
TUNTUTAN HARTA SEPENCARIAN: BEKAS ISTERI DAN ANAK-ANAK DIHALAU KELUAR RUMAH
SOALAN: Assalamualaikum W.B.T. Saya ada beberapa persoalan yang ingin diajukan kepada Peguam Syarie Faiz Adnan Associates mengenai harta sepencarian. Saya dan bekas suami telah berkahwin pada 5 julai 1986 dan bercerai pada 6 ogos 2016. Kami telah dikurniakan dua orang cahaya mata. Semasa dalam tempoh perkahwinan, kami berdua mempunyai sebuah rumah teres di Kajang. Rumah tersebut dibeli pada tahun 1994 selepas lapan tahun perkahwinan. Namun setelah kami bercerai, suami menghalau saya dan anak-anak supaya keluar dari rumah tersebut atas alasan saya tidak mempunyai hak ke atas rumah tersebut memandangkan penama atas tersebut atas nama bekas suami. Jadi persoalan saya disini, adakah saya boleh menuntut di Mahkamah Syariah supaya rumah tersebut dijadikan sebagai harta sepencarian walaupun saya tidak ada mengeluarkan wang dalam proses pembelian rumah tersebut? Dan berapakah kadar yang selayaknya saya terima? Mohon penjelasan. (Malika, Bangi Selangor)
JAWAPAN:
1) Terima kasih Puan Malika atas soalan yang telah diajukan tersebut. Jadi, melihat kepada permasalahan puan diatas, apa yang dapat saya simpulkan disini ialah terdapat beberapa isu yang boleh diketengahkan:
- Sama ada harta yang dituntut merupakan harta sepencarian atau tidak
- Sama ada wujud sumbangan pihak-pihak bagi memperolehi harta tersebut dan kadar yang harus dibahagikan kepada pihak-pihak
Jadi, saya akan cuba menjawab satu-persatu berkenaan isu di atas.
ISU PERTAMA: SAMA ADA HARTA YANG DITUNTUT MERUPAKAN HARTA SEPENCARIAN ATAU TIDAK.
2) Perkara ini boleh dirujuk mengikut seksyen 2 Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003 berkenaan dengan tafsiran harta sepencarian:
“Harta sepencarian” ertinya harta yang diperoleh oleh suami dan isteri semasa perkahwinan berkuatkuasa mengikut syarat-yarat yang ditentukan oleh Hukum Syarak;
3) Malah perkara ini juga telah dinyatakan secara jelas di dalam Enakmen yang sama seksyen 122(1) yang memperuntukkan:
“Mahkamah hendaklah mempunyai kuasa apabila membenarkan lafaz talaq atau apabila membuat suatu perintah penceraian untuk memerintahkan supaya apa-apa yang diperoleh oleh pihak-pihak sewaktu perkahwinan dengan usaha bersama mereka dibahagikan antara mereka atau supaya mana-mana aset itu dijual dan hasil jualan itu dibahagikan antara pihak-pihak.
4) Di dalam Al-quran berdasarkan firman Allah di dalam surah An-Nisa’ ayat 32 ada menyebut:
“Dan janganlah kamu iri hati terhadap apa yang telah dikurniakan Allah kepada sebahagian kamu lebih banyak daripada sebahagian yang lain kerana bagi lelaki ada bahagian dari apa yang diusahakannya dan Bagi perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan dan mohonlah kepada Allah sebahagian daripada kurnianya Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu”
Berdasarkan kepada nas Al-Quran di atas jelas menyatakan bahawa perempuan (isteri) mempunyai hak ke atas apa yang diusahakan termasuk juga dalam apa-apa usaha yang mendorong suami berjaya dalam kehidupan seharian sehingga suami berjaya memiliki harta harta tersebut. Usaha ini dikenali sebagai “sumbangan tidak langsung”. Usaha ini secara tidak langsung mendapat pengiktirafan dan ianya dijadikan asas di dalam harta sepencarian kerana peranan isteri dalam urusan rumah tangga adalah usaha yang diiktiraf oleh Hukum Syarak.
5) Manakala dari sudut hukum adat pula, walaupun perkataan Harta Sepencarian ini tidak dinyatakan secara khusus oleh syarak, namun ianya merupakan adat melayu yang telah diterima pakai dan mendatangkan kebaikan kepada kaum wanita. Oleh yang demikian tuntutan harta sepencarian di Malaysia adalah berdasarkan kepada adat atau ‘uruf. Sesuatu perkara yang menjadi adat atau ‘uruf yang tidak bertentangan dengan hukum syarak serta menjadi kebiasaan amalan, maka ia layak diiktiraf dari sudut undang-undang.
6) Dalam hal ini, bagi menentukan sama ada harta tersebut adalah harta sepencarian atau tidak, maka mahkamah akan melihat kepada tempoh masa harta tersebut diperolehi dan sama ada wujud atau tidak sumbangan kedua-dua pihak sama ada secara langsung atau tidak langsung bagi memperolehi harta tersebut.
7) Pihak yang ingin menuntut perlulah membuktikan kepada mahkamah bahawa harta sepencarian tersebut sama ada harta alih (seperti wang simpanan dan kereta) atau harta tak alih (seperti rumah atau hartanah) telah diperoleh dalam tempoh perkahwinan. Seandainya harta yang dikumpul itu berlaku selepas penceraian, maka tidaklah dianggap sebagai harta sepencarian.
8) Seorang suami tidak boleh menentukan hak ke atas harta yang bukan mutlak walau namanya tertera sebagai pemilik. Setiap harta yang dibeli walau hanya atas nama suami, ia boleh dituntut sebagai harta sepencarian apabila isteri turut menyumbang. Sumbangan yang dimaksudkan bukan sekadar wang ringgit tetapi tenaga, dorongan dan sokongan yang diberi sehingga membolehkan harta tersebut dikumpul.
9) Jadi, berikutan dengan permasalahan Puan Malika ini, seandainya dapat dibuktikan bahawa rumah teres tersebut telah diperolehi bersama sewaktu dalam perkahwinan sama ada bukti melalui dokumen-dokumen ataupun saksi-saksi maka saya percaya puan juga berhak ke atas rumah tersebut dan ia boleh dituntut sebagai harta sepencarian. Dalam hal ini, mahkamah akan melihat kepada faktor-faktor tertentu seperti sumbangan pihak-pihak bagi memperolehi harta tersebut dan kadar yang harus dibahagikan. Maka perkara ini akan dijelaskan pada isu yang kedua.
ISU KEDUA: SAMA ADA WUJUD SUMBANGAN PIHAK-PIHAK BAGI MEMPEROLEHI HARTA TERSEBUT DAN KADAR YANG HARUS DIBAHAGIKAN KEPADA PIHAK-PIHAK
10) Perlulah dijelaskan disini, sebelum Mahkamah menetapkan kadar yang perlu dibahagikan kepada pihak-pihak, mahkamah akan melihat kepada sumbangan yang diberikan di antara kedua-dua pihak. Ini kerana harta sepencarian merupakan tuntutan yang kadarnya ditentukan berdasarkan kepada sedikit atau banyaknya takat sumbangan yang diberikan.
11) Sumbangan yang dimaksudkan disini ialah merujuk kepada sumbangan secara langsung dan sumbangan tidak langsung:
- Sumbangan secara langsung ini merujuk kepada usaha yang diberikan oleh kedua-dua pihak untuk memperoleh harta tersebut. Antara seperti sumbangan dari sudut kewangan.
- Manakala, bagi sumbangan tidak langsung pula kebiasannya merujuk kepada kerja-kerja rumah yang dilaksanakan oleh isteri dalam menguruskan rumah tangga. Ini termasuklah idea, dorongan serta keselesaan yang dikecapi suami sehingga membolehkannya mendapatkan harta tersebut
12) Sekiranya harta itu merupakan harta usaha bersama, maka faktor-faktor yang akan diambil kira oleh mahkamah termasuklah takat sumbangan tiap-tiap pihak dalam bentuk wang, harta atau kerja bagi memperoleh harta tersebut, hutang-hutang yang telah dibuat bagi manfaat bersama mereka serta keperluan anak-anak yang belum dewasa daripada perkahwinan itu.
13) Namun sekiranya harta tersebut merupakan harta tunggal, mahkamah akan melihat kepada sumbangan tidak langsung yang telah dibuat oleh pihak yang tidak memperoleh harta itu. Sebagai contoh melakukan kebajikan keluarga seperti memelihara rumah tangga, memenuhi keperluan anak-anak dan sebagainya.
14) Berkenaan dengan kadar pembahagian harta pula, ianya boleh dikategorikan kepada tiga bahagian iaitu:
- Pembahagian sepertiga atau kurang kepada isteri: Pembahagian satu pertiga kepada pihak isteri dan dua pertiga kepada pihak suami akan terpakai apabila si isteri tidak memberi sumbangan kewangan dan hanya memberi sumbangan dalam bentuk menemani suami dan menjaga rumahtangga dan keluarga.
- Pembahagian sama rata: Berlaku sekiranya isteri juga memberi sumbangan kewangan, atau harta itu telah didaftarkan dalam kedua-dua nama suami isteri, pada amnya pembahagian akan diberi sama rata di antara suami isteri.
- Pembahagian melebihi separuh (1/2) kepada isteri: Isteri yang menunjukkan bahawa dia memberi lebih sumbangan daripada suami, misalnya dengan memberi sumbangan kewangan dan juga menjaga rumahtangga, patutlah diberi bahagian yang lebih daripada separuh harta sepencarian itu.
KESIMPULAN
15) Maka apa yang boleh saya simpulkan disini ialah saya percaya Puan Malika berhak untuk menuntut rumah tersebut sebagai harta sepencarian. Ini berdasarkan kepada sumbangan tidak langsung yang telah puan berikan sepanjang mendirikan rumah tangga meskipun bukan sumbangan dalam bentuk kewangan. Saya menasihati puan agar mendapatkan khidmat peguam syarie kes puan dapat berjalan dengan lancar memandangkan mereka lebih berpengalaman dalam mengendalikan kes-kes sebegini. Sekian.
Disediakan oleh: Nur Syairah Yusop untuk Peguam Syarie Faiz Adnan & Associates

HUDUD TIADA SIFAT KEMANUSIAAN, HANYA MENGHUKUM DAN MENAKUTKAN?
Soalan: Saya ingin mengajukan soalan berkaitan HUDUD kepada Peguam Syarie Faiz Adnan. Sesetengah pihak menyatakan undang-undang Islam (HUDUD) dibuat hanyalah untuk menghukum dan menakutkan semata-mata. Selain itu, hukuman tersebut juga tiada sifat kemanusiaan. Adakah ia menepati dhawabit maqasid syariah?
Ani.
Jawapan:
Terima kasih Ani kerana atas soalan yang diberikan. Pertama sekali, Hudud bukanlah undang-undang yang dibuat untuk menakut-nakutkan manusia. Perlu difahami bahawa konsep undang-undang Hudud ini disyariatkan adalah untuk mendidik orang Islam khususnya dan orang bukan muslim amnya. Ini kerana untuk melaksanakan hudud itu sendiri bukanlah suatu yang mudah. Dalam sesuatu kes Hudud, ia memerlukan kepada kesaksian dan pembuktian yang ketat dan jelas. Jika terdapat keraguan walaupun sedikit maka pesalah tersebut tidak boleh dihukum dengan hukuman Hudud sepertimana sabda Rasulullah saw menyebut :
” Lebih baik melepaskan orang yang bersalah daripada menghukum orang yang tidak bersalah “
Dengan kepayahan dan kesukaran untuk melaksanakan Hudud ini jelas menyifatkan bahawa undang-undang ini tidaklah sekejam seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak malah sebaliknya telah pun mengambil kira unsur kemanusian bukan setakat kesan ke atas pesalah tersebut bahkan kepada umat Islam seluruhnya. Hikmah Allah swt mensyariatkan syariat ini bukanlah semata untuk menghukum tetapi untuk perkara yang lebih besar iaitu melindungi kehidupan manusia dari jenayah-jenayah yang akan memberi kesan kepada 5 perkara yang digariskan dalam maqasid syariah khususnya.
Oleh itu pada pandangan peribadi saya, pihak yang menghalang perlaksanaan hudud itulah yang sebenarnya tidak berperikemanusiaan. Kerana apa? Kerana mereka tidak membenarkan ketenteraman dan keharmonian berlaku dalam kehidupan manusia.
Seperti yang kita semua tahu bahawa Hudud ini adalah hak Allah dan manusia juga adalah hak Allah. Jika sekiranya seseorang manusia itu melakukan perkara yang bertentangan dengan kehendak Allah swt maka bagi pandangan peribadi saya, tidak menjadi salah jika Allah swt mengambil kembali nikmat yang diberikan kepada manusia tersebut seperti tangan ( yang dipotong bagi kesalahan mencuri/merompak ) dan seumpamanya. Namun begitu, hukuman ini terhad hanya kepada orang Islam sahaja atas asas keimanan yang mengakui bahawa Allah itu wujud.
Seterusnya dari segi maqasid syariah, ya sememangnya Hudud menepati dhawabitnya. Dalam maqasid syariah, terdapat 5 perkara yang perlu dijaga iaitu akal, keturunan, harta, agama dan nyawa. Melihat kepada jenayah hudud itu sendiri iaitu meminum arak, berzina, mencuri, murtad dan membunuh, dengan adanya had hukuman bagi kesalahan-kesalahan tersebut sekali gus dapat memelihara kelima-lima perkara dalam maqasid syariah.
Hukuman ini sering dianggap kejam dan tidak berprikemanusiaan sepertimana yang didakwa oleh sesetengah pihak. Kerana apa? kerana undang-undang ini datangnya dari Islam. Cuba bayangkan kalau hukuman ini adalah hukuman sivil atau dari pihak barat? Nescaya seluruh masyarakat di Malaysia khususnya atau dunia umumnya akan menerima hukuman-hukuman ini meskipun terpaksa. Apa yang pasti hukuman ini adalah jauh lebih baik dan bertimbang rasa berbanding hukuman barat seperti kerusi elektrik, gantung sampai mati, dan lain-lain. Secara mudah, perbandingan boleh dibuat terhadap hukuman sebat sivil dan syariah yang dilaksanakan di penjara pada hari ini.
Wallahua’lam.
Artikel disediakan untuk Firma Peguam Syarie Faiz Adnan & Associates.

IBU MENANGIS TIDAK DAPAT HAK HADHANAH SELEPAS BERCERAI
Soalan :
Saya ingin mengajukan soalan kepada Peguam Syarie Faiz Adnan berkaitan hadhanah. Saya Fatimah (bukan nama sebenar) dan suami telah berkahwin pada 23/2/2011. Hasil perkahwinan kami telahpun dikurniakan 2 orang anak iaitu Rania Aisya berumur 4 tahun dan Aqif Adli 2 tahun. Namun, pada suatu petang saya bergaduh besar dengan bekas suami saya sehingga saya meminta dia menceraikan saya dan berjanji untuk memberi anak-anak kepada dia jika dia (suami) menceraikan saya. Kami kemudian telah sah bercerai pada tahun 2017. Anak-anak saya sehingga sekarang berada dengan bekas suami saya. Tapi sekarang saya telah berkahwin baru dan saya benar-benar merindui anak-anak saya dan menyesal atas perbuatan saya. Saya juga berhasrat untuk mengambil anak-anak saya duduk dan tinggal dengan saya. Adakah saya masih mempunyai hak hadhanah di sisi undang-undang terhadap kedua anak tersebut? Saya benar-benar menginginkannya. Saya mohon nasihat tuan.
Jawapan:
Bismilahirahmanirrahim,
Hadhanah. Menurut seksyen 76 Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984, undang-undang membenarkan suatu perintah hak jagaan anak itu diubah atas alasan yang munasabah. Berdasarkan peruntukan ini, jelas Puan masih berpeluang untuk mendapatkan semula hak jagaan anak tersebut. Oleh itu, tindakan awal yang perlu Puan ambil ialah failkan permohonan ubah perintah hak jagaan anak yang telah diputuskan oleh mahkamah sebelum ini. Seterusnya, dalam permohonan tersebut, Puan perlu nyatakan alasan mengapa permohonan tersebut perlu diubah. Amnya, alasan-alasan yang biasa diberikan ialah telah wujud salah penyataan; atau telah wujud kesilapan fakta; atau telah berlaku perubahan matan tentang hal keadaan berdasarkan perjanjian yang telah dibuat. Disamping itu dalam memutuskan kes ini, Mahkamah juga mengambil kira tiga perkara berikut :
· Kebajikan anak-anak puan · Umur anak-anak puan ketika hak hadhanah ini dipohon di mahkamah · Kelayakan puan dalam mendapatkan hak hadhanah |
Sebelum menentukan kepada siapa hak hadhanah ini diberikan, perkara utama yang dinilai dan diberi perhatian lebih oleh Mahkamah ialah kebajikan anak. Dalam Kitab Al-Fiqh Al Muqarran Lil Al-Ehwal Shaksiyyah Oleh Sr. Badran Abul Ainnaini Juz 1 Ms 543-544 menyebut :
غاية لامر أن حق الصغير اقوى لان مصلحته مقدمة على مصلحة ابويه وانه يجب العمل بما هو انفغ واصلح للصغير في باب الخضانة
Dari segi kebajikan, Mahkamah menfokuskan kepada 5 perkara asas iaitu makan minum, pakaian, pendidikan, perubatan dan tempat tinggal. Kelima-lima perkara asas ini secara tidak langsung berkait rapat dengan isu kemampuan. Oleh itu, Puan perlu buktikan kepada Mahkamah bahawa Puan mampu menyediakan dan menjaga keperluan anak tersebut dengan baik. Soal bagaimana mengagihkan tanggungjawab menyediakan nafkah anak, ia bergantung kepada persetujuan bersama atau perintah nafkah anak yang dikeluarkan oleh Mahkamah.
Kedua, jika dilihat pada umur anak puan pada waktu ini adalah masing-masing berumur 4 tahun (anak perempuan) dan 2 tahun (anak lelaki), menurut undang-undang, ibu adalah orang yang paling berhak mendapat hak hadhanah inisehinggalah anak-anak tersebut mencapai umur mumayyiz meskipun anak-anak tersebut diberikan pada suami Puan pada awal penceraian. Berdasarkan petikan daripada kitab kifayah al-Akhyarjuz. 2 ms 161 yang menyatakan:
وإذا فارق الرجل زوجته وله منها ولد فهي احق بخضانته الى سبع سنين
Maksudnya: Apabila berlakunya perpisahan di antara suami dan isteri dan mereka mempunyai anak hasil perkahwinan tersebut, maka ibu adalah orang yang berhak menjaga anak itu sehingga berumur 7 tahun.
a) Berkahwin dengan orang yang tidak mahram dengan anak-anaknya b) Berkelakuan buruk secara keterlaluan dan terbuka c) Menukar permaustatinan dengan tujuan menghalang bapa anak-anak tersebut menjalankan pengawasanya d) Murtad e) Menganiaya dan mengabaikan anak-anak |
Namun, puan haruslah mengetahui bahawa hak hadhanah boleh hilang apabila didapati orang itu termasuk dalam kategori gugur hak atau hilang kelayakan sebagai seorang hadhinah (penjaga) kepada anak-anak tersebut. Dan kesannya ialah hak hadhanah daripada ibu (puan) boleh berpindah kepada orang lain seperti (suami puan) dan sesiapa yang difikirkan layak menurut Undang-Undang Keluarga Islam seksyen 84 akta yang sama. Hal ini menurut seksyen 83 AUKIWP 1984: Hak sesorang perempuan terhadap hadhanah adalah hilang;-
Berdasarkan fakta kes ini, puan telah pun berkahwin lain dan menyebabkan hak hadhanah puan terhadap anak-anak tersebut gugur. Hal ini dirujuk berdasarkan hadith Rasulullah SAW:
انت احق بها ما لم تنكحى
Maksudnya : Engkau berhak kepada hadhanah selama mana kamu tidak berkahwin lain.
Meskipun Puan telah mendapat keredhan dan keizinan suami untuk menjaga anak-anak tersebut namun sedikit sebanyak kebajikan anak-anak tersebut mungkin akan terjejas. Dalam kitab al-Akhyar Juz. 2 ms 153 menyatakan:
لأنها مشغولة بالزوج فيضرر الولد اثر لرضا الزوج
Maksudnya: … isteri biasanya sibuk melayani suaminya dan sudah tentu menjejaskan kedudukan anak itu meskipun ada keredhaan suaminya untuk jaga sama tapi ianya tak beerti.
Ayat ini berkaitan hukum syarak yang menetapkan bahawa hilang kelayakan isteri yang telah berkahwin lain walaupun dengan redha suaminya dalam menuntut hadhanah. Islam merupakan agama yang mementingkan seorang isteri itu memelihara hubungan dengan suaminya selama-lamanya. Juga, menolak kemudaratan terjadinya apa-apa perkara yang tidak diingini pada anak-anak yang bakal dijaga lebih-lebih lagi melibatkan anak perempuan yang bukan mahram dengan suami yang baru. Tambahan pula, faktor lambakan kes-kes berkaitan bapa haruan, bapa yang menganiaya anak tiri sehingga trauma apabila isteri tiada di rumah dan bekerja yang kemudian tugas menjaga anak tersebut beralih kepada bapa tiri.
Namun, masih wujud ruang dan peluang untuk puan mendapatkan hak hadhanah ini daripada bekas suami puan dengan dengan memohon ibu puan (nenek) sebagai hadhinah (penjaga) kepada anak-anak puan di mahkamah kerana menurut seksyen 81 AUKIWP 1984, susunan orang yang berhak dalam menjaga anak-anak selepas ibu adalah nenek dan puan haruslah membuktikan kepada mahkamah bahawa ibu puan sememangnya layak untuk menjaga kebajikan bagi anak-anak puan dan membuktikan bahawa bekas suami puan telah tidak menjalankan kebajikan anak-anak puan dengan baik.
Dalam isu hadhanah ini, mahkamah akan melihat segala faktor secara menyeluruh, terutama kebajikan dan kemaslahatan anak, bukan melihat kepada kepentingan si ibu atau si bapa. Kebajikan anak adalah yang paling utama mengikut maqasid syariahbagi menjamin kehidupan masa depan yang lebih baik bagi anak itu. Contoh kes diihat pada kes Norhaiza lwn saat (1996) di mana mahkamah menolak tuntutan isteri yang telah berkahwin lain dalam tuntutan mengubah perintah mahkamah berkaitan hadhanah pada bekas suaminya.
Artikel disiarkan untuk laman web Peguam Syarie Faiz Adnan Associates.

Apakah itu Mut’ah? Layakkah saya untuk menerima Mut’ah?
Soalan mengenai MUT’AH:
PEGUAM SYARIE Faiz Adnan, setelah bercerai dengan suami, saya diberitahu bahawa saya boleh menuntut harta sepencarian, nafkah eddah, hak penjagaan anak serta nafkah anak, dan mut’ah daripada suami saya. Namun, saya kurang pasti apakah itu mut’ah? Adakah saya benar-benar layak untuk menerimanya walaupun saya adalah seorang yang berjaya dalam kerjaya saya dan mempunyai pendapatan sendiri? Sekiranya saya layak, adakah saya boleh menuntut seberapa banyak amaun yang saya mahu atau mahkamah akan menetapkan amaun tersebut?
Jawapan:
Merujuk kepada soalan Puan di atas, mut’ah adalah suatu bentuk bayaran yang menggambarkan penghargaan kepada bekas isteri yang telah berkhidmat untuk suami dan anak-anak sepanjang tempoh perkahwinan. Menurut pengertian yang diberikan oleh Wahbah Zuhaili dalam kitabnya Fiqh Al Islami Wa Adillatuhu, mut’ah adalah suatu pemberian harta yang wajib keatas lelaki untuk membayar kepada isterinya yang diceraikan pada masa hidup, dengan talak, bergantung kepada beberapa syarat. Seksyen 2 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 juga menyatakan bahawa mut’ah adalah bayaran saguhati yang diberi dari segi Hukum Syara’ kepada isteri yang diceraikan.
Selepas Puan dan suami diisytiharkan telah bercerai, Puan haruslah memfailkan ke mahkamah bagi menuntut mut’ah dengan menyatakan jumlah yang dirasakan relevan. Seterusnya, Puan haruslah membuktikan kepada mahkamah bahawa bekas suami adalah seorang yang mampu untuk membayar sejumlah bayaran mut’ah yang dituntut tersebut.
Mut’ah disyariatkan atas lelaki kepada wanita yang telah diceraikan untuk menjadi bekalan bagi meringankan beban mereka yang disebabkan oleh perpisahan dan memulakan kehidupan baru tanpa suami. Selain itu, mut’ah menjadi suatu tuntutan selepas penceraian bagi mengambil hati bekas isteri di samping dapat mengubati perasaan sakit hati dan rasa benci yang berpunca daripada penceraian yang berlaku. Ia juga bagi menutup perasaan sedih, dan malu apabila menerima sangkaan buruk daripada masyarakat terhadap penceraian tersebut.
Pengarang kitab I’anah at-Talibin, pada Juz 3, m/s 356 juga ada menyatakan bahawa ‘wajib ke atas suami membayar mut’ah kepada isteri yang sudah disentuh (dipersetubuhi) walaupun ianya (isteri itu) seorang hamba, dengan sebab berlakunya penceraian yang bukan kerana kematian salah seorang daripada kedua-dua mereka’.
Maka jelaslah, seorang lelaki wajib melaksanakan bayaran kepada isteri yang diceraikan, bergantung kepada beberapa syarat.
Seksyen 56 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 menyatakan bahawa perempuan yang diceraikan tanpa sebab yang patut boleh menuntut mut’ah dan mahkamah boleh memerintahkan suami untuk membayar sejumlah wang yang patut & wajar mengikut hukum syarak. Tafsiran frasa tanpa sebab yang patut telah diperincikan lagi dalam kes Sapiee bin Muda lwn Adnan Hawa bt Mohamad telah merujuk kepada Kitab Mughni Muhtaj yang telah menggariskan syarat kelayakan seorang isteri bagi menuntut mut’ah, antaranya ialah:
- Penceraian dengan kematian suami / isteri – suami tidak diwajibkan untuk membayar mut’ah
- Penceraian berpunca daripada suami yang mewajibkan seorang suami untuk membayar mut’ah.
- Talaq
- Li’an
- Suami murtad
- Fasakh nikah disebabkan aib suami sebelum akad nikah
- Penceraian berpunca daripada isteri semata-mata – tidak diwajibkan ke atas suami untuk membayar mut’ah:
- Isteri murtad
- Isteri memeluk Islam
- Fasakh nikah kerana aib isteri
- Isteri memfasakhkan nikah kerana suami papa
- Isteri memfasakhkan nikah kerana suami mati pucuk
Puan dan bekas suami seharusnya bersetuju akan suatu amaun bagi bayaran mut’ah. Namun sekiranya gagal mencapai satu persetujuan, Hakim akan menentukan amaun tersebut dan keputusan hakim haruslah dihormati.
Menurut Kitab Ianah Al Talibin, Juz 3 yang dipetik dalam penghakiman kes Tukimah Ahmad lwn Jamaluddin Ibrahim, berdasarkan ayat 236 daripada Surah Al-Baqarah, penulis kitab tersebut telah menyatakan bahawa kadar penentuan mut’ah mestilah dengan mengambil kira apa yang sesuai dengan keadaan kedua-dua pihak pada masa penceraian.
Oleh yang demikian, mahkamah dalam mempertimbangkan kadar mut’ah akan melihat kepada faktor-faktor seperti di bawah:-
- Kemampuan suami
- Tempoh perkahwinan
- Taraf hidup pasangan semasa perkahwinan
- Status pendidikan dan pekerjaan isteri
- Isteri tidak pernah diisytiharkan nusyuz
- Menjaga kebajikan rumahtangga dengan baik.
- Usia pihak-pihak
- Lain-lain bentuk pengorbanan
Maka, Puan boleh memfailkan tuntutan mut’ah ke mahkamah tinggi dan menyatakan jumlah yang relevan untuk dituntut. Selepas itu, Puan hendaklah membuktikan bahawa bekas suami adalah seorang yang berkemampuan untuk membayar jumlah yang dituntut tersebut, dengan mengemukakan slip gaji bekas suami, geran tanah, atau apa-apa dokumen atau bukti yang menunjukkan harta-harta beliau. Sekiranya Puan dan bekas suami boleh mencapai persetujuan bersama untuk suatu amaun mut’ah, maka tidak perlu untuk kes mut’ah ini difailkan di mahkamah. Jika sebaliknya berlaku dimana terdapat pertelingkahan tentang mut’ah, kes ini perlulah dibawa ke mahkamah bagi hakim untuk menentukannya. Mempunyai pendapatan dan kerjaya sendiri tidak menghalang Puan untuk menuntut mut’ah kerana ianya adalah hak seorang perempuan apabila diceraikan.
Untuk sebarang pertanyaan, atau sekiranya anda ingin menetapkan temujanji dengan Peguam Syarie Faiz Adnan, anda boleh menghubungi kami menerusi telefon/email.