
- Tempat dan Masa Penyampaian
Penyampaian boleh dilaksanakan di mana-mana tempat, pada mana-mana hari dan pada bila-bila masa sama ada pada wakti siang atau malam.
Penyampaian yang dibuat selepas pukul 4.00 petang hendaklah disifatkan telah dilaksanakan pada hari yang berikutnya. Penyampaian yang dilaksanakan selepas pukul 12.00 tengah hari pada hari sebelum, atau pada bila-bila masa pada, hari kelepasan am, hendaklah disifatkan telah dilaksanakan pada hari yang mengikut hari kelepasan itu mengikut Sek. 46 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003.
- Pengecualian Penyampaian Ke Diri Dalam Kes Khas
Di dalam Konteks kes khas ini, dapat dibahagikan kepada (3) tiga kategori mengikut Sek. 47 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003;
- Bagi Penyampaian kepada seseorang yang tidak berkeupayaan, penyampaian kepadanya hendaklah dibuat kepada penjaga ad litemnya, jika ada. Bagaimanapun, Mahkamah boleh, atas permohonan pihak-pihak, memerintahkan supaya penyampaian kepada seseorang orang tidak berkeupayaan dibuat kepada mana-mana orang lain;
- Penyampaian kepada seseorang banduan pula, penyampaian dianggap telah sempurna apabila dibuat kepada pegawai yang menjaga penjara tersebut;
- Bagi anggota tentera pula, Penyampaian kepada mana-mana anggota Angkatan Tentera hendaklah dibuat kepada pegawai pemerintah atau adjutant unitnya.
- Penyampaian Ganti
Dalam kes Tuminah lwn Arifin, (1983) 4 JH 84, Plaintif memfailkan tuntutan cerai ta’lik kerana telah ditinggalkan oleh suaminya. Penyampaian ke diri tidak dapat dilakukan kerana tempat tinggal suami tidak diketahui. Saman telah diserahkan melalui penyampaian gantian dengan cara notis berkenaan dengan tuntutan berkenaan diletakkan di semua pejabat-pejabat kadi di seluruh negeri Johor dan diiklankan di dalam akhbar tempatan.
Sekiranya saman tersebut tidak dapat disempurnakan dengan cara penyampaian Ke diri Defendan atau peguam Syarie Defendan, dalam keadaan tertentu Mahkamah boleh mengeluarkan perintah untuk “Penyampaian ganti” setelah Mahkamah berpuashati bahawa segala usaha yang munasabah telah dilakukan bagi menyempurnakan saman tersebut.
Mahkamah boleh memerintahkan supaya saman itu disampaikan dengan cara;
- Menampalkan suatu salinannya di papan kenyataan Mahkamah, dan
- Menampalkan suatu salinannya disuatu tempat yang mudah dilihat dibangunan terakhir tempat orang hendak disampaikan saman itu diketahui tinggal, atau
- Mengikut apa-apa cara lain yang difikirkan patut oleh Mahkamah.
- Selain itu juga, saman tersebut juga boleh disampaikan dengan cara mengiklankannya dalam akhbar tempatan mengikut Sek. 48 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003.
Penyampaian ganti hendaklah mempunyai kesan seperti penyampaian ke diri. Apa-apa permohonan bagi perintah dibawah mengikut Sek.48 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003 ini hendaklah disokong dengan afidavit yang menyatakan akta atau enakmen yang menjadi asas permohonan itu.
Berdasarkan Arahan Amalan No. 3 Tahun 2012, peraturan telah ditetapkan bagi tujuan penyelarasan mengenai tempoh penyampaian saman gantian. Tempoh penyampaian saman gantian hendaklah disempurnakan dalam tempoh 14 hari dari tarikh Perintah Saman Gantian dikeluarkan.
- Bukti Penyampaian
Sesuatu penyampaian saman atau dokumen, boleh dibuktikan melalui satu afidavit oleh orang yang melaksanakan penyampaian tersebut ke diri orang yang saman itu disampaikan.
Orang yang menerima saman itu hendaklah menandatangani suatu pengakuterimaan pemyampaian, tetapi keengganan orang itu atau ketidakupayaannya untuk menandatangani saman itu tidak akan menjejaskan kesahan penyampaian itu sepertimana yang diperuntukkan mengikut Sek. 49 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003.
Suatu perintah bagi penyampaian, atau bagi penyampaian ganti, boleh diubah oleh Mahkamah sepertimana diperuntukkan Sek. 50 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003.
Apakah yang dimaksudkan oleh Penyampaian Di Luar Bidang Kuasa dan Bagaimana Penyampaian tersebut dilakukan?
Terdapat juga sesetengah kes dimana kebenaran untuk mengeluarkan saman tersebut diperlukan, misalnya jika Defendan berada di luar bidang kuasa Mahkamah yang mengeluarkan saman tersebut, yakni berada di luar negeri. Saman tidak akan dikeluarkan bagi seseorang Plaintif yang ingin menyampaikannya kepada orang yang berada di luar kawasan Mahkamah dimana Plaintif menfailkan kesnya.
Bagi tujuan Penyampaian saman di luar bidangkuasa, mengikut Sek. 52 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003 memperuntukkan seperti berikut:
- Mahkamah boleh memerintahkan penyampaian tersebut jika─
- Keseluruhan hal perkara tindakan itu berhubung dengan harta tak alih yang terletak dalam Negeri Selangor;
- Apa-apa relief diminta terhadap mana-mana orang yang berdomisil atau biasanya bermastautin atau menjalankan perniagaan di Negeri Selangor;
- tindakan itu dibawa dengan sepatutnya terhadap seseorang yang kepadanya penyampaian dibuat dengan sempurna di Negeri Selangor, seseorang di luar negeri Selangor ialah suatu pihak yang perlu atau patut dalam tindakan itu; atau
- dalam apa-apa hal yang berbangkit daripada perkahwinan, kemastautinan salah satu pihak kepada perkahwinan itu pada masa permohonan itu ialah di Negeri Selangor.
- Tertakluk kepada seksyen 54 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003, apa-apa perintah yang memberikan kebenaran untuk melaksanakan penyampaian di luar bidang kuasa hendaklah mengarahkan cara penyampaian itu hendaklah dilaksanakan dan bagaimana penyampaian itu boleh dibuktikan.
Sebagai contoh, seorang Plaintif telah menfailkan saman di Negeri Selangor, dimana seorang Defandan yang akan menerima saman tersebut berada di Negeri Sembilan, maka Plaintif hendaklah terlebih dahulu mendapatkan kebenaran Hakim syarie atau Pendaftar di Negeri Selangor sebagaimana peruntukan yang dikeluarkan di bawah Arahan Amalan No. 16 Tahun 2002.
Kesan Penyampaian saman kepada Perbicaraan
- Apakah kesan Penyampaian saman kepada Perbicaraan? Sekiranya Defendan enggan menerima atau menandatangani saman?
Keengganan seseorang untuk menerima atau menandatangani sesuatu saman atau dokumen itu tidaklah menjejaskan kesahan penyampaian tersebut, dengan syarat satu afidavit penyampaian berkenaan keengganan atau ketidakupayaan seseorang penerima saman atau dokumen untuk menandatangani dinyatakan dalam afidavit penyampaian yang diikrarkan di hadapan Pendaftar sebagai bukti penyampaian.
- Apakah kesan Penyampaian saman kepada Perbicaraan? Sekiranya Defendan tidak hadir ke Mahkamah?
Mahkamah mempunyai kuasa untuk mengeluarkan satu waran untuk menangkap seseorang yang saman hendak diserahkan kepadanya supaya hadir ke Mahkamah jika Mahkamah berpuas hati sepertimana yang diperuntukkan Sek. 51 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003.
- Apakah kesan Penyampaian saman kepada Perbicaraan? Sekiranya Defendan tidak dijumpai dan tempat tinggal suami tidak diketahui.?
Mahkamah boleh mengeluarkan perintah untuk “Penyampaian ganti”. Disini kesan kepada Perbicaran yang dapat dilihat adalah selepas mendapat Perintah untuk Penyampaian Ganti kes tersebut ialah kes boleh diteruskan walau tanpa kehadiran Defendan dengan mengunakan Perintah dan Afidavit Penyampaian Ganti tersebut sebagai bukti penyampaian.
- Apakah kesan Penyampaian saman kepada Perbicaraan? Sekiranya pihak-pihak tidak hadir ke Mahkamah?
Ketidakhadiran pihak-pihak juga memberikan kesan kepada Perbicaraan kes. Seperimana yang diperuntukkan di dalam Sek. 121 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003. Apabila mana-mana tindakan dipanggil untuk pendengaran, Mahkamah boleh membuang tindakan itu jika tiada satu pihak pun hadir. Mahkamah juga boleh jika Defendan tidak hadir, tertakluk kepada bukti penyampaian wajar, mendengar dan memutuskan tindakan itu tanpa kehadirannya atau jika plaintif tidak hadir, Mahkamah juga boleh membuang tindakan itu dan mendengar memutuskan apa-apa tuntutan balas.
Untuk sebarang pertanyaan, atau sekiranya anda ingin menetapkan temujanji dengan Peguam Syarie Faiz Adnan, anda boleh menghubungi kami menerusi telefon/email.
Artikel disediakan untuk: Faiz Adnan & Associates
Gambar hiasan oleh: Kosmo

Isu Pembuktian di Mahkamah Syariah
Seorang wanita dilihat menangis teresak-esak di dalam kandang saksi selepas ditegur beberapa kali oleh hakim bicara kerana gagal memahami kehendak hakim bicara dan undang-undang semasa prosiding perbicaraan keterangan utama bagi dirinya dalam kes fasakh. Beliau nampak tertekan lagi apabila peguam syarie pihak Defendan atau suaminya asyik membantah itu dan ini kerana dakwanya keterangan Plaintif tidak diplidkan dalam pliding beliau semasa kes ini difailkan. Lebih malang lagi apabila wanita ini seperti tidak mempedulikan kehendak undang-undang keterangan dan hakim bicara apabila beliau enggan membawa saksi dan tiada satu pun dokumen yang menyokong keterangannya.
Kesudahannya hakim bicara memutuskan dan memerintahkan Defendan bersumpah menafikan dakwaan si isteri dan akhirnya kes ini dibuang. Ketika itu barulah wanita ini sedar kesilapan yang dilakukannya. Apa nak buat, nasi telah menjadi bubur. Inilah senario yang biasa dilihat dan terjadi di Mahkamah Syariah apabila pihak-pihak tidak bersedia dalam memberi keterangan semasa proses perbicaraan dan akhirnya memakan diri sendiri. Ini juga jelas menunjukkan peri pentingnya seseorang itu membawa bukti dalam pelbagai bentuk keterangan yang ada bagi mengukuhkan dakwaannya seterusnya memudahkan hakim bicara untuk membuat keputusan yang sewajarnya.
Menurut Seksyen 3 Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003, keterangan ialah bayyinah dan syahadah. Keterangan lisan pula ialah segala pernyataan yang dibuat oleh saksi yang dibenarkan atau dikehendaki oleh mahkamah berhubung perkara-perkara fakta yang disiasat manakala keterangan dokumentar pula merupakan segala dokumen yang dikemukakan bagi pemeriksaan mahkamah. Secara umumnya, terdapat lima jenis keterangan di bawah Undang-undang Keterangan Islam iaitu:
- Keterangan Lisan;
- Keterangan Dokumen;
- Keterangan Keadaan;
- Keterangan Secara Langsung; dan
- Keterangan Dengar Cakap
Kaedah keterangan yang terbaik pula ialah keterangan yang berasaskan sumber primer atau sumber asal yang sahih. Misalnya, jika keterangan tersebut berbentuk dokumen, maka dokumen yang terbaik adalah dokumen asal manakala bagi keterangan secara langsung pula, keterangan terbaik ialah pernyataan secara langsung oleh seseorang saksi yang hadir bagi memberikan keterangannya berhubung sesuatu kes di mahkamah. Terdapat banyak kaedah pensabitan yang boleh digunakan bagi membuktikan sesuatu kes di mahkamah dalam Undang-undang Keterangan Islam iaitu:
- Iqrar: Pengakuan atau pengiktirafan yang khusus sebagai salah satu cara pembuktian bagi mensabitkan hak atau kepentingan orang lain, ke atas dirinya sendiri, atau mensabitkan sesuatu kesalahan atau tanggungan ke atas dirinya seperti pengakuan berzina.
- Syahadah: Pemberitahuan yang bersifat benar menggunakan lafaz kesaksian atau “aku naik saksi” yang dilakukan dalam majlis kehakiman atau mahkamah yang diberikan bagi kepentingan orang lain ke atas orang lain.
- Khabar: Sesuatu perkara (kes) yang disampaikan dan dibuktikan melalui perkhabaran mutawatir kepada mahkamah.
- Sumpah (al-yamin): Suatu perkataan yang disertakan dengannya nama Allah, digunakan untuk menyatakan kesungguhan (tahqiq) terhadap sesuatu perkara yang tidak akan sabit tanpa bersumpah. Ini termasuklah perkara yang telah berlalu atau yang akan datang.
- Qarinah: Setiap sesuatu (sama ada ia boleh dilihat, dirasa, didengar, dipegang dan sebagainya) yang boleh dijadikan bukti atau keterangan bagi mensabitkan tentang ada sesuatu atau tiada sesuatu.
- Pendapat Pakar (Ra’yu al-Khabir): Pendapat yang diberi oleh seseorang yang mempunyai kepakaran dalam sesuatu bidang atau persoalan.
- Qiyafah: Pembuktian untuk mensabitkan nasab berdasarkan persamaan di antara seorang dengan seorang yang lain.
- Catatan (al-Kibah): Tulisan atau catatan yang dibuat oleh seseorang sama ada pemerintah, hakim atau rakyat biasa.
- Pengetahuan Hakim (Ilmu al-Qadi): Sesuatu kejadian yang disaksikan dan diketahui oleh seorang hakim yang mengetahui latar belakang dan fakta-fakta kejadian tersebut.
- Qasamah: Sumpah yang diulang-ulang dalam dakwaan pembunuhan, sebanyak 50 kali oleh 50 orang lelaki.
- Lian: Satu proses sumpah yang mengakibatkan perpisahan suami isteri kerana kegagalan suami membuktikan kecurangan isterinya.
- Undian: Satu proses untuk menetapkan orang atau pihak yang akan menikmati sesuatu hak atau kepentingan di antara mereka yang setaraf, yang sama-sama telah memenuhi syarat untuk menikmati hak atau kepentingan tersebut.
Menerusi satu kes lain berhubung isu pertukaran agama, iaitu kes Permohonan Perisytiharan Status Agama Si Mati Nyonya Binti Tahir (2006) 21/2 JH 221, suatu permohonan ex-parte telah dibuat oleh Majlis Agama Islam Negeri Sembilan, Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan dan Pegawai Agama Islam Daerah Tampin, Negeri Sembilan berhubung status dan ketentuan agama Islam Nyonya Binti Tahir yang telah meninggal dunia pada tarikh 18 Januari 2006 kerana sakit tua. Apabila si mati meninggal dunia timbul masalah tentang pengkebumiannya disebabkan status agama yang meragukan. Beliau adalah seorang perempuan Melayu yang dilahirkan pada tahun 1918. Sejak kecil beliau tinggal bersama datuknya seorang mualaf Cina dengan mendapat asuhan dan didikan adat resam dan budaya Cina. Pada tahun 1936, beliau telah berkahwin dengan seorang lelaki Cina dan dikurniakan 13 orang anak. Sejak berkahwin sehingga beliau mati, beliau hidup dengan menyembah Tokong Cina dan tidak pernah mengamalkan cara hidup Islam sepanjang hidupnya.
Dalam menentukan bahawa si mati adalah seorang yang beragama Islam atau sebaliknya pada masa kematiannya, mahkamah telah merujuk kepada Surat Akuan yang dibuat oleh si mati di hadapan Pesuruhjaya Sumpah pada 19 Julai 1991 dan satu dokumen yang telah dikeluarkan oleh Pejabat Agama Islam dan Mahkamah Kadi Daerah Alor Gajah, Melaka yang bertarikh 7 Mei 1986 yang berbentuk surat laporan. Dalam surat laporan tersebut, ia menyatakan bahawa Nyonya Tahir sejak dari kecil lagi telah hidup dan dibesarkan secara Cina oleh datuknya dan telah berkahwin dengan lelaki Cina pada usia 18 tahun serta dikurniakan dengan 13 orang anak hasil daripada perkahwinan tersebut. Si mati juga dalam surat itu mengaku telah menyembah Tokong Cina yang terdapat di dalam rumahnya. Kesemua anaknya juga berkahwin dengan orang Cina. Keterangan baiyyinah juga dibawa oleh anak-anak si mati berkaitan amalan ibu mereka semasa hayat yang mengamalkan ajaran Buddha. Dokumen persendirian dalam bentuk gambar-gambar juga diberikan bagi membantu mahkamah.
Berdasarkan qarinah dan juga bukti-bukti berupa dokumen dan ekshibit daripada ahli-ahli waris si mati menerusi Surat Akuan si mati di hadapan Pesuruhjaya Sumpah, satu dokumen yang berbentuk surat laporan, keterangan saksi dan juga gambar-gambar si mati yang mengamalkan ajaran Buddha semasa hayatnya, mahkamah telah memutuskan bahawa si mati Nyonya Binti Tahir adalah bukan beragama Islam semasa kematiannya dan ahli-ahli waris si mati berhak untuk menuntut mayat beliau serta menguruskan pengebumian mayat berkenaan.
Kes ini jelas menunjukkan bahawa berdasarkan qarinah yang telah diberikan di mahkamah, bukti-bukti yang dibawa adalah cukup kuat dan yakin untuk diterima pakai di mahkamah berhubung status kematian Nyonya Tahir. Walaupun beliau lahir sebagai seorang perempuan Melayu yang beragama Islam, namun mahkamah terpaksa memutuskan bahawa beliau bukan beragama Islam semasa kematiannya berdasarkan qarinah yang jelas. Dalam Surat Akuannya juga, si mati telah membuat pengakuan (iqrar) bahawa beliau telah keluar daripada agama Islam dan memohon agar dikebumikan secara tradisi orang Cina sekiranya beliau mati.
Keterangan adalah sesuatu yang sangat penting dalam proses perbicaraan. Tanpa keterangan, hukuman tidak mampu dilaksanakan dan dijalankan dengan adil dan saksama. Keteranganlah yang membantu para hakim untuk mencari kebenaran dan menjatuhkan sesuatu hukuman itu dengan adil dan tepat. Bagi tahap pembuktian keterangan, ia terbahagi kepada lima iaitu:
- Yakin;
- Zan Al-Ghalib;
- Zan;
- Syak; dan
- Waham
Yakin merupakan pembuktian tanpa keraguan yang mencapai tahap 100%. Ini menunjukkan bahawa keterangan yang dibawa tidak boleh dipatahkan dan merupakan bukti yang paling konkrit yang diterima di mahkamah. Contoh keterangan yang mencapai tahap yakin ialah iqrar dan syahadah. Zan al-ghalib pula merupakan tahap pembuktian kedua tertinggi yang diterima di mahkamah. Ia merupakan pembuktian melampaui keraguan munasabah (beyond reasonable doubt) dan mencapai tahap 90%-99.9%. Contoh keterangannya ialah qarinah.
Zan pula bermaksud sangkaan atau dalam keadaan yang tidak pasti tetapi lebih hampir dan mirip kepada benar. Tetapi tahap ini tidak cukup untuk mensabitkan sesuatu kes kecuali jika ia sampai kepada tahap zan al-ghalib. Bagi tahap pembuktian yang keempat, syak ialah sangkaan atau keadaan tidak pasti (50-50) di antara sabit atau tidak sabit persamaan kemungkinan di antara yang benar dengan yang salah. Melalui kaedah fiqh, yakin tidak akan terangkat melalui syak kerana tahap syak adalah kemungkinan sahaja. Manakala waham pula merupakan tahap pembuktian yang terendah kerana ia hanyalah sangkaan semata atau keadaan tidak pasti yang lebih cenderung kepada salah dan tidak boleh dijadikan asas pensabitan.
Terdapat banyak lagi kaedah pembuktian bagi membuktikan keterangan sesuatu kes di mahkamah, terutamanya di era modernisasi ini, kaedah-kaedah saintifik seperti ujian DNA turut digunapakai bagi menentukan kesahan taraf anak luar nikah. Bagi kes seperti fasakh pula, keterangan saksi dan juga dokumen-dokumen seperti bil, resit dan sebagainya juga adalah penting bagi membuktikan pengabaian nafkah yang telah dilakukan oleh pihak Defendan. Dalam Islam, dari segi prinsip pembuktiannya adalah sangat ketat serta rigid dan Mahkamah Syariah memerlukan perbicaraan bagi setiap kes untuk menentukan dan memastikan agar keadilan dapat dicapai dengan seadilnya.
Artikel oleh: Faiz Adnan & Associates
Untuk sebarang pertanyaan berkenaan perkhidmatan kami/memerlukan nasihat guaman syarie, anda boleh menghubungi kami di sini.