
IBU MENANGIS TIDAK DAPAT HAK HADHANAH SELEPAS BERCERAI
Soalan :
Saya ingin mengajukan soalan kepada Peguam Syarie Faiz Adnan berkaitan hadhanah. Saya Fatimah (bukan nama sebenar) dan suami telah berkahwin pada 23/2/2011. Hasil perkahwinan kami telahpun dikurniakan 2 orang anak iaitu Rania Aisya berumur 4 tahun dan Aqif Adli 2 tahun. Namun, pada suatu petang saya bergaduh besar dengan bekas suami saya sehingga saya meminta dia menceraikan saya dan berjanji untuk memberi anak-anak kepada dia jika dia (suami) menceraikan saya. Kami kemudian telah sah bercerai pada tahun 2017. Anak-anak saya sehingga sekarang berada dengan bekas suami saya. Tapi sekarang saya telah berkahwin baru dan saya benar-benar merindui anak-anak saya dan menyesal atas perbuatan saya. Saya juga berhasrat untuk mengambil anak-anak saya duduk dan tinggal dengan saya. Adakah saya masih mempunyai hak hadhanah di sisi undang-undang terhadap kedua anak tersebut? Saya benar-benar menginginkannya. Saya mohon nasihat tuan.
Jawapan:
Bismilahirahmanirrahim,
Hadhanah. Menurut seksyen 76 Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984, undang-undang membenarkan suatu perintah hak jagaan anak itu diubah atas alasan yang munasabah. Berdasarkan peruntukan ini, jelas Puan masih berpeluang untuk mendapatkan semula hak jagaan anak tersebut. Oleh itu, tindakan awal yang perlu Puan ambil ialah failkan permohonan ubah perintah hak jagaan anak yang telah diputuskan oleh mahkamah sebelum ini. Seterusnya, dalam permohonan tersebut, Puan perlu nyatakan alasan mengapa permohonan tersebut perlu diubah. Amnya, alasan-alasan yang biasa diberikan ialah telah wujud salah penyataan; atau telah wujud kesilapan fakta; atau telah berlaku perubahan matan tentang hal keadaan berdasarkan perjanjian yang telah dibuat. Disamping itu dalam memutuskan kes ini, Mahkamah juga mengambil kira tiga perkara berikut :
· Kebajikan anak-anak puan · Umur anak-anak puan ketika hak hadhanah ini dipohon di mahkamah · Kelayakan puan dalam mendapatkan hak hadhanah |
Sebelum menentukan kepada siapa hak hadhanah ini diberikan, perkara utama yang dinilai dan diberi perhatian lebih oleh Mahkamah ialah kebajikan anak. Dalam Kitab Al-Fiqh Al Muqarran Lil Al-Ehwal Shaksiyyah Oleh Sr. Badran Abul Ainnaini Juz 1 Ms 543-544 menyebut :
غاية لامر أن حق الصغير اقوى لان مصلحته مقدمة على مصلحة ابويه وانه يجب العمل بما هو انفغ واصلح للصغير في باب الخضانة
Dari segi kebajikan, Mahkamah menfokuskan kepada 5 perkara asas iaitu makan minum, pakaian, pendidikan, perubatan dan tempat tinggal. Kelima-lima perkara asas ini secara tidak langsung berkait rapat dengan isu kemampuan. Oleh itu, Puan perlu buktikan kepada Mahkamah bahawa Puan mampu menyediakan dan menjaga keperluan anak tersebut dengan baik. Soal bagaimana mengagihkan tanggungjawab menyediakan nafkah anak, ia bergantung kepada persetujuan bersama atau perintah nafkah anak yang dikeluarkan oleh Mahkamah.
Kedua, jika dilihat pada umur anak puan pada waktu ini adalah masing-masing berumur 4 tahun (anak perempuan) dan 2 tahun (anak lelaki), menurut undang-undang, ibu adalah orang yang paling berhak mendapat hak hadhanah inisehinggalah anak-anak tersebut mencapai umur mumayyiz meskipun anak-anak tersebut diberikan pada suami Puan pada awal penceraian. Berdasarkan petikan daripada kitab kifayah al-Akhyarjuz. 2 ms 161 yang menyatakan:
وإذا فارق الرجل زوجته وله منها ولد فهي احق بخضانته الى سبع سنين
Maksudnya: Apabila berlakunya perpisahan di antara suami dan isteri dan mereka mempunyai anak hasil perkahwinan tersebut, maka ibu adalah orang yang berhak menjaga anak itu sehingga berumur 7 tahun.
a) Berkahwin dengan orang yang tidak mahram dengan anak-anaknya b) Berkelakuan buruk secara keterlaluan dan terbuka c) Menukar permaustatinan dengan tujuan menghalang bapa anak-anak tersebut menjalankan pengawasanya d) Murtad e) Menganiaya dan mengabaikan anak-anak |
Namun, puan haruslah mengetahui bahawa hak hadhanah boleh hilang apabila didapati orang itu termasuk dalam kategori gugur hak atau hilang kelayakan sebagai seorang hadhinah (penjaga) kepada anak-anak tersebut. Dan kesannya ialah hak hadhanah daripada ibu (puan) boleh berpindah kepada orang lain seperti (suami puan) dan sesiapa yang difikirkan layak menurut Undang-Undang Keluarga Islam seksyen 84 akta yang sama. Hal ini menurut seksyen 83 AUKIWP 1984: Hak sesorang perempuan terhadap hadhanah adalah hilang;-
Berdasarkan fakta kes ini, puan telah pun berkahwin lain dan menyebabkan hak hadhanah puan terhadap anak-anak tersebut gugur. Hal ini dirujuk berdasarkan hadith Rasulullah SAW:
انت احق بها ما لم تنكحى
Maksudnya : Engkau berhak kepada hadhanah selama mana kamu tidak berkahwin lain.
Meskipun Puan telah mendapat keredhan dan keizinan suami untuk menjaga anak-anak tersebut namun sedikit sebanyak kebajikan anak-anak tersebut mungkin akan terjejas. Dalam kitab al-Akhyar Juz. 2 ms 153 menyatakan:
لأنها مشغولة بالزوج فيضرر الولد اثر لرضا الزوج
Maksudnya: … isteri biasanya sibuk melayani suaminya dan sudah tentu menjejaskan kedudukan anak itu meskipun ada keredhaan suaminya untuk jaga sama tapi ianya tak beerti.
Ayat ini berkaitan hukum syarak yang menetapkan bahawa hilang kelayakan isteri yang telah berkahwin lain walaupun dengan redha suaminya dalam menuntut hadhanah. Islam merupakan agama yang mementingkan seorang isteri itu memelihara hubungan dengan suaminya selama-lamanya. Juga, menolak kemudaratan terjadinya apa-apa perkara yang tidak diingini pada anak-anak yang bakal dijaga lebih-lebih lagi melibatkan anak perempuan yang bukan mahram dengan suami yang baru. Tambahan pula, faktor lambakan kes-kes berkaitan bapa haruan, bapa yang menganiaya anak tiri sehingga trauma apabila isteri tiada di rumah dan bekerja yang kemudian tugas menjaga anak tersebut beralih kepada bapa tiri.
Namun, masih wujud ruang dan peluang untuk puan mendapatkan hak hadhanah ini daripada bekas suami puan dengan dengan memohon ibu puan (nenek) sebagai hadhinah (penjaga) kepada anak-anak puan di mahkamah kerana menurut seksyen 81 AUKIWP 1984, susunan orang yang berhak dalam menjaga anak-anak selepas ibu adalah nenek dan puan haruslah membuktikan kepada mahkamah bahawa ibu puan sememangnya layak untuk menjaga kebajikan bagi anak-anak puan dan membuktikan bahawa bekas suami puan telah tidak menjalankan kebajikan anak-anak puan dengan baik.
Dalam isu hadhanah ini, mahkamah akan melihat segala faktor secara menyeluruh, terutama kebajikan dan kemaslahatan anak, bukan melihat kepada kepentingan si ibu atau si bapa. Kebajikan anak adalah yang paling utama mengikut maqasid syariahbagi menjamin kehidupan masa depan yang lebih baik bagi anak itu. Contoh kes diihat pada kes Norhaiza lwn saat (1996) di mana mahkamah menolak tuntutan isteri yang telah berkahwin lain dalam tuntutan mengubah perintah mahkamah berkaitan hadhanah pada bekas suaminya.
Artikel disiarkan untuk laman web Peguam Syarie Faiz Adnan Associates.

ISTERI TERANIAYA: SUAMI NAFSU KUAT DAN SUKA MENGHABISKAN HARTA ISTERI
Soalan: Saya Farah (bukan nama sebenar) merupakan suri rumahtangga sepenuh masa. Saya mempunyai 3 orang anak. Perkahwinan saya dan suami telah mencecah 5 tahun. Suami saya seorang yang sangat kuat nafsu syahwatnya – suami nafsu kuat. Sejak dari awal perkahwinan lagi suami saya tak kira pagi, petang atau malam beliau sering minta bersama sampai saya tak larat melayani dia. Telah beberapa kali saya cuba tolak pelawaan tapi suami paksa saya bersama. Akibat daripada kekerapan melakukan hubungan kelamin, saya telah mengalami pendarahan pada alat sulit dan kerap rasa sakit-sakit. Bila saya mengadu, suami tidak mengendahkan dan langsung tidak pernah bawa saya ke klinik untuk pemeriksaan. Saya hanya bergantung pada ubat tahan sakit saja. Dalam keadaan saya begitu pun, suami tetap dengan sikapnya. Saya betul-betul rasa tertekan dengan masalah ini. Hanya mengenangkan anak-anak sahaja saya masih bertahan dan bersabar sehingga sekarang. Saya pernah menyuarakan masalah ini padanya namun apa yang berlaku, suami saya marah dan tengking saya. Dia mengatakan saya wajib patuh sebab itu arahan daripadanya sebagai suami. Suami juga kadang-kadang sanggup tak pergi kerja kerana nakkan bersama. Dia juga sering bertukar kerja kerana masalah kehadiran dan komitmen.
Dari segi duit pula, tanggungan tidak sepenuhnya dari pendapatan suami sebab gaji suami kecil dan kadang-kadang tak ada gaji (dalam tempoh tak bekerja). Hampir kesemua tanggungan tersebut adalah dari saya sendiri. Sebelum saya berkahwin dengan suami, saya mempunyai pekerjaan tetap dengan gaji yang lumayan. Saya telah mempunyai kereta, rumah, duit simpanan dan barang-barang kemas. Namun, semua harta-harta tersebut dicagar oleh suami satu demi satu dan digunakan untuk tampung keperluan keluarga. Suami berjanji untuk tebusnya kembali tapi sekarang lain pula jadinya. Bila saya bertanyakan tentang harta2 tersebut, suami mengamuk dan ugut saya nak bawa lari anak-anak jika saya sebut tentang hal ini lagi dan dia juga cakap yang dia tak akan tebus harta-harta itu sebab duit tak ada. Saya sekarang buat bisnes online. Alhamdulillah sedikit sebanyak ada juga pendapatan. Tapi sedihnya, kad bank saya suami pegang dan dia gunakan wang itu ikut suka hati tanpa minta izin daripada saya terlebih dahulu. Sejujurnya, saya sudah tidak tahan lagi meneruskan perkahwinan ini dan bercadang untuk bercerai. So, apa yang perlu saya lakukan? Apakah hak yang boleh saya tuntut selepas penceraian? Mohon nasihat.
Jawapan: Terima kasih Puan atas soalan yang diajukan dan saya simpati atas apa yang berlaku atas diri Puan.
Sebelum saya menerangkan dengan lebih lanjut, harapnya penceraian ini adalah usaha terakhir yang Puan ambil untuk selesaikan konflik rumahtangga Puan dan suami.
Baiklah, setelah meneliti satu-persatu permasalahan Puan, keadaan dan situasi Puan pada ketika ini adalah diharuskan bercerai mengikut Hukum Syarak berdasarkan 3 sebab berikut:
- Telah timbul kemudharatan pada diri Puan akibat dari sikap suami yang terus menerus memaksa Puan melakukan hubungan kelamin.
- Suami telah dengan sengaja cuai memperuntukkan nafkah zahir kepada Puan.
- Suami telah dengan sengaja melupuskan harta Puan.
Bagi proses penceraian, memandangkan Puan dan suami masih tinggal sebumbung maka langkah awal yang sebaiknya dibuat ialah Puan berbincang tentang penceraian ini dengan suami terlebih dahulu. Jika suami bersetuju untuk menceraikan Puan, maka Puan boleh menfailkan permohonan cerai di bawah seksyen 47 Akta/Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam. Prosiding penceraian di bawah seksyen ini lebih mudah kerana ia tidak memerlukan kepada pembuktian atau perbicaraan jika pihak-pihak telah bersetuju untuk berpisah. Selain itu, segala aib pasangan juga tidak dibuka. Dari segi Hukum Syarak, tindakan ini sangat dituntut dalam Islam berdasarkan surah al-Baqarah ayat 229, Allah s.w.t berfirman:
فإمساك بمعروف أو تسريح بإحسان
Maksud: “Setelah itu suami dapat menahannya dengan cara yang baik dan melepaskan dengan baik.”
Manakala jika berlaku sebaliknya yakni keadaan di mana suami Puan tidak menerima atau tidak mahu hadir prosiding penceraian, maka Puan boleh menfailkan tuntutan fasakh di bawah seksyen 53 Akta/Enakmen yang sama. Ini kerana sebab-sebab penceraian Puan seperti yang disebutkan di atas juga ada diperuntukan di bawah seksyen 53.
Dalam permohonan fasakh, Puan perlu nyatakan bersama alasan-alasan fasakh yang berkaitan seperti berikut:
(1) suami telah lazim menyakiti dan menjadikan kehidupan Puan menderita disebabkan oleh kelakuan aniayanya,
(2) suami telah melupuskan harta Puan dan
(3) suami telah cuai mengadakan peruntukan bagi nafkah selama 3 bulan berturut-turut.
Setiap alasan-alasan yang dikemukakan dalam permohonan fasakh perlu dibuktikan wujud. Kegagalan Puan mengemukakan bukti atau saksi bagi menyokong alasan tersebut boleh menyebabkan tuntutan/permohonan fasakh Puan ditolak.
Dalam kes fasakh, perkara yang paling penting ialah pembuktian. Saya bantu Puan dalam hal ini. Berdasarkan kepada alasan yang pertama, “suami telah lazim menyakiti dan ……” adalah merujuk kepada tindakan suami yang kerap memaksa Puan melakukan hubungan kelamin sehingga menyebabkan pendarahan pada alat sulit Puan. Hal keadaan ini dikuatkan lagi dengan kelakuan aniaya suami Puan yang langsung tidak mengendahkan kesakitan yang Puan alami dan berterusan memaksa Puan melakukan hubungan kelamin. Akibat daripada sikap suami, Puan mengalami pendarahan dan tekanan perasan. Bagi membuktikan perkara ini, Puan perlu sediakan laporan perubatan. Laporan perubatan disini merujuk kepada laporan doktor berkenaan dengan pendarahan pada alat sulit dan juga laporan pakar psikiatri yang mengesahkan bahawa Puan sememangnya mengalami tekanan perasaan.
Seterusnya bagi alasan yang kedua, kecuaian suami memperuntukan nafkah adalah merujuk kepada situasi dimana suami tidak sepenuhnya menanggung keperluan keluarga malah sebaliknya telah menggunakan wang simpanan dan harta Puan untuk tujuan tersebut. Ini berlaku kerana suami tidak mempunyai gaji yang tetap ekoran dari masalah bertukar-tukar tempat kerja. Dalam perkara ini, Puan boleh mengemukakan saksi iaitu bekas majikan suami Puan bagi menerangkan tentang sikap dan komitmen suami sebagai pekerja. Selain itu, jiran juga boleh dibawa menjadi saksi sekiranya jiran tersebut kerap melihat kelibat suami di rumah dan mengetahui bahawa suami tidak bekerja. Pendek cerita, segala dokumen yang berkaitan yang Puan rasa ianya menyokong alasan tersebut boleh dikemukakan di Mahkamah.
Bagi alasan yang terakhir iaitu suami telah dengan sengaja melupuskan harta Puan. Difahamkan bahawa suami dalam kes ini telah mungkir janji untuk menebus kembali harta-harta yang telah dicagar tambahan turut mengugut Puan untuk membawa lari anak sekiranya hal ini diungkit lagi. Baik, bagi masalah ini Puan perlu sediakan dokumen2 yang berkaitan dengan transaksi cagaran. Jika transaksi tersebut dibuat secara lisan, sebaiknya minta kerjasama orang yang menerima cagaran itu untuk beri keterangan di Mahkamah bagi mengesahkan kewujudan transaksi tersebut. Selain itu, dokumen harta dan rekod wang simpanan Puan juga perlu dikemukakan untuk menunjukkan harta-harta tersebut adalah kepunyaan Puan. Berhubung dengan isu bawa lari anak, saya cadangkan Puan mohon perintah injuksi dari Mahkamah Syariah. Ini penting untuk menghalang suami dari bawa lari anak dan sekiranya berlaku kejadian ini suami Puan boleh ditangkap dan dipenjarakan. Dalam masa yang sama, Puan juga dinasihatkan untuk memohon perintah interim hadhanah. Permohonan ini adalah bertujuan untuk mendapatkan hak jagaan sementara sepanjang tempoh prosiding berjalan.
Berkenaan dengan hak-hak selepas penceraian, jika Puan becerai secara baik maka hak yang boleh dituntut ialah nafkah iddah, mutaah, harta sepencarian, hadhanah, dam nafkah anak. Dan sekiranya penceraian secara fasakh, semua hak-hak yang disebutkan Puan boleh tuntut kecuali nafkah iddah.
Saya kira penerangan yang serba ringkas ini dapat memandu Puan untuk tindakan lanjut. Cuma, saya nasihatkan supaya Puan guna khidmat Peguam Syarie supaya kes ini dikendalikan mengikut prosiding undang-undang yang betul dan menepati Hukum Syarak. Sekiranya Puan ingin bertanya dengan lebih lanjut, Puan boleh hubungi kami di 012 667 6200 (Peguam Syarie Faiz Adnan) atau pejabat 03-2283 1400/03-2283 3400 atau datang terus ke firma kami di Bangsar Utama. Terima kasih.
Share sekiranya artikel ini bermanfaat!

PENGESAHAN NIKAH: KAHWIN DENGAN BUKAN WARGANEGARA – PART 2
Ramai yang mengajukan soalan kepada pihak Peguam Syarie Faiz Adnan, melalui email, SMS, Facebook dan sebagainya berkaitan dengan masalah masing-masing dan antara yang banyak dikemukakan kepada kami ialah mengenai pengesahan nikah apabila berkahwin dengan bukan warganegara Malaysia. Ikuti soalan dan jawapan yang kami sediakan seperti di bawah. Semoga sedikit sebanyak dapat membantu anda yang memerlukan jawapan. Share kepada rakan-rakan anda sekiranya bermanfaat. Jika anda mempunyai sebarang soalan atau pertanyaan atau ingin membuat temujanji dengan Peguam Syarie Faiz Adnan, anda boleh hubungi kami di ruangan hubungi kami, atau di Facebook.
Soalan :
Assalamualaikum w.b.t. Saya Ani dari Kl. Saya ingin bertanya dan mendapatkan pendapat Tuan tentang masalah yang saya hadapi. Saya ialah seorang warganegara Malaysia dan telah berkahwin dengan seorang lelaki yang bukan warganegara. Perkahwinan kami telah diwalikan oleh bapa kandung saya di rumah saya di Klang, Selangor dengan disaksikan oleh 2 orang saksi. Malangnya, kami tidak pernah mendaftarkan perkahwinan kami atas alasan suami saya gagal untuk dapatkan Surat Perakuan Bujang. 2 bulan berkahwin saya didapati mengandung dan setelah kandungan saya berusia 3 bulan kami berkahwin semula mengikut prosedur undang-undang di Malaysia. Perkahwinan ini dibuat atas nasihat kenalan suami saya setelah suami saya berjaya mendapatkan Surat Perakuan Bujang dari negaranya. Timbul isu apabila saya dan suami ingin daftarkan kelahiran anak kami di JPN tetapi ditolak kerana anak kami itu dikatakan telah lahir di luar pernikahan. Saya jadi keliru kerana pada pandangan saya perkahwinan saya dan suami adalah sah disisi Syarak tetapi hanya tidak didaftarkan sahaja. Apa yang perlu saya lakukan? Saya tidak mahu anak kami nanti dicerca dan diejek kelak. Saya amat mengharapkan bantuan Tuan untuk menyelesaikan kekusutan kami. Saya dahului dengan ucapan terima kasih.
Jawapan :
Wa’alaikumussalam w.b.t
Saya bahagikan permasalahan Puan ini kepada 4 isu untuk dijawab. Isu tersebut:
Keesahan pernikahan Puan daripada sudut Hukum Syarak;
Sesuatu pernikahan sah apabila rukun dan syarat-syarat pernikahan itu dipenuhi. Sacara zahir, pernikahan pertama Puan boleh saya katakan sah kerana memenuhi 5 rukun nikah yang telah digariskan oleh Hukum Syarak iaitu pengantin lelaki, pengantin perempuan, wali, 2 orang saksi, ijab dan qabul. Namun, penelitian terhadap syarat sah rukun pernikahan juga perlulah diteliti satu persatu. Seandainya syarat sah kepada rukun nikah itu dipenuhi dan tidak timbul sebarang keraguan, dapat saya nyatakan bahawa pernikahan Puan yang pertama itu adalah sah di sisi Hukum Syarak. Jika sebaliknya, pernikahan Puan yang pertama itu akan menjadi tidak sah di sisi Hukum Syarak dan pernikahan itu perlulah difarakkan. Oleh itu, bagi menentukan sah atau tidaknya pernikahan Puan yang pertama ini, saya cadangkan agar Puan membuat permohonan pengesahan nikah di Mahkamah Syariah yang berhampiran.
Kaedah untuk mendapatkan pengesahan nikah;
Pengesahan pernikahan Puan yang pertama perlulah dibuat melalui permohonan di Mahkamah Syariah. Adalah dimaklumi kaedah permohonan pengesahan nikah adalah berbeza mengikut negeri bergantung kepada enakmen pentadbiran dan undang-undang keluarga islam negeri-negeri. Bagi mengesahkan nikah Puan, Puan boleh ke Mahkamah Rendah Syariah Klang. Kaedah permohonanya adalah Puan perlu membuat permohonan dengan mengisi borang MS3 dan MS26 iaitu Afidavit Sokongan seperti yang telah diperuntukkan di bawah seksyen 13 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003. Puan juga perlu kemukakan segala dokumen yang diminta seperti kad pengenalan Puan, pasport suami dan mana-mana dokumen yang berkaitan. Setelah segala dokumen lengkap, Puan digalakkan kemukakan saksi di Mahkamah bagi kes pengesahan nikah tersebut. Saksi tersebut mestilah mereka yang terlibat pada majlis akad nikah Puan itu. Sekiranya terdapat gambar yang diambil, gambar tersebut juga boleh Puan kemukakan sebagai bukti. Jika pernikahan Puan diputuskan sah oleh Mahkamah, maka Puan hendaklah mendaftarkan pernikahan Puan itu di Pejabat Agama Islam Daerah di Bahagian Pendaftaran Nikah Cerai Rujuk di mana Puan bermastautin untuk mendapatkan sijil nikah dan seterusnya bawa bersama sijil nikah ke JPN untuk pendaftaran anak. Sekiranya pernikahan Puan diputuskan tidak sah, maka perkahwinan Puan dan suami akan difarakkan. Namun, anak tersebut bukanlah berstatus anak luar nikah, tetapi anak syubhah.
Kedudukan sijil nikah kedua; dan
Bilamana mahkamah memutuskan bahawa perkahwinan Puan yang pertama adalah sah, saya cadangkan Puan mohon kepada Mahkamah untuk membatalkan sijil perkahwinan Puan yang kedua dengan membuat pindaan pada sijil nikah tesebut. Pindaan yang saya maksudkan di sini ialah Puan menggunakan sijil nikah Puan yang kedua itu namun masih menggunakan nombor daftar yang sama cumanya pindaan dilakukan kepada tarikh pernikahan yang terdapat pada sijil nikah Puan itu.
Konflik undang-undang.
Konflik undang-undang yang dapat saya lihat dalam situasi Puan ini adalah apabila pendaftarkan kelahiran anak Puan tidak dapat dilakukan. Puan perlu maklum bahawa pernikahan yang sah disisi Syarak perlu didaftarkan agar sijil nikah dapat dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Daerah bagi membolehkan pendaftaran anak Puan dilakukan. Ini bertujuan bagi menjamin bahawa sesuatu pernikahan itu adalah memenuhi kehendak Hukum Syarak dan seterusnya memenuhi keperluan undang-undang.
Setiap prosedur perlu dipenuhi bagi menjamin kredibiliti Undang-undang Syariah Malaysia serta memartabatkan sistem perundangan syariah sekaligus. Walaupun begitu, undang-undang tidaklah kejam dan menghukum. Hal ini kerana seperti yang telah diperuntukkan di bawah seksyen 12(2) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003, telah memperuntukkan bahawa :
“ Walau apapun subseksyen (1) dan tanpa menjejaskan seksyen 40 (2), sesuatu perkahwinan yang telah diupacarakan berlawanan dengan mana-mana peruntukan Bahagian ini tetapi sebaliknya sah mengikut Hukum Syara’, boleh didaftarkan di bawah Enakmen ini dengan perintah daripada Mahkamah”
Dalam situasi Puan ini, Mahkamah perlu membuat pengesahan nikah Puan yang pertama bagi membolehkannya didaftarkan mengikut undang-undang keluarga Islam di Malaysia. Oleh itu, saya mencadangkan kepada Puan untuk melantik mana-mana Peguam Syarie bagi membantu Puan dalam membuat permohonan pengesahan nikah Puan kali pertama. Bantuan daripada Peguam Syarie dapat memudahkan dan melicinkan proses permohonan pengesahan pernikahan Puan di Mahkamah kelak.
Wallahu a’lam.
Oleh : Rafini binti Aman
Dari: Faiz Adnan & Associates

Apakah itu Mut’ah? Layakkah saya untuk menerima Mut’ah?
Soalan mengenai MUT’AH:
PEGUAM SYARIE Faiz Adnan, setelah bercerai dengan suami, saya diberitahu bahawa saya boleh menuntut harta sepencarian, nafkah eddah, hak penjagaan anak serta nafkah anak, dan mut’ah daripada suami saya. Namun, saya kurang pasti apakah itu mut’ah? Adakah saya benar-benar layak untuk menerimanya walaupun saya adalah seorang yang berjaya dalam kerjaya saya dan mempunyai pendapatan sendiri? Sekiranya saya layak, adakah saya boleh menuntut seberapa banyak amaun yang saya mahu atau mahkamah akan menetapkan amaun tersebut?
Jawapan:
Merujuk kepada soalan Puan di atas, mut’ah adalah suatu bentuk bayaran yang menggambarkan penghargaan kepada bekas isteri yang telah berkhidmat untuk suami dan anak-anak sepanjang tempoh perkahwinan. Menurut pengertian yang diberikan oleh Wahbah Zuhaili dalam kitabnya Fiqh Al Islami Wa Adillatuhu, mut’ah adalah suatu pemberian harta yang wajib keatas lelaki untuk membayar kepada isterinya yang diceraikan pada masa hidup, dengan talak, bergantung kepada beberapa syarat. Seksyen 2 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 juga menyatakan bahawa mut’ah adalah bayaran saguhati yang diberi dari segi Hukum Syara’ kepada isteri yang diceraikan.
Selepas Puan dan suami diisytiharkan telah bercerai, Puan haruslah memfailkan ke mahkamah bagi menuntut mut’ah dengan menyatakan jumlah yang dirasakan relevan. Seterusnya, Puan haruslah membuktikan kepada mahkamah bahawa bekas suami adalah seorang yang mampu untuk membayar sejumlah bayaran mut’ah yang dituntut tersebut.
Mut’ah disyariatkan atas lelaki kepada wanita yang telah diceraikan untuk menjadi bekalan bagi meringankan beban mereka yang disebabkan oleh perpisahan dan memulakan kehidupan baru tanpa suami. Selain itu, mut’ah menjadi suatu tuntutan selepas penceraian bagi mengambil hati bekas isteri di samping dapat mengubati perasaan sakit hati dan rasa benci yang berpunca daripada penceraian yang berlaku. Ia juga bagi menutup perasaan sedih, dan malu apabila menerima sangkaan buruk daripada masyarakat terhadap penceraian tersebut.
Pengarang kitab I’anah at-Talibin, pada Juz 3, m/s 356 juga ada menyatakan bahawa ‘wajib ke atas suami membayar mut’ah kepada isteri yang sudah disentuh (dipersetubuhi) walaupun ianya (isteri itu) seorang hamba, dengan sebab berlakunya penceraian yang bukan kerana kematian salah seorang daripada kedua-dua mereka’.
Maka jelaslah, seorang lelaki wajib melaksanakan bayaran kepada isteri yang diceraikan, bergantung kepada beberapa syarat.
Seksyen 56 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 menyatakan bahawa perempuan yang diceraikan tanpa sebab yang patut boleh menuntut mut’ah dan mahkamah boleh memerintahkan suami untuk membayar sejumlah wang yang patut & wajar mengikut hukum syarak. Tafsiran frasa tanpa sebab yang patut telah diperincikan lagi dalam kes Sapiee bin Muda lwn Adnan Hawa bt Mohamad telah merujuk kepada Kitab Mughni Muhtaj yang telah menggariskan syarat kelayakan seorang isteri bagi menuntut mut’ah, antaranya ialah:
- Penceraian dengan kematian suami / isteri – suami tidak diwajibkan untuk membayar mut’ah
- Penceraian berpunca daripada suami yang mewajibkan seorang suami untuk membayar mut’ah.
- Talaq
- Li’an
- Suami murtad
- Fasakh nikah disebabkan aib suami sebelum akad nikah
- Penceraian berpunca daripada isteri semata-mata – tidak diwajibkan ke atas suami untuk membayar mut’ah:
- Isteri murtad
- Isteri memeluk Islam
- Fasakh nikah kerana aib isteri
- Isteri memfasakhkan nikah kerana suami papa
- Isteri memfasakhkan nikah kerana suami mati pucuk
Puan dan bekas suami seharusnya bersetuju akan suatu amaun bagi bayaran mut’ah. Namun sekiranya gagal mencapai satu persetujuan, Hakim akan menentukan amaun tersebut dan keputusan hakim haruslah dihormati.
Menurut Kitab Ianah Al Talibin, Juz 3 yang dipetik dalam penghakiman kes Tukimah Ahmad lwn Jamaluddin Ibrahim, berdasarkan ayat 236 daripada Surah Al-Baqarah, penulis kitab tersebut telah menyatakan bahawa kadar penentuan mut’ah mestilah dengan mengambil kira apa yang sesuai dengan keadaan kedua-dua pihak pada masa penceraian.
Oleh yang demikian, mahkamah dalam mempertimbangkan kadar mut’ah akan melihat kepada faktor-faktor seperti di bawah:-
- Kemampuan suami
- Tempoh perkahwinan
- Taraf hidup pasangan semasa perkahwinan
- Status pendidikan dan pekerjaan isteri
- Isteri tidak pernah diisytiharkan nusyuz
- Menjaga kebajikan rumahtangga dengan baik.
- Usia pihak-pihak
- Lain-lain bentuk pengorbanan
Maka, Puan boleh memfailkan tuntutan mut’ah ke mahkamah tinggi dan menyatakan jumlah yang relevan untuk dituntut. Selepas itu, Puan hendaklah membuktikan bahawa bekas suami adalah seorang yang berkemampuan untuk membayar jumlah yang dituntut tersebut, dengan mengemukakan slip gaji bekas suami, geran tanah, atau apa-apa dokumen atau bukti yang menunjukkan harta-harta beliau. Sekiranya Puan dan bekas suami boleh mencapai persetujuan bersama untuk suatu amaun mut’ah, maka tidak perlu untuk kes mut’ah ini difailkan di mahkamah. Jika sebaliknya berlaku dimana terdapat pertelingkahan tentang mut’ah, kes ini perlulah dibawa ke mahkamah bagi hakim untuk menentukannya. Mempunyai pendapatan dan kerjaya sendiri tidak menghalang Puan untuk menuntut mut’ah kerana ianya adalah hak seorang perempuan apabila diceraikan.
Untuk sebarang pertanyaan, atau sekiranya anda ingin menetapkan temujanji dengan Peguam Syarie Faiz Adnan, anda boleh menghubungi kami menerusi telefon/email.