• TUNTUTAN GANTI RUGI PERTUNANGAN

    TUNTUTAN GANTI RUGI PERTUNANGAN

    Ganti rugi pertunangan – Pertunangan adalah satu langkah permulaan dalam membentuk instrumen pembinaan keluarga sebagai unit asas dan tunjang dalam sesebuah perkenalan. Pertunangan juga merupakan tradisi yang kebanyakannya diikuti oleh masyarakat bagi menghormati adat dan sebagai tanda penghormatan kepada keluarga pasangan bagi menyempurnakan sebahagian ibadah sebelum meniti kehidupan berpasangan. Adapun begitu, ikatan pertunangan antara pihak-pihak merupakan muqadimah sebelum mengikat kepada tali perkahwinan.

     

    Berdasarkan hadis Nabi Muhammad S.A.W:

    إذا خطب أحدكم امرأة، فلا جناح عليه أن ينظر إليها إذا كان إنما ينظر إليها لخطبة ، وإن كانت لا تعلم

    Bermaksud: Jika seseorang di antara kamu bermaksud meminang seseorang perempuan, makan dibolehkan untuknya melihatnya. Jika melihatnya semata-mata untuk meminang sekalipun perempuan yang akan dipinang itu tidak mengetahuinya.  –Hadis Riwayat Ahmad

     

    DEFINISI

     

    Menurut Dr. Wahbah Zuhaili, pertunangan (khitbah) merupakan satu tanda pihak lelaki menyatakan hasratnya untuk menikahi wanita tersebut sama ada secara langsung ataupun melalui walinya. Di sisi syarak, memadai dengan hanya menyatakan hasrat tersebut kepada wanita yang ingin dinikahinya. Tujuannya adalah untuk memberi peluang kepada pihak-pihak untuk mengenali satu sama lain dengan harapan mencapai keserasian.

     

    Namun secara praktikalnya, kebanyakan majlis pertunangan yang dilakukan oleh majoriti umat Islam berbeza dengan proses pertunangan yang digalakkan oleh syarak. Bukan bermakna, majlis tersebut bertentangan dengan hukum hakam akan tetapi perlaksanaan bagi sesetengah masyarakat berbeza-beza dengan mencampuradukkan antara adat dan tuntutan agama dalam pertunangan. Pada hakikatnya realiti kehidupan pada zaman sekarang tidak hanya sekadar melaksanakan pertunangan seperti yang dituntut dalam agama akan tetapi campuran daripada adat Melayu yang  melaksanakan majlis pertunangan yang serba lengkap dari pelbagai sudut. Misalnya, kos pertunangan yang tinggi dengan wujudnya pelbagai hantaran dari kedua belah pihak di samping dihiasi dengan pelamin dan bunga-bungaan sebagai penyeri majlis.

     

    UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM

     

    Walau bagaimanapun, ikatan pertunangan yang dibina boleh diputuskan oleh mana-mana pihak sekiranya tidak wujud keserasian. Adapun begitu, hendaklah disertakan bersama sebab yang kukuh serta munasabah yang bertepatan dengan syarak. Di Malaysia, wujud satu peruntukan dimana salah satu pihak yang ingin bertikai boleh menuntut ganti rugi akibat daripada mungkir janji untuk berkahwin. Hal ini dijelaskan di dalam Bahagian II perihal perkahwinan pada Seksyen 15 Enakmen Undang-Undang Keluarga Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 dengan menetapkan seperti:

     

    “Jika seseorang telah mengikat suatu pertunangan mengikut Hukum Syarak, sama ada secara lisan atau secara bertulis, dan sama ada secara bersendirian atau melalui seorang perantaraan, dan kemudiannya enggan berkahwin dengan pihak yang satu lagi itu tanpa apa-apa sebab yang sah manakala pihak yang satu lagi bersetuju berkahwin dengannya, maka pihak yang mungkir adalah bertanggungan memulangkan pemberian-pemberian pertunangan, jika ada, atau nilainya dan membayar apa-apa wang yang telah dibelanjakan dengan suci hati oleh atau untuk pihak yang satu lagi untuk membuat persediaan bagi perkahwinan itu, dan yang demikian boleh dituntut melalui tindakan dalam Mahkamah.”

     

    Hal ini juga bertepatan dengan surah Al-Maidah ayat 1 Allah berfirman:

    يٰٓاَيُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوْٓا اَوْفُوْا بِالْعُقُوْد…

    Hai orang-orang yang beriman!Tepatilah segala janji…

     

    Di dalam ayat ini Allah melarang manusia untuk memungkiri janji sama ada secara bertulis, perkataan atau perbuatan. Dalam konteks ini Allah melarang mana-mana pihak untuk memutuskan pertunangan dengan pasangan masing-masing melainkan ada sebab yang tidak dapat dielakkan. Walaupun ikatan pertunangan bukanlah suatu perjanjian yang  wajib untuk dilaksanakan perkahwinan tersebut atau perjanjian yang mengikat kedua-dua pihak akan tetapi hak-hak kepada mereka yang bertanggungan diberi perlindungan di sudut undang-undang.

     

    CONTOH KES

     

    Perkara ini dapat dilihat dalam kes  Aishah Mahmud lwn. Jamaluddin Sulaiman, di dalam kes ini pihak lelaki telah memutuskan pertunangan dan pihak perempuan menuntut bayaran mas kahwin, ganti rugi dan juga cincinpertunangan yang telah diberikan. Hakim dengan merujuk seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Undang-undang Islam Kedah 1967 telah memutuskan agar pihak responden  membayar sebanyak RM1249.00 kepada perayu termasuk kerugian membaiki rumah untuk perkahwinan dan cincin pertunangan di mana ianya dikira menjadi milik perayu iaitu Aishah Mahmud.

     

    Kes ini secara tidak langsung membuka ruang kepada pihak-pihak yang bertikai untuk menuntut hak mereka yang dilindungi oleh undang-undang di setiap negeri masing-masing. Hal ini bagi mengelakkan daripada dharar seperti ganti rugi yang melibatkan kepada ganti rugi kewangan yang dilakukan bagi persiapan perkahwinan dan segala kos yang dikeluarkan semasa pertunangan. Walau bagaimanapun pihak-pihak yang bertikai hendaklah mengemukakan bukti-bukti yang kukuh seperti resit-resit perbelanjaan yang telah dikeluarkan kepada Mahkamah.

     

    PROSEDUR SEBELUM MEMULAKAN TINDAKAN TUNTUTAN GANTI RUGI PERTUNANGAN

     

    Setiap apa-apa tuntutan dalam prospek perundangan perlulah mengikut kepada garis panduan yang telah ditetapkan oleh mahkamah. Pihak yang menuntut (Plaintif) boleh memfailkan  kes tuntutan ganti rugi tersebut dengan mewakili diri sendiri  atau diwakili oleh Peguam Syarie yang dilantik bagi melancarkan kes. Walau bagaimanapun, sebelum mendaftarakan kes tersebut, pihak yang menuntut hendaklah memastikan nilai tuntutan tersebut berada di bawah bidang kuasa yang boleh dibicarakan di dalam mahkamah.

     

    Contoh:

    • Nilai tuntutan ganti rugi pertunangan < RM100,000 hendaklah didaftarkan di bawah Mahkmah Rendah Syariah;

    ATAU

    • Nilai tuntutan ganti rugi pertunangan > RM100,000 hendaklah didaftarkan di bawah Mahkmah Tinggi Syariah.

     

    ganti rugi pertunangan

     

    PENUTUP

     

    Setelah melihat kepada kesan daripada pembatalan pertunangan dari sudut syarak dan undang-undang Islam di Malaysia, pertunangan bukanlah satu akad  yang mengikat mana-mana pihak untuk menyempurnakan tali pertunangan tersebut kepada perkahwinan. Akan tetapi ianya masih lagi satu ikatan yang boleh membawa kepada kemudharatan sekiranya salah satu pihak ingkar janji untuk berkahwin. Sudah pasti, proses tuntutan ganti rugi pertunangan tersebut akan dilihat dengan kaca perundangan dan ketetapan syarak. Oleh itu, segala kos yang dituntut bukan sahaja dilihat oleh pihak yang memutuskan pertunangan tetapi  punca dan sebab pembatalan itu sendiri akan diadili dengan saksama di pentas pengadilan.

  • SULH - TIDAK ADIL DAN BERAT SEBELAH?

    SULH – TIDAK ADIL DAN BERAT SEBELAH?

    Soalan tentang Sulh: Assalamualaikum W.B.T. saya ada beberapa soalan yang ingin diajukan kepada Peguam Faiz Adnan Associates mengenai Majlis Sulh. Saya telah bercerai dengan isteri dan diperintahkan oleh mahkamah untuk menghadiri Majlis Sulh bagi menyelesaikan soal harta sepencarian dan hadhanah. Namun, semasa sesi Majlis Sulh berjalan saya merasakan pegawai sulh yang bertugas telah mengendalikan Majlis Sulh tersebut dengan tidak adil dan berat sebelah. Hal ini kerana, Pegawai sulh sentiasa memberi peluang yang berlebihan kepada bekas isteri untuk bercakap dan memberikan cadangan penyelesaian yang dirasakan patut. Saya juga buntu kerana segala cadangan penyelesaian yang diberikan oleh pegawai sulh adalah lebih memihak kepada bekas isteri. Jadi persoalan saya di sini, bolehkah saya membuat aduan? dimanakah untuk saya membuat aduan? Dan adakah keputusan di dalam Majlis Sulh boleh dibatalkan? Saya benar-benar keliru. (Harris, Kajang Selangor)

     

    Jawapan:

    Terima kasih Encik Harris atas soalan yang telah diberikan. Saya cuba untuk menjawab pertanyaan encik. Sepertimana yang kita tahu, perdamaian adalah cara yang dianjurkan bagi menyelesaikan sesuatu masalah. Salah satu cara bagaimana perdamaian boleh dilakukan adalah dengan melalui proses Sulh. Di dalam Al-Quran berdasarkan firman Allah di dalam surah Al-Hujurat ayat 9 ada menyebut yang maksudnya:

    “Dan jika dua puak dari orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya”

     

    Dalam islam, Sulh adalah bertujuan untuk mengakhirkan konflik permusuhan yang berlaku antara orang islam agar kehidupan yang tenang dan aman dapat dinikmati. Sulh itu sendiri merupakan satu bentuk kontrak yang wujud dan terikat kepada individu yang terlibat. Secara mudahnya, Sulh ini merupakan suatu proses di mana pihak-pihak yang terlibat di dalam suatu pertikaian terhadap satu atau beberapa tuntutan di Mahkamah Syariah dipanggil dan dipertemukan di dalam suatu majlis perundingan terpimpin secara rasmi yang diatur oleh mahkamah berdasarkan prosedur tertentu. Sekiranya perdamaian dapat dicapai, ianya akan dikeluarkan sebagai suatu perintah mahkamah tanpa perlu melalui proses perbicaraan biasa.

     

    Umum kita ketahui bahawa Sulh itu adalah jalan terbaik untuk menyelesaikan pertikaian yang berlaku. Namun begitu, kejayaan kes yang melalui proses Sulh juga adalah bergantung sepenuhnya kepada persediaan pihak-pihak yang bertikai dari segi kesediaan dan komitmen dalam mencapai sesuatu persetujuan bersama. Antara ciri-ciri yang menjadikan sesuatu kes Sulh itu berjaya adalah:-

    • Kesungguhan kedua-dua pihak dalam menyelesaikan tuntutan di luar mahkamah.
    • Kesediaan oleh kedua-dua pihak dalam memberi dan menerima sesuatu pandangan.
    • Kedua-dua pihak berunding secara ikhlas dan terbuka tanpa emosi atau niat untuk membalas dendam.
    • Kedua-dua pihak sedar bahawa penyelesaian adalah bagi kepentingan di masa hadapan.
    • Kedua-dua pihak sedar kelebihan dan kelemahan jika kes dibawa ke perbicaraan.

     

    Pegawai Sulh adalah tertakluk kepada semua arahan amalan dan tatacara yang telah ditetapkan bagi memudahkan proses Sulh dalam mencapai kejayaan dan membantu Mahkamah dalam mempercepatkan kes. Di dalam Kod Etika Pegawai Sulh juga telah dinyatakan dengan jelas etika-etika yang perlu dipatuhi oleh Pegawai Sulh termasuklah dengan melaksanakan tugasnya dengan penuh keadilan sepertimana yang dikehendaki oleh hukum syarak serta tidak berkelakuan berat sebelah ketika menjalankan Majlis Sulh. Namun begitu, sekiranya seorang Pegawai Sulh tersebut telah menjalankan tugasnya dengan tidak adil dan hanya memenangkan sebelah pihak sahaja maka di dalam kes ini encik boleh membuat aduan terhadap Pegawai Sulh tersebut.

     

    Sebarang aduan mengenai perlangggaran etika oleh Pegawai Sulh semasa menjalankan tugas boleh dilakukan di Mahkamah Syariah ataupun di bahagian Sulh tersebut. Sebaik sahaja aduan dilakukan, pihak atasan akan menyiasat setiap aduan yang dibuat berdasarkan isu-isu yang dibangkitkan oleh encik seperti bagaimana Pegawai Sulh itu mengendalikan kes tersebut dan sebagainya.

     

    Saya faham encik juga pasti tertanya-tanya sama ada selepas aduan dibuat terhadap Pegawai Sulh tersebut, bagaimana dengan sesi Majlis Sulh yang seterusnya. Dalam kes ini, encik boleh membuat pemintaan untuk menukar Pegawai Sulh yang bertugas bagi mengendalikan kes encik. Namun begitu, Majlis Sulh yang akan dijalankan perlulah dimulakan dari awal kembali bermula daripada sebelum bermula perbincangan.

     

    Akhir sekali, bagi persoalan encik sama ada keputusan di dalam Majlis Sulh boleh dibatalkan atau tidak jawapannya adalah masih boleh sekiranya keputusan yang dibuat belum diendorskan oleh mahkamah. Hal ini kerana, segala persetujuan yang dibuat oleh pihak-pihak semasa proses sulh berlangsung berkenaan sesuatu pertikaian akan ditandakan oleh Pegawai Sulh di dalam satu borang persetujuan bersama. Borang tersebut kemudiannya akan diendorskan oleh mahkamah bagi tindakan hakim untuk mengesahkan dan menguatkuasakan persetujuan yang telah dibuat oleh pihak-pihak dengan serta merta. Di dalam situasi encik ini, selagi keputusan tersebut belum diendorskan ke mahkamah bagi mahkamah mengeluarkan satu perintah bersih maka encik masih berpeluang untuk membatalkan persetujuan yang telah dibuat.

     

    Namun sekiranya persetujuan tersebut telah diendorskan oleh mahkamah, encik tidak boleh menarik semula persetujuan yang telah dibuat itu. Walaubagaimanapun, encik masih boleh untuk membuat Tuntutan Mengubah Perintah bagi perintah nafkah anak dan hak jagaan anak sahaja dengan menyatakan perubahan matan yang berlaku dalam terma perintah sebagai contoh perubahan perbelanjaan nafkah anak yang meningkat disebabkan kos pendidikan.

     

    Saya harap penjelasan ringkas yang diberikan dapat mambantu pihak encik dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi.

     

    Sekian terima kasih.

    Disediakan oleh Nadhirah Adibah binti Haznul Izad untuk Peguam Syarie Faiz Adnan & Associates

     

  • BOLEH KE WARIS MENUNTUT HARTA SEPENCARIAN BAGI PIHAK SI MATI?

    BOLEH KE WARIS MENUNTUT HARTA SEPENCARIAN BAGI PIHAK SI MATI?

    Soalan:Assalamualaikum… Ibu saya sudah meninggal tetapi tiada tuntutan harta sepencarian dibuat. Dalam pada masa yang sama, ayah saya mempunyai isteri kedua. Soalan saya, boleh ke saya sebagai waris si mati (ibu saya) membuat tuntutan harta sepencarian bagi pihak ibu saya? Sebab apa yang saya faham, harta sepencarian ni yang boleh tuntut suami atau isteri sahaja kerana melibatkan harta pasangan masing-masing…mohon penjelasan, terima kasih.”

     

    Sepertimana yang kita sedia ketahui, orang yang berhak menuntut harta sepencarian selepas kematian adalah suami atau isteri si mati kerana ia adalah hak perkongsian mereka berdua.  Peruntukan bagi harta sepencarian pasangan suami isteri terdapat di dalam setiap Enakmen atau Akta di setiap negeri-negeri di Malaysia. Di Selangor, menurut Seksyen 2(1), Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003, tafsiran Harta Sepencarian; menjelaskan bahawa harta sepencarian adalah harta yang diperolehi bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuatkuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum Syarak.

     

    Seksyen 122 enakmen yang sama juga memperuntukan berkenaan dengan kuasa mahkamah memerintah pembahagian harta sepencarian yang diperolehi, dapat kita simpulkan bahawa harta sepencarian adalah harta yang terhasil sama ada dengan usaha bersama antara suami isteri atau salah satu pihak dalam suatu perkahwinan yang sah mengikut undang-undang.

     

    Walaupun begitu, ianya tidaklah menjadi penghalang bagi waris si mati yang telah membuat tuntutan harta sepencarian selepas kematian salah satu pihak tetapi meninggal sebelum kes dapat dibicarakan untuk meneruskan tuntutan tersebut. Ini dapat dilihat dalam kes Wan Chik bin Wan Abdul Kadir lwn. Esah Zakarian dan 5 YL, plaintif merupakan anak lelaki kepada kedua-dua si mati iaitu Wan Abdul Kadir (bapanya) dan Jeriah (ibunya). Tuntutan dibuat ekoran tuntutan yang dibuat oleh Jeriah, isteri kedua Wan Abdul Kadir, yang telah meninggal dunia sebelum kes dapat dibicarakan. Mahkamah telah meluluskan tuntutan dengan memberikan hak satu per tiga dari harta alih dan harta tak alih sebagai harta sepencarian Jeriah.

     

    Yang menjadi persoalan adalah, adakah waris isteri tadi boleh membuat tuntuan harta sepencarian sekiranya tiada tuntutan dibuat oleh isteri sebelum dia meninggal dunia?

     

    Perkara ini mungkin terjadi apabila suami berpoligami. Terdapat situasi: Pertama: suami meninggal dunia, kemudian salah seorang isterinya pula meninggal tanpa membuat tuntutan harta sepencarian. Kedua: Salah seorang isteri meninggal, tetapi suami masih hidup. Adakah waris isteri tersebut boleh menuntut harta sepencarian bagi pihaknya?

     

    Pendirian mahkamah di dalam kes Tuan Awang Tuan Mamat & Others lwn. Tuan Alam bin Tuan Ahmad @ Other, plaintif merupakan anak kepada kedua-dua si mati iaitu Tuan Mamat (ayah plaintif) dan Tuan Sonik (ibu plaintif). Manakala pihak Defendan pula adalah keluarga isteri kedua Tuan Mamat. Mahkamah memutuskan tuntutan plaintif di tolak dengan alasan bahawa kedua-dua ibu bapa mereka telah lama meninggal dunia iaitu lebih 50 tahun. Akan tetapi pihak mahkamah tidak menafikan hak waris untuk menuntut harta sepencarian bagi pihak si mati.

     

    Walau bagaimanapun, waris-waris suami atau isteri kepada si mati boleh menuntut harta sepencarian jika salah satu pihak masih hidup tidak membuat sebarang tuntutan. Sebagai contoh, apabila suami mempunyai dua orang isteri dan salah seorang isterinya meninggal dunia, maka waris kepada isteri si mati tersebut boleh menuntut harta sepencarian bagi pihak si mati.

     

    Jika diteliti dari kes Hajjah Saudah lwn. Hanafi Hj. Daud & Lain-lain, Plaintif adalah isteri kepada si mati yang telah menuntut harta sepencarian terhadap empat lot tanah yang didaftarkan atas nama si mati. Manakala Defendan pula ialah anak-anak si mati dari isterinya yang kedua. Defendan dalam tuntutan balas mereka menuntut enam lot tanah lain yang didaftarkan atas nama Plaintif sebagai harta sepencarian bagi pihak bapa mereka. Pihak mahkamah telah memutuskan bahawa empat lot tanah itu adalah harta sepencarian dan enam lot tanah yang didaftarkan atas nama Plaintif turut dianggap sebagai harta sepencarian. Plaintif telah membuat rayuan terhadap keputusan mahkamah tinggi yang memutuskan bahawa enam lot tanah yang didaftarkan atas namanya ialah harta sepencarian. Mahkamah Rayuan Syariah Kelantan telah memberi pilihan kepada perayu (Plaintif) untuk bersumpah syarie yang enam lot itu adalah miliknya sendiri. Setelah bersumpah, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa enam lot tanah tersebut bukanlah harta sepencarian dan ia adalah milik perayu persendirian. Sekiranya perayu enggan bersumpah, tuntutan harta sepencarian oleh waris bagi pihaknya boleh diterima.

     

    Berdasarkan kes di atas, berasaskan pandangan bahawa hak terhadap harta sepencarian adalah hak yang sememangnya thabit dalam diri, sama ada si suami mahupun si isteri, yang boleh dituntut sama ada dalam perceraian, ketika suami ingin berpoligami atau kematian salah satu pihak. Maka waris si mati juga berhak menuntut harta sepencarian bagi si mati. Cumanya yang menjadi persoalan adalah, bagaimana waris si mati dapat membuktikan dan memuaskan hati mahkamah bahawa harta tersebut adalah harta sepencarian si mati yang memberi sumbangan secara langsung atau tidak langsung semasa dalam tempoh perkahwinan si mati.

  • fasakh-kemenangan-yang-berstrategi

    FASAKH: KEMENANGAN YANG BERSTRATEGI (BHG 2)

    FASAKH – Pada penulisan yang terdahulu, topik yang dibincangkan adalah berkaitan bagaimana seseorang Hakim bicara menghakimi bahawa terdapatnya penderaan dalam menuntut permohonan fasakh; rujuk artikel FASAKH: KEMENANGAN YANG BERSTRATEGI (BHG 1). Kes-kes yang telah dibentangkan, telah membuktikan bahawa mahkamah lebih cenderung untuk membubarkan perkahwinan secara fasakh apabila penderaan itu dibuktikan melalui laporan perubatan, keterangan saksi-saksi yang kompeten dan laporan polis. Penulisan kali ini pula akan mengupaskan tentang satu lagi cara untuk membuktikan terdapatnya penderaan untuk menuntut fasakh iaitu melalui iqrar dan juga fungsi-fungsi peguam dalam mengendalikan kes-kes fasakh.

     

    Iqrar

    Mahkamah juga turut menerima iqrar seseorang dalam menghakimi kes. Sebagaimana yang terdapat di dalam kes F Y v Z I [2009] 1 SHLR 86. Yang kena tuntut di dalam keterangannya mengaku ada memukul pihak Yang Menuntut sebanyak empat kali. Yang menuntut pula mendakwa yang kena tuntut ada memukulnya lebih dari empat kali. Oleh itu mahkamah memfasakhkan akad nikah perkahwinan mereka.

     

    Menurut undang-undang keterangan Islam, pengakuan Yang Kena Tuntut itu dinamakan iqrar. Iqrar sebagaimana di dalam kitab I’aanatul Taalibin Juz 3, ms 187 menyebut: Iqrar dari segi bahasa bererti mensabitkan, manakala menurut Syarak diertikan sebagai memberitahu hak seseorang atas dirinya. Ikrar juga dinamakan sebagai iktiraf.

     

    Tidak terdapat perselisihan pendapat di kalangan ahli-ahli perundangan Islam (fuqaha) bahawa iqrar adalah satu alat pembuktian. Ianya sabit berdasarkan kepada al-Quran dan al-Sunnah. Firman Allah SWT: “Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekali pun terhadap diri kamu sendiri”, Surah an-Nisa’ (4):135.

     

    Iqrar adalah kesaksian ke atas diri sendiri, iaitu pengakuan dengan hak yang didakwa ke atas diri sendiri. Di dalam undang-undang keterangan Islam yang bertulis pada hari ini seperti mana diperuntukkan di dalam Akta Keterangan Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 di dalam sub-s 17(1) memperuntukkan: Iqrar ialah suatu pengakuan yang dibuat oleh seseorang, secara bertulis atau lisan atau dengan isyarat, menyatakan bahawa dia mempunyai obligasi atau tanggungan terhadap seseorang lain berkenaan dengan sesuatu hak. Di dalam sub-s 17(2)(a) diperuntukkan: (2) Sesuatu iqrar hendaklah dibuat — (a) di dalam mahkamah, di hadapan hakim.

     

    Kesimpulan

    Jadi dapat disimpulkan, untuk mahkamah menghakimi sesuatu kes bahawa terdapatnya penderaan sebagai satu asbab untuk memfailkan fasakh, , mahkamah akan melihat kepada perkara-perkara:

    1. Laporan doktor
    2. Repot Polis
    3. Saksi – saksi yang kompeten
    4. Ikrar

     

    Oleh itu apabila berlaku keganasan rumah tangga, apa yang perlu dilakukan adalah yang pertama, dengan segera membuat pemeriksaan dan mendapatkan laporan doktor. Kedua, ambil gambar lebam atau apa apa objek yang digunakan untuk menyakiti sebagai bukti. Ketiga, pergi terus ke balai polis untuk membuat laporan tentang penderaan yang berlaku. Keempat, mangsa dinasihatkan untuk menceritakan masalah didera dengan keluarga, rakan atau saudara mara. Semua ini adalah bahan bukti yang boleh membantu keterangan di mahkamah syariah dalam menuntut fasakh. Sebaiknya pihak yang menjadi pemohon di dalam kes fasakh dinasihatkan melantik seorang peguam bagi membantu beliau di dalam menguruskan kes.

     

    Fungsi peguam di dalam kes fasakh

    Perceraian boleh menjadi sukar walaupun kedua-dua pasangan bersetuju untuk berpisah. Ia juga adalah satu proses yang panjang. Sebaik sahaja anda bercerai, semuanya mesti dibahagikan antara anda berdua. Jika anda cuba berunding dengan pasangan anda sendiri, anda mungkin tidak dapat mencapai kata sepakat. Pasangan anda mungkin juga akan mendapatkan peguam mereka sendiri untuk melindungi kepentingan mereka. Anda juga mungkin akan mengalami kepayahan sewaktu permohonan kepada mahkamah kerana contohnya kesusahan dalam memahami jargon undang-undang atau dalam langkah-langkah dalam proses untuk memohon untuk menuntut fasakh.

     

    Jika anda meneruskan tanpa peguam, anda mungkin akan melakukan kesalahan. Kesilapan ini boleh melambatkan atau merumitkan proses perceraian. Seorang peguam dapat membantu anda untuk melindungi hak hak anda. Ini kerana mereka lebih tahu tentang selok belok undang undang. Permohonan Fasakh memerlukan satu pembuktian yang berat. Oleh itu, melantik seorang peguam adalah amat digalakkan kerana peguam dapat membantu pemohon dalam membuktikan bahawa terdapatnya penderaan. Rundingan dengan peguam selalunya akan memandu pemohon untuk memahami proses perundangan, keperluan fakta dan pembuktian serta saksi supaya kes itu boleh menang atau akhirnya diluluskan oleh Hakim.

     

    Peranan peguam juga akan menentukan strategi berkesan dan teratur supaya setiap fakta dibentangkan mudah difahami oleh seorang Hakim Bicara. Apatah lagi apabila fakta dibentangkan diolah dengan bukti yang kukuh dan saksi yang kompeten sehingga hakim bicara dapat menggambarkan fakta itu dengan jelas dan menyakinkan. Sebab itulah pentingnya melantik seorang peguam yang berkemahiran dan berpengalaman. InsyaAllah dapat membantu menjayakan sesuatu kes dimahkamah.

     

    Walaupun penderitaan dialami seseorang pemohon di dalam konteks fasakh itu benar tetapi belum tentu kebenaran itu dapat menyakinkan seseorang hakim bicara sehinggalah ia dibentangkan dengan jelas dan teratur disokong dengan pembuktian dan saksi yang kukuh dan konsisten. Malah peranan peguam juga mudah-mudahan akan menjayakan sesuatu kes fasakh itu.

     

    Saya akhiri dengan kata-kata keramat daripada Saidina Ali R.A الحق بلا نظام قد يغلبه الباطل بلا نظام “(al-haqqu bilā nidhomin qod yaglibuhu al-bāthilu bin nidhōm)” yang bermaksud “kebenaran tanpa strategi mudah dikalahkan dengan kebatilan yang berstrategi”. Renung-renungkan dan selamat beramal.

    Artikel disediakan oleh: Hajar Mardhiah untuk Peguam Syarie Faiz Adnan & Associates

  • fasakh-kemenangan-yang-berstrategi

    FASAKH: KEMENANGAN YANG BERSTRATEGI (BHG 1)

    Fasakh ditakrifkan sebagai pembubaran akad nikah melalui keputusan hakim. Secara ringkasnya, mahkamah membenarkan perceraian apabila ia berpuas hati, berdasarkan fakta kes, saksi-saksi dan bukti kukuh yang kompeten bahawa terdapat alasan untuk pasangan itu bercerai. Pembubaran perkahwinan melalui fasakh tidak memerlukan suami melafazkan talak, pergantungan taklik, mahupun pembayaran pampasan oleh isteri kepada suami di bawah khuluk. Untuk bercerai melalui fasakh, apa yang diperlukan pemohon membuat permohonan  di mahkamah untuk perintah fasakh melalui peruntukan seksyen yang sesuai.

     

    Misalnya,merujuk kepada Seksyen 53 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Sembilan) 2003, Bahagian V – Pembubaran Perkahwinan, seseorang perempuan atau lelaki, mengikut mana-mana yang berkenaan, yang berkahwin mengikut Hukum Syarak berhak mendapat suatu perintah untuk fasakh atas satu atau lebih daripada alasan yang berikut, iaitu— (h) bahawa suami atau isteri menganiayai isteri atau suaminya iaitu, antara lain— (i) lazim menyakiti atau menjadikan kehidupannya menderita disebabkan oleh kelakuan aniaya;

     

    Kebiasaannya, kes-kes yang dirujuk di Mahkamah Syariah terutamanya dalam pembubaran secara fasakh melibatkan penderaan secara fizikal kerana ia lebih mudah dibuktikan melalui kesan fizikal, laporan perubatan dan laporan polis.

     

    Sebagai contoh, di dalam kes D Hjh S bt P D Hj A v Hj M S bin Hj A [2011] 3 SHLR 99 plaintif telah menfailkan tuntutan cerai secara dharar syarie.. Plaintif di dalam tuntutannya menyatakan antara lain, bahawa defendan telah lazimnya menyakiti atau menjadikan kehidupan plaintif menderita disebabkan oleh kelakuan aniayanya. Defendan juga telah menggunakan kekerasan fizikal terhadap plaintif. Mahkamah memutuskan mentalaq plaintif dengan satu talaq bain sugra.

     

    Di dalam kes ini, plaintif telah mengemukakan dua dakwaan:

    • defendan memukul plaintif pada 9 Januari 1997; dan
    • defendan memukul plaintif sebelum plaintif keluar rumah pada 8 September 2002.

     

    Laporan Perubatan

    9 Januari 1997

    Plaintif mendakwa defendan ada memukulnya menyebabkan plaintif mengalami kecederaan di bahagian telinga kiri. Selepas kejadian itu plaintif ke klinik untuk mendapatkan rawatan. Akibat pukulan tersebut plaintif telah mendapat kecederaan seperti mana ekshibit yang telah dikemukakan kepada mahkamah iaitu. Pihak defendan telah mendakwa bahawa keterangan plaintif tersebut adalah bercanggah dengan apa yang dinyatakan dalam ekshibit. Dalam ekshibit.  menyatakan bahawa plaintif mendapat kecederaan adalah akibat dari terjatuh dalam bilik mandi dan tidak pula menyatakan plaintif dipukul. Keterangan ini menurut defendan dikuatkan lagi dengan keterangan yang diberikan oleh saksi dalam mahkamah ini.

     

    Namun perkara ini disangkal oleh plaintif bahawa plaintif tidak memberitahu sepenuhnya kejadian sebenarnya kepada saksi dengan alasan tidak mahu rahsia rumahtangga diketahui orang lain dan tidak mahu berpanjangan. Oleh yang demikian plaintif mempunyai sebab untuk tidak bercakap benar di hadapan saksi iaitu orang yang merawat plaintif.

     

    Dalam hal ini  mahkamah dapati bahawa hanya keterangan yang berhubung dengan kecederaan sahaja yang dikemukakan saksi. Sedangkan keterangan mengenai dakwaan dipukul tidak dikemukakan sebarang saksi mengenainya. Mahkamah tidak mendapati ada sebarang saksi yang tahu mengenai dengan punca kecederaan plaintif disebabkan oleh dipukul oleh defendan ataupun sekurang-kurangnya mendengar dari plaintif. Dengan alasan demikian mahkamah berpendapat bahawa keterangan menyatakan plaintif terjatuh dalam kamar mandi dan terhantuk ke besin itu adalah lebih meyakinkan mahkamah untuk menerima berbanding dengan dakwaan dipukul oleh defendan.

     

    Oleh itu,  seharusnya apabila mangsa kepada penderaan berhadapan dengan situasi begini, mangsa dinasihati untuk jujur sahaja tentang apa yang berlaku kepada pegawai kesihatan yang memeriksa. Ini kerana mahkamah lebih cenderung untuk menerima fakta yang mempunyai bukti. Apabila mangsa tidak jujur,  ia telah menutup satu jalan untuk membuktikan terdapatnya penderaan.

     

    Keterangan Saksi

    8 September 2002

    Menurut keterangan plaintif, plaintif dipukul di tangan dan di belakang badan. Menurut plaintif lagi memang ada lebam dilihat oleh ibu bapa plaintif semasa balik ke rumah mereka. Dalam keterangan Saksi pertama, beliau menyatakan bahawa plaintif ada menunjukkan tangannya biru dan plaintif menyatakan dia dipukul. Dalam keterangan Saksi kedua pula ada menyatakan bahawa dia ada mendengar plaintif dan defendan berkelahi dan beliau ada mendengar tentang cerita defendan membaling jam kearah Plaintif.

     

    Saksi ketiga pula dalam keterangannya menyatakan beliau ada bertanya tentang pertelingkahan yang berlaku.. Saksi melihat ketika Plaintif memakai t-shirt, di sebelah tangan antara bahu dan siku ada lebam biru, dan bila ditanya, plaintif memberitahu ia merupakan kesan dipukul dengan kotak jam beberapa kali.

     

    Saksi keempat dalam keterangannya pula menyatakan plaintif bercerita, plaintif dipukul oleh suami. Plaintif bercerita bila sudah di rumah, plaintif ada bertengkar dan terus di pukul suami di lengan dan menunjukkan tempat yang dipukul.  Saksi melihat lengan disebelah kirinya sudah ‘mambang’’ dipukul beberapa kali. Yang saksi nampak biru-biru lebam.

     

    Mahkamah memutuskan bahawa, dalam kejadian yang didakwa ini plaintif telah mengemukakan saksi yang tidak melihat secara langsung akan kejadian dipukul tersebut. Saksi-saksi tersebut  melihat kesan dari kejadian tersebut iaitu lebam-lebam, biru dan ‘mambang’ menurut keterangan masing-masing saksi. Keterangan saksi-saksi ini walaupun bukan keterangan saksi-saksi secara langsung tetapi keterangan mereka ini adalah dianggap sebagai keterangan secara qarinah yang diterima pakai oleh mahkamah sebagai hukum syara seperti mana yang termaktub dalam Akta Keterangan Mahkamah-Mahkamah Syariah, 2001. mahkamah berpuashati mendapati defendan telah melakukan penganiayaan terhadap plaintif dengan memukulnya pada 3 September 2002.

     

    Jelaslah bahawa disini  mahkamah akan masih menerima pernyataan saksi walaupun saksi tersebut tidak melihat secara langsung  penderaan tersebut. Ia sudah mencukupi untuk  seseorang saksi itu melihat apa yang terjadi kesan daripada penderaan seperti terdapatnya lebam, pendarahan atau luka. Jadi untuk mengumpulkan bukti, amatlah penting untuk mangsa penderaan berkongsikan masalah kepada orang lain, jangan pendam, kerana mungkin suatu hari mereka dapat membantu menjadi saksi sewaktu perbicaraan.

     

    Laporan Polis 

    Di dalam kes WSWH v RK [2018] 4 SHLR 73 Plaintif mendakwa sepanjang tempoh perkahwinan, defendan ialah seorang suami yang panas baran, sering marah, suka menyumpah seranah, sering mengugut serta pernah memukul plaintif apabila berlaku perselisihan faham. Pada bulan Mei 2015 semasa berada di dalam rumah di hadapan anak-anak, defendan telah bertindak memukul peha plaintif sebanyak tiga kali. Kejadian ini telah diakui oleh defendan dalam keterangannya. Akibat perbuatan ini, terdapat kesan lebam pada peha plaintif dan mengalami kesakitan yang berterusan malahan plaintif turut ditahan di Hospital Ampang. Plaintif turut mengemukakan sesalinan laporan polis bertarikh 14 Mei 2015 dan sesalinan gambar yang menunjukkan kesan pukulan oleh defendan.

     

    Pada 27 Julai 2015 ketika berada di kedai kraftangan plaintif, defendan telah datang membuat kecoh dan berlaku perselisihan faham sehingga defendan bertindak menolak plaintif hingga terjatuh. Sesalinan laporan polis tarikh tersebut telah dilampirkan sebagai bukti. Plaintif mendakwa segala perlakuan defendan tersebut telah menyebabkannya berasa trauma dan takut. Saksi plaintif (1) dalam keterangannya mendakwa kejadian tersebut diketahuinya melalui salah seorang pekerja plaintif yang memaklumkan kepadanya. Saksi plaintif (1) terus menghubungi ibu saudaranya dan dua orang bapa saudaranya untuk membuat laporan polis. Mahkamah menerima salinan laporan polis dan gambar kesan pukulan tersebut berdasarkan kepada s 49 EKMSS 2003.

     

    Oleh itu, mangsa dera dinasihatkan agar bersegera ke mana-mana balai polis untuk membuat laporan. Laporan yang dibuat tidak semestinya meminta polis membuat tindakan, tapi ia boleh menjadi laporan asas sahaja (cover report).

     

    Kesimpulan

    Setakat ini, telah diperjelaskan secara ringkas betapa perlunya pembuktian fakta sama ada melalui keterangan saksi yang kompeten dan konsisten serta tindakan susulan melalui pemeriksaan doktor serta repot polis bagi memperlihatkan kepada Mahkamah betapa serius sesuatu dakwaan. Saya akan menambah isu-isu lain di keluaran akan datang.

  • 8 PERKARA WAJIB TAHU TENTANG KONSULTASI GUAMAN DARI KACAMATA PEGUAM (BAHAGIAN 2)

    Konsultasi Guaman Bahagian 2 – Artikel kali ini lebih memfokuskan kepada persediaan oleh pihak peguam syarie sendiri dalam menghadiri dan mengepalai sesi konsultasi bersama klien. Seperti yang kita sedia maklum, sesi konsultasi guaman adalah sesi yang melibatkan dua atau lebih individu dan memerlukan komitmen dan fokus daripada setiap pihak yang terlibat. Pastinya, pihak klien telah menaruh harapan yang tinggi serta mengharapkan reaksi dan khidmat yang terbaik daripada peguam yang dirujuk. Hakikatnya, ianya adalah suatu tanggungjawab yang besar yang dipikulkan kebahu anda sebagai seorang wakil kepada klien.

     

    Oleh kerana tidak semua orang mampu untuk menguruskan urusannya secara bersendirian, Islam membenarkan untuk seseorang menyerahkan urusannya kepada seorang wakil untuk menguruskannya sepertimana yang dijelaskan dalam Al-Quran tentang kisah penghuni gua di dalam Surah al-Kahfi [1] dan jelas, tiada larangan terhadap tindakan tersebut. Apa yang penting, urusan tersebut hendaklah diuruskan oleh pihak yang berkemampuan, layak dan mempunyai kepakaran kerana setiap urusan yang diwakilkan adalah sebuah amanah. Justeru, ianya tidak boleh dipandang enteng kerana setiap amalan dan amanah yang dipikul akan dipertanggungjawabkan kelak. Penulisan kali ini mengandungi beberapa pendedahan serta tips-tips berguna kepada para peguam syarie yang masih baru dalam profesion guaman dan litigasi bahkan bermanfaat untuk pihak klien sebelum menjalani proses konsultasi.

     

    TIPS #1: SAPAAN DAN PEMBUKAAN YANG MENGALU-ALUKAN

    Perkara paling utama yang sering dinilai oleh klien dalam sesi rundingan atau konsultasi guaman adalah budi bicara dan toleransi daripada pihak peguam/peguam syarie. Klien yang hadir untuk mendapatkan nasihat perundangan biasanya adalah mereka yang teraniaya dan ingin dibela nasibnya. Pastinya mereka mengharapkan perhatian dan budi bicara yang terbaik daripada peguam mereka. Gunakan panggilan yang sesuai mengikut latar belakang klien seperti Tuan/Puan, Dato’/Datin dan sebagainya. Hidangkan minuman dan kudap-kudapan yang sesuai serta buka perbualan dengan beramah mesra dan suai kenal. Pastikan sesi pengenalan ini ringkas tetapi cukup untuk mengambil hati serta mampu menarik perhatian klien.

     

    Selain itu, pastikan anda mempunyai keupayaan untuk menerangkan perkara-perkara rumit kepada perkataan yang mudah difahami oleh klien. Berdasarkan sebuah kajian yang dikendalikan oleh cendekiawan sosio-perundangan terkemuka Bill Felstiner, peguam sering gagal dalam melayan pelanggan dengan hormat, tidak menganggap sifat hubungan interpersonal dengan pelanggan sebagai aspek penting dalam undang-undang amalan, lebih banyak didorong oleh pulangan kewangan berbanding nilai professional, tidak dapat diakses dan tidak responsif, komunikator yang lemah serta tidak tahu bagaimana menangani klien dengan berkesan [2]. Nilai-nilai negatif seperti ini ibarat menconteng arang terhadap institusi perundangan negara bahkan memberi kesan kepada keyakinan masyarakat terhadap ahli dalam bidang perundangan sendiri. Justeru, jadilah peguam yang terbaik yang menjaga etika dan mampu memenangi hati klien dan dalam masa yang sama membina keserasian dengan pihak klien.

     

    TIPS #2: BERIKAN RUANG KEPADA KLIEN

    Mulakan sesi rundingan dengan merujuk kepada tujuan sesi rundingan diadakan. Berikan ruang untuk klien untuk menceritakan masalah yang dihadapi dan meluahkan perasaan. Lebih-lebih lagi dalam kes Syariah, kebanyakan klien lebih beremosi dek kerana isu-isu rumahtangga dan keluarga yang dihadapi sehari-hari. Ada yang tenang sahaja, ada juga yang marah-marah dan ada juga yang menangis teresak-esak. Peguam mesti bertindak menenangkan klien dan berikan respon terhadap luahan dan ceritanya sebagai isyarat bahawa anda sedang mendengar. Dari sini, peguam boleh menganalisa watak dan personaliti klien. Kenal pasti apakah cara pendekatan yang paling sesuai mengikut watak klien anda.

     

    TIPS #3: PANDU KLIEN AGAR TIDAK TERSASAR DARIPADA TUJUAN UTAMA

    Seorang peguam mestilah memiliki kemahiran dalam memandu arah perbincangan supaya sentiasa dalam fokus dan target yang betul. Tujuannya adalah supaya menjimatkan masa kedua-dua pihak dan memastikan setiap maklumat yang diperlukan diperolehi dengan lengkap dalam masa yang terhad. Adakalanya anda akan berhadapan dengan situasi di mana klien kurang bercakap atau kurang memberi respon. Ada juga keadaan di mana klien tidak mampu bercerita sepertimana yang anda mahukan. Teknik terbaik untuk memandu arah perbincangan tersebut dengan mengadakan ‘cross conversation’ iaitu soal dan jawab di antara anda dengan klien.

     

    Melalui teknik cross conversation ini, anda mesti mempunyai kebolehan untuk mengenal pasti apakah isu utama kes tersebut serta tindakan atau tuntutan yang bersesuaian berdasarkan maklumat yang diberikan oleh klien. Utarakan soalan terbuka (open question) kepada klien anda supaya klien boleh menghuraikan dengan lebih terperinci dan teknik ini terbukti sebagai teknik komunikasi paling efektif. Kemukakan soalan yang akan membuat mereka cenderung untuk kupaskan masalah dan situasi mereka. Cara ini akan memberi anda gambaran mengenai keperluan dan kemahuan mereka [3]. Antara kesalahan-kesalahan yang biasanya dilakukan oleh peguam adalah kegagalan untuk memandu arah perbincangan yang mana akhirnya maklumat yang diperolehi tidak lengkap dan tempoh rundingan dibazirkan dengan kupasan yang tidak signifikan bagi kes. Kebanyakan peguam juga cenderung untuk membuat andaian terlalu awal tanpa mengambil kira isu-isu dengan lebih kritikal.

     

    TIPS #4: ASAH KEMAHIRAN MENGANALISA KES

    Peguam yang bagus juga mestilah mampu untuk menganalisa kes dengan pantas dan cekap hasil daripada sesi rundingan/konsultasi guaman yang telah dilaksanakan. Antara perkara yang anda mesti kenal pasti pada peringkat ini adalah isu dan tuntutan yang sesuai dengan kes, pengurusan kronologi kes, hujahan atau pembelaan yang berkemungkinan dikemukakan oleh pihak lawan dan juga pandangan dari sudut perundangan (legal opinion) yang akan diberikan kepada pihak klien. Dalam isu memberikan legal opinion kepada klien, adalah lebih baik sekiranya anda dapat memberikan pandangan pada hari yang sama sesi rundingan guaman tersebut diadakan. Namun, anda juga boleh meminta masa daripada pihak klien untuk menganalisa kes dengan lebih baik sekiranya kes tersebut adalah kes-kes berat atau jarang berlaku. Ini juga adalah sebagai langkah berjaga-jaga bagi memastikan kes tersebut dinilai dengan lebih teliti.

     

    Selepas tamat sesi rundingan, anda mesti berusaha untuk mengenalpasti setiap perkara yang akan melumpuhkan kes dan juga pilihan solusi yang ada. Pecahkan solusi kepada tiga bahagian (PPC) iaitu; Potential(keberkesanan solusi), Possibilities (kemungkinan) dan juga Challenges (cabaran). Sebaik-baik peguam adalah peguam yang mampu mencari solusi dari pelbagai sudut pandang. Dari situ, anda boleh memberikan pilihan kepada klien untuk membuat keputusan. Berikan jangka masa proses sesebuah kes itu berlangsung supaya boleh membantu klien dalam membuat keputusan yang difikirkan terbaik untuk diri klien.

     

    TIPS #5: JANGAN TERBURU-BURU DALAM MENUTUP KES KONSULTASI

    Di akhir sesi tersebut, anda sepatutnya sudah mampu menilai kecenderungan (preferences) pihak klien. Ada sesetengah klien yang lebih fokus kepada kes, dan tidak terlalu mengambil pusing dalam isu fi dan quotation.  Dalam situasi begini, jangan tergopoh-gapah dalam memberikan quotation kepada klien. Cadangkan kepada klien supaya segala maklumat mengenai fi dihantar melalui emel supaya klien boleh mempertimbangkan dan mengambil keputusan dengan lebih selesa di rumah tanpa rasa kekok atau tidak selesa.

     

    Selain itu, bagi memudahkan pihak klien, peguam yang baik mesti mencuba untuk bekalkan maklumat dan perkara-perkara penting berkaitan kes dalam bentuk penulisan atau dokumen untuk dibawa pulang ke rumah supaya pihak klien boleh menyiapkan diri dengan pengetahuan dan seterusnya bersedia dalam menghadapi proses perbicaraan. Misalnya, sekiranya anda memerlukan maklumat-maklumat atau bahan bukti yang lain daripada pihak klien, senaraikan dan serahkan kepada klien supaya memudahkan klien anda dalam membantu kes dan dalam masa yang sama memudahkan kerja anda bahkan lebih tersusun dan teratur.

     

    TIPS #6: PENETAPAN YURAN KONSULTASI

    Pihak peguam wajar untuk mengenakan yuran konsultasi kepada klien. Ini adalah kerana ia menunjukkan suatu nilai bahawa khidmat nasihat guaman/konsultasi guaman ini adalah sesuatu yang amat berharga dan ianya juga adalah sebagai suatu penghargaan kepada peguam yang menggunakan segala kemahiran dan pengalaman yang diperolehi selama bertahun lamanya. Khidmat nasihat guaman diberikan bukan hanya sekadar borak-borak di kedai kopi sahaja. Setiap nasihat dan pandangan yang diberikan dalam sesi konsultasi adalah bersandarkan kepada pengetahuan peguam itu sendiri yang telah melalui tempoh pembelajaran yang lama di Institusi Pengajian Tinggi dan juga pengalaman semasa yang diperolehi setelah bertahun-tahun berkhidmat sebagai peguam. Kemahiran dalam menguruskan kes sepanjang tempoh perbicaraan adalah kemahiran yang tidak ada pada profession lain bahkan hanya peguam yang terlibat dalam perbicaraan Mahkamah sahaja yang memiliki kemahiran dan kelayakan tersebut. Dalam isu ini, klien harus faham dan melihat sesi konsultasi ini sebagai sebuah perkhidmatan yang diberikan melalui teori yang membina iaitu berbentuk nasihat dan cadangan yang mana sama nilainya dengan khidmat praktikal.

     

    TIPS #7: PASTIKAN PENENTUAN FI ADALAH BERBALOI MENGIKUT KES

    Penentuan yuran guaman ini biasanya bergantung kepada kes berdasarkan jenis dan faktor tertentu. Ghalibnya, kes yang mudah atau clear cut cases, dicaj lebih murah berbanding kes yang berat atau jarang berlaku. Ini kerana, proses penyelidikan dan dokumentasi lebih cepat dan kurang berbanding kes-kes yang berat. Kes-kes berat atau jarang berlaku biasanya memerlukan komitmen yang lebih tinggi termasuklah masa, tenaga, proses penyelidikan dan perkhidmatan sampingan yang melibatkan bayaran tambahan. Yuran guaman juga bergantung kepada jenis dan jarak Mahkamah dengan firma. Sekiranya kes difailkan kepada Mahkamah Rendah, maka jumlah fi lebih murah berbanding kes di Mahkamah Tinggi. Jarak juga memainkan peranan kerana ianya berkaitan dengan yuran kehadiran peguam ke Mahkamah.

     

    Selain itu, yuran guaman juga akan bergantung kepada pengalaman peguam tersebut. Kes yang diuruskan oleh peguam senior lebih tinggi fi nya berbanding dengan peguam junior. Ini kerana, seseorang peguam itu hanya akan digelar peguam senior sekiranya tempoh berkhidmat telah mencapai 7 tahun dan ke atas. Tambahan pula, sekiranya tempoh berkhidmat sebagai peguam telah mencapai 20 tahun ke atas, layaklah peguam tersebut digelar sebagai pakar dalam bidang guaman yang dipraktikkan bahkan lebih mahal yurannya sesuai dengan tempoh yang panjang dan pengalaman yang jauh lebih luas. Jelas di sini bahawa pengalaman dan pengetahuan memainkan peranan yang amat penting dalam profesion guaman. Sekiranya anda seorang peguam yang belum mencapai 7 tahun usia berkhidmat, rebutlah setiap peluang yang ada kerana pengalaman dan pengetahuan adalah yang paling bernilai dalam profesion ini.

     

    TIPS #8: PASTIKAN PENENTUAN FI DIJELASKAN DALAM BENTUK KONTRAK/PERJANJIAN

    Terpulang kepada kreativiti firma atau peguam sendiri untuk mencipta kontrak yang terbaik pada hemat masing-masing. Apa yang penting adalah perjanjian yang ciptakan mengambil kira implikasi-implikasi yang melibatkan pihak klien dan firma sendiri. Perjanjian tersebut mesti ditandatangani oleh kedua-dua pihak barulah ianya dikira sebagai ‘warrant to act’ dan seterusnya membenarkan pembayaran pertama dibuat bagi memulakan proses kerja. Selain itu, penentuan fi mestilah disebut dengan jelas dan terang di dalam perjanjian tanpa ada sebarang fi yang terselindung (Hidden Cost). Ada sesetengah firma yang menetapkan supaya pembayaran dibuat terlebih dahulu. Ada juga yang menggunakan konsep kerja dulu, bayar kemudian. Namun, konsep yang terbaik adalah pembayaran secara berkala mengikut proses pengurusan kes sehinggalah penghakiman dikeluarkan bagi memastikan pembayaran dibuat selayaknya mengikut peringkat dan proses kerja.

     

    PENUTUP

    Semoga perkongsian kali ni memberi manfaat untuk anda. Anda juga boleh rujuk artikel 8 PERKARA WAJIB TAHU TENTANG KONSULTASI GUAMAN DARI KACAMATA ANAK GUAM (BAHAGIAN 1) untuk bacaan tambahan mengenai persediaan dari pihak klien.

    [1] Al-Quran, Surah al-Kahfi (18), ayat 19

    [2] W.L.F. Felstiner, Professional Inattention: Origins and Consequences, in The Human Face of Law 121, 124 (Keith Hawkins ed., 1997). Another excellent review of the literature, both in the United States and Britain, is found in 1 Avrom Sherr et al., Lawyers-The Quality Agenda 5, 5-12 (1994).

    [3] Poojaba, R. (2015). Effective Communication Skills. IJRAR- International Journal of Research and Analytical Reviews, Vol.2.

  • 8 PERKARA WAJIB TAHU TENTANG KONSULTASI GUAMAN DARI KACAMATA ANAK GUAM (BAHAGIAN 1)

    Konsultasi Guaman – Kelihatan staf-staf sedang fokus menyiapkan dokumen-dokumen pliding kes masing-masing untuk pemfailan di Mahkamah. Ada yang sedang khusyuk membaca, ada yang asyik membelek kitab-kitab Fiqh untuk menyediakan hujah dan ada juga yang menyusun fail-fail klien yang bertimbun di atas meja. Tiba-tiba deringan telefon memecah kesunyian pejabat peguam meminta untuk segera diangkat. Kedengaran suara seorang wanita yang lemah lembut dan ramah menyapa di hujung talian dengan selingan suara tangisan dan teriakan anak kecil. Beliau memperkenalkan diri sebagai Puan Syamsiah dan memberitahu tujuan panggilan tersebut dibuat. Soalan demi soalan diajukan Puan Syamsiah sebelum akhirnya membuat keputusan untuk bertemujanji bersama peguam syarie bagi mendapatkan nasihat guaman bagi masalah rumahtangga yang dialami oleh beliau. Terakhir sebelum perbualan tersebut tamat, Puan Syamsiah mengajukan soalan yang biasa ditanya oleh pihak klien; “Adakah apa-apa persediaan yang perlu saya buat atau dokumen-dokumen yang perlu saya bawa sebelum datang ke firma guaman Tuan untuk konsultasi guaman?

     

    Dalam penulisan artikel kali ini, kami akan kongsikan beberapa perkara asas dan tips-tips menarik yang mesti diambil maklum oleh klien sebelum hadir ke pejabat peguam bagi memastikan proses konsultasi guaman berjalan dengan lancar. Sesi konsultasi guaman atau sesi rundingan guaman adalah proses pertama yang akan berlangsung sebelum apa-apa tindakan undang-undang diteruskan di mana ianya juga adalah sebuah peluang kepada pihak klien untuk membuat pilihan dan keputusan yang terbaik untuk kes yang akan dibawa. Proses konsultasi guaman ini boleh dibahagikan kepada tiga fasa iaitu; Sebelum, Semasa dan Selepas sesi konsultasi.

     

    SEBELUM SESI KONSULTASI GUAMAN

    Lakukan Kajian Latar Belakang Firma Guaman dan Peguam

    Adalah lebih baik sekiranya anda lakukan kajian dan selidik latar belakang firma guaman secara ringkas. Dapatkan maklumat-maklumat penting seperti alamat firma, usia penubuhan firma, kelayakan peguam dan staf, perkhidmatan yang ditawarkan dan sebagainya. Perkara ini amat penting bagi memastikan urusan anda diuruskan oleh pihak yang bertanggungjawab dan berpengalaman. Kenalpasti sama ada firma guaman tersebut menawarkan perkhidmatan sama ada perkhidmatan guaman Syariah, Sivil, Jenayah, ataupun Conveyancing.

     

    Sebagai seorang klien, anda juga perlu selidik latar belakang peguam yang berkenaan; tempoh masa berkecimpung dalam amalan guaman, karakter dan kemahiran tambahan yang ada pada peguam tersebut. Perkara-perkara sebegini harus dinilai oleh klien supaya kepercayaan dari pihak klien terhadap peguam tersebut lebih kuat dan juga dapat membantu membina keserasian di antara klien dengan peguam tersebut. Pilih peguam yang stabil dari segi organisasi dan kewangan kerana perjalanan kes mengambil masa yang lama. Perkara ini penting bagi mengelakkan kes terbantut kerana firma ditutup atau lebih serius terjadinya pecah amanah.

     

    Maklumat-maklumat tersebut boleh diperolehi daripada pelbagai sumber seperti kenalan rapat, media sosial, laman web, dan sebagainya. Anda juga boleh mendapatkan maklumat tersebut daripada Mahkamah. Kebiasaanya, peguam-peguam akan dikenali dan berkenalan rapat dengan pegawai dan staf-staf Mahkamah. Seseorang peguam digelar sebagai peguam senior kerana pengalamannya yang melebih 7 tahun dan mereka lebih mahir dan berpengalaman menguruskan kes-kes berat dan jarang (rare cases) apatah lagi kes-kes ringan atau clear cut cases.

     

    Elakkan Gender Bias

    Dalam mengenali dan memilih peguam, pemilihan berdasarkan jantina (gender bias) adalah perkara yang perlu dielakkan. Tak kiralah sama ada peguam tersebut adalah lelaki atau perempuan, apa yang penting adalah kepercayaan dan keserasian anda dengan peguam pilihan anda. Pastikan keutamaan anda adalah pengetahuan, kemahiran dan pengalaman peguam yang mampu membina kepercayaan anda bahawa peguam tersebut mampu untuk menguruskan kes anda dengan baik. Peguam lelaki dan perempuan masing-masing mempunyai kemahiran dan sudut pandang yang mungkin berbeza. Pilihlah berdasarkan kepercayaan yang telah terbina, bukan berdasarkan jantina, umur dan lain-lain.

     

    Sediakan rangka atau kronologi peristiwa-peristiwa penting

    Penyediaan kronologi kes amat penting dalam sesi konsultasi. Ini kerana setiap kejadian yang berlaku akan dibahaskan dengan lebih kritikal semasa perbicaraan di Mahkamah dan ianya diperlukan semasa penyediakan pliding. Adalah lebih baik jika anda dapat sediakan rangka yang lengkap termasuk peristiwa, tarikh, masa dan komen peribadi mengenai insiden-insiden tersebut dengan mengikut turutan kronologi setepat yang boleh. Mulakan dengan senarai insiden atau peristiwa yang penting misalnya untuk kes-kes Syariah; kejadian-kejadian di antara suami isteri seperti pergaduhan, pukul-memukul, apa-apa bentuk kekasaran, atau pengabaian mahupun kejadian curang atau apa sahaja peristiwa yang dilakukan oleh pasangan yang dianggap penting untuk kes.

     

    Bagi kes-kes yang melibatkan lafaz seperti cerai, rujuk, ta’liq, hibah, wasiat dan sebagainya, adalah lebih baik jika lafaz tersebut dinyatakan semula dengan jelas beserta tarikh, masa dan keadaan semasa lafaz tersebut dikeluarkan. Semakin tepat dan jelas ciri-ciri peristiwa tersebut, semakin kuat kredibiliti fakta-fakta yang akan anda bawa di Mahkamah dan ia akan membantu membina keyakinan dan kepercayaan Hakim terhadap fakta yang anda kemukakan dan akhirnya keputusan lebih cenderung untuk berpihak kepada anda. Apa yang pasti, setiap bukti-bukti yang jelas dan terperinci akan meningkatkan tahap kredibiliti anda.

     

    Bawa bukti-bukti munasabah

    Perkara yang paling utama untuk disediakan sebelum hadir untuk mendapatkan nasihat guaman adalah dokumen pengenalan diri, bukti-bukti yang munasabah, serta saksi-saksi yang paling dipercayai. Dokumen atau bukti tersebut termasuklah kad pengenalan diri, sijil perakuan nikah/cerai, sijil lahir anak, tangkap layar perbualan WhatsApp, apa-apa mesej, audio, video dan sebagainya.

     

    Apa sahaja perkara yang anda lihat sebagai relevan untuk kes anda, bawakan semasa sesi konsultasi tersebut. Peguam anda akan meneliti bahan bukti tersebut dan akan memilih bukti-bukti yang paling utama dan sesuai untuk dikemukakan di hadapan Mahkamah. Manakala untuk dokumen-dokumen peribadi, adalah lebih baik jika anda sediakan salinan atau scan dokumen tersebut, kemudian serahkan kepada peguam jika anda risau hilang atau sebagainya.

     

    Perlu diingatkan di sini bahawa setiap dakwaan yang akan anda kemukakan mesti disokong dengan bukti. Misalnya, jika anda mendakwa telah dikasari atau dipukul oleh pasangan, sertakan bukti sokongan seperti laporan polis atau laporan perubatan. Ingat, dakwaan tanpa bukti sokongan hanya sebuah dakwaan semata-mata. Justeru, sentiasalah ambil langkah berjaga-jaga. Ambil tindakan ke atas setiap perkara yang melanggar hak anda sebagai persediaan sekiranya perkara yang lebih besar berlaku.

     

    Bawa saksi yang paling dipercayai

    Sekiranya dalam kejadian tertentu, wujud saksi yang menyaksikan peristiwa tersebut secara langsung (direct witness), saksi tersebut adalah yang paling layak dibawa sebagai saksi utama. Pastikan saksi tersebut ingat dengan jelas setiap satu kronologi kejadian tersebut dan merupakan orang yang paling anda percayai.

     

    SEMASA KONSULTASI BERLANGSUNG

    Ceritakan dengan ringkas dan padat

    Semasa sesi konsultasi, ceritakan dengan ringkas dan padat menggunakan kronologi atau rangka yang telah anda sediakan sebelum hadir ke pejabat peguam. Tunjukkan bukti-bukti yang relevan untuk setiap kejadian tersebut. Tidak perlu risau jika anda akhirnya terpaksa mengalirkan air mata kerana situasi tersebut adalah sangat normal apatah lagi dalam kes-kes Syariah dan ianya amat difahami oleh pihak peguam. Peguam yang baik akan memandu anda ke arah perbincangan yang lebih efektif memenuhi kehendak anda dalam masa yang sama memenuhi kriteria undang-undang. Oleh itu, pilihlah peguam yang serasi dengan anda serta mahir dalam menguruskan kes.

     

    Dalam menempuhi sesuatu permasalahan pasti akan memberi impak emosi sehingga ada yang tidak mampu untuk menanganinya. Namun begitu, khidmat guaman adalah platform terbaik yang mempunyai kepakaran dari sudut undang-undang dan hukum Syarak serta mampu untuk menjaga kepentingan anda.

     

    Tempoh masa yang optimum untuk satu sesi konsultasi adalah selama 1 jam 30 minit. Pada awal sesi, anda biasanya akan diberi ruang untuk menceritakan masalah anda dan kemudiannya perbincangan tersebut akan dipandu oleh peguam anda mengikut perspektif dan kriteria undang-undang. Cara yang paling efektif dalam sesi konsultasi adalah melalui teknik Cross Conversation, iaitu dengan cara soal dan jawab. Peguam anda akan bertanyakan soalan-soalan yang penting dari sudut pandang undang-undang dan anda akan menjawab sambil menceritakan dari sudut pandang anda sendiri. Cara ini lebih menjimatkan masa sekali gus memenuhi kehendak kedua-dua pihak.

     

    Bersikap jujur dan telus

    Banyak adegan yang dipertontonkan di dalam Drama atau Filem yang melibatkan prosedur litigasi di mana klien bertindak merahsiakan perkara tertentu yang mungkin memalukan atau atas apa-apa sebab tertentu dan akhirnya terbongkar dalam perbicaraan setelah disoal atau diasak oleh peguam pihak lawan yang mana akan menyebabkan penghakiman yang dikeluarkan tidak menyebelahi pihak klien. Ianya adalah amat penting bagi setiap klien yang hadir untuk sesi konsultasi supaya bersikap jujur dan telus tanpa menyembunyikan apa-apa maklumat atau perkara yang penting yang berkait langsung dengan kes.

     

    Langkah yang terbaik adalah anda ceritakan setiap kejadian dengan teliti tanpa menyembunyikan apa-apa maklumat yang mana pada hemat anda berkait rapat dengan kes yang bakal dibawa. Anda tidak perlu risau mengenai maklumat yang disampaikan kepada pihak peguam. Ini kerana peguam terikat dengan undang-undang yang ketat di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi. Akta Profession Guaman Syarie juga memperuntukkan bahawa tindakan tatatertib yang berat oleh pihak Majlis Peguam Syarie terhadap peguam syarie sekiranya terdapat salah laku di dalam perkhidmatan guaman yang diberikan[1]. Setiap maklumat berkaitan klien adalah amat sulit dan pihak peguam bertanggungjawab melindungi maklumat peribadi anda. Seandainya anda khuatir dengan maklumat yang mungkin pada hemat anda mengaibkan anda mahupun mana-mana pihak, tidak perlu risau kerana pada pandangan pihak peguam ianya hanyalah sebuah maklumat semata-mata. Ini kerana fokus peguam hanya kepada pembawaan kes, bukti-bukti dan strategi untuk memastikan hak anda tertunai sepertimana yang dituntut. Setiap butiran dan maklumat daripada anda amat bernilai pada kami sebagai peguam demi memastikan hujah-hujah yang akan diutarakan adalah bernas dan kukuh untuk dinilai oleh Hakim Bicara.

     

    SELEPAS KONSULTASI BERAKHIR

    Dapatkan pandangan kedua (Second Opinion)

    Tiada masalah sekiranya anda ingin mendapatkan pandangan kedua. Ini kerana sesi konsultasi adalah peringkat pertama dalam khidmat guaman dan anda masih boleh menukar fikiran selagi mana anda belum membuka fail kes. Di peringkat inilah, anda berpeluang membuat penilaian dari segi keserasian anda dengan peguam, skil dan kemahiran peguam serta nasihat guaman yang diberikan.

     

    Antara sebab lain untuk anda mendapatkan pandangan kedua adalah kerana sudut pandang, cara menginterpretasi kes dan solusi yang disarankan oleh setiap peguam bermungkinan terdapat perbezaan. Jadi, anda berhak memilih mana-mana pandangan yang sesuai dengan kehendak anda. Pastikan anda membuat pilihan selepas mengambil kira jalan yang terbaik untuk kes anda sendiri.

     

    PENUTUP

    Semoga perkongsian kali ni memberi manfaat untuk anda. Anda juga boleh rujuk artikel 8 PERKARA WAJIB TAHU TENTANG KONSULTASI GUAMAN DARI KACAMATA PEGUAM (BAHAGIAN 2) untuk bacaan tambahan mengenai persediaan oleh peguam. Artikel disediakan untuk Laman Web Peguam Syarie Faiz Adnan.

    [1] Seksyen 77, Akta Profesion Guaman Syarie (Wilayah-wilayah Persekutuan), 2019.

  • PERMOHONAN POLIGAMI DI JABATAN KEHAKIMAN SYARIAH

    Permohonan poligami adalah suatu isu yang sentiasa diberikan perhatian oleh masyarakat Islam di Malaysia. Ini adalah kerana berpoligami adalah dianggap suatu keistimewaan bagi pihak lelaki kerana boleh beristeri lebih dari satu. Sedangkan kaum wanita Islam secara senyap atau terbuka menyatakan tentangan mereka berkaitan isu poligami berdasarkan beberapa sebab tersendiri. Di Malaysia, berpoligami adalah suatu yang tidak dilarang namun dikawal oleh Undang-undang Keluarga Islam di Mahkamah Syariah. Setiap individu lelaki yang hendak berpoligami hendaklah mengemukakan permohonan poligami di Mahkamah Syariah dan hanya dibenarkan berpoligami jika Mahkamah Syariah memberikan kebenaran untuk berpoligami. Jika tidak ada kebenaran dari Mahkamah Syariah perbuatan berpoligami akan menjadi satu kesalahan jenayah Syariah yang boleh dikenakan hukuman denda atau penjara. Kebanyakan negeri di Malaysia akan memanggil isteri atau isteri-isteri yang sedia ada datang ke Mahkamah Syariah untuk memberi keterangan berkaitan permohonan poligami suaminya.

     

    KONSEP POLIGAMI MENURUT ISLAM

    Islam menerima amalan poligami bagi umatnya dan hal ini telah pun disebut di dalam al-Quran, surah an-Nisa’ ayat 2 yang bermaksud :

    “Maka kahwinilah olehmu yang baik antara wanita-wanita, dua, tiga dan empat. Maka jika kamu tidak yakin atau sangka (ragu-ragu) tidak dapat berlaku adil maka kahwinilah (cukuplah) seorang sahaja.”

    Petikan daripada ayat tersebut ianya menyatakan bahawa poligami dibenarkan dalam Undang-undang Islam. Namun, poligami tidaklah boleh sewenangnya dilaksanakan dan perlu memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan dalam Hukum Syarak sebelum diberi kebenaran untuk berpoligami. Hal ini menunjukkan poligami adalah dibenarkan dalam Islam tetapi sifatnya tidaklah terlalu terbuka secara meluas dan pelaksanaannya ditapis dengan syarat-syarat yang ditetapkan bagi menjamin keharmonian dan menjauhi malapetaka dalam rumahtangga.  

    Di samping itu, kita juga perlu untuk melihat kepada apakah sebab-sebab poligami yang telah diharuskan dalam Islam itu sendiri iaitu pertamanya ia dapat dilihat dari segi keupayaan seseorang isteri di mana ada isteri yang menghidapi masalah kelemahn fizikal atau gangguan kesihatan misalnya penyakit kelamin yang berjangkit dan menyebabkan suami itu terhalang daripada menunaikan keperluan batinnya. Perkara ini harus dilihat sebagai penyeksaan bagi si suami dan hal ini boleh mendorong kepada terjerumusnya si suami dalam lembah penzinaan dengan wanita lain. Selain dari itu, ketidakupayaan si isteri dalam melahirkan anak atas sebab-sebab tertentu seperti mandul, usia yang terlalu tua dan risiko melahirkan anak yang boleh membawa kepada kematian. 

    Seterusnya elemen luaran juga ada menyentuh tentang nisbah bilangan lelaki yang diatasi oleh wanita. Berdasarkan kepada kajian yang dibuat di Amerika, wanita dijangka secara purata hidup sehingga umur 77.9 tahun berbandding lelaki pula sekitar 70.3 tahun menurut Center for Health Statistics. Faktor ini telah menyebabkan bilangan wanita terkini lebih tinggi berbanding lelaki dan hal ini telah menyebabkan ramai wanita kehilangan tempat bergantung dan sumber pendapatan yang terjejas.

    Sememangnya memberi layanan yang sama rata ini sukar dilaksanakan namun langkah-langkah bijak perlu diambil supaya tidak berlaku unsur berat sebelah terhadap mana-mana isteri. Pembahagian masa adalah sangat penting dan sebolehnya isteri-isteri mestilah ditempatkan berasingan kecuali mereka bersetuju untuk tinggal bersama-sama. Pembuatan jadual waktu bersama isteri-isteri juga akan membantu suami untuk berlaku adil. Segala makan minum serta pakaian juga disediakan seadil-adilnya serta mereka juga perlu ditentukan giliran masing-masing untuk mengikut suami bermusafir.

    Poligami ini telah dijelaskan dalam Islam dalam laluan yang sempit di mana setiap lelaki haruslah yakin untuk berlaku adil dan tidak menganiayai isteri-isteri mereka. Kaum isteri pula perlulah memahami besarnya tugas suami dan mereka hendaklah sentiasa taat dan memberi sokongan moral kepada suami bagi menjamin kehidupan rumah tangga yang harmoni.

     

    UNDANG-UNDANG AMALAN POLIGAMI DI MALAYSIA

    Dalam memantau pelaksanaan amalan poligami, Undang-undang Islam di Malaysia telah menetapkan poligami sebagai salah satu peruntukan dalam perundangan Islam. Sejajar dengan tuntutan Syarak, perundangan Islam di Malaysia telah menggariskan beberapa syarat menurut syarak yang perlu dipenuhi oleh seseorang lelaki untuk berpoligami. Hal ini dilakukan atas sebab bagi memastikan tiada suami yang menyebabkan darar syari”e kepada isteri-isterinya. Darar syari’e bermaksud perkara-perkara yang boleh menjejas isteri tersebut daripada segi agama, nyawa, tubuh badan, harta dan keturunan isteri tersebut.

    Dalam suatu permohonan untuk berpoligami, pembuktian adalah terletak ke atas pemohon iaitu si suami. Di peringkat Persekutuan, pindaan telah dibuat ke atas Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 yang dilihat telah mengetatkan peruntukan permohonan poligami di Wilayah Persekutuan. Seksyen 23 (3) menyatakan bahawa : 

    (3) Permohonan poligami hendaklah dikemukakan kepada Mahkamah mengikut cara yang ditetapkan dan hendaklah disertai dengan suatu akuan menyatakan alasan mengapa perkahwinan yang dicadangkan itu dikatakan patut dan perlu, pendapatan pemohon pada masa itu, butir-butir komitmennya dan kewajipan dan tanggungan kewangannya yang patut ditentukan, bilangan orang tanggungannya, termasuk orang yang akan menjadi orang tanggungannya berikutan dengan perkahwinan yang dicadangkan itu, dan sama ada keizinan atau pandangan isteri atau isteri-isterinya yang sedia ada telah diperolehi atau tidak terhadap perkahwinan yang dicadangkan itu.

    Berdasarkan peruntukan di atas, pemohon perlu membuktikan alasan perkahwinan yang dipohonnya itu adalah “patut” dan “perlu” selain daripada membuktikan keadaan ekonomi dan kesihatannya yang stabil. Fakta kes juga adalah perlu diteliti dengan hati-hati apabila membuat keputusan ke atas permohonan poligami tersebut. 

    Sepertimana kes yang diambil di   Negeri Perlis iaitu Amran bin Ibrahim v Haslinda binti Abdul Halim yang telah membuat permohonan pada tahun 2007 oleh pemohon iaitu Amran bin Ibrahim untuk berkahwin dengan bakal isterinya yang dicadangkan dalam perkahwinan itu iaitu Hasanah binti Othman di Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Perlis. Semasa permohonan, pemohon telah pun mempunyai seorang isteri iaitu Haslinda binti Abdul Halim selaku responden dalam kes ini. Berdasarkan maklumat dalam Borang P seperti mana dalam Subseksyen 16 dan 23 yang diisi pada tarikh 31 Julai 2007, pemohon yang bernombor kad pengenalan 680802-02-5167 adalah dicatatkan menetap di alamat 132,Kg Tok Paduka, Persiaran Jubli Emas, 01000 Kangar, Perlis.

    Pemohon telah memfailkan affidavit pada tarikh 9 Ogos 2007 yang menyatakan ikrarnya berdasarkan tuntutan Seksyen 23(3) Enakmen Pentadbiran Undang-undang Keluarga Islam 1991 yang menyatakan bahawa pemohon telah melebihi umur 21 tahun dan sudah pun mempunyai seorang isteri (Salinan kad pengenalan isteri pertama yang bernombor 700806-02-5790 turut disertakan bersama-sama affidavit). Pemohon merupakan seorang ahli perniagaan yang mempunyai pendapatan sekitar RM8,000 sebulan.

    Dalam ikrarnya, pemohon telah mengaku bahawa beliau mempunyai kemampuan daripada segi jasmani dan rohani yang melayakkannya untuk berpoligami. Beliau juga menyatakan bahawa beliau telah lama mengenali bakal isteri dan timbul rasa saying terhadap bakal isteri tersebut dan oleh itu pemohon berhajat untuk memperisterikan beliau. Berdasarkan kemampuan pemohon daripada segi jasmani dan ekonomi, beliau yakin bahawa beliau berkemampuan untuk berlaku adil dengan semua tanggungannya. Salah satu sebab permohonan ini dibuat ialah pemohon bersama-sama isteri pertamanya tidak mempunyai zuriat dan hanya mengambil seorang anak angkat. Pada akhir affidavit, pemohon telah mengaku bahawa sekiranya beliau cuai dalam melaksanakan tugas sebagai suami ke atas isteri-isteri dan tanggungan lain maka Mahkamah boleh mengenakannya tindakan undang-undang yang sewajarnya.

    Dalam penghakiman terhadap permohonan poligami ini, Ketua Hakim Syarie Mahkamah Syariah Negeri Perlis, Yang Amat Arif Dato’ Kurnia Bakti Hji Othman Ismail di mana dalam perbicaraan ini telah dihadiri oleh pemohon seorang diri telah meluluskan permohonan pemohon tersebut di mana Yang Amat Arif telah memeterainya pada 13 Ogos 2007 dan telah memerintahkan supaya perkahwinan tersebut dilaksanakan di bawah Seksyen 23(1) Enakmen Pentadbiran Undang-undang Keluarga Islam 1991. Penghakiman ini adalah berdasarkan hukum syarak yang melibatkan kemampuan pemohon untuk berpoligami di mana pemohon telah pun mengaku untuk memberi nafkah kepada semua tanggungannya iaitu RM800 sebulan kepada isteri pertama, RM800 sebulan kepada isteri kedua dan tiada nafkah untuk anak kerana tiada zuriat.

    Kesimpulannya, poligami di sisi Undang-undang dan Hukum Syarak adalah dibenarkan dan diharuskan tetapi ianya tertakluk kepada syarat-syarat yang dikawal oleh Mahkamah Syariah. Sungguhpun agama Islam merupakan agama yang sempurna, masyarakat barat sering mendakwa bahawa agama Islam merupakan agama yang tidak memperuntukkan hak wanita. Berdasarkan tanggapan ini, masyarakat barat mengharamkan poligami kerana mereka melihat poligami menitikberatkan kepentingan lelaki dan mengorbankan kebajikan wanita. Tanggapan ini adalah tidak benar dan dalam agama Islam, poligami dibenarkan tetapi bukanlah sesuatu yang digalakkan kepada semua lelaki Muslim kerana hakikatnya tidak semua lelaki yang berkemampuan menurut syarat-syarat yang ditetapkan. Oleh sebab itu, al-Quran meletakkan garis panduan sebagai suatu syarat yang perlu dipenuhi oleh lelaki yang berkeinginan untuk memiliki isteri lebih daripada seorang.

    Hubungi Peguam Syarie Faiz Adnan

  • KEPERLUAN SAKSI DALAM PERMOHONAN PENGESAHAN HIBAH DI MAHKAMAH SYARIAH

    Pengesahan Hibah – Perkembangan produk hibah ini sebagai satu mekanisma perancangan dan juga pengurusan harta orang Islam semakin bertambah maju apabila industri tersebut telah menawarkan pelbagai produk yang berkonsepkan akad hibah. Hibah juga dilihat sebagai sebagai salah satu jalan keluar daripada permasalahan yang mana melibatkan isu-isu harta pusaka yang tidak dapat diselesaikan saban tahun serta ianya sangat bersesuaian dengan keadaan dan adat masyarakat Islam sekarang ini. Ianya dapat dibuktikan apabila permohonan berkenaan pengesahan hibah ini di Mahkamah Syariah semakin meningkat sebagaimana menurut Adilah dan Mohd Zamro (2018) sebanyak 22 kes hibah telah pun dipohon sepanjang tahun 2010 sehingga 2014 di Selangor. Ini menunjukkan bahawa produk hibah ini telah mendapat tempat dalam kalangan masyarakat Islam dan juga tahap kesedaran umat Islam pada hari ini terhadap perancangan awal harta hibah ini semakin bertambah baik.

    Hibah merupakan akad tabarru’ yang dilakukan secara sukarela semasa hayat seseorang tanpa mengharapkan apa-apa balasan (al-Shatiri 2014). Secara asalnya hibah ini terlaksana dengan memenuhi segala rukun-rukun dan syarat yang terdiri daripada pemberi hibah, penerima hibah, harta yang dihibahkan, sighah ijab dan qabul serta al-qabd antara pemberi dan penerima hibah. Sebagaimana kebanyakan akad muamalah yang lain, hibah ini tidak memerlukan kepada saksi sebagai syarat tambahan untuk membolehkan harta itu berpindah milik dan tidak terdapat di dalam mana-mana fuqaha mazhab yang meletakkan syarat bahawa akad hibah tersebut hendaklah disaksikan oleh beberapa orang saksi bagi membenarkan proses pengesahan hibah tersebut berlaku.

    Penggunaan saksi hanya diperlukan apabila timbulnya pertikaian di antara pihak yang berakad  sahaja. Sebaliknya Mahkamah Syariah dalam sesetengah kes menolak permohonan pengesahan hibah jika dakwaan tersebut timbul dan mendatangkan saksi sebagai bukti. Oleh itu telah timbul persoalan sejauh manakan elemen saksi yang diperlukan dan adakah ianya menjadi suatu keperluan semasa untuk meletakkan syarat saksi ketika suatu hibah itu berlangsung.

    Kesaksian menurut bahasa Arab berasal daripada perkataan shahada yang mengandungi beberapa maksud tertentu (al-Wizarah al-Awqaf 2004) sama ada ia bermaksud perkhabaran yang pasti, kehadiran atau pemberitahuan, sumpah, ikrar, kalimah tauhid dan kematian di jalan Allah SWT. Menurut al-Sharbini (2009) pula, kesaksian berasal daripada perkataan shuhud yang bermaksud al-hudur iaitu kehadiran. Seseorang itu telah dikatakan menyaksikan anak bulan apabila dia turut hadir ketika peristiwa tersebut sedang berlaku (al-Qurthubi 1999). Shahada juga bermaksud al-mua’yanah sebagaimana dalam firman Allah yang bermaksud: 

    Dan mereka pula menyifatkan malaikat – yang juga menjadi hamba-hamba Allah Yang Maha Pemurah itu – jenis perempuan. Adakah mereka menyaksikan kejadian malaikat itu? Akan dituliskan kata-kata mereka (yang dusta itu), dan mereka akan ditanya kelak (serta akan menerima balasannya).”  (Surah al-Zukhruf :43:19)

    Oleh itu, kewujudan saksi merupakan elemen yang sangat penting dalam mensabitkan sesebuah hak kerana shahadah merupakan salah satu bentuk al-bayyinah yang diterima oleh syarak. Sebagaimana menurut Ruzman Md. Noor (2008) konsep shahadah, iqrar, al-yamin dan al-qarinah merupakan bentuk-bentuk keterangan yang digunapakai bagi membuktikan kebenaran sesuatu perkara. Namun begitu, individu yang dipilih untuk menjadi saksi itu hendaklah memenuhi dawabit yang ditetapkan oleh syarak agar kesaksian yang dibuat tidak dapat disangkal dan dapat diterima sebagai bukti.

     

    SYARAT KELAYAKAN UNTUK MENJADI SAKSI PENGESAHAN HIBAH

    Secara umumnya saksi boleh dibuat oleh mana-mana individu yang menjadi saksi sebagaimana yang telah digariskan oleh para fuqaha antaranya ialah seorang yang baligh dan berakal,beragama Islam, seorang yang adil,tidak mempunyai kecacatan yakni dalam erti kata lain, saksi bukanlah seorang yang buta dan juga bisu serta akhir sekali saksi juga tidaklah mempunyai unsur-unsur tohmahan yang mana menurut fuqaha tohmahan itu wujud dalam beberapa bentuk sama ada disebabkan wujudnya kepentingan mahupun menolak kemudaratan. Kedua-dua unsur ini boleh menafikan kelayakan seseorang untuk menjadi saksi.

    Syarat-syarat kelayakan ini juga adalah demi menjaga kepentingan kedua-dua belah pihak yang bertikai. Dengan adanya akta dan juga enakmen keterangan di seluruh negeri di Malaysia seperti Akta Keterangan Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 Seksyen 83(1) yang menyebut :

    Tertakluk kepada seksyen ini semua orang Islam adalah kompeten untuk memberikan syahadah atau al-bayyinah sebagai saksi dengan syarat bahawa mereka adalah aqil, baligh, adil, mempunyai ingatan yang baik dan tidak berprasangka.

    Ia sepatutnya menjadi satu panduan bagi pihak penyedia dokumen serta orang awam untuk mengambil saksi yang benar-benar menepati syarak di samping dapat memenuhi kehendak pihak Mahkamah Syariah dalam menerima kesaksian.

     

    KEPERLUAN SAKSI DALAM PENGESAHAN HIBAH DI MAHKAMAH SYARIAH

    Keperluan saksi dalam akad hibah juga dapat dilihat menerusi kes Ibrahim Harun v Mat Yusoff Mat Kassim (03000-044-0005-2015) yang dibicarakan di Mahkamah Syariah Negeri Kelantan. Perayu dalam kes ini iaitu Ibrahim Harun telah tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Kelantan seterusnya membuat rayuan untuk mengesahkan hibah hartanah yang telah dibuat oleh Mek Som binti Ibrahim kepadanya. Fakta dalam kes ini bahawa tanah tersebut telah dipusakai oleh tiga orang iaitu Harun bin Kassim, Ismail bin Kassim dan Mat Yusoff bin Kassim. Mahkamah yang bersidang tidak berpuas hati terhadap hujah dan keterangan yang diberikan oleh perayu dengan mendatangkan hanya seorang saksi sahaja. Keterangan yang diberikan oleh saksi iaitu Yusof bin Yaakob bahawa beliau telah mendengar si mati Mek Som binti Ibrahim mengatakan :

    “Him (perayu), aku hendak beri kepadamu Him tanah pesaka”; kemudian Mek Som kata “mu buat kedai atas tanah ini”.

    Dalam alasan penghujahan, mahkamah menegaskan kesaksian yang dilakukan oleh saksi Perayu tidak jelas serta tidak mencukupi untuk menyokong dakwaan Perayu. Mahkamah dalam kes ini tidak mempersoalkan rukun dan syarat hibah mahupun syarat kelayakan saksi namun bilangan saksi yang hanya seorang sahaja tidak mampu dijadikan hujah yang kukuh untuk mengesahkan dakwaan hibah telah dibuat. Justeru, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Perayu serta mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu bahawa hibah oleh si mati Mek Som binti Taib tidak berlaku kepada Perayu.

     

    KESIMPULAN

    Meletakkan saksi dalam akad hibah bukanlah suatu perkara yang dilarang syarak bahkan saksi merupakan salah satu kehendak maqasid syariah dalam soal penjagaan harta supaya hak pemilikan penerima hibah dapat dijaga. Ketiadaan saksi semasa akad hibah langsung tidak membatalkan akad hibah serta perpindahan pemilikan tetap berlaku. Melihat kepada keputusan Mahkamah Syariah dapatlah disimpulkan bahawa saksi merupakan elemen yang penting untuk diletakkan dalam setiap penyediaan borang hibah ataupun hibah yang dibuat secara lisan agar hak pihak-pihak berakad dapat diserahkan dengan adil. Saksi-saksi yang dikemukakan juga perlulah menepati kehendak syarak seperti tidak mempunyai unsur tohmahan di antara pihak bertikai termasuk kriteria-kriteria saksi yang telah diperuntukkan dalam Undang-undang Keterangan Mahkamah Syariah seharusnya dijadikan garis panduan oleh semua pihak sama ada pihak industri dan juga orang awam.

    Sebarang soalan mengenai kes hibah boleh hubungi Peguam Syarie Faiz Adnan.

  • FARAQ PERKAHWINAN BAGI PASANGAN TAK SAH TARAF

    Faraq Perkahwinan – Perkahwinan adalah suatu tuntutan agama dalam meraikan fitrah semula jadi manusia dan ianya bertujuan untuk menjaga keturunan,memelihara kesucian diri, melaksanakan tuntutan syariat, memperoleh ketenangan hidup, kasih sayang dan juga mewujudkan ketenteraman. Setiap sesebuah hubungan yang akan dibina itu mestilah menepati rukun-rukun dan syarat-syarat dalam perkahwinan iaitu kedua pasangan yakni lelaki dan perempuan, dua orang saksi, wali dan juga ijab dan qabul yakni sighah akad. Rukun wali pula dalam perkahwinan hendaklah memenuhi ciri-ciri seorang wali yang telah pun ditetapkan oleh syarak yang mana ianya memenuhi ketetapan syariat Islam. Jika tidak dipatuhi akan ketetapan yang telah ditetapkan oleh syarak tersebut, maka sesebuah perkahwinan itu perlu difaraq atau dinamakan juga sebagai “pemisahan kehakiman” yang mana banyak dijumpai dalam kes mewalikan anak yang tak sah taraf dengannya.

    Jika dilihat pada statistik kelahiran anak luar nikah atau anak yang tak sah taraf di Malaysia seperti yang direkodkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) pada tahun 2013 adalah berjumlah seramai 159,725 orang menurut kepada kenyataan Sophia Ahmad (2013). Jadi, tidak mustahil penyumbang kepada bilangan statistik ini antara lainnya berpunca daripada perkahwinan yang tidak sah akibat daripada wali yang tidak diiktiraf oleh syarak ataupun dengan kata lain tidak memenuhi ciri-ciri seorang wali kerana wali merupakan salah satu rukun nikah dan tanpa adanya wali, pernikahan itu tidak sah. Faraq perkahwinan ini bermaksud pemutusan ikatan perkahwinan di antara pasangan suami isteri atas sebab-sebab tertentu sama ada melalui talak dan fasakh.

    Namun begitu, dalam sistem perundangan Islam di Malaysia, istilah faraq lebih merujuk kepada pembubaran perkahwinan bukan melalui talak (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia 2017). Selaras dengan itu,terdapat beberapa sebab yang membolehkan Mahkamah melakukan faraq atau pemisahan kehakiman terhadap sesebuah perkahwinan di antaranya ialah perkahwinan yang dengan sesama mahram yakni saudara susuan dan sebagainya, perkahwinan dengan perempuan yang sedang menjadi isteri kepada orang lain, perkahwinan dengan orang bukan Islam, perkahwinan dengan lima orang perempuan dalam satu masa atau akad, perkahwinan seorang perempuan dengan berwalikan wali yang tidak diiktiraf perwaliannya oleh syarak atau perwalian anak yang tidak sah taraf.

    Dalam konteks sesebuah perkahwinan itu, wali merujuk kepada individu yang mempunyai kuasa untuk melakukan akad perkahwinan terhadap orang yang di bawah jagaannya tanpa bergantung kepada keizinan. Oleh itu, wali di dalam konteks ini perlulah memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh syarak kerana tanpa wali, perkahwinan yang berlaku itu tidak sah. Hal ini telah disepakati oleh jumhur ulamak berdasarkan banyak dalil dan di antaranya ialah sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Mana-mana wanita yang bernikah tanpa izin walinya, maka nikahnya batal,maka nikahnya batal,maka nikahnya batal,jika ia menggaulinya maka ia berhak mendapat maharnya sebagai ganti terhadap apa yang dihalalkan dari kemaluannya. Sekiranya mereka bertengkar maka Sultan sebagai wali kepada mereka yang tidak mempunyai wali.”  (Al-Tirmidzi 1975)

    Kedudukan wali dalam perkahwinan ini sangat penting bagi memastikan sesuatu perkahwinan itu sah menurut hukum syarak. Menurut seksyen 7 (1), sesuatu akad nikah dianggap sah dari segi hukum syarak dan peruntukan Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah-wilayah Persekutuan 1984  ia dilaksanakan oleh wali yang layak menurut syarak dan akad tersebut dilaksanakan di hadapan Ketua Pendaftar atau Pendaftar.

    Oleh hal yang demikian, anak yang lahir bukan daripada perkahwinan yang sahih, fasid atau syubhah adalah dianggap sebagai anak zina atau anak tidak sah taraf dan tidak boleh dinasabkan kepada bapanya. Jika perkahwinan itu diwalikan oleh wali yang tak sah taraf tanpa pengetahuan anak tersebut, perkahwinan itu wajib difaraqkan. Pernikahan semula boleh dilakukan dengan menggunakan wali hakim seperti yang diperuntukkan oleh Mahkamah iaitu: “Jika sesuatu perkahwinan itu melibatkan seorang perempuan yang tidak mempunyai wali daripada nasab, mengikut Hukum Syarak, perkahwinan itu hendaklah diakadnikahkan hanya oleh wali Raja”  

    Orang yang layak untuk menjadi wali selain dari wali Hakim atau Wali Raja ialah wali yang mempunyai hubungan nasab keturunan yang sah dengan wanita yang diwalikan itu. Hubungan nasab secara sah ini menurut hukum syarak ianya merupakan elemen penting bagi memastikan sesuatu perkahwinan tersebut sah ataupun sebaliknya. Oleh itu, Mahkamah mempunyai kuasa untuk memfaraqkan perkahwinan yang berwalikan dengan wali yang tidak layak.

    Berkenaan dengan kes faraq perkahwinan ini, yang paling banyaknya adalah melibatkan tentang langkau wali. Contoh kes yang melibatkan langkau wali ini adalah sepertimana dalam kes Rohayu bt Idris dan Abd Karim bin Hamzah (bukan nama sebenar) telah berkahwin pada 1 Jun 200 Rohayu telah mendakwa ibunya telah mengaku bahawa beliau telah mengandung sebelum akad nikah secara sah itu dibuat. Tarikh perkahwinan ibunya ialah 27 Jun 1981 dan tarikh lahir Rohayu ialah 22 Januari 1982 iaitu tidak sampai 6 bulan yang merupakan syarat sah seseorang itu boleh dinasabkan kepada bapanya. Setelah itu, bapanya yang tidak sah taraf dengannya telah menjadi walinya semasa mereka berkahwin. Kes tersebut telah dibawa ke Mahkamah Syariah dan Mahkamah telah meluluskan faraq pada 27 Januari 2015 dengan iddah 3 kali suci.

    Antara faktor-faktor yang dikenal pasti dalam kes perwalian anak tak sah taraf ini ialah yang pertama kurangnya atau kecetekan pengetahuan agama tentang hukum-hakam berkenaan dengan perlulah memahami konsep dan syarat-syarat seseorang wali itu sama ada mereka telah memenuhi syarat-syarat perwalian atau sebaliknya. Bagi pasangan yang ingin melangsungkan perkahwinan juga perlulah memahami akan kepentingan wali nasab dan juga kesannya terhadap akad nikah itu menurut hukum syarak. Mereka perlu sedar bahawa implikasi kepada ketidaksahtarafan anak adalah perkara yang serius dari sudut sabitan nasab selain daripada perkahwinan itu perlu difaraqkan.

    Selain daripada itu, faktor kedua ialah betapa kurangnya penekanan dalam modul Kursus Perkahwinan berkaitan Anak Tak Sah Taraf dan Faraq Perkahwinan. Pihak-pihak yang mengendalikan kursus-kursus perkahwinan juga perlu menilai semula kandungan kursus tersebut serta memberikan penerangan berkaitan hukum-hakam permasalahan ini dan memastikan modul yang dibina adalah menepati permasalahan semasa khususnya berkaitan permasalahan anak tak sah taraf.

    Selaras dengan itu, faktor yang terakhir ialah berkenaan dengan prosedur dan penguatkuasaan yang longgar yang mana bagi mengelakkan kes perwalian terhadap anak tak sah taraf ini berlaku dengan  lebih parah, maka  prosedur perkahwinan terhadap wali itu perlulah diperketatkan lagi kerana jika hal ini tidak diperketatkan dan dibendungdaripada awal maka berlakunya kelahiran anak tak sah taraf dan mewalikannya sehingga menyebabkan kepada perkahwinan  yang terpaksa difaraqkan. Jika penguatkuasaan dan tindakan segera tidak diambil ianya akan menyebabkan perkara ini makin berleluasa dan makin sukar untuk dibendung lagi.

    Kesimpulannya, perkembangan semasa berkenaan kes anak tak sah taraf di kalangan umat Islam di Malaysia terutamanya yang melibatkan faraq perkahwinan amatlah membimbangkan. Bagi menangani keadaan ini, semua pihak termasuk pihak kerajaan, swasta, institusi-institusi pendidikan, sekolah dan masyarakat setempat mestilah turut sama memainkan peranan masing-masing. Dalam erti kata yang lainnya perkara ini tidak boleh diletakkan atas bahu jabatan agama semata-mata. Implikasi atau tindakan daripada peningkatan anak-anak tak sah taraf ini akan mengundang lebih banyak permasalahn terutamanya berkaitan dengan hukum hakam. Dengan meningkatnya bilangan anak tak sah taraf ini maka akan lebih menjurus kepada berlakunya kes-kes perwalian terhadap anak tak sah taraf yang mana akhirnya akan menyebabkan sesuatu perkahwinan itu perlu difaraqkan.

Page 1 of 612345...Last »